Wednesday, August 8, 2007

NASI LEMAK UNTUK KAWAN

Semalam sibuk sedikit. Jumpa ramai kawan.

Berkenalan dengan orang baru amat menyeronokkan. Apatah lagi jika kita mula menyenangi sikapnya terutama hubungannya dengan teman. Saya baru mengenali seorang teman yang bekerja di Alor Star. Orangnya bermisai tetapi peramah dan suka tersenyum. Menemuinya kali pertama, saya sudah pasti teman ini seorang yang gemar berkawan dan pandai mengambil hati orang lain.

Pagi ini, ketika saya hendak ke Kuala Lumpur dari Alor Star, saya bertemu teman baru ini. Beliau ke KL untuk bermesyuarat sehari. Selepas tamat mesyuarat sebelah petang, beliau akan bertolak balik ke Alor Star.

Namun, yang menyebabkan saya berminat dengan teman ini ialah dua beg yang dibawanya. Belum sempat bertanya mengapa membawa dua beg sedangkan mesyuarat hanya sehari, beliau terus menjelaskannya tanpa "mendengar" soalannya. Beliau seolah-olah boleh membaca fikiran saya.

"Ini nasi lemak untuk kawan." katanya. "Nasi lemak Alor Star?" tanya saya. "Ya...nasi lemak panas dari Alor Star." jelasnya. "Banyak ni...untuk siapa?" tanya saya lagi. "Untuk kawan-kawan kat KL" katanya ringkas.

Teman itu memberitahu bahawa ini bukan kali pertama beliau berbuat demikian. Malah ia dilakukan jika ke KL untuk bermesyuarat sehari ataupun bermalam sehari dua.

Bagi saya, amat bertuahlah kawan yang mempunyai sahabat seperti teman baru ini. Membawa nasi lemak atau makanan untuk kawan adalah satu sikap mulia, apatah lagi nasi lemak itu adalah yang terbaik di Alor Star. Lemak dan sedap. Dapatlah orang KL rasa nasi lemak AS.

Berapa ramai lagi "insan" yang mempunyai sifat sebegini mulia, setidak-tidaknya dalam usaha merapatkan jalinan dengan kawan-kawan. Bertuah nasi lemak Alor Star dapat naik kapalterbang.Perrrggghhh.

1 comment:

PUTRAGABAN said...

sayapun sedang menunggu nasi lemak dari seorang kawan yang baru balik dari outstation beri ceramah motivasi pada orang politik.