Bukan sukar untuk memahami mengapa Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menjawab bagi pihak Ketua Hakim Negara berhubung kekecohan perbualan telefon Datuk VK Lingam dalam satu video. Pertama ialah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap badan kehakiman negara, beliau perlu menjelaskan keadaan sebenarnya. Penjelasan beliau itu sedikit sebanyak sudah pasti meredakan keadaan terutama keyakinan orang ramai.
Kedua ialah orang politik perlu menjawab tuduhan daripada orang politik. Dakwaan itu dikemukakan oleh orang kuat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang akhbar mengenai apa yang didakwanya membabitkan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim (TAFSAH). Tanpa menyebut sumbernya, DSAI yakin yang disebelah "hujung sana" bercakap dengan VK Lingam ialah TAFSAH. Bagaimana untuk membuktikannya? Hanya VK Lingam atau sumber yang memberikan video itu kepada DSAI yang akan dapat mengesahkannya.
Kini, TAFSAH menafikan yang beliau adalah "orang kedua" dalam perbualan di video itu dan terpulanglah kepada DSAI untuk membuktikannya semula mengenai dakwaannya itu. Jika tidak orang ramai pula yang kurang yakin dengan DSAI. Kita tunggu saja apakah perkembangan selanjutnya.
Berita Malaysiakini yang memetik laporan Bernama menyebut Ketua Hakim Negara menafikan yang beliau adalah orang yang berbual melalui telefon dengan peguam terkemuka, Datuk VK Lingam untuk mengatur pelantikan hakim-hakim. Ini dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz malam tadi, yang menyatakan Ahmad Fairuz telah menghubunginya untuk membuat penafian itu.
Nazri bagaimanapun tidak menyatakan bila Ahmad Fairuz menghubunginya untuk membuat penafian itu. "Hakim itu telah menghubungi saya dan beliau menafikan dia yang berbual dalam rakaman itu," katanya selepas majlis penyerahan zakat dan berbuka puasa di Masjid Taman Kuala Kangsar malam tadi.
Ahmad Fairuz sebelum ini memberitahu malaysiakini bahawa beliau tiada sebarang komen mengenai perkara tersebut.
Nazri yang memegang potfolio undang-undang berkata perkara utama berhubung isu itu pada peringkat ini ialah siasatan bagi membuktikan kesahihan klip video berkenaan. "(berdasarkan klip video) kita hanya lihat seorang sahaja yang bercakap...siapa di sebelah sana kita tidak tahu dan dia (hakim yang didakwa berbual dengan peguam itu) telah menafikan," katanya.
Siasatan sedang dijalankan bagi membuktikan kesahihan rakaman itu terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan boleh diambil, katanya. Polis telah memulakan siasatan untuk menentukan ketulenan klip video tersebut yang dirakamkan pada tahun 2002, sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Mohamed Nazri turut mempertikaikan niat pihak yang membuat pendedahan rakaman video berkenaan kerana mendedahkannya kepada media terlebih dahulu sebelum menyerahkan kepada polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menyiasat. "Kalau hendak tegak keadilan atau mahu membersihkan badan kehakiman, siasatan boleh dibuat oleh BPR dan polis. Kenapa kepada media?... Boleh dipertikai niatnya, kerana politik atau mahu badan kehakiman bersih," katanya.
Beliau juga memberi amaran bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang mengambil tindakan yang boleh menghakiskan keyakinan masyarakat terhadap badan kehakiman. Klip video tersebut menunjukkan Lingam membincangkan pelantikan Ahmad Fairuz sebagai presiden Mahkamah Rayuan dan kemudiannya dilantik sebagai Ketua Hakim Negara serta pelantikan beberapa hakim lain. Walaupun hanya Lingam dapat dilihat bercakap dalam klip video tersebut, bagaimanapun kontek perbualan tersebut membayangkan orang yang bercakap dengan peguam itu adalah Ahmad Fairuz.
Semoga kes ini segera diselesaikan agar rakyat yakin dengan badan kehakiman negara. Jagalah perasaan hakim-hakim lain di negara ini. Jika perlu tuan punya badan membuat penafian, mungkin lebih elok untuk menjelaskan keadaan sebenar. Jika tidak mahu, mungkin orang ramai akan mempercayai segala dakwaan yang dibuat oleh PKR. Selesaikanlah segera.
Monday, September 24, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Senang aje.
Benda ini belaku 5 tahun lepas.
Masih boleh dapat rekod dari company telefon.Tengok nombor telefon kedua-dua orang ni dan matchkan tarikh dan waktu.
Senangkan.Apa susah-susah.
Post a Comment