Monday, April 28, 2008

TERUS BERJUANG UNTUK RAKYAT

Mesyuarat pertama penggal pertama PARLIMEN KE 12 bermula hari ini selepas PRU12 diadakan pada 8 Mac lalu.

Seramai 222 Ahli Parlimen yang dipilih akan mengangkat sumpah. Speaker Dewan Rakyat yang baru, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, dijadualkan mengangkat sumpah jawatan terlebih dahulu.

Sidang Parlimen kali ini mencatatkan pelbagai sejarah. Ia membabitkan muka baru, jumlah pembangkang dan ketua pembangkang wanita. Namun yang penting ialah kita mahu melihat aksi dan perangai 99 Ahli Parlimen muka baru dan perdebatan antara MP BN dan Pembangkang. MP pembangkang kini bertambah empat kali ganda iaitu 82 orang.

Dengan bilangan MP BN dan pembangkang yang tidak berapa jauh bezanya (perbezaan 30 orang) sudah pasti sidang kali ini lebih hangat dan menarik. Apatah lagi ramai MP kali ini terdiri daripada pembahas dan orator yang baik daripada BN atau pembangkang. Mereka juga mahu melihat bagaimana aksi anak muda seperti Nurul Izzah dan Khairy Jamaluddin yang mewakili dua keluarga "popular" di negara ini.

Sejajar harapan tinggi rakyat, kita amat berharap Ahli Parlimen bersidang secara profesional demi kepentingan orang ramai tanpa mengira kaum dan keturunan. Ini bererti mereka perlu berhujjah dengan baik, bernas, telus dan tidak berdebat dengan perkara-perkara remeh atau peribadi. Tidak payahlah masuk Parlimen untuk membuat lawak jenaka atau menunjukkan "kebodohan" atau bersikap bodoh sombong (boso).

Rakyat juga sudah tentu tidak mahu melihat Parlimen berlangsung seperti sarkas di mana MP bertindak seperti harimau, gajah, beruang atau monyet terlatih untuk menghiburkan penonton.

Hormatilah Parlimen dan hormatilah rakyat.

Rakyat pasti tidak mahu mereka dihiburkan di Parlimen tetapi mahu MP bertindak cemerlang untuk memperjuangkan nasib mereka yang semakin mencabar dari hari ke hari termasuk kenaikan harga barang keperluan dan isu membabitkan prestasi agensi perkhidmatan kerajaan, ada antaranya yang masih banyak perlu diperbaiki.

Bagi golongan ahli perniagaan, mereka juga mahu pembangkang menyuarakan pandangan mereka agar kerajaan sentiasa mewujudkan suasana perniagaan yang baik, sentiasa berkembang dan mengagihkan kekayaan negara kepada semua. Sudah tentu mereka tidak mahu ditinggalkan semata-mata kerana mereka tidak ada nama, tiada jaringan atau networking dengan pemimpin kerajaan atau peneraju GLC.

Zaman pemimpin kerajaan untuk menulis "sila pertimbangkan" di borang permohonan sudah berlalu tetapi perlu digantikan dengan sistem merit dalam memilih mereka yang layak untuk mendapat projek. Apa gunanya tulisan "sila pertimbangkan" atau "disokong" untuk membantu ahli perniagaan yang bukan saja tidak layak tetapi boleh mencemarkan nama agensi kerajaan atau GLC apabila kontrak itu diberikan kepada mereka. Jika untuk membalas budi buatlah secara yang lebih terhormat.

Bayangkan mereka yang lemah atau tidak berkelayakan mendapat kontrak kerajaan dan apabila projek itu siap, ia tidak sempurna dan mendatangkan malapetaka.

Ketika itu, pemimpin kerajaan terpaksa pula meminta maaf dengan kesalahan kontraktor tidak layak, "orang kita" atau "orang saya". Janganlah marah jika rakyat memberikan undi kepada pihak pembangkang pada PRU atau PR Kecil semata-mata kerana masih ada pemimpin yang buta mata, buta hati atau sudah ketinggalan zaman dengan mengamalkan budaya yang tidak sihat dan meloyakan.

Untuk sekian kalinya, pemimpin sebegini, berubahlah untuk kebaikan.

Berubahlah untuk kepentingan rakyat.

Selamat bersidang semua Ahli Parlimen Malaysia.

Sebagai blogger, saya akan bersidang di alam maya.

Di lain lembaran, saya juga akan berbahas dan berhujjah mengenai prestasi anda semua.

2 comments:

Anonymous said...

salam sejahtera,

tok rimau,kalau mereka tak berubah juga macam mana?

ibrahim yahaya said...

Sdr Awang,

Jika mereka tidak mahu berubah, jangan salahkan ibu mengandung.

Bagi sesetengah pihak di negara ini, perkataan-perkataan seperti globalisasi, transperasi atau telus, hak asasi atau demokrasi adalah mainan Barat. Oleh itu, kata mereka, masyarakat jangan terikut-ikut atau terpedaya.

Namun, jangan lupa pula dengan amalan kita sejak dulu lagi. Berfikiran jauh, tulus dan terus-terang, amanah, adil saksama atau jujur perlu ada dalam diri kita. Jadilah manusia budiman.

Janganlah ada lagi sifat mementingkan diri sendiri, hendak menipu orang, pencuri, tidak amanah, bongkak atau sombong, jika kita mahu selamat sekarang dan akan datang. Pantai berubah.