Monday, August 20, 2007

DOA AGAR TDM SEGERA SEMBUH

Saya berdoa agar mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 5.30 petang semalam, untuk pemeriksaan rutin kardium yang komprehensif, sentiasa dilindungi oleh Allah SWT. Tun pernah menjalani pembedahan pintasan arteri koronari pada 1989 dan sejak itu beliau melakukan pemeriksaan rutin berkala. Saya berdoa Tun sembuh segera untuk menjalankan kegiatan harian. Terus berbakti kepada negara.

Sebenarnya, pesakit jantung perlu sentiasa berwaspada. Mereka tidak boleh sensitif dan membuat sesuatu yang menyebabkan degupan jantung bergerak pantas. Dalam ertikata lain dengarlah nasihat doktor pakar mengenai apa yang kita tidak boleh lakukan. Dalam hal Tun, doktor pakar pernah menasihatkan beliau tidak membaca suratkhabar atau bahan bacaan lain termasuk media baru atau blog. Apakah erti semua itu? Ini bermakna ada bahan-bahan dalam suratkhabar atau media baru yang mungkin menyebabkan degupan jantung Tun semakin pantas dan boleh menimbulkan masalah.

Seorang teman yang pernah mengalami masalah sakit jantung memberitahu saya bahawa pesakit jantung perlu menjaga diri mereka dengan baik. Ada yang tidak boleh menonton wrestling, perlawanan bolasepak atau badminton. Ada juga yang tidak boleh mendengar khabar buruk atau cerita pergaduhan suami isteri atau masalah anak menantu.

Rakan saya pernah dikejarkan ke hospital kerana dituduh menjadi punca keretakan sebuah rumah tangga. Isteri kawannya menelefon beliau dan "membelasah" dengan hebatnya sehinggakan beliau sesak nafas dan terpaksa dikejarkan ke hospital untuk pembedahan. Rakan katil wadnya juga memberitahu bahawa beliau pula dikejarkan ke hospital kerana menonton wrestling di kaca televisyen.

Berwaspada dan jagalah kesihatan. Jangan biarkan perkara yang tidak penting merosakkan kehidupan anda. Jangan biarkan sel otak anda mati kerana terlalu memikirkan perkara yang remeh temeh atau tidak penting.

No comments: