Tiada hadiah yang lebih istimewa bagi penduduk di Pengkalan Balak dan kampung-kampung sekitarnya untuk menyambut kemerdekaan negara yang ke 50 pada tahun ini, selain kejayaan menyelesaikan masalah pencemaran babi di situ. Masalah pencemaran inilah yang menghantui mereka lebih 50 tahun lalu. Pelbagai janji politik diberikan dan mereka tetap bersabar seperti seorang pengikut yang setia.
Kini mereka bukan saja menghadapi masalah bau busuk tetapi pencemaran teruk akibat tindakan penternak membela babi melebihi had yang dibenarkan. Penternak sudah diberikan ingatan dan amaran sejak beberapa tahun lalu. Kawal bilangan. Kawal pencemaran. Ingatan bukan sebulan lalu. Tidak ambil kisah seolah-olah tiada undang-undang yang boleh menyekat. Akibat itu, pencemaran teruk berlaku di kampung berdekatan termasuklah di kawasan pantai dan laut Pengkalan Balak yang menjejaskan ramai pengusaha chalet. Ini boleh disahkan oleh rakan saya, Datuk Nordin.
Bagi orang lain yang tidak tahu, tidak payahlah hendak berlagak seperti jaguh atau pejuang. Tidak payahlah membuat pelbagai tuduhan terhadap kerajaan negeri. Janganlah kata penternak akan rugi dan tanyalah diri mereka bagaimana penduduk selama ini berada dalam "kerugian" termasuk juga pengusaha chalet. Jangan menuduh mengikut sedap mulut. Janganlah jadi pembangkang yang muncul membela penternak seolah-olah mereka ditindas kerajaan negeri padahal ia membabitkan isu pencemaran.
Fahamilah isu dulu sebelum ingin membuat pembelaan atau memperjuangkan nasib penternak babi di situ. Ini termasuk seorang penulis yang menulis berita membawa tajuk Kerajaan Musnahkan Kandang Babi. Ada niat yang kurang baik. Janganlah cuba mengeksploitasikan isu itu dan menjadikannya seolah-olah seperti isu penindasan kerajaan. Ini bukan isu perkauman tetapi isu kesihatan dan pencemaran alam sekitar. Fahamilah.
Saya layak memperkatakan isu berkenaan kerana kampung saya berdekatan dengan Pengkalan Balak. Sejak kecil lagi, saya turut menghadapi masalah bau kandang babi apabila mengunjungi saudara mara di Pengkalan Balak. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Ini bukan isu babi, kuda, lembu, kambing, gajah, ayam atau haiwan lain. Ini isu kebersihan dan kesihatan. Itulah yang dialami oleh penduduk di situ yang sentiasa memendam rasa tetapi tetap berdiam diri dan menyokong segala arahan kerajaan. Mereka ini, ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak. Namun, disitulah tanah tumpah darah mereka. Tanah datuk nenek mereka, yang tidak akan ditinggalkan.
Laporan Malaysiakini petang ini yang menyebut anggota Polis yang berada di Kampung Baru Paya Mengkuang, Melaka sudah berundur pada jam 4.05 petang tadi menyebabkan penternak babi dikatakan berasa lega. Anggota Polis dan pihak berkuasa berada sejak pagi tadi di kampung itu menunggu arahan untuk menguatkuasakan peraturan alam sekitar di situ. Mereka menunggu dengan sabar dan bertanggungjawab. Adalah dilaporkan tindakan berundur pihak berkuasa itu dibuat hasil rundingan dua jam antara kepemimpinan MCA negeri dengan pihak berkuasa negeri di mana penternak bersetuju memindahkan secara sukarela babi ke Johor dan Selangor dalam beberapa hari.
Saya berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa sebarang masalah. Setiap pihak perlu melihat isu ini sebagai isu kesihatan dan pencemaran alam sekitar serta tidak mempolitikkannya menjadi isu perkauman. Penternak membela babi lebih daripada jumlah yang ditetapkan dan juga mencemarkan alam sekitar. Ini bukan isu Melayu lawan kaum lain tetapi isu pihak berkuasa ingin menguatkuasakan undang-undang terhadap golongan yang mencemarkan alam sekitar. Seperti juga kapal yang membuang minyak di laut. Tindakan perlu diambil untuk kepentingan semua, tidak kira bangsa.
Tuesday, September 4, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment