Sunday, August 19, 2007
SELAMAT MENERIMA MENANTU
(Datuk Amin dan timbalannya, Datuk Abu Talib)
Berbual dengan Ketua Pengarah JASA, Datuk Mohamed Amin Salih, anda akan merasai budi bahasa seorang insan berlatarbelakangkan pendidikan agama. Pertuturannya teratur dan penuh sopan ketika berbual melambangkan keperibadian insan beradab. Sukar membayangkan keadaan Datuk Amin ketika marah. Pasti juga lembut dan bersopan. Malah dalam kepenatan seharian pun, malam tadi beliau masih berminat untuk mendengar dan berbincang dengan kami dalam semua perkara yang diutarakan.
Ini yang berlaku malam tadi ketika saya dan beberapa rakan bertandang ke rumah Datuk Amin di Keramat yang akan menerima menantu hari ini. Saya singgah untuk melihat persiapan terakhir untuk mengadakan kenduri kahwin anak keduanya. Datuk Amin yang sudah tidur dikejutkan oleh isterinya. Minta maaf banyak-banyak Datuk kerana bersusah payah untuk bangun dan berbual dengan kami. Saya berdoa Datuk diberikan kekuatan dan kecergasan untuk menerima tetamu hari ini. Sekali lagi saya minta maaf.
Ketika saya sampai di rumahnya, sekumpulan manusia sibuk memasak lauk umbut kelapa dan daging kambing. Ditanya mengapa memasak dan tidak mengambil katering, Datuk Amin memberitahu saya, masakan itu sebagai tambahan dan ia adalah hidangan istimewa bagi tetamu kenduri kahwin anaknya. Beliau menempah katering dan lauk umbut kelapa dan daging itu menjadi makanan pilihan tetamu ketika perkahwinan anak sulungnya sebelum ini.
Ditanya mengapa terus mengadakan majlis perkahwinan di rumah dan tidak di hotel atau di luar, Datuk Amin menjelaskan bahawa keluarganya ramai dan sudah tentulah mempunyai ramai anak saudara dan cucu yang masih kecil. Mengadakan kenduri kahwin di rumah membolehkan anak saudara dan cucu yang ramai bermain-main dan berlari-lari di sekeliling rumah. Ini mungkin terhad di hotel tetapi lebih meriah di rumah dengan sorakan dan kegembiraan kanak-kanak.
Bagi saya, mengadakan kenduri kahwin di rumah lebih makna dengan suasana yang tidak formal membolehkan tetamu terutama rakan-rakan bertandang pada bila-bila masa mengikut kesesuaian mereka.
Namun, kini ramai yang memilih untuk mengadakannya di hotel atau di dewan besar seperti Dewan Felda untuk memudahkan mereka melangsungkan kenduri kahwin. Ia juga untuk mengelakkan pelbagai masalah lain termasuk tempat meletakkan kereta untuk tetamu atau ketika hujan. Apapun, saya mengucapkan selamat menerima menantu kepada Datuk Amin. Saya berdoa semuanya selamat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment