Kejadian jambatan runtuh bukan perkara luarbiasa. Sejak 2001 ada sembilan kejadian jambatan runtuh di seluruh dunia dan yang terburuk di Lisbon, Portugal, pada September 2001 yang meragut 50 nyawa. Ramai yang maut kerana sebuah bas pelancong terjunam ke sungai berikutan keruntuhan berkenaan. Jambatan runtuh boleh berlaku jika ada masalah dari segi struktur, kecuaian pemandu atau berpunca daripada gempa bumi. Ia juga boleh berlaku jika ada pihak yang meletupkannya.
Namun, kejadian jambatan runtuh di lebuhraya merintangi Sungai Mississippi di Minneapolis, Amerika Syarikat, semalam, satu perkara luar biasa. Ini kerana jambatan itu runtuh bukan tindakan pengganas atau kecuaian pemandu tetapi mungkin ada kaitan dengan strukturnya. Ia menjadi luar biasa kerana berlaku di sebuah negara maju yang mempunyai kecanggihan teknologi dan peralatan termoden. Walaupun, jambatan berstruktur keluli itu sudah "tua" kerana dibina pada 1967, namun pihak berkuasa di negara maju itu sudah tentu boleh menentukan sama ada ia selamat atau sebaliknya.
Sebagai orang media, penggunaan kejadian jambatan runtuh itu sebagai isu pertama oleh TV3 adalah strategi yang bijak. Bukan untuk menangguk di air keroh atau bergembira dengan kesusahan orang. Penyiaran jambatan runtuh itu bukan saja membawa bahan berita terbaru tetapi memaparkan bahawa malapetaka membabitkan kecuaian manusia boleh berlaku di mana saja, termasuk di negara maju. Amerika Syarikat tidak terlepas daripada kecuaian seumpama itu walaupun ia sebuah negara maju.
Sehubungan itu, kecuaian manusia yang mengakibatkan malapetaka (diminta jauhkan) boleh berlaku di Malaysia, jika golongan profesional tidak menjalankan tugas dengan baik. Setiap pihak mempunyai amanah dan tanggungjawab bagi memastikan sesuatu projek yang dirancang oleh kerajaan dilaksanakan dengan baik.
Kerajaan mempunyai program dan projek. Pegawai kerajaan melaksanakannya termasuk mereka yang ditugaskan memilih kontraktor. Jika projek itu tidak siap, maka pegawai kerajaan itulah yang bertanggungjawab terhadap "dosa" yang dilakukan. Pegawai itulah yang akan "berdosa" jika sesuatu projek yang dibina runtuh atau roboh. Lebih menyedihkan jika ia membabitkan kematian dan kecederaan.
Oleh itu, tindakan Menteri Kerjayaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, memberhentikan kontraktor yang gagal menyiapkan projek-projek mengikut jadual adalah tindakan wajar. Tiada kompromi lagi terhadap golongan kontraktor demikian, waima ia kontraktor Melayu, Cina atau India. Tiada lagi rayuan. Sudah lama rakyat bersabar. Kegagalan mereka menyiapkan projek itu menyusahkan rakyat negara ini yang membayar cukai dan yang mengharapkan kerajaan menyediakan kemudahan awam setiap masa. Kontraktor inilah yang membawa nama buruk terhadap kerajaan.
Tiada gunanya ada dasar baik tetapi disebabkan "pegawai rasuah" atau "pegawai tempang" ini menyebabkan kerajaan mendapat nama buruk dan sering dibelasah oleh pembangkang dan penulis blog. Mereka ada hak untuk mengkritik kerajaan. Oleh itu kerajaan perlu memilih pegawai yang amanah dan baik. Ketepikan amalan memilih pegawai mengikut "keselesaan" disebabkan ikatan keluarga atau sahabat. Periksalah rekod lampau (vet) dan kelayakan pegawai yang ingin dinaikkan pangkat. Buanglah nila yang merosakkan susu sebelanga.
Friday, August 3, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment