Friday, September 28, 2007

SIASATLAH DULU, BARULAH TAHU

Ada beberapa pendekatan untuk menggambarkan perasaan marah, geram dan tidak puas hati terhadap sesuatu perkara. Pendekatan itu bermatlamat untuk memastikan "rasa tidak puas hati" itu diberikan perhatian. Setidak-tidaknya berjaya menarik perhatian orang lain bersimpati atau menyokong mereka yang tidak berpuas hati itu. Adakala menjadi, ada juga yang berkubur begitu saja.

Bagi kesatuan sekerja mereka menganjurkan mogok atau melancarkan pemulauan di kalangan ahli-ahlinya untuk menyuarakan perasaan tidak puas hati itu. Jika pekerja mogok, sudah tentulah akan menganggu dan mengharu-birukan sesuatu perkhidmatan itu seperti keretapi atau teksi. Bagi pejuang kemanusiaan, ada antara mereka yang "mogok lapar" dan sudah tentu memberi kesan kepada kesihatannya. Pihak berkuasa yang bimbang dengan keadaan kesihatan itu akan merayu agar pejuang itu makan ataupun memenuhi tuntutannya. Ada juga yang menunjukkan perasaan tidak puas hati dengan mengadakan demonstrasi atau perarakan secara aman. Matlamatnya untuk menyedarkan pihak tertentu memberi perhatian apa yang ingin disuarakan.

Sudah pasti perarakan peguam minggu ini yang banyak dilaporkan dalam Malaysiakini dan blog persendirian seperti Rocky's Bru, Jeff Ooi dan Nuraina Samad, bertujuan menyatakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap isu badan kehakiman negara. Selain meminta Suruhanjanya Diraja menyiasat kes video VK Lingam, peguam mahu satu reformasi terhadap badan kehakiman dilakukan segera. Tidak hairanlah mereka sanggup berpeluh di bawah panas matahari dan berjalan lebih daripada lima kilometer untuk sampai ke Putrajaya, setelah bas mereka ditahan oleh polis. Bagi yang berpuasa sudah pasti satu pengalaman yang memeritkan tetapi terpaksa dilakukan demi untuk melontarkan "suara" mereka. Panas, berpeluh dan hatipun puas.

Sebagai rakyat Malaysia, saya bersyukur tiada perkara yang tidak diingini berlaku dalam perarakan itu. Peguam sudah tentu bijak tidak membuat kekacauan. Saya juga menarik nafas lega kerana tiada sebarang kekacauan seperti di Batu Buruk, Terengganu tempoh hari, yang menyaksikan rusuhan dan merosakkan harta awam. Bayangkan perarakan peguam itu berakhir dengan peristiwa seperti perarakan sami di Myanmar ketika ini. Ada yang terkorban dan banyak kerosakan. Wartawan Jepun juga turut terkorban. Terbaru, Amerika Syarikat membekukan akaun luar pemimpin junta Myanmar dan Jepun membantah tindakan menggunakan kekerasan. Jika insiden yang tidak diingin berlaku, sudah tentu ia akan menimbulkan keadaan yang tidak sihat kepada negara. Akibatnya, Malaysia dilihat sebagai negara yang mengalami "kacau-bilau" seperti di Myanmar. Oleh itu, orang luar tidak perlu datang ke sini. Sudah tentu ia tidak baik kepada pelbagai industri di negara ini seperti pelancongan dan kemasukan pelaburan asing. Fikirkanlah.

Apapun, secara keseluruhannya, mata kail yang dilemparkan oleh PKR sudah mengena dengan persetujuan kerajaan menubuhkan panel bebas untuk menyiasat video berkenaan. Menunjukkan video dan mengkritik kerajaan yang dilakukan oleh PKR dalam sidang akhbar mendapat perhatian masyarakat, setidak-tidaknya golongan peguam. Mereka juga terlanjak menjatuhkan hukum terhadap mereka yang "ada dan tidak ada" dalam video itu, walaupun siasatan belum bermula. Inilah dikatakan kebebasan. Kebebasan untuk mengatakan orang lain bersalah, sebelum penyiasatan.

Walaupun ditubuhkan panel bebas tiga orang, segelintir masyarakat juga tidak bersetuju dengan langkah itu dan mendesak agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk membuat penyiasatan. Dalam ertikata lain mereka tidak berpuas hati kerana mata kail hanya mendapat ikan kembung sedangkan mereka mahukan ikan siakap sesuai dengan selera mereka. Desakan mendapatkan ikan siakap itu semakin rancak dengan tekanan Majlis Peguam dan pemimpin pembangkang lain, yang turut bersama dalam perarakan itu.

Biarlah panel bebas itu menyiasat dulu kerana orang yang dilantik itupun terdiri daripada kumpulan mempunyai latarbelakang yang sesuai dan relevan dengan isu video berkenaan. Ini termasuk bekas pemimpin DAP, aktivis masyarakat dan ahli Panel Penasihat Perpaduan, Tan Sri Lee Lam Thye. Yang penting untuk membuktikan apakah dakwaan itu benar atau sebaliknya. Sabar dan tunggu.

1 comment:

nik nazmi said...

Masalahnya, berapa banyak laporan yang diberikan kepada pihak berkuasa tidak mendapat perhatian. Tengok kes Altantuya, perbicaraan porak peranda. Kalau ada melibatkan pihak berkuasa, laporan itu akan dibakulsampuhkan. Sebab itulah PKR terpaksa ambil perhatian media.