Monday, August 6, 2007

AL-FATIHAH UNTUK HAROUN PERANCIS


(Gambar oleh Syed Hussein Al-Attas/AgendaDaily)

Saya terbaca tulisan Syed Hussein Al-Attas atau Pak Habib dalam news portal, AgendaDaily, milik Rosli Ismail, mengenai Haroun Perancis. Mengikut Pak Habib, Haroun meninggal dunia pada 6 Mei 2007. Saya sempat mengenali insan istimewa ini pada 2000 ketika beliau mempunyai pejabat di Pan Pacific Hotel dan saya berniaga di Pusat Dagangan Dunia Putra. Saya sempat mengikutinya ke Masjid Tanah untuk menikmati keindahan rumahnya di Kuala Sungai Baru. Al-Fatihah untuk Haroun Perancis.

Ikutilah sebahagian coretan Pak Habib mengenai Haroun Perancis dalam AgendaDaily.

"DENGAN nama Allah yang Amat Pemurah lagi Amat Mengasihani. Segala puji bagi Allah, selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW. Tidak ada yang kekal, setiap yang bermula pasti ada akhirnya, yang hidup akan mati, yang ditinggalkan hanya nama yang baik atau di sebaliknya. Tahun 2007 saya kehilangan dua teman seperjuangan. Negara dan bangsa kehilangan dua penulis yang tidak ada gantinya. Di mana kan ku cari ganti? Al-Fatihah.

Seandainya Haroun hidup hingga 23 Julai 2007, ini bererti Haroun akan berumur 50 tahun. Hari jadinya sama dengan hari jadi Najib Tun Razak. Najib masih menunggu kerusi Perdana Menteri. Haroun mati sebagai seorang penulis dan akan hidup satu ratus tahun lagi. Pejuang sejati akan dikenang oleh mereka yang tahu menilai besarnya sumbangan mereka pada bangsa dan negara.

Haroun telah kembali kerahmatullah pada 6 Mei 2007. Ibunya berkata pada saya, “Mak cik tak sangka Haroun boleh dikebumikan di kampung halamannya sendiri. Mak cik fikir Haroun akan mati di Negeri China, di Eropah atau di mana saja di luar negara”.

Perkataan ‘takut’, ‘susah’, ‘tak boleh’ tak ada dalam kamus hidup Harounperancis. Haroun anak merdeka, berpegang pada piagam hak asasi manusia dan mengamalkan kebebasan bersuara, kebebasan akhbar, ada rasa peduli, ‘sense of belonging’, ‘cintakan negara separuh dari iman’ dan menjadikan tanggungjawab penulis berani kerana benar. Itulah semangat yang saya semaikan ketika Haroun mula berkarya sekembalinya dari luar negara ketika belum mahir menguasai bahasa Malaysia macam Raja Petra.

Nasib Haroun baik jika dibandingkan dengan Allahyarham Khalid Jefri. Tan Sri Isa Samad, Datuk Seri Ali Rustam dan beberapa pembesar menziarahi keluarga biarpun ramai yang tidak tahu Haroun telah kembali kerahmatullah.

Sepanjang hidup Haroun walaupun dia mempunyai rumah di Melaka, tapi sejak dari tahun 1981 dia tinggal dari hotel ke hotel. Antara hotel yang menjadi tempat penginapan Haroun ialah Pan Pacific, The Legend, Istana Hotel dan kali terakhir dia keluar dari Hotel untuk menengok internet di Equatarial Hotel Melaka.

Haroun mengikut jejak saya memulakan satu trend untuk dijadikan ikutan kepada mereka yang ‘gila-gila’, ‘gila bahasa’ seperti Sang Kelembai dan ramai lagi bloggers yang tak bercita-cita untuk menjadi sasterawan negara namun hujung jari mereka mengandungi bisa.

Kisah penternak babi di Teluk Gong Melaka telah disuarakan oleh Haroun 25 tahun dulu dalam bukunya ‘Politik Cikgu’ akhirnya tersiar juga di TV3, gema suara Karam Singh Walia.

Buku-buku Haroun kecil dan tipis boleh disimpan dalam saku ‘pocket size’, kecik-kecik cili padi. Alangkah baiknya jika ibu pejabat UMNO mengumpul semua buku Haroun dan lain-lain penulis politik dan membuat R & D dan kajian daripada berperang dengan penulis.

Harounperancis berjaya memperlekehkan ahli-ahli politik yang melalui hari-hari mereka mempermainkan hidup rakyat yang tidak berdosa menjadi pencuri, perompak, penyamun milik bangsa dan negara tapi didewakan macam raja.

Itulah kisah Harounperancis, adik angkat yang saya kenang ketika meletakkan batu nesan bersama Rafezzi anak angkat saya dan keluarga Haroun di tanah perkuburan Pantai Kuala Sungai Baru, Melaka."

1 comment:

Anonymous said...

sayapun tak sangka dia tinggalkan saya cepat ...tapi tuhan makbulkan doa saya dapat jenguk dan jaga dia masa sakit..alangkah bagusnya dia tahu ada orang yang sayang dia... saya harap dia aman dan sejahtera rohnya...