Wednesday, August 29, 2007

KELUARKAN RAMBUT DALAM TEPUNG

Saya tidak pernah menggemari negara ini dikerumuni oleh pekerja luar, pendatang lebih had tempoh maupun pendatang tanpa izin (PTI). Namun, inilah yang berlaku sekarang kerana rakyat kita semakin malas dan memilih kerja mudah dan tidak membebankan. Mahu jaga standard, malas bekerja di tengah panas dan bimbang kulit terbakar.

Tidak hairanlah lebih dua juta "orang luar" berada di negara ini mengikut perangkaan pihak berkuasa dan tiga suku daripadanya dikatakan tidak mempunyai dokumen sah atau dalam ertikata lain PTI. Pelarian politik dan PTI dari Selatan Filipina, ramai di Sabah manakala di Semenanjung pula dikerumuni oleh PTI dari Indonesia, Bangladesh dan China. Di Sabah, kewujudan fizikal mereka jelas di kampung-kampung air di Pulau Gaya dan pulau sekitarnya serta bilangan yang ramai di Kota Kinabalu. Di Semenanjung pula ialah kehadiran mereka di pusat pembinaan, pusat-pusat hiburan dan rekreasi serta di ladang kelapa sawit.

Sepertimana rakyat Malaysia terutama dari Johor dan Melaka pada 1960an mengerumuni Singapura, begitu jugalah orang luar semakin tertarik dengan negara ini. Ibrarat semut menggilai gula. Punca ke Malaysia kerana bayaran gaji yang lebih tinggi daripada negara asal dan banyak pekerjaan yang menanti mereka. Dulu, ramai rakyat Malaysia bekerja di Singapura sebagai pemandu peribadi, pemandu teksi atau bekerja ditempat membaiki kapal. Rakyat negara luar pula bekerja di sini sebagai pekerja pembinaan, tukang gunting atau buruh di ladang. Ramai juga yang menjadi pembantu rumah atau bekerja di restoran. Ada yang mengambil kesempatan dengan menjadi GRO, pelacur dan penjual pelbagai jenis barang. Mereka datang dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Kemboja, Vietnam, India, Nepal, China dan dari negara-negara Afrika..

Dalam mengejar wang dan ganjaran tidak hairanlah ramai yang berlumba-lumba untuk datang ke negara ini dengan apa cara sekalipun. Dalam proses itu, ada antara mereka ditipu, ditindas malah dilayan seperti binatang. Mereka ditipu oleh ejen pencari kerja, ditindas dan dilayan buruk oleh majikan. Ada yang dihimpunkan dalam sebuah rumah kecil. Berasak-asak hampir satu dozen. Itulah hakikatnya untuk mencari secupak rezeki di negara orang. Untung sabut timbul, batu pula akan tenggelam. Kelemasan.

Jika rakyat negara ini merasakan bahawa mereka hidup susah, bayangkan apa yang dilalui oleh PTI, kehidupan mereka susah dan sentiasa ketakutan diburu oleh pihak berkuasa. Artikel Malaysiakini pada 24 Ogos lalu memaparkan penderitaan PTI di mana dikatakan ada ibu dengan anak kecil berkhemah di hutan tanpa makanan yang cukup untuk hidup. Anak kecil pula keseorangan di negara asing dan tanpa dokumen sah, mereka tidak boleh bekerja dan bersekolah. Inilah yang berlaku ketika ini, di bawah hidung kita.

Artikel itu memaparkan kegigihan seorang rakyat Malaysia, Aris Mohamad Oziar, 37 tahun, yang berusaha membantu PTI dengan menyiarkan masalah yang mereka hadapi di negara ini. Aris membuka satu laman web fiftyrefugees untuk menyiarkan penderitaan PTI kebanyakannya dari Myanmar di negara ini. Beliau mahu rakyat negara ini memahami dan membantu pelarian ini dengan cara yang sebaik mungkin kerana mereka amat memerlukan bantuan untuk terus hidup sebagai manusia biasa. Negara asal ditinggalkan demi sesuap rezeki.

Dalam pada kita tidak suka mereka masuk ke negara ini secara haram, apatah lagi melakukan jenayah, kita juga tidak boleh melayan mereka yang benar-benar ke sini untuk mencari rezeki seperti haiwan. Membenci dan menganaktirikan mereka. Bagi saya, yang melihat sendiri Pusat Tahanan Menggatal di Sabah, minggu lalu, amat insaf dan dapat merasakan penderitaan yang dialami oleh PTI, berkongsi tempat berteduh dengan pelbagai jenis orang, berkongsi bau, berkongsi tempat tidur dan bertukar-tukar cerita.

Betapa gigih dan beraninya orang luar ini untuk datang ke negara ini sama ada secara sah atau haram. Mereka sanggup menghadapi risiko tinggi terutama bagi golongan yang tidak mempunyai dokumen sah. Jika ditangkap mereka akan dihadapkan ke mahkamah. Jika bersalah, mereka akan dipenjara serta dirotan. Tidak hairanlah ada yang tidak serik dan terus datang ke negara ini. Tidak hairanlah anggota tubuh mereka dipenuhi parut akibat dirotan. Namun mereka tabah dan reda dengan kejadian itu.

Tindakan mereka yang masuk ke negara ini secara haram memanglah tidak betul tetapi menyaksikan kesusahan mereka termasuk dirotan setiap kali masuk ke negara ini menyebabkan saya menginsafi dan bersyukur tinggal di Malaysia, negara yang aman, stabil ekonomi dan politiknya. Hanya rajin dan malas saja yang membezakan tahap pencapaian individu di Malaysia. Semua pihak ada peluang, langsung atau tidak langsung. Bagi PTI, mereka sanggup menggadaikan nyawa untuk datang ke Malaysia demi diri sendiri dan keluarga. Mencari peluang memperbaiki diri.

Dalam usaha kerajaan menyelesaikan masalah PTI yang berlarutan sejak sekian lama, masalah utama yang timbul ialah kekurangan pusat tahanan. Ini diakui oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. Operasi besar-besaran untuk menangkap pendatang asing tanpa izin di negeri ini tidak dapat dilakukan kerana kekurangan pusat tahanan sementara kerana ketiga-tiga pusat di Menggatal, Kota Kinabalu; Tawau dan Sandakan, telah penuh sesak dan hanya mampu menampung kira-kira 2,000 orang pendatang. Mereka berhimpit-himpit dan berkongsi kemudahan yang tidak seberapa.

Bagaimanapun, bagi DS Musa, operasi untuk menangkap PTI akan dijalankan secara berterusan untuk memastikan warga asing yang tidak mempunyai dokumen yang sah dihantar pulang ke negara asal masing-masing. Ini juga bertujuan menghindarkan kegiatan jenayah yang dilakukan oleh PTI jika mereka tidak mempunyai pekerjaan dan tempat tinggal. Untuk itu, Kerajaan Sabah memohon kepada Kerajaan Pusat untuk membina dua buah lagi pusat tahanan sementara bagi menampung tangkapan demi tangkapan.

Perbualan saya dengan beberapa pihak di Sabah memaparkan satu lagi masalah di mana pihak Kedutaan Filipina mengambil masa panjang memproses dokumen perjalanan bagi membolehkan rakyatnya yang ditahan dihantar pulang ke negara mereka. Ia mengambil masa untuk memproses dokumen perjalanan rakyat Filipina yang ditahan kerana Filipina tidak mempunyai Konsulat di Sabah, tidak seperti Indonesia yang memberi bantuan kepada kerajaan negeri dalam penghantaran pulang rakyatnya menerusi Konsulatnya di Sabah. Isu penubuhan Konsulat Filipina itu ada kaitannya dengan tuntutan Manila.

Kesimpulannya, usaha membasmikan pembanjiran orang luar dan kemasukan PTI ini amat rumit sekali sama ada di Sabah atau Semenanjung. Usaha bersepadu perlu ada untuk menyelesaikan masalah ini secara sistematik dan berhemah. Ia mungkin membabitkan pendekatan kerohanian dan mental yang tinggi. Pendekatan kasar dan tidak berperikemanusiaan tidak akan mencapai sebarang matlamat memandang orang luar ini terus datang ke Malaysia dalam pelbagai bentuk. Bagi mereka, matlamat ke sini untuk mencari sesuap rezeki dan meningkatkan tahap kehidupan.

Membiarkan lebih ramai PTI di negara ini akan mengundang pelbagai masalah seperti jenayah, penyakit dan keruntuhan moral. Ini jelas dengan pelbagai kejadian di negara ini. Pembanterasan perlu dibuat terutama mereka yang melakukan jenayah dan kesalahan moral. Dalam pada itu, melakukan operasi besar-besaran pula akan membawa kepada masalah ketiadaan tempat tahanan sementara. Ia secara langsung memerlukan perbelanjaan yang besar. Umpamanya di Sabah, kerajaan terpaksa membelanjakan lebih RM4.50 untuk makanan setiap hari bagi seorang PTI dan belum lagi membabitkan kos pengurusan dan kemudahan asas.

Namun, yang lebih penting rakyat negara ini mengamalkan sikap berbudi bahasa dan bertoleransi terhadap "orang luar" dan tidak menganggap mereka seperti hamba atau orang suruhan. Yang lebih teruk ialah menyifatkan mereka seperti haiwan atau binatang. Layanan yang baik ketika mereka susah atau memerlukan membuat orang luar akan sentiasa mengingati kemuliaan dan kemurnian hati kita. Bantulah diri anda, bantulah kerajaan dan bersedia membantu orang luar di negara ini. Jengok-jengoklah pusat tahanan sementara untuk merasai "penderitaan" mereka. Seterusnya menghulurkan bantuan diperlukan seperti buku, kain telekong, sejadah atau bahan bacaan. Bukan untuk melayan mereka seperti raja tetapi layanlah orang luar seperti manusia biasa.

No comments: