Tuesday, August 21, 2007

BLOG MUNCUL SELEPAS PENULIS DISEKAT?

Kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang mengatakan kemunculan blogger atau penulis blog disebabkan laporan berita yang benar cuba disekat mungkin ada kaitan dengan kemunculan blog yang digemarinya, The Scribe , dikendalikan oleh Datuk A Kadir Jasin.

Hanya yang berbeza sedikit ialah AKJ memulakan blog kerana semua artikelnya yang dihantar ke syarikat akhbar tidak disiarkan dalam media arus perdana seperti NST, Berita Harian atau Utusan Malaysia. Alasan yang diberikan oleh pengarang media arus perdana ialah adakalanya tulisan AKJ agak kritikal termasuk terhadap kerajaan. Sesetengah pihak menyifatkan tindakan itu memaparkan pengarang lebih gemar mengambil langkah berwaspada dan berhati-hati agar kritikan pedas itu tidak menyinggung mana-mana pihak terutama pemimpin kerajaan. Ini secara tidak langsung memanjangkan "nyawa" pengarang.

Dalam laporan berita Malaysiakini semalam, Datuk Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, perkara itu berlaku mungkin disebabkan oleh orang yang berkuasa cuba meminda demokrasi sebenar kepada yang mereka inginkan. "Blogger dan pengamal media alternatif ditakuti kerana mereka membongkar kepalsuan yang dipaparkan oleh media lain." Menurutnya, beliau sering mengikuti tulisan AKJ dan Raja Petra Kamaruddin yang mengendalikan blog MalaysiaToday.

Untuk pengetahuan Datuk Nik Abdul Aziz, blog di negara ini muncul kerana beberapa faktor atau sebab tertentu. Saya pernah membahagi-bahagikan blog di negara ini kepada sembilan kategori termasuklah blog news portal, penulis blog politik dan penulis blog online diary. Perkara itu tercatat dalam artikel yang pernah ditulis dalam [ DuniaTiger ] pada 31 Julai lalu. Ada yang menulis mengenai pengalaman peribadi untuk dikongsi bersama dan bukan semua blog dibuat untuk membongkar rasuah atau kepalsuan dalam media arus perdana.

Bagaimanapun, blog kini sudah dianggap media alternatif kepada media arus perdana. Tidak hairanlah pelbagai pihak termasuk kerajaan dan pembangkang terutama yang belum pernah "mengambil pusing" mengenai kehadiran blog sudah mula berjinak-jinak dengannya. Malah pelbagai publisiti percuma seperti tindakan mengheret blogger ke mahkamah dan pelbagai panggilan terhadap penulis blog menyemarakkan lagi dunia penulisan media baru di Malaysia. Oleh itu, bagaimana sekarang? Go blog atau goblok?

1 comment:

PUTRAGABAN said...

rtm dunia baru-baru ini membahaskan isu perang media dan informasi serta pelbagai manipulasi dan sekatan mengenai penyampaian maklumat menerusi media tradisional (akhbar, tv dan radio). anak-anak muda rami yang beralih ke media era kini termasuk blog. hanya sebilangan gunakan blog untuk tujuan mengutuk dan mengkritik. yang lain untuk mengasah bakat menulis dan mencuba sesuatu yang baru.