Friday, August 31, 2007

MAIN BOLA DAN BUAT KAWAN

Esok, warga RTM akan beraksi di padang bola Angkasapuri. Kejohanan antara unit dalam Bahagian Berita dan Ehwal Semasa (BES) RTM dimulakan ketika saya menjadi perunding media RTM selama dua tahun bermula 2005. Ia diadakan sempena tarikh keramat kemerdekaan - 31 Ogos.

Pada 2006, saya tidak dapat hadir kerana berada di UMMC selepas pembedahan tulang belakang pada 11 Ogos. Saya berkampung di UMMC sehingga pertengahan September. Esok, saya akan hadir untuk bersama-sama dengan warga RTM dalam kejohanan bolasepak yang bertujuan mengeratkan persahabatan dan mengukuhkan ikatan.

Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin, yang merasmikan kejohanan pertama pada 2005 (ketika itu Timbalan Menteri lagi) memuji usaha penganjuran itu kerana ia dapat merapatkan hubungan antara wargakerja bilik berita yang sentiasa sibuk menjalankan tugas mereka. Beliau turun padang untuk menyampaikan hadiah.

Kejohanan ini juga membolehkan warga RTM membawa keluarga mereka untuk bersantai dan menikmati "gelagat" menarik di padang bola. Ada yang bulat tetapi masih mahu beraksi. Bayangkan apabila sibulat jatuh. Terima kasih diucapkan kepada tenaga penggerak kejohanan iaitu Sdr Jalil Mat Dom, Hafizal, Ismadi dan rakan-rakan lain. Jasa baik saudara akan dirahmati Allah SWT. Tahun ini, diadakan 1 September kerana 31 Ogos jatuh pada hari ini, hari Jumaat. Bukan tidak boleh buat hari ini tetapi ada kesulitan sikit dari segi penyusunan jadual perlawanan.

Selamat bermain bola dan merapatkan hubungan antara kawan daripada pelbagai kaum. Terima kasih kepada penaja, penyumbang dan pihak yang sudi memberi kerjasama.

No comments: