Friday, August 24, 2007

PENULIS BLOG PANDAI CARI MAKAN?

Tatkala mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (TDM), meminta penulis blog bangun membongkarkan berita-berita mengenai kesalahan kerajaan sekarang, ada juga yang tidak mahu berbuat demikian sebaliknya menggunakan blog untuk menyuarakan rasa hati mereka terhadap TDM. Ini saya amati dalam penulisan Basir Ahmad dalam sebuah news portal dikenali MalaysiaAktif. Tidak tahu siapakah pengendalinya tetapi ia dikatakan semakin menonjol terutama bahan-bahan yang mempunyai perspektif berbeza daripada news portal seperti Malaysiakini, KLPOS, AgendaDaily atau MalaysiaToday.

Cara penulisan Basir ini seolah-olah memperlihatkan bahawa beliau seorang yang amat mengenali TDM ataupun pengikut TDM tetapi mungkin tidak mahu mendengar lagi saranannya. Malah, Basir cuba untuk membawa "cerita-cerita" lama atau sesetengah orang mengatakan basi untuk mengungkit apa yang dilakukan oleh TDM ketika pemerintahannya. Basir kemungkinan seorang pegawai kerajaan, ahli akademik, pemerhati politik, ahli UMNO atau seorang wartawan.

Jika seorang wartawan sudah pasti beliau mengundang kritikan pedas dan "perlondehan terbuka" wataknya nanti oleh bloggers yang masih menyayangi dan menghormati TDM seperti yang dialami oleh Rosli Ismail, Badrulhisham Aziz dan Hanafiah Man menerusi satu artikel dalam blog proMahathir. Dalam artikel yang melabelkan mereka sebagai penulis AgendaDaily, ketiga-tiga mereka diberikan pelbagai gelaran termasuk penulis upahan, penulis yang tidak memahami ucapan TDM dan penulis yang mahu memalukan TDM.

Pengamatan saya mendapati news portal seperti Malaysiakini, yang diusahakan oleh Steven Gan dan MalaysiaToday oleh RPK serta KLPOS oleh Helmi Hanafi banyak memberi ruang kepada TDM untuk menyuarakan pandangan dan nasihat terhadap kerajaan sekarang. AgendaDaily pula ada tetapi tidak banyak. Malah, news portal ini menjadi sasaran sedikit masa lalu kerana mengeluarkan surat pembaca yang menghentam TDM. Apapun, segala yang ditulis oleh penulis blog memberikan perspektif baru kepada isu yang dikemukakan terutama yang tidak terdapat dalam media arus perdana. Anda bijak memahaminya.

Diperturunkan tulisan Basir Ahmad dalam MalaysiaAktif.

"SAYA mengakui bahawa seperti kebanyakan rakyat Malaysia, saya menyanjung Tun Dr. Mahathir Mohamad. Semua orang tahu bahawa banyak jasa Tun kepada Malaysia sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri. Bagaimanapun, perasaan yang bersifat pro beliau tidak tidak datang secara mendadak. Kebanyakan orang lain juga begitu. Dan perasaan itu meluntur sekarang.

Ketika Tun baru menjadi Perdana Menteri dulu, saya terkejut membaca komennya sebagai reaksi kepada cadangan umum supaya tempat solat disediakan dalam kereta api. Kata Tun, macam mana mahu sediakan tempat solat dalam kereta api kerana ia tidak bergerak lurus sepanjang masa. Maknanya kita tidak menghadap ke kiblat sepanjang masa ketika bersolat dalam kereta api.

Saya yang sangat muda ketika itu dan jahil pula dalam bidang agama, turut terkejut. Kita semua tahu bahawa hukum-hakam dalam agama Islam tidaklah sesempit itu. Jika tiada air untuk berwuduk pun kita boleh bertayamum dengan tanah atau pasir.

Dalam kapal terbang pun kita boleh menunaikan solat sekalipun arah kiblat berubah-ubah. Apakah Tun juga sangat jahil ketika itu atau beliau hanya mengadakan alasan untuk tidak membenarkan KTM membazirkan ruang dengan menyediakan bilik solat?
Sebenarnya, di sebalik anggapan kita bahawa beliau adalah seorang yang pintar, Tun tidak sunyi daripada melakukan kesalahan. Beliau juga manusia biasa seperti kita.

Sebagaimana orang lain, hati Tun juga boleh dihasut oleh Iblis dan syaitan yang kerja mereka adalah untuk menyesatkan manusia dan mencetuskan kacau-bilau di kalangan mereka. Tun juga boleh dipengaruhi oleh orang lain yang mahu memperalatkannya untuk kepentingan mereka. Contohnya betapa beliau pernah menuduh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memiliki rumah mewah di Australia.

Tuduhan tersebut dibuat tanpa usul periksa di khalayak umum sedangkan perkara tersebut hanya didengarnya daripada orang lain. Penyampai cerita tersebut barangkali adalah orang-orang yang berkerumun di sekelilingnya selepas beliau bersara daripada jawatan Perdana Menteri.Tentulah pembawa cerita itu adalah mereka yang tidak suka kepada Pak Lah atas sebab-sebab tertentu, termasuk yang bersifat peribadi. Ada yang tidak mendapat tempat dalam parti, ada yang berasa tidak diberikan layanan oleh Pak Lah dan ada yang memang berjiwa suka menentang kerajaan.

Akhirnya Tun menyedari tuduhan itu tidak betul. Syukurlah beliau memohon maaf secara terbuka terhadap kesilapannya itu, yang mengikut al-Quran bukanlah satu kesilapan kecil. Memfitnah adalah dosa besar.

Baru-baru ini (15 Ogos 2007), Tun mengadakan satu pertemuan dengan kira-kira 100 orang penulis blog. Antara lain Tun berkata, penulis-penulis blog adalah harapan terakhir bagi menyuarakan pandangan tentang segala masalah di Malaysia sekarang.

“UMNO sudah lumpuh. Tidak boleh buat apa-apa. Yang boleh diharap hanyalah penulis-penulis blog,” katanya. Dalam pertemuan itu juga beliau mengakui melakukan kesilapan kerana memusuhi Malaysiakini.com. sewaktu menjadi Perdana Menteri dulu. “Saya kena akui bahawa saya sangat tersinggung dengan mereka (Malaysiakini) kerana saya dapati apa yang saya tulis terhadap mereka adalah sama sekali tidak betul,” jelasnya.

Sekarang Tun Mahathir bukan sahaja mengiktiraf Malaysiakini, malah menggunakan sepenuhnya laman berita itu sebagai saluran suaranya. Agak menarik, Tun Mahathir dalam menjelaskan sejarah hubungannya dengan Malaysiakini sangat bersifat apologetik (rasa bersalah).“Saya jumpa Malaysiakini.com dan menjelaskan kenapa saya melakukan perkara-perkara itu. Saya tidak tahu sama ada mereka percaya atau tidak. Saya mungkin telah melakukan dosa. Saya tidak fikir ada orang dalam dewan ini (tempat pertemuan di Yayasan Perdana, Putrajaya) yang tidak pernah melakukan dosa,” katanya.

Begitu cepat seseorang mengubah pendirian terhadap sesuatu. Malaysiakini memang sifatnya propembangkang. Sebab itu Tun bermusuh dengan Malaysiakini ketika itu.

Apa yang berlaku adalah berpunca daripada perbezaan pandangan. Sesuatu itu mungkin betul kepada satu pihak, tetapi tidak betul kepada orang lain. Kini Tun Mahathir tidak lagi berada di tempat yang menjadi sasaran pembangkang, maka mudahlah segala-galanya dianggap betul. Seperti Tun Mahathir dulu, sekarang adalah giliran Pak Lah menjadi sasaran pembangkang. Orang membangkang bukan sahaja kerana berbeza fahaman politik, tapi juga disebabkan berbeza pendapat terhadap sesuatu perkara.

Pendapat berbeza bukan kerana sesuatu perkara yang dikritik itu tidak betul, tetapi lebih disebabkan ia tidak dibuat mengikut cara dan selera pengkritik. Dan tidak semestinya pengkritik yang betul. Secara mudah begitulah analogi pengalaman Tun Mahathir. Apa yang dibuatnya dulu tentulah pada pendapatnya betul, tapi tidak kepada Malaysiakini dan penulis-penulis blog. Sebab itulah Tun Mahathir pernah dilabel Mahazalim, Mahafiraun dan sebagainya. Dulu Raja Petra Kamarudin (RPK) menghentam Mahathir, tapi sekarang mereka `sependapat.’

Tun Mahathir memberikan pengiktirafan yang tinggi kepada penulis blog kerana sekarang beliau kurang mendapat tempat dalam media tradisional yang suatu masa dulu memuatkan apa sahaja yang beliau buat dan cakap. Biasalah hukum media di Malaysia adalah begitu. Media tradisional sentiasa memberikan tempat kepada mereka yang berkuasa. Jika sekarang Pak Lah yang berkuasa, maka Pak Lah yang diberikan tempat dan keutamaan.

Jika Tun Mahathir berpendapat ia tidak betul, mengapa semasa beliau berkuasa dulu perkara tersebut tidak dibetulkan? Sekarang Tun Mahathir dalam perahu yang sama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Suatu masa dulu Anwar juga sangat berkuasa terhadap media. Ketua pengarang dan pengurus berita TV telah dilantik oleh beliau supaya sentiasa menyiarkan berita mengikut agendanya.

Sekarang Anwar juga memuji penulis blog dan mempunyai penulis-penulisnya sendiri. Ini adalah lumrah media di Malaysia. Suatu masa nanti, Pak Lah juga tidak akan mendapat tempat di media tradisional apabila beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri. Mereka akan hanya mendapat tempat jika bercakap mengenai perkara-perkara yang tidak menghentam kerajaan dan pimpinan semasa. Kalau menghentam tentulah tidak dilayan.

Maka janganlah Tun Mahathir bersikap dan bercakap seolah-olah beliau tidak faham dasar ini. Suatu masa dulu Utusan Malaysia juga sangat bebas, tapi apabila Syarikat Utusan Melayu diambil alih oleh UMNO pada zaman Tunku Abdul Rahman, konsep kebebasan berubah. Kebebasan sekarang diiringi dengan tanggung jawab. Sudah tentulah tanggung jawab itu kepada pihak yang menguasai syarikat dan kerajaan. Adalah aneh jika Tun Mahathir yang bijak tidak memahami perkara ini daripada dulu. Samalah pengertiannya dengan Tun Mahathir bermusuh dengan Malaysiakini dan Malaysia Today suatu masa dulu, tapi sekarang saling memuji dan bersandaran.

Jadi janganlah menganggap semua blog adalah betul. Ini satu perkara yang subjektif.
Berhati-hatilah Tun dalam segala percakapan dan tindakan. Jangan lekas terpengaruh atau makan hasut cakap orang yang memuji dan memuja kita. Tun pun tahu bahawa keadaan boleh berubah, macam pandangan Tun terhadap Malaysiakini dan Malaysia Today. Tidak munasabah segala-galanya boleh berubah dalam sekelip mata. Hari ini tidak betul, tiba-tiba esok terus betul.

Dan tidak semuanya yang ditulis oleh blog itu betul. Ada yang betul dan ada yang tidak betul. Apatah lagi blog tidak dikawal oleh pemilik seperti pengarang-pengarang media tradisional yang terpaksa akur kepada pemilik atau tauke mereka. Malah blog lebih berbahaya kerana pengendalinya tidak mempunyai tauke. Mereka menulis apa yang mereka rasa betul sedangkan tiada manusia yang betul dalam semua perkara dan sepanjang masa. Jika Tun sendiri terkenal sebagai orang yang bijak dan bertanggung jawab boleh tersilap dan melakukan dosa (meminjam kata-kata Tun sendiri), apalah sangat mereka ini.

Seperkara lagi, berhati-hatilah supaya tidak mudah dipengaruhi oleh mereka yang mengerumuni Tun sekarang. Suatu masa dulu Tun bermusuhan dengan Anwar. Tentulah Tun boleh memahami siapa yang mengerumuni Anwar ketika itu.

Yang mengerumuni Tun Mahathir sekarang juga mungkin jenis-jenis orang yang sama. Siasat dulu siapa mereka supaya Tun tidak mudah terlajak kata dan prasangka. Sebilangan mereka yang mengerumuni Tun sekarang mungkin sangat membenci Tun suatu masa dulu atas sebab-sebab yang Tun sendiri tidak boleh terima. Sekarang mereka cuba menarik Tun supaya bersama mereka. Betul sangatkah mereka itu?

Jangan lupa bahawa Almarhum Tunku dulu pun pernah berada dalam bot yang sama dengan Tun sekarang. Adakah betul atau salah sikap Tunku terhadap Tun pada masa itu? Pandangan antara manusia tidak sama, dan keadaan serta masa juga mempengaruhi pendapat terhadap sesuatu perkara.

Ketika Tun mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Hussein Onn dulu pun banyak perkara yang Tun ubah dalam sekelip mata. Ini adalah amalan biasa dalam mana-mana pentadbiran, sama ada di peringkat syarikat, jabatan kerajaan dan kerajaan.
Jadi apa salahnya Pak Lah membuat sesuatu yang baru atau mengubah yang lama. Ini adalah amalan biasa. Jika tidak betul, rakyat akan membuat keputusan dalam pilihan raya akan datang. Yang jelas tidak betul ialah kenyataan Tun bahawa UMNO sekarang tidak boleh buat apa-apa dan harapan yang ada hanyalah kepada penulis.

Bagi penulis ini adalah satu kenyataan yang bersifat meludah ke langit jatuh ke muka sendiri. Tun adalah orang yang paling lama memimpin UMNO. Lebih lama daripada Tunku, Allahyarham Tun Abdul Razak, Tun Hussein dan Pak Lah. Dalam tempoh beberapa tahun sahaja, Tun katakan UMNO tidak boleh diharap lagi. Rupa-rupanya Tun gagal membina UMNO yang boleh diharap dalam tempoh yang begitu lama. Lalu Tun perlekeh UMNO begitu teruk.Yang Tun harapkan sekarang ialah blog. Nampaknya blog sudah menjadi satu institusi yang sangat penting dalam negara ini, jika mengikut kata Tun.

Kalau begitu marilah semua orang menjadi penulis blog dan membina negara Malaysia dengan blog. Sepatutnya kita semua sudah jadi penulis blog pada zaman Tun Mahathir dulu. Yang tulis blog ketika itu hanyalah Anwar dan geng Reformasinya. Tidak ramai dan itulah zaman permulaan blog. Anwar mengasas blog untuk hentam Mahathir dan Mahathir suburkan blog untuk bantai Pak Lah. Dua kali lima sama juga lima kali dua."

No comments: