Sunday, September 16, 2007

MUSANG HITAM DI CHINA


(Gambar oleh ShamSharin)

Tun Musa Hitam,(gambar) adalah pemimpin negara yang saya ketahui sejak di bangku sekolah lagi. Ketika belajar mata pelajaran ekonomi di Tingkatan Enam, guru ekonomi saya, Mahinder Singh (pemain tenis yang baik) memuji kehebatan TMH kerana kebijaksanaannya dalam menerajui Kementerian Perusahaan Utama. Baginya, TMH adalah pemimpin yang berwibawa dan ramai pihak yang mengelarnya "Musang Hitam". Bijaksana dan bijaksini dalam memperkenal dan mempertahankan mutu keluaran negara ke persada antarabangsa.

Dalam politik, TMH adalah pemimpin yang kontroversi dengan pelbagai gelaran dan nama diberikan kepadanya. Dua insiden iaitu perletakan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan bertanding Timbalan Presiden UMNO menentang Tun Ghafar Baba akan dikenangi oleh ahli UMNO sehingga akhir hayat. Namun beliau terus menabur bakti dengan kerajaan selagi diperlukan. Tidak menentang kerajaan tetapi sekali-sekala menegur dengan bersopan-santun.

Kini, sebagai penasihat Wilayah Pembangunan Iskandar, TMH juga dilabelkan sebagai antara pemimpin yang ingin menjual negara kepada orang lain. Kenyataannya mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) mengundang kritikan daripada pelbagai pihak. Baginya usahawan Melayu sudah mampu bersaing dengan usahawan lain dan tidak perlu diberikan tongkat. Namun, kritikan, cemuhan dan pelbagai gelaran yang diberikan tidak memperlahankan aktiviti TMH. Itulah sifatnya dari dulu lagi. Yang penting beliau sentiasa memberikan khidmatnya kepada bangsa dan negara. Adakalanya sebagai duta PM dan penasihat. Kebijaksanaan dan kepintarannya digunakan sebaik mungkin.

Kini, gandingan TMH dengan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman (calon menjaga perbendaharaan kerana latarbelakangnya sebagai pandai ekonomi) adalah satu rahmat untuk membangunkan WPI. Walaupun banyak diperkatakan mengenai pembangunan wilayah itu terutama digambarkan WPI seolah-olah usaha menjual negara kepada orang luar terutama Singapura, regu ini meneruskan usaha mereka untuk "menjual negara". Mereka dibantu oleh Datuk Ikmal Hijjaz Hashim yang berpengalaman sebagai pengarah urusan berwibawa terutamanya ketika menerajui Plus dan Pos Malaysia Berhad. Kali ini, mereka "menjual WPI" ke China iaitu di Xinjiang.

Tulisan Tham Choy Lin (Bernama) yang dipetik oleh Malaysiakini menyebut TMH, MB Johor serta pegawai kerajaan negeri dan swasta mengadakan lawatan ke Xinjiang untuk menjual WPI. Menteri Besar yakin sinergi dalam pelbagaian multi-etnik, latarbelakang Islam dan halal boleh mendatangkan kerjasama ekonomi yang mantap.

Johor dan Xinjiang adalah pengeluar pertanian dan boleh bekerjasama dalam pembikinan tekstil dan perabot untuk dijual ke pasaran dunia. Batu Pahat dan Muar adalah pengeluar tekstil dan perabot terbesar di negara ini. Xinjiang ialah pengeluar terbesar minyak lavender, anggur manis dan buah-buahaan. Johor pula pengeluar utama sayur-sayuran segar, ternakan, telur dan buah-buahan.

Kedua-dua wilayah boleh memanfaatkan kelebihan mereka. Jangan berhenti dan buktikan bahawa WPI adalah satu projek pembangunan mega yang baik. Bayangkan apa akan berlaku jika WPI itu dibatalkan (seperti yang dikehendaki oleh ramai pihak) setelah jutaan ringgit dibelanjakan. Apapun selamat berjaya dalam usaha "menjual WPI" kepada pelabur asing. Rakyat akan membuka mata dengan kejayaan dan kegagalan (minta dijauhkan) WPI, sebuah projek pembangunan wilayah. Selamat Maju Jaya.

1 comment:

PUTRAGABAN said...

Hang lagi handsome dari Musa Hitam.