Friday, August 10, 2007

ISTILAH KETUANAN MELAYU TIDAK PERLU?

Bersembang dengan Datuk Dr Malik Munip, anda akan belajar banyak perkara baru. Inilah yang saya alami sejak mula bersembang dengan beliau. Pakar sejarah terutamanya membabitkan bangsa Melayu. Beliau adalah bekas pensyarah dan ahli Parlimen. Sehingga kini, ramai pihak yang masih memanggilnya profesor.

Pagi ini, Dr Malik mengutarakan pandangan mengenai ketuanan Melayu. Ketuanan Melayu banyak dilaungkan sedikit masa dulu untuk menunjukkan Melayu adalah tuan di negara ini. Baginya, perkataan itu yang dikemukakan oleh sesetengah pihak terutamanya orang Melayu sebenarnya akan membuka ruang untuk orang luar menempelak sikap orang Melayu.

Baginya, istilah Ketuanan Melayu itu tidak seharusnya timbul kerana sememangnya orang Melayu hidup di Malaysia. Seperti juga orang India hidup di India, orang China hidup di China dan orang Inggeris hidup di Britain.

Orang India tidak perlu menyuarakan Ketuanan India di India. Orang China tidak perlu menyuarakan Ketuanan China di Negeri China. Begitu juga orang Inggeris tidak perlu mengetengahkan Ketuanan Inggeris di United Kingdom. Begitu juga, orang Melayu tidak perlu bersusah payah untuk mengutarakan Ketuanan Melayu di negara ini. Malaysia memanglah Melayu dan Melayu memanglah Malaysia. Jelas dan terang. Oleh itu, tidak perlulah hendak melaung-laungkan mengenai istilah Ketuanan Melayu itu.

Dr Malik turut menyatakan rakannya yang membuat kajian di Lisbon, Portugal menyatakan ada satu tempat di bandar itu dinamakan Melaka. Rakannya itu juga menemui dokumen yang menunjukkan betapa sukarnya Portugis untuk mengalahkan Melaka. Mereka terpaksa bekerja keras untuk menawan Melaka. Malah, Portugis yang menyerang banyak kali tidak dapat menandingi semangat kuat orang Melayu.

Akhirnya mereka berjaya dengan pelbagai tipu helah dan penggunaan meriam besar serta bantuan pihak lain. Belajarlah sejarah, hasilnya banyak yang terserlah.

2 comments:

LEKLOOK said...

Dato Tiger, tengahari tadi saya bersolat Jumaat bersebelahan dengan Datuk Malik Munip. Kepakaranya bukan sahaja dalam bidang sejarah tetapi pandai memberi perangsang. Beliau menasihatkan saya banyak bersabar dan berdoa terhadap kesihatan ibu saya yang dirawat di ICU KBMC. Menurut beliau kenalannya berada di ICU selama tiga bulan, tetapi berkat doa anak-anak akhirnya dia sembuh.

ibrahim yahaya said...

Sdr Look,

Insan itu memang istimewa. Ayatnya yang amat menarik ...."saja je".