Sunday, September 9, 2007

JANGAN MERUSUH, TIADA UNTUNGNYA

Saya tidak pernah takut dengan polis, tetapi menghormati mereka. Ini yang saya pegang sejak dari kecil lagi. Jika anda bersalah dan berhadapan dengan polis berhujahlah dengan sopan, anda akan dilepaskan. Tidak payah membayar wang atau menghulur duit. Saya belum pernah, orang lain saya tidak tahu. Jawablah dengan sopan dan panggil mereka cikgu atau tok, mereka akan membiarkan kita pergi, tanpa disaman atau dikenakan tindakan. Banyak kejadian dengan polis terutama "melanggar" lampu merah atau lebih had laju kerana hendak cepat, pasukan polis lepaskan. Ini kerana saya memberitahu mereka dengan sopan dan seterusnya meminta maaf. Tidak payah bergaduh dengan polis jika kita sudah membuat kesalahan. Tidak usahlah memusuhi mereka.

Oleh itu, kejadian tidak diingini di Terengganu semalam amat menyedihkan terutamanya rakyat yang sukakan keamanan dan keharmonian. Tidak seharusnya berlaku. Seperti juga tulisan saya mengenai kejadian di Melaka tempoh hari. Tidak payah sebut lagi kerana ramai sudah mengulasnya terutama dalam media baru. Bukan untuk menyokong mana-mana pihak, tetapi kejadian di Terengganu tidak sepatutnya berlaku. Janganlah lepas satu, satu lagi kejadian berlaku. Saya selalu mengingatkan bahawa kejadian rusuhan atau demonstrasi ini tidak baik. Tiada siapa yang untung kalau kita bergaduh. Apatah lagi membabitkan kecederaan dan maut. Yang akan menang ialah golongan yang menangguk di air keroh. Marahlah saya, tetapi inilah hakikatnya.

Golongan pertama yang akan menggunakan berita, gambar atau visual kejadian rusuhan itu ialah media antarabangsa yang sentiasa menunggu untuk mengambil kesempatan ini. Tun Dr Mahathir Mohamad selalu mengingatkan kita bahawa media barat ini akan menceritakan keburukan negara kita untuk tujuan yang hanya mereka saja yang tahu. Golongan lain ialah mereka yang ingin mencari peluang untuk "membelasah" pasukan polis yang sanggup menggadaikan nyawa semata-mata untuk menjaga keselamatan negara. Tontonlah televisyen dan anda akan menyaksikan polislah yang terpaksa mengangkat mayat dan memeriksa tempat pembunuhan yang penuh dengan darah atau berbau busuk. Seorang teman wanita yang bersuamikan polis menceritakan bahawa setiap kali suaminya balik daripada tempat pembunuhan, tempat pertama yang ditujuinya ialah bilik mandi. Suaminya akan mandi dan membersihkan badan sebelum keluar untuk minum atau makan. Adakalanya suaminya tidak lalu makan kerana tempat kejadian yang amat meloyakan atau penuh dengan darah dan daging berkecai. Jauhkanlah.

Dalam laporan Malaysiakini disebut ada tembakan menggunakan peluru hidup terhadap orang ramai dalam rusuhan semalam. Ini adalah dakwaan daripada beberapa saksi yang turut juga dilaporkan oleh Harakah. Tetapi bagi polis, yang diberitahu dalam sidang akhbar, mereka berbuat demikian untuk mempertahankan diri daripada serangan perusuh. Mengapa peluru hidup? Saya rasa yang melepaskannya sudah pasti dalam keadaan terdesak dan bukan main suka-suka untuk melepaskannya. Akibat tembakan peluru hidup, pelbagai tuduhan dilemparkan dan pembangkang berpendapat tindakan itu tidak seharusnya berlaku. Malah, ada pula slogan dikaitkan dengan tembakan itu iaitu "menembak demokrasi" negara ini. Betul ke?

Apapun, rakyat negara ini walaupun di tahap mana sekalipun kemarahan kita, jagalah kesabaran agar kita tidak terlanjur. Dalam keseronokan kita menentang polis atau membaling batu atau bom api, ada kemungkinan ia akan membabitkan nyawa orang yang tidak berdosa. Yang paling menyedihkan lagi mangsa itu adalah saudara mara, kenalan atau sahabat taulan kita. Ingatlah sebelum menyesal. Tiada untungnya bergaduh sehingga menyebabkan kecederaan parah atau maut. Ada cara lain untuk menyelesaikan sesuatu perkara, bukannya merusuh dan membuat kacau. Percaya dan yakinlah.

No comments: