Monday, September 10, 2007

BAKAR PAGAR YANG MAKAN PADI

Bagi saya, ada beberapa faktor menyebabkan kejadian rogol.

Pertama kerana lelaki itu tidak dapat mengawal nafsunya lagi menyebabkan sesiapa saja dirogolnya termasuk anak sendiri. Lelaki itu tidak dapat mengawal nafsu kerana memang semulajadi dia mempunyai nafsu kuat. Oleh itu, agama menggalakkan manusia berkahwin jika sudah tidak dapat mengawal nafsu. Kahwinlah segera. Ada juga yang kuat nafsu kerana gemar menonton filem-filem lucah yang bersepah-sepah di pasaran. Berhentilah menonton filem itu kerana akan menyakitkan diri anda di kemudian hari. Percaya dan yakinlah.

Kedua, disebabkan lelaki itu mempunyai niat untuk membalas dendam terhadap seorang wanita kerana pernah memalukannya atau tidak melayan perasaannya. Kejadian seumpama ini berlaku apabila seseorang perempuan menolak hasrat lelaki yang ingin berkawan atau bertemankannya. Penolakan itu disebabkan kehodohan lelaki berkenaan ataupun mungkin wajahnya seperti bekas kekasihnya dulu. Mungkin juga lelaki berkenaan jauh sama sekali dengan wajah idaman perempuan berkenaan.

Ketiga, kejadian rogol berlaku apabila seseorang lelaki mendapati mudah melakukannya kerana mangsa tinggal sebumbung dengannya. Ini termasuk kejadian rogol orang gaji, adik ipar atau sepupu. Biasanya kejadian seumpama ini tidak dihebohkan sehinggalah mangsa tidak tahan dengan kebuasan perogolnya. Kejadian ini berlaku ketika waktu malam atau ketika mangsa sedang berseorangan di bilik atau di rumah. Ketika itu, kucing akan melapah tikus kerana tiada kucing lain. Ingatlah wanita, jangan tinggal keseorangan dengan lelaki, terutamanya yang anda curigai nafsu syahwatnya. Keluar daripada rumah itu segera. Bersiar-siarlah di kompleks beli-belah atau berjalan-jalan di taman.

Faktor keempat membabitkan kejadian di mana perogol ibarat pagar yang makan padi. Ini seperti kejadian yang dilaporkan oleh Malaysiakini membabitkan seorang rakyat Indonesia mendakwa dia dirogol oleh pegawai Rela. Kesnya itu sedang diperjuangkan oleh Suhakam bagi mendapatkan pembelaan daripada pihak berkuasa Malaysia. Pagar yang suka makan padi ini perlu dirobohkan dan kayunya bolehlah dibakar sehingga menjadi abu. Perogol seperti ini seharusnya dikenakan hukuman berat kerana mengambil kesempatan daripada kelemahan golongan hawa yang meminta pertolongannya.

Bagi saya, semua kejadian berasaskan kepada empat faktor itu boleh berlaku kepada sesiapa saja apatah lagi gadis Indonesia yang cantik molek. Oleh itu, ibu bapa di Indonesia tidak payahlah menghantar anak anda ke Malaysia jika tidak mahu kejadian seumpama itu berlaku. Biarlah anda miskin atau tiada wang di Indonesia, makan singkung atau sayur kangkung tetapi hidup bebas daripada kejadian rogol dan penindasan. Ini satu nasihat yang berguna. Percaya dan yakinlah.

Ini bukan bermakna semua rakyat Malaysia jahat tetapi apa guna datang ke sini tetapi dipukul, dimaki, dijadikan hamba, dicurah air panas, dicederakan oleh majikan dengan penggosok baju, dikurung, diludah, disepak terajang dan yang amat menyedihkan dirogol oleh majikan yang bernafsukan binatang. Ini adalah nasihat dan fikirlah semasak-masaknya. Ambil sajalah satu peratus daripada 300,000 pembantu rumah yang dianiayakan. Ini menjadikan 3,000 orang setiap masa, dikasari dan dianiayai.

Ayuh, ibu bapa serumpunku di Indonesia, ambillah pendirian yang tegas tidak menghantar anak gadis ke sini atau kemana-mana saja mahupun di negara Arab, jika tiada kepastian anak anda akan selamat. Biarlah miskin tetapi setidak-tidaknya anak anda tidak menjadi mangsa kebobrokan majikan yang sentiasa lapar untuk menjadi tuan, sentiasa ganas untuk menjadi perogol, mencari kepuasan daripada kesakitan orang lain, merasa hebat jika dapat menganiaya orang. Ini mungkin risiko yang perlu diambil, tetapi sudah pasti tidak menguntungkan jika dipandang dari sudut mana sekalipun, apabila ia berlaku. Janganlah datang kemari untuk dicemari. Janganlah melangkah ke sebarang untuk mendapat malang. Hidup bersih dan jangan jadi hamba di negara orang. Jadilah tuan di negara sendiri, setidak-tidaknya tuan yang baik.

No comments: