Sunday, August 5, 2007

BENDERA BENDERA BENDERA

Saya sudah memasang bendera di depan rumah sempena bulan kemerdekaan tahun ini. Pemasangan itu adalah simbolik kegembiraan dan tanda syukur saya di atas kejayaan pemimpin negara memperjuangkan kemerdekaan diri daripada anasir luar.

Kemerdekaan ini membolehkan kita, rakyat Malaysia mengembleng tenaga dan pemikiran untuk membentuk sebuah negara bermaruah. Kemerdekaan ini membolehkan kita melaksanakan dasar mengikut acuan sendiri untuk membentuk negara.

Melihat secara halus, negara Malaysia bukannya muncul selepas 1957 kerana kita sudah wujud sejak berzaman. Tahun 1957 bukan kelahiran negara yang bernama Malaysia tetapi pembebasan pemikiran daripada kongkongan luar. Bermula daripada 1957, rakyat negara ini tidak diganggu oleh anasir luar yang mahu segala-galanya mengikut telunjuk dan kepentingan mereka. Dalam ertikata sebenarnya, bermulanya kebebasan rakyat Malaysia untuk memikirkan apa yang terbaik untuk diri mereka.

Sejak kemerdekaan secara fizikal dan kerohanian itu, pemimpin-pemimpin negara iaitu Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kini Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, telah menerajui rakyat Malaysia untuk menjadi bangsa cemerlang dan gemilang. Usaha ini tidak pernah luntur malah sentiasa bergelodak terutama untuk membawa Malaysia ke tingkat terbilang. Ia bukan satu perkara mustahil kerana banyak kejayaan yang dicapai dalam pelbagai bidang dari semasa ke semasa. Kejayaan ini adalah pendorong dan katalis bagi semangat kita untuk meraih lebih banyak kecemerlangan pada masa akan datang. Usaha bersungguh-sungguh pasti mencapai kejayaan.

Sehubungan itu, marilah kita memasang bendera di rumah dan pejabat atau di mana saja yang sesuai untuk memaparkan sikap dan semangat sayang kepada negara dan sanggup mempertahankannya sehingga ke titisan darah terakhir. Malaysia negara kita.

Pemimpin negara termasuk Menteri Kabinet perlu memberi teladan dalam pemasangan bendera ini di rumah dan pejabat mereka. Pemimpin yang gagal untuk memasang bendera ini walaupun alasan seperti "terlupa" atau "tidak perasan" perlu meletakkan jawatan mereka kerana ketiadaan kesungguhan untuk menjadi contoh terbaik kepada rakyat negara ini. Carilah rumah-rumah pemimpin kita yang tidak memasang bendera dan paparkan dalam media tempatan. Jika tiada yang sanggup melakukannya, hantarlah gambar itu kepada saya untuk dipertontonkan kepada rakyat mengenai sikap alpa mereka dalam DuniaTiger.

Malaysia Negaraku Gagah Gemilang.

1 comment:

PUTRAGABAN said...

Di Indonesia, bendera dijual dengan harga murah di tepi-tepi jalan menjelang sambutan kemerdekaan. di barat, bendera bukan hanya dikibar, tetapi ada juga yang jadikan baju dan seluar untuk dipakai. Tetapi di Malaysia, susah sangat nak kerah rakyat beli dan kibar bender. Yg dapat secara percumapun tak mau kibar. Nak tau lebih lanjut baca duniabudin.