Kawan saya yang mengusahakan pasar mini di Cheras, Kuala Lumpur mengeluh kerana pendapatannya kini berkurangan. Tahun ini, jualannya separuh daripada tahun sebelumnya. Bayangkan kalau tiga tahun lalu boleh mendapat antara RM 2,000 hingga RM3,000 sehari tetapi kini tinggal separuh iaitu antara RM1,300 hingga RM1,500. Itu baru jualan, belum lagi keuntungan. Beliau mendapat 10 peratus daripada keuntungan sehari atau kira-kira RM130 hingga RM150 sehari. Setelah ditolak kos lain, keuntungannya semakin mengecil.
Jika pada 2004, beliau meraih banyak keuntungan daripada jualan suratkhabar dan majalah, kini semakin berkurangan. Hampir separuh. Kalau dulu boleh menjual Utusan Malaysia sebanyak 50 naskhah sehari, kini hanya tinggal 25 naskhah. Kalau hari hujan semakin parah dan menderita. Begitu juga Mingguan Malaysia. Dulu boleh menjualnya sebanyak 120 naskhah, kini hanya 60 saja. Aliran yang sama juga bagi suratkhabar arus perdana lain. Majalah pun begitu. Jualan menurun sehingga 60 peratus. Buku pula hanya sedikit saja yang laku.
Begitu juga stationery atau alat-alat tulis. Berkurangan hampir 70 peratus. Apa tidaknya, ada lima pasaraya besar yang muncul di Cheras. Sebut saja namanya, semua ada. Tempatan dan luar negara. Yang menyedihkan ialah apabila terpaksa membayar bank sebanyak RM1,500 hingga RM1,800 sehari. Apabila keadaan teruk dulu, beliau terpaksa memajak rumahnya kepada bank. Inilah yang kena tanggung. Yang laku sekarang hanyalah kad prabayar telefon, rokok dan cokelat. Amat menyedihkan.
Sebagai membuktikan orang Melayu juga boleh berniaga runcit, beliau menggunakan wang simpanannya untuk membuka pasar mini. Namun, ada nada kekesalan dalam dirinya dengan membabitkan diri dalam bidang itu. Tiada ruang untuk membesar lagi apatah saingan pasaraya besar. Mungkin ini yang dirasai oleh peniaga pasar mini lain termasuk peniaga Cina dan India. Itu sebabnya mereka yang kecil ini meminta pelbagai bantuan kerajaan. Terpaksalah mencari parti-parti politik untuk membantu.
Rakan saya masih tercari-cari apakah langkah terbaik untuk memperbaiki dirinya. Dengan bilangan pembeli buku, majalah dan suratkhabar semakin menguncup menggambarkan bahawa mereka kita tidak cukup wang untuk membeli bahan bacaan itu. Atau mungkin dengan harga rokok yang semakin meningkat menyebabkan mereka sanggup "mengorbankan" pembelian suratkhabar dan majalah.
Keadaan ini pernah disuarakan oleh seorang kawan yang menjadi pegawai pemasaran di syarikat akhbar. Jualan akhbarnya makin berkurangan sejak harga rokok meningkat. Apakah jualan itu akan terus merundum jika kerajaan terus menaikkan harga rokok? Dalam satu hal, memanglah baik untuk menghalang masyarakat menghisap rokok tetapi ia juga menjejaskan penjualan suratkhabar atau mungkin majalah. Atau kini makin ramai membaca media baru termasuk news portal seperti MalaysiaToday, Malaysiakini, AgendaDaily dan KLPos. Siapa yang nak jawab? Ada pandangan?
Tuesday, August 21, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Setiap sesuatu itu ada kelebihan dan kekurangannya.
Salah satu kekurangan pasaraya besar, inilah dia. Membunuh peniaga-peniaga kecil disekelilingnya.
Kementerian Hal Ehwal Pengguna menjaga kepentingan pengguna.
Siapa pula jaga kepentingan peniaga-peniaga kecilan sebegini?
Apabila serbuan dibuat atau Menteri turun padang, peniaga kecil-kecilan sebegini dimasyhorkan ibarat musuh pengguna, penipu bangsa dan negara.
Mungkin jumlah peniaga-peniaga kecil ini boleh dianggap terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah pengguna. Jadi undi mereka boleh dikorbankan.
Namun apabila tiba pilihanraya, kepada pengusaha-pengusaha kecilan beginilah orang yang bertanding akan berkempen dan berjanji. Peniaga pasaraya besar tak perlu dikempenkan.
Setelah berjaya meraih undi, peniaga kecil diingatkan supaya jangan bergantung kepada tongkat kaki. Kena belajar berdikari. Kena bersyukur, jangan lupa diri. Kena berniaga macam Jack, Marc & Denis, dan Bill & Jim.
Saya cuma nak sentuh dari segi penjualan akhbar. Dulu saya memang beli hari hari akhbar harian UM dan BH sebab kandungannya menarik dibaca sampai berebut dgn adik beradik.
Semenjak evolusi internet dan setelah minda terbuka bila membaca akhbar internet, pembangkang dan akhbar nasional saya tahu terdapat berita yg betul dan palsu. Antara fakta dan fitnah dan antara realiti dan khayalan.
Bukan tidak ada duit untuk membeli tapi kerana karenah akhbar tempatan yg terlalu condong kepada sesuatu kumpulan membuatkan saya meluat untuk membaca. Apa yg saya lakukan baca seimbas lalu diinternet semua akhbar yg online.
Saya tidak lagi membeli akhbar, kalau gunakan akhbar itupun sebab pergi ke pasar membeli ikan yg dibungkus dengan akhbar!
Mungkin kawan saudara dapat beralih bidang untuk menjual bahan makanan pula dan jangan bergantung kepada akhbar atau majalah yg rata ratanya semakin mahal dan menurun kualitinya.
Post a Comment