Hubungan antara guru dan murid perlu erat dan saling menghormati. Hubungan antara pensyarah dan mahasiswa perlu baik dan saling memahami. Di sekolah, murid diajar sentiasa menghormati dan mengikut arahan guru. Dalam usia muda, mereka dibentuk dan dibimbing untuk menjadi warganegara yang baik. Perkara baik yang diajar dan diasuh oleh guru perlu diikuti dan diamalkan. Badan tertinggi yang mewakili murid ialah Lembaga Pengawas yang dianggotai oleh pelajar daripada pelbagai peringkat umur. Persatuan dan kelab yang ditubuhkan di sekolah bertujuan mendidik pelajar untuk menjadi pemimpin yang berdisiplin, berwibawa dan berwawasan. Mereka juga dididik menjadi pengikut setia.
Di institut pengajian tinggi, mahasiswa dididik agar berfikir secara matang dalam semua urusan mereka. Bukan memberontak dan membuat kecoh. Mahasiswa diwakili oleh Majlis Perwakilan Pelajar yang dipilih menerusi pertandingan yang diadakan setiap tahun. MPP akan menyuarakan pandangan pelajar kepada pentadbir IPTA atau IPTS dari semasa ke semasa. MPP akan mengemukakan cadangan dan pandangan untuk kebaikan pelajar. MPP yang tidak berfungsi atau bertindak seperti burung kakak tua perlu digantikan dengan yang lebih dinamik dan berwawasan. Namun, pemimpin jujur, berdisiplin dan berwawasan perlu dikekalkan demi kepentingan pelajar. Wawasan membina negara bukan niat memecah-belahkan perpaduan.
Ketika di ITM (kini UITM) ada dua peringkat kesatuan yang mewakili mahasiswa. Di peringkat kajian, mahasiswa diwakili oleh kesatuan manakala di peringkat ITM diwakili oleh JPP. Umpamanya di Kajian Sebaran Am diwujudkan Kesatuan Sebaran Am (KSA). Ada dua wakil KSA yang dipilih untuk menduduki kerusi ahli Jawatankuasa dalam JPP. Adakalanya mereka akan dipilih sebagai Presiden atau Timbalan Presiden atau jawatan lain dalam JPP. Jika tidak mereka akan dilantik mempengerusikan biro-biro tertentu seperti komunikasi masa atau sukan. Pembentukan JPP ini adalah wadah untuk membentuk pemimpin negara akan datang dan juga perantara antara mahasiswa dan pentadbiran IPTA atau IPTS. Itulah yang diamalkan selama ini.
Oleh itu, keributan di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang banyak dilaporkan dalam news portal, Malaysiakini perlu diatasi segera tanpa tindakan menuding jari ke arah mana-mana pihak. MPP yang mewakili pelajar UPM perlu memainkan peranan utama dalam meredakan keadaan agar ia tidak menjadi lebih buruk sehinggakan menganggu fikiran mahasiswa lain terutamanya mereka yang tidak terbabit atau tidak mahu membabitkan diri. Adakalanya kita menganggap kita bebas berbuat apa saja di mana saja, sedangkan ketika itu sebagai pelajar kita perlu menumpukan perhatian untuk mendapat ijazah, sarjana dan doktor falsafah. Apabila keluar kampus nanti bolehlah bergiat dalam apa bentuk sekalipun termasuk menjadi pemimpin pembangkang. Janganlah bergaduh dan membuat sesuatu yang anda akan menyesal kemudian hari. Ingatlah belajarlah bersungguh-sungguh dan jangan ikut perasaan.
Ketika di ITM, pelajar Kajian Sebaran Am yang tidak bersetuju dengan arahan pemakaian jeans dan kemeja-t setiap masa meminta untuk menemui pengarah ketika itu, Pok Nik Rashid. Beliau berani menemui kami. Itulah anak jantan. Dalam pertemuan itu kami menyuarakan pandangan kepada Pok Nik (semoga Allah SWT menempatkan rohnya bersama-sama orang soleh. Al-fatihah) akhirnya menerima beberapa permintaan kami. Tidaklah kecoh dan buat heboh ke seluruh dunia. Pok Nik adalah pemimpin yang handal.
Dalam pada itu, insiden mengambil barang-barang pelajar tertentu perlulah dilihat lebih rasional dan bukan secara emosional. Pengambilan barangan pelajar bukanlah satu perkara biasa dan dilakukan setiap hari. Sudah tentu ada rasionalnya. Oleh itu, sesiapa saja yang terbabit dalam pengambilan barang-barang pelajar perlu menjelaskan kepada pihak tertentu seperti MPP bagi mengelakkan "mangsa" membuat kecoh termasuk melaporkan kepada media tempatan termasuk media baru. Apatah lagi kini dihebohkan dalam media baru. Sudah tentu insiden seperti ini amat menarik untuk diperhatikan semua pihak apatah lagi digunakan untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pentadbir IPTA.
Pihak pentadbir IPTA perlu menerangkan kedudukan sebenar tindakan pihak keselamatan mereka agar sebarang prasangka tidak wujud dan mengerohkan lagi keadaan. Jangan biarkan ia menjadi titik permulaan barah menentang pentadbir. Jika pelajar itu berbahaya (dengan bukti kukuh) dan boleh mengancam keselamatan orang lain, buangkan saja tanpa berdolak-dalih. Ini penting untuk ketenteraman mahasiswa lain. Pentingkan majoriti tetapi hormatilah hak individu. Jika dia tidak bersalah dan mengikut segala peraturan sepanjang masa, berilah balik barang-barangnya. Elakkan prasangka dan jangan degil. Jangan gaduh dan jangan kecoh.
Tuesday, September 18, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Mengapa perlu kerajaan dan parti pemerintah "insecure" dengan pandangan "non conformist", malah condongan kiri pelajar Universiti?
Di usia demikian, jiwa memberontak sudah jadi fitrah manusia. Apabila mereka mula bekerja, memegang tanggungjawab dan terdedah pada segala yang real, mereka akan kembali kepada mainstream thinking akhirnya.
Daripada pelajar di paksa, lawan dan ugut yang hanya menjadikan mereka memberontak dan terus memberontak sepanjang hayat, bukankah baik dilakukan cara-cara yang lebih positif, lembut dan sopan dengan cara berdialog, penerangan dan terbuka.
Kalau pihak kerajaan dan parti pemerintah yakin cara mereka itu yang betul, bukankah jiwa dan keyakinan mereka yang hendak di pujuk bukannya memaksa badannya saja?
Dalam zaman sekarang yang serba terbuka dan accessible maklumat, cara kasar dan menahan2 tidak akan efektif.
Post a Comment