Saturday, September 1, 2007

DAKWAAN BOLEH BAWA PRASANGKA

Saya sudah lama tidak membaca news portal, Tranungkite. Seingat saya, kali terakhir ialah pada 2004 ketika masih bekerja di Berita Publishing Sdn Bhd (BPSB), yang dimiliki oleh bos lama, Datuk A Kadir Jasin. Wartawan dan pengarang di BPSB bebas untuk membaca semua bahan dalam internet kecuali yang berunsur lucah. Web porno disekat. Namun, tiada sekatan untuk bahan lain termasuk daripada web pembangkang.

Artikel Malaysiakini hari ini membawa saya mengikuti semula Tranungkite malah disenaraikan dalam pautan DT untuk meneliti apakah bahan yang ditulis oleh news portal itu ketika ini dan pada masa akan datang. Yang menjadi perhatian Malaysiakini ialah tulisan MJH dalam Tranungkite yang mendakwa mewakili Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), menasihati umat Islam supaya berhati-hati ketika makan di restoran India.

Berikut ialah bahan yang dipaparkan dalam Tranungkite yang dikatakan mungkin boleh menimbulkan rasa tidak senang umat Islam terhadap restoran India. Bukan niat memanjang-manjangkan tulisan berkenaan tetapi sebagai renungan bersama. Malah Malaysiakini turut membuat pautan kepada tulisan MJH itu.

"MJH. Assalamualaikum.

Selaku Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), saya ingin menerangkan di sini tentang kewujudan kekeliruan di antara restoran INDIA dan restoran INDIA MUSLIM (Mamak) di Malaysia.

Seperti yang anda sedia maklum, lewat ini, wujud begitu banyak restoran- restoran INDIA yang menggunakan nama-nama berunsur Islam dan Melayu (Sri Pelita dan lain-lain) untuk mengaburi mata pengguna Islam.

Memang tepat dakwaan yang mengatakan bahawa Restoran Lotus dimiliki oleh orang yang beragama Hindu walaupun makanan yang disajikan saling tak tumpah seperti makanan orang-orang INDIA MUSLIM.

Menurut pengamatan PPIM, restoran-restoran yang dimiliki oleh orang beragama Hindu akan dimulakan setiap pagi dengan upacara memecahkan kelapa dan premisnya akan direnjis-renjiskan dengan air dan sejenis serbuk.

PPIM telah dimaklumkan oleh pengguna-pengguna Islam bahawa air tersebut merupakan air kencing lembu dan serbuk itu pula merupakan najis lembu yang telah dikeringkan. Kadangkala, makanan yang telah siap dihidangkan turut juga direnjiskan dengan air dan serbuk ini. Mungkin untuk membawa keberkatan.

Sebagai pengguna-pengguna Islam yang peka, sudah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membantu perniagaan saudara-saudara seagama kita. Bukanlah niat PPIM untuk mewujudkan perasaan benci sesama masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, namun saya berpendapat bahawa motto "Muslim business comes first" haruslah menjadi amalan kita.

Wassalam"


Bagi saya, adalah satu perbuatan yang tidak baik jika merenjis makanan dengan bahan-bahan yang kotor. Ia pasti tidak baik untuk orang Melayu, Cina mahupun orang India sendiri. Logiknya, orang India tentulah akan tidak berbuat demikian. Apa yang saya pernah alami adalah berbeza di mana ada kakitangan restoran India yang "mengasap" mesin wang, ikan dan sotong belum digoreng, ikan goreng dan lauk-pauk. Ketika itu, saya meminta kakitangan itu memberhentikan perbuatannya dan mereka akur dengan permintaan itu.

Ketika ini, ramai rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan latarbelakang mengunjungi restoran India untuk menikmati makanan yang dihidangkan kerana gemar menikmati hidangan atas daun pisang. Malah, ada restoran India menggunakan simbol halal dalam premis mereka. Tidak hairanlah umat Islam terus mengunjungi restoran India.

Apakah tujuan nasihat MJH itu? Apakah ia bertujuan untuk menasihati umat Islam terhadap restoran India tertentu atau bagi semua restoran India di negara ini? Hakikatnya nasihat seumpama ini boleh mendatangkan kesan kepada peniaga India yang benar-benar menjalankan perniagaan secara halal. Apa yang dibimbangkan ialah umat Islam akan memandang serong terhadap semua restoran India ini. Kini terpulanglah kepada pengusaha restoran India untuk menyangkal dakwaan itu demi untuk memastikan segala prasangka dan anggapan salah itu segera diperbetulkan.

3 comments:

PUTRAGABAN said...

Nasi daun pisang best ooo.. Tak payah laukpun sedap...

ibrahim yahaya said...

Sdr Budin,

Memang benar. Kow punya. Tapi mesti halal, baru boleh menikmatinya tanpa was-was.

Anonymous said...

Memang siapa yang hendak mengotorkan makananan. Tulisan MJH berniat jahat. Sila saudara-saudari buat kajian sendiri. Issue penggunaan komiyum dan vibuthi digunakan tiap-tiap hari adalah tidak benar. Ianya hanya digunakan sewaktu kerja pembersihan permis sahaja. Sebelum restoran dibuka secara rasmi, sepertimana saudara Buddhist, Muslim, dan Christian, membersihkan premis, seperti menrenjis "blessed water", "air sembahyang" dan lain-lain. Ianya direnjis untuk membersihkan permis secara symbolik sahaja. Pada masa itu, premis selalunya kosong. Tiada meja dan kerusi. Kedai yang belum dibuka secara rasmi. Selepas upacara demikian, premis itu dicuci dan di pastikan bersih.

Tiada bahan yang di taburkan di atas makanan atau lain-lain bahan. Para pengusaha restoran amat perihatin tentang kebersihan makanan dan premis.

Anasir-anasir seperti MJH harus diketepikan kerana membawa prasangka buruk terhadap hidup secara berkomuniti.