Osman Ismail, seorang penjual kereta terpakai dari Kampung Nibong dekat Kuala Terengganu mungkin tidak dikenali sebelum ini. Terima kasih kepada Malaysiakini kerana mempopularkannya. Dalam artikel Malaysiakini hari ini, Osman yang menjadi saksi kejadian rusuhan di Pantai Batu Buruk dan Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu malam Sabtu lalu, mendakwa seorang anggota polis melepaskan empat atau lima das tembakan rambang ketika lari dari kumpulan beberapa pemuda selepas berlaku satu pertengkaran. Ini pasti satu maklumat baru. Maklumat lain daripada yang kita baca dan dengar selama ini.
Osman, 49, mendakwa beliau melihat sendiri anggota polis melepaskan tembakan itu sambil berlari. Katanya, beliau berada hanya beberapa meter dari tempat kejadian dan dapat melihat dengan jelas bagaimana ia berlaku. "Pada mulanya berlaku pertengkaran antara anggota polis terbabit dengan tiga atau empat lelaki. Seorang lelaki memegang sebatang kayu kecil dan mengacu untuk memukul anggota polis tersebut. "Seorang daripada mereka telah menumbuk anggota polis tetapi tidak rebah dan ketika itu beliau melepaskan tembakan rambang sambil berlari ke arah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tidak jauh dari situ," katanya kepada Malaysiakini semalam.
"Saya yang takut terkena peluru sesat, bergerak ke arah lain dan ketika mendengar laungan 'mati'. "Kejadian tersebut berlaku hampir jam 12 tengah malam dekat hotel Permai Park Inn. Saya tengok kejadian itu sampai selesai," katanya. Tujuh orang tercedera dalam insiden itu, termasuk empat anggota polis dan dua ahli PAS yang terkena tembakan seorang anggota polis. Osman juga menolak dakwaan anggota polis terbabit rebah atau terjatuh kerana ditolak oleh perusuh seperti yang dilaporkan media massa. "Bohong jika orang kata anggota polis itu rebah," katanya. Bagaimanapun, Osman berkata, dia tidak nampak orang kena tembak kerana cuaca gelap tetapi terdengar laungan `mati.' Menurutnya, beliau juga tidak mendengar pemuda berkenaan cuba membuat provokasi kepada anggota polis terbabit. "Sebaliknya anggota polis itu yang memprovokasi pemuda berkenaan," katanya.
Osman mendakwa, beliau nampak anggota FRU yang berang bertindak memecah cermin kereta dan motosikal yang diletakkan di tepi jalan. Beliau juga berkata ternampak trak FRU terlanggar pasu bunga di Jalan Sultan Mahmud ketika mengundurkan kenderaan secara membuta tuli. Osman mendakwa, ada anggota polis yang membaling batu ke arah orang ramai semasa rusuhan itu berlaku. Ditanya mengapa beliau tidak membuat laporan polis mengenai kejadian itu, Osman berkata, tidak berbuat kerana bimbang ditangkap polis. "Tetapi saya sanggup menjadi saksi, jika polis tidak menangkap saya," katanya.
Bagi saya, Osman tidak perlulah takut untuk menjadi saksi kepada kejadian itu. Eloklah beliau pergi membuat laporan Polis jika apa yang dikatakannya benar. Berani kerana benar. Ini penting untuk membolehkan polis melakukan siasatan segera. Mengapa takut ditangkap? Jika kita tidak membuat salah, mengapa pula polis hendak menangkap kita.
Osman perlu tahu bahawa bermula daripada berita beliau disiarkan dalam news portal itu, beliau kini sudah diperhatikan oleh semua pihak. Ramai bloggers yang menyiarkan berita ini untuk pengetahuan orang ramai di negara ini. Oleh itu, tidak perlulah risau jika ditangkap. Tidaklah perlulah bimbang untuk ditahan. Jadilah saksi dan ceritakan segalanya. Rakyat negara ini juga ingin tahu apa yang berlaku. Kini ramai yang membuat ramalan, membuat tuduhan rambang, membuat telahan atau agak-agak saja terhadap kejadian itu. Tidak tahu, kata tak tahu. Jangan main tuduh dan hentam keromo saja. Tidak sihat untuk negara.
Saturday, September 15, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment