Sunday, September 16, 2007

PERNIAGAAN HAMBA ABDI MODEN

Baru-baru ini, seorang teman bertanya sama ada hendak terbabit dalam perniagaan yang boleh memperolehi pulangan lumayan. Satu kepala boleh dapat RM1,500. Saya bertanya apakah jenis perniagaan itu. Beliau memberitahu saya perniagaan itu membawa masuk pekerja asing ke Malaysia. Ah..belum lagi terniat untuk berniaga "orang" apatah lagi mengenangkan pelbagai peristiwa yang berlaku terhadap mereka. Saya tidak mahu menjadi majikan yang terbabit dalam peristiwa pekerja terkandas atau tidak dibayar gaji beberapa bulan. Tidak lagi berminat untuk berniaga "hamba abdi moden" ini.

Membaca laporan Malaysiakini yang menyebut beribu-ribu pekerja asing terutamanya Bangladesh terpaksa berkhemah di tempat letak kereta KLIA sementara menunggu majikan mereka, adalah satu insiden yang menyedihkan dan memalukan negara. Apa saja alasan yang diberikan majikan, ia tidak sepatutnya berlaku apatah lagi kita meminta orang lain untuk bekerja di negara ini. Jika ia diuruskan secara baik, sudah pasti insiden itu tidak akan berlaku dan menambahkan kerja untuk kakitangan Jabatan Imigresen. Lebih membimbangkan ia memberi gambaran buruk terhadap Malaysia dalam mengendalikan pekerja luar terutama dari negara-negara Asean dan dunia ketiga.

Saya rasa semua pihak terutama kerajaan perlu melihat secara menyeluruh kemasukan pekerja asing ini yang semakin ramai. Kita tidak mahu kerana keuntungan berlipat ganda menyebabkan ada orang membuat helah dengan kerajaan untuk membawa masuk pekerja asing. Kerajaan tidak seharusnya menurut saja apa kehendak majikan sehinggakan menyebabkan bilangan pekerja asing membanjiri negara kita terutama di Lembah Klang. Kerajaan perlu mengkaji apakah yang menjadi punca majikan gemar membawa masuk pekerja asing. Kerajaan juga perlu mengkaji apakah implikasi kemasukan pekerja asing ini terhadap sosioekonomi negara.

Sehingga 31 Mac 2006, pekerja asing yang sah dengan Pas Lawatan Kerja (sementara) ialah 1,850,063. Pecahannya ialah Indonesia (1,215,036); Nepal (200,220); India (139,716); Myanmar (92,020); Vietnam (85,835); Bangladesh (58,878); Filifina (22,080); Pakistan (15,021); Thailand (7,282); Kemboja (6,637); Sri Lanka (5,076); dan lain-lain (2,262). Itu yang sah dan rasmi. Bagaimana pula yang tidak rasmi? Dikatakan kini mencapai lebih daripada tiga juta orang. Bercakap dan memberi cadangan memanglah senang, tetapi jika tiada tindakan diambil mengatasi "kebanjiran" ini sudah pasti ia menimbulkan masalah di kemudian hari. Percaya dan yakinlah dengan pandangan ini. Lihatlah di Puchong, Keramat, Alam Megah di Shah Alam dan beberapa tempat lagi di negara ini, anda pasti menyaksikan mereka dengan jumlah yang ramai.

Saya rasa usaha bersepadu perlu dilaksanakan untuk menggalakkan rakyat negara ini mengambil alih kerja pekerja asing ini. Kementerian Sumber Manusia perlu mengambil langkah proaktif dalam meneliti apakah punca menyebabkan rakyat tempatan tidak suka bekerja di tempat yang kini diambilalih oleh pekerja asing. Kementerian perlu tahu apakah pengambilan pekerja asing ini lebih murah untuk dibayar menyebabkan pekerja tempatan tidak diendahkan. Saya yakin ramai rakyat negara ini mencari pekerjaan tetapi sudah dipenuhi oleh rakyat negara ini. Alasan mengatakan rakyat tempatan malas untuk bekerja di tempat tertentu memang mudah tetapi cuba tanyakan berapakah gaji yang ingin dibayar oleh majikan.

Selepas itu, kementerian boleh menentukan industri mana yang benar-benar memerlukan pekerja asing dan bukanlah seperti restoran mamak yang kini dipenuhi dengan pekerja Bangladesh, India dan Indonesia. Takkanlah rakyat tempatan tidak mahu bekerja di restoran jika gajinya agak berpatutan. Mungkin di ladang-ladang kelapa sawit tidak menarik bagi rakyat tempatan untuk bekerja sehingga ada keperluan untuk membawa segera pekerja Indonesia di ladang di Sabah dan Sarawak. Mengapa pula rakyat tempatan tidak berminat bekerja di ladang-ladang kelapa sawit? Jika dulu ladang-ladang getah boleh mendapat pekerja tempatan, mengapa pula ladang kelapa sawit tidak menarik untuk pekerja tempatan? Tolonglah cari jawapan kebanjiran pekerja luar ini. Jangan mengambil jalan mudah dengan "mengimport" terlalu ramai pekerja sehingga menimbulkan pelbagai masalah pada suatu hari nanti. Nasib baik hasrat untuk membawa gadis China ke sini ditentang oleh Wanita MCA. Jika tidak bertambah ramailah lagi.

1 comment:

azrul said...

Boss, saya tinggal di Keramat sejak 27 tahun lalu. Dan senario di sini mmg lazimnya dimonopoli warga asing (yg kebanyakannya saya pasti datang TANPA ijin). Walaupun ada rumah setinggan mereka telah diroboh oleh MPAJ, tapi mereka masih bermaharajalela. Dan skrg mereka banyak menyewa di rumah2 teres, flat dan rumah lot di kawasan ini. Paling menjelikkan, dalam satu rumah tu ada yg tinggal lebih 20 org! Bayangkan! Dan utk penduduk tempatan spt kami ini, berbuat sesuatu utk menghalau/mengganggu mereka hanya akan mengundang bencana. Ini kerana mereka dtg ke sini bukan dgn "ILMU" yg kosong! Renung2kan selamat beramal.