Sunday, August 12, 2007

FAKTOR EKONOMI PENENTU PRU12?

Artikel yang ditulis oleh Bede Hong dalam Malaysiakini pada 4 Ogos lalu yang bertajuk - It’s the economy and crime, stupid!- mengenai satu kajiselidik oleh satu badan pemikir, Merdeka Center, pada Jun lalu amat menarik perhatian. Setidak-tidaknya kepada kerajaan dan agensi penerangan.

Artikel itu menyebut kajiselidik itu mendapati keadaan ekonomi menjadi isu pilihan pengundi, berbanding isu lain seperti politik nasional dan Islam.

Kajiselidik yang membabitkan lebih dua dozen soalan kepada setiap responden mendapati bahawa kebanyakan rakyat Malaysia lebih memberi perhatian kepada isu kehidupan seharian mereka atau "bread and butter" dan juga peningkatan kejadian jenayah yang dilihat sebagai masalah terbesar negara.

Namun yang menarik, mengikut artikel itu, ialah perbezaan ketara pendapat pengundi Melayu dan China. Melayu puas hati dengan dasar-dasar kerajaan manakala masyarakat Cina pula menentangnya. Kajiselidik itu dibuat menerusi temuramah telefon membabitkan 1,022 responden di seluruh Semenanjung Malaysia, untuk mengukur pandangan pengundi dan kesannya terhadap pilihanraya umum akan datang. Kajiselidik itu membabitkan pemilihan rambang responden berusia 21 dan lebih dari semua negeri dilaksanakan dalam tempoh satu minggu antara 14 hingga 20 Jun.

Dalam artikel itu memaparkan ramai kaum Cina yang tidak bersetuju atau dalam ertikata lain menyuarakan pandangan keras terhadap dasar-dasar ekonomi kerajaan berbanding masyarakat India dan Melayu yang menyetujui dasar ekonomi berkenaan.

Bagi saya, walaupun tempoh kajiselidik itu singkat dan hanya membabitkan 1,022 responden ia memberikan pedoman dan panduan baik kepada kerajaan untuk meneliti secara mendalam mengenai rasa tidak puas hati kaum Cina terhadap dasar ekonomi sekarang. Agensi yang terbabit dalam memberi penerangan perlu bekerja keras untuk menjelaskan dasar-dasar ekonomi kerajaan yang banyak menguntungkan kaum Cina di negara ini. Penolakan terhadap dasar itu, jika benar berlaku, disebabkan mereka kurang faham dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan ataupun penyelewengan fakta oleh pemimpin pembangkang Cina terutamanya DAP kepada masyarakat di bawah.

Umpamanya, mengambil satu usaha kerajaan baru-baru ini menaikkan gaji kakitangan kerajaan boleh diputarbelitkan oleh pembangkang seolah-olah ia menguntungkan bangsa Melayu, yang kebetulan ramai menjadi kakitangan kerajaan. Jika ceramah pembangkang itu berterusan menjaja keuntungan bangsa Melayu saja, maka tidak hairanlah kaum Cina akan berasa berang dan tidak puas hati dengan tindakan kerajaan itu.

Apa yang mereka tidak nampak ialah kenaikan gaji itu sebenarnya menguntungkan peniaga yang kebanyakannya kaum Cina dari yang sekecil-kecilnya sehinggalah pemilik gedung beli-belah di seluruh negara. Kakitangan kerajaan yang mendapat durian runtuh itu sudah pasti akan "melabur" duit mereka di kedai-kedai yang dimiliki peniaga Cina atau di pusat beli-belah yang hampir 98 peratus lot niaganya dikuasai oleh kaum Cina. Malah di KLCC yang dimiliki oleh Petronas juga kini makin berkurangan peniaga Melayu kerana kadar sewa yang tinggi. Ini disuarakan oleh kawan baik saya yang berniaga di KLCC.

Oleh itu, usaha berterusan untuk memberi penerangan perlu disegerakan agar tindakan memutarbelitkan segala maklumat itu boleh diperbetulkan.

Dalam pada itu, satu kajian menyeluruh melihat keperitan rakyat perlu diadakan berikutan pelbagai kenaikan kadar yang diumumkan oleh kerajaan. Antaranya kenaikan harga minyak yang didapati masih diperkatakan sehingga hari ini. Ia memberi kesan besar kepada pemilik motosikal dan kereta. Mereka ini menggunakan kenderaan untuk pergi dan balik kerja setiap hari.

Kenaikan harga minyak juga digunakan peniaga untuk meraih keuntungan berlipat ganda. Pengalaman pahit orang ramai terhadap peniaga yang rakus dan tamak banyak disuarakan di semua media tempatan termasuk media arus perdana dan media baru.

No comments: