Tuesday, September 25, 2007

BERTAUBAT! JANGAN SEBAR KHABAR ANGIN

Malam tadi, berbuka puasa di sebuah hotel anjuran Ambank. Jemputan oleh sahabat saya, Syed Anuar Syed Ali, Pengarah Komunikasi Massa Ambank. Sejurus selepas berbuka, beberapa orang mendapat mesej mengatakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah meninggalkan kita.

Kawan lama yang pernah berkerja dengan TDM, Datuk Zakaria Wahab segera menghubungi bodyguard TDM dan mendapati perkara itu hanyalah khabar-khabar angin. Apa ni? Siapa punya kerja? Berhentilah buat kerja yang bukan-bukan dalam bulan puasa ini. TDM stabil dan kita berdoa agar TDM segera sembuh.

Berita dalam Malaysiakini.

Keadaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Institut Jantung Negara (IJN) adalah stabil, demikian menurut kenyataan IJN malam ini.


Malah, para doktor di IJN berpuashati dengan kemajuan tahap kesihatan bekas Perdana Menteri itu selepas menjalani pembedahan membersihkan luka akibat kuman Sabtu lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, Dr Mahathir sudah sedar dan kini dalam pemantauan rapi para doktor.

"Tun Dr Mahathir kini sudah boleh menerima lawatan ahli keluarga terdekatnya," kata kenyataan itu lagi.

Petang tadi, anak lelaki Dr Mahathir - Datuk Mokhzani memberitahu malaysiakini bahawa bapanya berada dalam keadaan baik selepas menjalani pembedahan malam Sabtu lalu.

Menurutnya, beliau juga telah diberi taklimat oleh para doktor di IJN dan Dr Mahathir kini berada dalam keadaan baik dan stabil.

"Kalau ada laporan Tun berada dalam keadaan sebaliknya, itu tidak benar," katanya petang ini.

Sementara itu, Bernama memetik anak perempuan Dr Mahathir, Datin Paduka Marina sebagai berkata, bekas Perdana Menteri itu perlu mengikuti semula rawatan pemulihan setelah menjalani pembedahan membersihkan luka tersebut.

Katanya, Dr Mahathir yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), berada dalam keadaan stabil dan menggunakan alat sokongan rutin selepas pembedahan.

"Alhamdulillah, keadaannya memberangsangkan. Beliau sudah sedar, dapat mendengar dan memberi reaksi yang baik.

"Bagaimanapun, beliau perlu menjalani rawatan pemulihan semula seperti selepas pembedahan terdahulu (4 Sept)," katanya kepada pemberita di IJN.

Marina berkata buat masa ini, Dr Mahathir akan menjalani rawatan yang diberikan dan akan dibenarkan pulang sebaik keadaannya pulih seperti biasa.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamad, Timbalan Menteri Kewangan Kedua Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Anuar Musa turut meluangkan masa selama 30 minit melawat Dr Mahathir hari ini.

Dr Mahathir, 81, pertama kali menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 24 Januari 1999.

1 comment:

Anonymous said...

KHABAR ANGIN PASAL NURIN, KHABAR ANGIN PASAL TUN, NTAH APE APE LAGI SELEPAS INI. BUKALAH MATA TU MALAYSIAN...