Dua insiden - pergaduhan dan kejadian memukul tetamu, yang berlaku tatkala negara bersiap sedia untuk menyambut kemerdekaan 50 tahun, amat memalukan. Ia menggambarkan seolah-olah ada rakyat kita di mana fikiran mereka masih belum merdeka. Masih dibelenggu pemikiran sempit yang memualkan. Memilih pergaduhan sebagai jalan keluar dan memukul orang untuk menunjukkan kekuatan mereka adalah tindakan orang tidak bertamadun.
Dalam berita Malaysiakini, dilaporkan berlakunya pergaduhan di mesyuarat agung Maika Holdings semalam yang menyebabkan ada yang tercedera. Apakah budaya bergaduh di mesyuarat rasmi masih wujud ketika kita hendak menyambut kemerdekaan yang ke 50? Apakah pergaduhan satu-satu jalan penyelesaian terhadap sebarang pertikaian dan permasalahan? Bangunlah dari tidur wahai rakyat Malaysia. Janganlah bergaduh lagi dan selesaikan sebarang isu dengan cara yang bersopan dan terhormat. Jadilah rakyat yang merdeka dan bermaruah.
Laporan Malaysiakini yang memetik maklumat daripada sumber melaporkan bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam dikasari oleh sekumpulan lelaki di mesyuarat agung Maika Holdings. Ia berlaku ketika Subramaniam mahu bercakap di mesyuarat itu. Mesyuarat itu yang bermula jam 10 pagi, terganggu disebabkan oleh beberapa insiden. Subramaniam dikatakan dikasari tetapi bekas timbalan menteri itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Sumber itu menambah, Subramaniam diserbu oleh sekumpulan lelaki yang sedang marah. Bagaimanapun, penyokong Subramaniam segera datang melindunginya daripada serangan itu.
Dalam pada itu, kejadian polis memukul jurulatih karate Indonesia pula bukan saja memeranjatkan tetapi juga memalukan negara. Apa sekalipun alasan menyebabkan kejadian itu, adalah tidak masuk akal jika ia diselesaikan dengan memukul orang lain. Tambahan pula ia dilakukan oleh pihak yang memahami undang-undang dan bertanggungjawab untuk menguatkuasakannya. Bangunlah dari tidur wahai rakyat Malaysia yang bersifat "gedebe" atau "samseng". Janganlah memukul orang lagi dan selesaikan sebarang isu dengan pendekatan berhemah dan terbaik.
Menurut Bernama, dalam kejadian di Negeri Sembilan, Jumaat lalu, pengadil karate Indonesia, Donald Peter Luther Kolopita mendakwa diserang oleh empat anggota polis Malaysia. Ini menyebabkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, memohon maaf berhubung pengalaman buruk yang menimpa jurulatih itu. Pemohonan maaf itu terkandung dalam suratnya kepada Kolopita yang diserahkan oleh Duta Malaysia ke Indonesia, Datuk Zainal Abidin Mohamed Zain. TS Musa menulis surat itu untuk meyuarakan kekesalan yang amat sangat berikutan insiden malang yang berlaku semasa Kolopita berada di Malaysia untuk mengadili Kejohanan Karate Asia.
Rakyat Malaysia harus memerdekakan minda mereka selari dengan teriakan merdeka, merdeka, merdeka oleh Perdana Menteri pertama, YAM Tunku Abdul Rahman setiap kali kita menyambut tarikh keramat 31 Ogos. Rakyat Malaysia harus menghayati erti kemerdekaan dalam membentuk jatidiri yang lebih mulia dan bersopan santun terhadap keluarga, anak-anak, saudara-mara, sahabat-handai, rakan taulan, apatah lagi tetamu kita.
Ketika saya menulis artikel ini, bulan mengambang di Putra Heights, Subang Jaya walaupun jam menunjukkan hampir 7 pagi. Kegelapan minda sesetengah daripada kita diharapkan akan diterangi selagi ada bulan dan matahari. Cahaya yang akan memerdekakan minda kita. Selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke 50 tahun. Selamatkan Malaysia daripada malapetaka dan kemusnahan selagi ada bulan dan matahari.
Friday, August 31, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
hidup maika ... sbb membawa gengsters untuk mesy. ini supaya dapat mengelakkan dirinya selamat ... supaya rakyat tidak berani menanya ... dun forget tht all wathcing out thr
Kita nak kena pohon ampun dari Mat Indon yang kena pukul? Menarik tu. Indonesia tak pernah pulak meminta maaf kepada kita walaupun Mat-Mat Indon memukul, merompak, memijka budak kecik, tendang budak-budak (baca MM hari ini) Apakah kita takut dengan Mat-Mat Indon yang ramai tu kat sini
Post a Comment