Dua bulan lalu, blog DuniaBudin ibarat rumah baru tanpa penghuni. Sekali-sekala pemiliknya akan datang dan membersihkan rumah itu. Seterusnya, beberapa kawan datang menjengok untuk melihat rumah itu dan pemiliknya, Syalala terpaksa mengemaskan rumah itu. Malah rakan-rakan membantunya mencantikkan rumah berkenaan dengan menanam pokok bunga, meletakkan nama jalan atau membuat kotak pos di depan rumah. Dalam ertikala lain, rumah Syalala semakin hari semakin cantik dan berseri.
Dulu pengunjung DuniaBudin adalah antara 10 hingga 20 orang saja dalam sehari. Yang memberi komen pula berputar-putar antara Abang Putra, saya dan pengunjung yang singgah dari semasa ke semasa. Ia memberi pendorong kuat untuk Syalala untuk terus menulis. Kelebihannya ialah isu membabitkan pergolakan dunia dan pengalamannya sebagai wakil biro Utusan Malaysia di Jakarta pada masa lalu.
Semalam, blog DuniaBudin dikunjungi lebih 890 pelayar sehingga jam 1 pagi. Syalala terkejut dengan perkembangan ini tetapi beliau akur bahawa tajuk yang dibawanya Melayu Vs Cina adalah tajuk kontempari yang banyak diperkatakan kebelakangan ini. Daripada isu penyanyi rap Cina hinggalah permintaan Presiden MCA agar GLC membantu usahawan Cina.
Sebagai seorang yang separuh Melayu dan separuh Cina, Syalala layak menyuarakan kebimbangannya. Malah beliau menegur news portal Malaysiakini yang menyediakan ruang kepada bangsa Melayu dan Cina "bertelagah" di alam siber dengan membuat pelbagai tuduhan. Baginya, Malaysiakini yang dikendalikan oleh Steven Gan perlu berhati-hati berbuat demikian demi untuk sebuah negara bernama Malaysia.
Dalam tulisannya, Syalala menyebut, "Orang Melayu dengan orang China sekarang macam nak bergaduh. Itu amalan kurang baik. Tambahan pula apabila kita membaca blog malaysiakini. Blog itu macam menyediakan medan peperangan dua bangsa utama di Malaysia itu."
Syalala juga mengingatkan rakyat negara ini bahawa mereka adalah daripada satu bangsa iaitu bangsa Malaysia. Katanya, "Saya jadi hairan kenapa kita jadi macam tu. Orang China dan orang Melayu mesti sedar kita satu bangsa, iaitu bangsa Malaysia. Isu bangsa Malaysia ni telah diperjuangkan begitu lama oleh para pemimpin kita. Melihat keadaan di malaysiakini kita bagaikan terlupa siapa diri kita."
Sebenarnya, sekali pandang kelihatan Malaysiakini cenderung untuk mengutarakan isu-isu yang berkaitan dengan kerajaan. Namun penjelasan Steven Gan dalam satu forum membabitkan blogger di Universiti Teknologi Mara (UiTM) membolehkan kita memahami mengapa news portal itu dilihat hanya mengetengahkan isu negatif membabitkan kerajaan. Bahan beritanya banyak mengutarakan pandangan pembangkang. Alasan Steven Gan ialah beliau berusaha untuk "menjalinkan hubungan baik" dengan kerajaan tetapi kebanyakan pemimpinnya bertindak seolah-olah news portal itu mahu membelasah kerajaan sepanjang masa. Malah, adakalanya, menurut Steven, wartawan Malaysiakini tidak dibenarkan masuk untuk membuat liputan majlis yang dianjurkan oleh agensi kerajaan.
Apapun, sudah sampai masanya kerajaan memikirkan untuk menggunakan Malaysiakini sepenuhnya dalam memberi jawapan kepada setiap persoalan atau tuduhan pembangkang. Mereka boleh terus menerus menghantar jawapan yang benar untuk membolehkan Malaysiakini memberi ruang kepada jawapan kerajaan. Berani kerana benar.
Selain menggunakan "cybertroppers", panggilan oleh pelbagai penulis blog, kerajaan bolehlah menggunakan news portal seperti Malaysiakini untuk menangkis segala tuduhan atau dakwaan oleh pihak pembangkang atau sesiapa saja pun yang kritikal terhadap kerajaan. Cubalah dulu, barulah tahu keputusannya.
Wednesday, August 22, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Salam Tok... Terimakiash kerana banyak membantu saya memperkenalkan alam blogger. Memang betul saya terperanjat semalam. Pelawat macam tak mau habis. Melayu Vs China beri sama semangat yang sebelum itu hanya nyawa2 ikan.
Post a Comment