Monday, August 6, 2007

AKUJANJI UNIVERSITI SEKAT KEBEBASAN?

Kolumnis Malaysiakini, Lee Ban Chen, dalam penulisannya baru-baru ini bertajuk UUM bersikap antiintelektual menyesali tindakan Universiti Utara Malaysia (UUM) menghantar notis guaman kepada Dr Azly Rahman.

Menurut beliau, tindakan itu amat dikesali terutama ketika ada kempen mansuhkan Akujanji Universiti dilancarkan. Baginya, UUM sepatutnya menyokong atau sekurang-kurangnya bersimpati dengan hasrat murni dan tindakan berani ahli-ahli akademik dalam mempertahankan kebebasan akademik di universiti tempatan.

Kempen memansuhkan Akujanji Universiti dilancarkan baru-baru ini di bawah inisiatif dua orang yang disifatkan oleh Ban Chen sebagai intelektual tersohor dan bekas profesor di Universiti Malaya (UM), Dr Syed Husin Ali dan Dr Lim Teck Ghee.

Dalam kempen itu, suatu petisyen yang ditandatangani oleh 40 profesor/bekas profesor serta pensyarah universiti dihantar kepada kerajaan mendesak agar Akujanji Universiti dimansuhkan dan mereka yang telah dipecat kerana enggan menandatangai Akujanji terbabit, termasuk Dr Azly Rahman dan Dr Mutiara Mohamad hendaklah diambil bertugas semula.

Bagi Ban Chen, petisyen itu menyifatkan ikrar taat setia itu sebagai satu hadangan terhadap perkembangan sihat universiti, kerana ianya menghakis hak asasi kebebasan untuk berpersatuan dan bersuara yang amat penting untuk dilindungi dan diperkuatkan jika negara mahu maju ke hadapan.

Apakah dengan menandatangani akujanji menyebabkan hak asasi seseorang tenaga akademik akan terhakis? Apakah dengan mengaku taat setia kepada Yang DiPertuan Agong dan kerajaan sebagai satu hadangan terhadap perkembangan sihat universiti?

Bacalah blog [ sintokdotcom ] untuk mengetahui pergolakan mengenai isu akujanji itu dan contoh akujanji yang ditentang oleh tokoh akademik. Anda boleh membuat tafsiran sendiri mengenai penentangan terhadap akujanji ini.

No comments: