Sunday, August 26, 2007

SYILING BOCOR, SURAT RASMI BOCOR

Dulu heboh perkataan bocor oleh dua Ahli Parlimen yang terpaksa memohon maaf kepada golongan wanita. Kemudian diikuti banyak syiling bocor di beberapa bangunan kerajaan dan heboh diperkatakan oleh pembangkang. Kini muncul pula surat rasmi yang dibocorkan. Surat rasmi bocor.

Kemunculan surat rasmi yang ditulis oleh setiausaha sulit kanan menteri dalam blog memaparkan dua persoalan besar iaitu bagaimana surat itu boleh terbongkar dan kebijaksanaan penulis blog menghidu pemberian kontrak oleh kementerian. Maklumat itu sepatutnya sulit tetapi kini heboh dan dibaca satu dunia. Mereka yang tidak tahu kini mengetahuinya dan tidak boleh disorokkan lagi. Tidak semestinya ia tidak baik, cuma ia dihebohkan.

Terbaru dua blog, Bigdog dan Kamaludin' Blog, menyiarkan surat rasmi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengenai pemberian kontrak kerajaan kepada sebuah syarikat Bumiputera. Bigdog menghasilkan tulisan itu dalam blognya dan Kamaluddin menyiarkan artikel yang sama dalam blognya.

Bagi Bigdog sambutan 50 kemerdekaan tidak mempunyai erti kepada KPUK kerana dicemari budaya kronisme. Dalam penulisannya, beliau mendakwa baru-baru ini, satu arahan dikeluarkan oleh Pejabat Menteri KPUK bertarikh 15 Mei 2007 diberikan keseluruhan kontrak penghiasan dan pengindahan semua bangunan bangunan utama bagi kesemua agensi dibawah kementerian kepada sebuah syarikat sahaja, iaitu Amar Sinar Sdn. Bhd.

Dalam artikel itu, Bigdog menerangkan menurut carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia, syarikat Amar Sinar Sdn. Bhd. (No. pendaftaran SSM: 208891-V) ini beralamat di: 40M Kompleks Selayang, Baru 8 ½ Jalan Ipoh-Rawang, 68100 Batu Caves, Selangor. Pengarah pengarahnya ialah Dato’ Seri Dr. Yuhyi Azizan, 46 dan Shazlina Hussain, 43. Syarikat ini didaftarkan sebagai pembekal barangan dan komponen elektrikal. Saham dibenarkan ialah 5 juta saham dan 4.8 juta diterbitkan dan dibayar penuh. Pemegang pemegang sahamnya ialah Dato’ Seri Yuhyi Azizan 3 840 000 saham dan Shazlina Hussain 960 000 saham.

Bagi Bigdog, adalah tidak wajar semua peluang perniagaan bagi seluruh kementerian seperti KPUK sebegini dikurnia kepada satu syarikat sahaja. Ini kerana KPUK diwujudkan untuk membangunkan usahawan, terutama Bumiputera dan memperbanyakkan usahawan dengan mengagih-agihkan kontrak yang wujud untuk seberapa banyak pembekal berbeza sepatutnya sebahagian dari program ‘pembangunan usahawan’ dan membesarkan komuniti usahawan di kalangan Bumiputera.

Bigdog mendakwa amat malang apabila seorang Menteri UMNO yang dipertanggungjawabkan membangunkan usahawan, terutama golongan Bumiputera menggunakan kuasa dan pengaruh di kementerian untuk menguatkan kedudukan peribadi dan bukan membangunkan orang Melayu yang beliau wakili. Sesungguhnya amalan kronisme ini amat tidak bersesuaian dan bercanggah, malah sebenarnya mencemari semangat Sambutan 50 Kemerdekaan.

Persoalannya bagaimana surat rasmi ini boleh diperolehi untuk dijadikan bahan bukti dalam penulisan Bigdog. Kementerian perlu menyelidik dan seterusnya boleh menjawab persoalan itu. Namun, yang lebih penting ialah kini penulis blog bukan saja membuat artikel mengenai sesuatu arahan Menteri Kabinet tetapi menyertakan dokumen untuk menyokong dakwaan mereka. Yang ditimbulkan oleh penulis blog itu ialah mengapa satu syarikat sahaja. Surat yang dikeluarkan itu membuktikan ada arahan yang dikemukakan oleh kementerian dan KPUK perlu menjawab rasionalnya untuk menghapuskan prasangka yang ditimbulkan.

Menterinya boleh menjelaskan pemberian kontrak itu untuk membolehkan rakyat negara ini terutamanya syarikat-syarikat lain yang berminat mengetahui rasional pemberian itu. Jika ia dibuat dengan niat yang baik dan tidak timbul isu kronisme, maka penjelasan Menteri boleh menangkis dakwaan yang diketengahkan oleh penulis blog. Ia secara langsung membersihkan nama kerajaan. Namun, jika ia benar dan wujud, maka ini memaparkan penulis blog berjaya melaksanakan tugas mereka sebagai pemantau kegiatan kementerian dan agensi kerajaan.

No comments: