Seorang teman menelefon saya malam tadi untuk bersembang mengenai Laporan Audit Negara 2006 yang banyak disiarkan dalam akhbar hari ini termasuk news portal, Malaysiakini. "Garang nampaknya Ketua Audit Negara. Semua orang disemburnya. Kalau pilihan raya dalam masa terdekat, susah juga kerajaan hendak menjawab satu persatu." katanya. "Itu kerja dia. Yang perlu ditegur, kenalah tegur. Zaman sekarang tidak boleh sorok-sorok. Berani kerana benar," jawab saya. Beliau terus menyoal, "Tetapi..akhirnya apa akan jadi? Kena ke orang yang buat salah?. "Kita lihatlah nanti, siapa yang kena. Yang salah, tetap salah. ," kata saya.
Sejak dulu lagi, Laporan Audit Negara ini amat popular dan dijadikan peluru oleh pelbagai pihak termasuk NGO dan pembangkang untuk "menembak" kerajaan. Pembangkang mempopularkan maklumat dalam laporan itu dengan mengetengahkannya dalam setiap ceramah. Kini, media juga mengambil bahagian untuk mengutarakannya dengan secara meluas. Baguslah tu.
Maklumat dalam Laporan Audit Negara amat berguna untuk memperincikan prestasi semua agensi kerajaan dan kementerian. Teguran Ketua Audit Negara itu perlu diterima, ditelan, diteliti, dihayati dan diperbaiki oleh semua pihak terutama mereka yang terbabit. Jika kos yang menjadi teguran, pastikan kos itu tidak tinggi tahun depan. Jika kualiti yang ditegur, pastikan kualiti itu baik pada tahun depan. Jika ada salahlaku atau penyelewengan, pastikan mereka yang terbabit dihadapkan ke muka pengadilan. Tiada kompromi dan pilih kasih. Menteripun perlu dipanggil.
Sehubungan itu, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz, semalam yang menyatakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menyiasat semua dakwaan salah urus dana awam yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara 2006, amat dialukan. Ada cahaya dihujung terowong. Ada harapan prestasi akan ditingkatkan. Perdana Menteri, katanya, meminta semua kementerian memandang serius laporan itu dan memperbetulkan sebarang salah laku. Ia langkah tepat bagi BPR mula menyiasat kes-kes yang didedahkan dalam laporan itu.
Laporan Ketua Audit Negara adalah dokumen rasmi dan BPR tidak perlu menunggu aduan sebelum memulakan siasatan. Laporan yang dikeluarkan Jumaat lalu mendedahkan aktiviti kementerian dan jabatan Kerajaan Persekutuan membeli barangan dan peralatan yang harganya berlipat kali ganda daripada harga pasaran. Laporan itu menyentuh sebuah kes di mana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah membayar RM224 bagi sebuah set pemutar skru berbanding harga pasaran cuma RM32. Ketua Setiausaha KBS juga menandatangani 11 kontrak bagi pihak kerajaan bernilai antara RM7.99 juta dan RM74.2 juta berhubung projek Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN). Kes-kes yang didedahkan dalam laporan itu termasuk badan bukan kerajaan yang tidak layak menerima bantuan dana dari kerajaan dan pembaziran wang dalam pembelian helikopter yang tidak boleh dipakai.
Kesimpulannya, rakyat segenap lapisan sudah pasti mahu tahu apakah kesudahan daripada teguran Ketua Audit Negara. Apakah hasilnya daripada teguran itu? Diperbaiki atau terus berlaku? Mereka ingin tahu adakah mereka yang bersalah akan dikenakan tindakan. Tidak dibiarkan dan dilepaskan. Mereka ingin tahu apakah perkara yang sama akan berulang lagi setiap tahun walaupun perkara itu pernah ditegur sebelum ini. Tuding menuding memang sedap. Tetapi yang penting, kesalahan tidak boleh berlaku lagi. Wang rakyat perlu dijaga dengan baik. Jangan berlaku penipuan. Jangan berlaku penyelewengan. Janganlah "boreh" (beras) habis, hasilnya tiada.
Wednesday, September 12, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment