Sunday, August 26, 2007

TIADA LAGI RESTORAN MELAYU DI KLCC

Saya menelefon Juhaidi Yean Abdullah dari Melaka minggu lalu untuk memberitahunya bahawa saya mungkin tidak dapat hadir jemputannya di KLCC kerana masih berada di negeri kelahiran Hang Tuah. Beliau faham dengan permasalahan itu.

Kami pun terus bersembang mengenai nasib restorannya di KLCC, Menara Kembar Petronas akibat "penangan" kadar sewa yang tinggi. Kenaikannya amat memeritkan. Daripada RM30,000 sebulan menjadi hampir RM50,000 sebulan. Tidak ramai usahawan Melayu yang mampu membayar sewa yang tinggi itu. Persoalannya apakah KLCC tidak memikirkan masakan Melayu sebagai lambang Melayu dalam kompleks beli-belahnya. Saya sedih dan hiba mengenangkan nasib orang Melayu di bumi sendiri. Rakan wartawan, Datuk Rejal Arbee mempunyai pandangan mengenai nasib yang menimpa rakan kami, Juhaidi yang pernah berkhidmat di NST.

Ikuti pengamatan Datuk Rejal Arbee mengenai Kelantan Delights yang disiarkan oleh MYKMU.net baru-baru ini.

"Malam tadi adalah malam terakhir restoran Kelantan Delights – satu-satunya sahaja restoran masakan Melayu yang beroperasi di Suria KLCC – menghidang makanan di situ. Mulai esok (23hb Ogos) berakhirlah riwayatnya setelah beroperasi selama 10 tahun memperkenalkan masakan Melayu, khususnya makanan Kelantan seperti nasi kerabu dan nasi dagang kepada pelancung dalam dan luar negeri di situ.

Penutupannya juga menandakan sudah tidak ada lagi restoran yang menyajikan masakan Melayu di situ. Apakah salah kalau disimpulkan bahawa pengurusan Suria KLCC tidak mahu wujud kedai yang menyediakan masakan Melayu kepada orang ramai yang berkunjung ke Menara berkembar Petronas? Ini hanya Pengerusi Eksekutif Suria KLCC dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, seorang warga Australia bernama Brian Andrew yang boleh memberi jawapan.

Kalau ditanya tentulah mereka mengatakan bahawa tuan punyai Kelantan Delights, Sdr Juhaidi Yean Abdullah dan isteri tidak mahu membayar sewa yang dikenakan, iaitu RM44,000 sebulan, naik daripada RM30,000 sebelum ini.

Juhaidi berkata masalahnya bukanlah kadar sewa yang dikenakan, tetapi sikap pengurusan yang agak bongkak seolah-olah memberikan katadua kepadanya tanpa mahu berunding. Apakah kenaikan kadar sewa yang begitu melonjak berpatutan – naik hampir 50 peratus dalam tempoh setahun?

Pengurusan Suria KLCC juga tidak telus kerana merahsiakan kadar sewa yang dikenakan kepada premis lain yang bersebelahan. Misalnya Chakri Palace (masakan Thai), Spice of India atau Madame Kwan dan Shan Village (masakan Cina). Apakah kadar sewa yang dikenakan kepada mereka itu sama dengan yang dikenakan kepada Kelantan Delights?

Mereka menjadikan kadar sewa yang dikenakan seperti satu rahsia negara yang amat besar sekali.

Kini premis itu yang telah dipopularkan juga oleh Kelantan Delights akan diberikan kepada sebuah restoran Korea. Dengan ini perbagai masakan negeri asing boleh dinikmati di Suria KLCC tetapi jangan harapkan mendapat masakan Melayu di situ. Apakah gambaran yang hendak diberikan pengurusan Suria KLCC? Salahkah kalau disimpulkan bahawa mereka berpandangan bahawa masakan Melayu tidak layak disajikan kepada pengunjung Menara Kembar Petronas?

Apakah salah kalau diandaikan pengurusan Suria KLCC tidak langsung prihatin dengan keadaan tempatan? Dengan tamatnya riwayat Kelantan Delights di situ, makanan Melayu sudah tidak terdapat lagi di Menara Kembar Petronas. Apakah tidak aneh masakan bangsa-bangsa lain boleh dinikmati di situ tetapi masakan tempatan tidak ada?

Apakah makanan Melayu tidak setaraf makanan bangsa-bangsa lain hingga tidak lagi diberi tempat di situ? Salahkah kalau disimpulkan bahawa pengurusan Suria KLCC tidak mahu orang yang mengunjungi Menara Kembar Petronas menikmati masakan Melayu?

Maka tidak menghairankan pengacara TV Aziz Desa yang turut hadir dalam jamuan terakhir di situ malam tadi antara lain memberi rangkap pantun ini:

Buai laju-laju
Sampai KLCC
Apa nasib Melayu
Merempat di negeri sendiri
.

Antara mereka yang hadir adalah beberapa orang rakan wartawan dan personaliti TV seperti Ras Adiba. Kelantan Delights juga meraikan seramai 40 orang warga tua dari Rumah Seri Kenangan Ceras.

Apakah yang boleh disimpulkan dari perkembangan terakhir ini yang dihadapi pekedai-pekedai Melayu di situ? Nampaknya satu demi satu kedai Melayu terpaksa ditutup.

Maka dengan itu kini tiggal hanya 10 buah kedai yang diusahakan Melayu daripada 325 buah kedai. Apakah ini tidak menimbulkan keresahan di kalangan orang Melayu? Apakah pihak berkuasa tidak langsung prihatin dengan perkembangan ini dan sikap pengurusan Suria KLCC?

Khabarnya keadaan di Alamanda Putrajaya yang juga diuruskan Suria KLCC tidak banyak berbeza dengan apa yang sedang berlaku di Menara Kembar Petronas. Tidak menghairankan kerana Ketua Pegawai Eksekutif Alamanda adalah isteri kepada Brian Andrew iaitu Lisa Words. Apakah tidak aneh isteri boleh dilantik sebagai boss anak syarikat di mana suaminya menjadi ketua?

Perkembangan ini sebenarnya memberi implikasi besar terhadap kedudukan perniagaan Melayu di kompleks beli-belah yang bertaraf antarabangsa. Orang Melayu sendiri tidak mengharapkan pembelaan dari komplek yang dikuasai bukan Melayu seperti Mega Mall atau One Utama. Tetapi kompleks beli-belah yang dikuasai sebuah Syarikat Kaitan Kerajaan (GLC) tentunya perlu ada sedikit pertimbangan untuk menggalakan peniaga Melayu.

Apa yang berlaku kepada Kelantan Delights juga menunjukan sikap kurang prihatin oleh kerajaan dan institusi yang kononnya diwujudkan untuk memelihara dan membantu peniaga Melayu. Jadi dimanakah usaha mahu menggalak orang Melayu berniaga? Melayu yang benar-benar berkebolehan bukannya yang Ali Baba di mana rakan kongsi Melayu hanyalah sebagai ‘sleeping partner’ saja.

Apa khabar Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi? Apa khabar MARA? Tidak adakah satu pun Jabatan atau Agensi Kerajaan prihatin terhadap apa yang sedang melanda peniaga Melayu di Suria KLCC?

Khabarnya, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ada menemui Pengurusan Suria KLCC. Tetapi tidak pula diketahui apa hasilnya. Yang diketahui Kelantan Delights sudah tutup kedai di sana. Nampaknya tidak ada kesudahan.

Malah perjumpaan antara Ketua Setiausaha Kementerian dengan pengurusan Suria KLCC yang tidak membawa kepada pembelaan peniaga Melayu akan memberikan hasil yang lebih buruk kerana tidak apa pun yang berlaku. Pengurusan Suria KLCC tentunya akan bersikap lebih bongkak dan sombong seolah-olah mereka kebal dan boleh melakukan apa saja tanpa siapa pun boleh menegur.

Malam tadi saya juga terpegun melihat empat pasangan orang putih yang hendak memasuki restoran. Salah seorang pekerja Kelantan Delights yang berada di pintu memberitahu bahawa restoran tidak dibuka untuk pelanggan malam itu. Tetapi Sdr Juhaidi yang kebetulan berada berhampiran sedarkan apa yang berlaku dan terus mencelah dan mempelawa mereka masuk menikmati hidangan secara gratis.

Salah seorang daripada mereka memberitahu bahawa mereka datang dari Russia dan mahu menikmati Nasi Kerabu sambil menunjukkan buku pelancongan dalam bahasa Russia dengan nama Kelantan Delights ditandakan. Juhaidi terus gugup bahawa restorannya dimasukkan dalam buku pelancongan Russia. Beliau memberitahu mereka bahawa Nasi Kerabu tidak disajikan malam itu tetapi telah memberikan mereka hidangan nasi dagang serta hidangan lain.

Seorang daripada pelancong Russia itu yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang pegawai Kerajaan Tempatan Moscow telah mempelawa Juhaidi membuka Kelantan Delights di ibu negara Russia itu. Nampaknya orang asing lebih menyokong Kelantan Delights daripada Suria KLCC.

Juhaidi memberitahu saya bahawa restorannya itu sememangnya mendapat tempat dalam beberapa buku pelancongan asing selain dari dalam bahasa Inggeris juga buku pelancongan dalam bahasa Jepun dan Arab.

Untuk mengakhirkan cerita malam tadi bukanlah bermakna Kelantan Delights akan terus terkubur; hanya di Menara Kembar Petronas. Dua bulan lagi ia akan muncul semula kali ini di Sentral, tepatnya di Sooka Sentral bersebelahan pusat pengangkutan Sentral dan Hilton Kuala Lumpur.

Juhaidi memberitahu bahawa Pengurusan MRCB yang lebih prihatin kepada peniaga Melayu telah mempelawanya membuka kedainya di bangunan yang baru selesai di bina itu. Nampaknya ‘Suria KLCC’s loss is a gain for MRCB’s Sooka Sentral’. Kita berharap Kelantan Delights akan lebih maju dan berjaya di Sooka Sentral."


Nota: Tolooooonglah pemimpin Melayu. Tolonglah bantu usahawan gigih ini. Tidak kesihankah kamu dengan rayuannya dari semasa ke semasa? Kamu tidak ada kuasa ke? Tidak sedihkah kamu apabila mengetahui tiada lagi restoran Melayu di KLCC?

2 comments:

Anonymous said...

Semestinya ini bukan sebagaimana yang dirancangkan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa KLCC Suria ini dibina. Namun amat malang bagi orang orang Melayu kerana pentadbiran sekarang tidak lagi menitik beratkan semangat Dasar Ekonomi Baru agar usahawan Melayu dibimbing dan diberikan ruang untuk bersaing diperingkat pasaran terbuka, bukan semata mata mengharapkan subsidi dan peluang perniagaan dari Kerajaan.

Penguasaha Restoran Kelantan Delights ini telah membuktikan mereka mampu untuk bersaing dan berniaga ditahap produk dan perkhidmatan premier, tetapi sikap pengurusan KLCC Suria yang jelas mengecewakan.

Keputusan Junaidi Yean untuk menolak kenaikan sewa yang diminta berdasarkan prinsip amatlah tepat. Kenaikan terlalu mendadak sewa yang diminta itu bukan cara biasa perniagaan hartanah, walau dilokasi paling premier dan teristimewa sekalipun.

Bayangkan bagaimana pula akan berlaku diWPI, sekiranya tuan punya hartanah bukan entiti atau dikalangan orang Melayu dan lebih buruk lagi, sekiranya entiti dan/atau personaliti itu bukan rakyat Malaysia?

Semoga Allah s.w.t. menyelamatkan Bangsa Melayu dari penganiayaan Kepimpinan sendiri!

Anonymous said...

Tutup satu kedai nak besar-besarkan sebagai isu pulak ni... orang Melayu biasa mampu makan di Kelantan Delights ke nak tanya?

Dia orang kalau buat untung dia sendiri yang simpan, bukannya nak bukak free untuk semua rakyat Malaysia datang menjamu selera. Kenapa korang nak berkhayal tentang simbolisme bangsa dari satu perkara remeh seperti ini?


Pergilah ke Food Court KLCC. Di sana pun ada nasi kerabu yang sedap. Harganya jauh lebih kompetitif. Nak makan sama ais ubi tapai pun boleh ... hmmm sedap.