Thursday, May 8, 2008

3 LAPORAN POLIS TERHADAP KARPAL

KUALA LUMPUR: Tiga lagi laporan polis dibuat terhadap Pengerusi DAP Karpal Singh yang mempersoalkan kuasa Sultan Perak dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri berhubung isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Datuk Jamry Sury.

Laporan pertama dibuat oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Sentul pada jam 5 petang ini.

Beliau yang ditemui pemberita selepas membuat laporan polis itu berkata, kenyataan yang dibuat Karpal pada 5 Mei lalu boleh dianggap sebagai satu pemesongan dan penghinaan yang serius.

“Saya membuat laporan ini agar polis dapat menjalankan siasatan yang sewajarnya ke atas YB Karpal, kerana bimbang kenyataan itu boleh mencetuskan permusuhan antara kaum-kaum di Malaysia, terutamanya di Perak,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, dua lagi laporan dibuat Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) dan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) di IPPD Brickfields di sini.

Kedua-dua laporan itu yang dibuat kira-kira jam 4.30 petang oleh Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing (BNBBC) dan Ketua Umum BBPM, Osman Abu Bakar.

Mereka mendesak polis menjalankan siasatan yang perlu mengikut mana-mana undang-undang negara yang berkaitan terutama Akta Hasutan 1948. - Bernama

(Renungan Rimau : Janganlah kita mengeluarkan kenyataan politik yang boleh menyinggung dan menyakitkan hati orang lain. Tidak baik tu. Mengapa panas ni. Hatipun panas. Kipas tidak bergerak ke atau penghawa dingin rosak? Laa...kesiannya, bayi pun menangis sebab kepanasan.)

10 comments:

tajudin said...

Ingin bertanya Datuk, sekadar bertanya, kalau Datuk ditempat YB Karpal sekarang, apa yang Datuk akan lakukan, yang perlu Datuk buat?

ibrahim yahaya said...

Sdr Tajudin,

Susah untuk menjawab soalan Sdr.

Saya tidak boleh bayangkan berada dalam kedudukan beliau yang sanggup mengeluarkan kata-kata, kenyataan atau luahan yang tidak menghormati Raja-raja dan bangsa Melayu. Jangan tunjukkan perangai yang tidak baik kepada anak-anak.

Mendengar perkataan beliau yang mengatakan "kita bukan berada dalam zaman feudal" memperlihatkan kedegilan beliau untuk menghormati Raja-raja.

Tetapi sekadar menghormati pertanyaan Sdr - beliau perlu insaf dan meminta maaf.

Di mana bumi dipijak, di situ langit di junjung. Kalau tidak mahu junjung, tidak payahlah pijak. Itu je.

Bung Karno said...

Kelantangan Karpal disebabkan oleh kelembutan Paklah.

ibrahim yahaya said...

Sdr Bung Karno,

Paklah pernah menegaskan walaupun lembut tetapi liat, jangan pula sesuatu barang itu keras tetapi mudah patah. Nak cari kayu, nak cari kayu...nak cari kayu, nak cari kayu.....kayu arang ke?

farzain said...

Em, bung karno. Itu alasan yang tidak relevan untuk menyalahkan Pak Lah? Karpal bukannya kanak-kanak, dia sudah cukup umur untuk memikirkan apa yang baik dan buruk. Pak Lah tidak boleh mengelakkan orang2 ni dari meluahkan perasaan mereka, tetapi seharusnya mereka sebagai "public figure" khususnya Karpal perlu lebih berhati2 bila membuat kenyataan lebih2 lagi membabitkan isu2 sensitif seperti ini.

phillix-starscreamer said...

saya setuju dengan farzain. bacalah renungan rimau. jangalah kita mengeluarkan kenyataan politik yang boleh menyinggung dan menyakitkan hati orang lain.buat apa? adik bongsu saya yang masih darjah 4 pun tahu kata-kata yang menyinggung itu salah.

ibrahim yahaya said...

Sdr Farzain,

Sebablah dia public figurelah, dia cakap macam tu. Supaya orang memberi perhatian dan dengar.

Sekarang ni, siapa yang boleh menyakinkan orang ramai, merekalah yang orang percaya. Isu keyakinan dan kepercayaan.

Ini amat "bahaya", jika orang ramai sudah yakin dengannya apatah lagi mereka bersetuju, semua yang dia kata akan dituruti. Macam kes gadis kita ditangkap bawa dadah di luar negara. Ini semua kerana terlalu percaya kepada orang. Jauhlah kita daripada malapetaka seperti itu.

ibrahim yahaya said...

Sdr PS,

Ini bermakna adik darjah 4 Sdr lebih budiman daripada sesetengah orang yang berperangai seperti bayi, suka menangis dan merengek.

epain said...

sy rasa isu ini perlu dilihat dgn betul...dr segenap aspek...

kalau betul kenyaataan karpal tu menghina sultan dia jelas salah....

tapi kalau tidak, maknanya ada pihak lain yg perbesarkan isu...

apa yg sy paham...karpal bukan "mempertikai" tapi dia "mempersoal"...

sy rasa "pertikai" dan "persoal" mempunyai makna yg jauh berbeza...

"pertikai" jelas menderhaka tp kalau sekadar persoal atau erti kata lain bertanya...salah ke?

ibrahim yahaya said...

Sdr Epain,

Kalau Paklah sendiri sudah suruh Ku Nan buat laporan polis, tentulah ada yang tidak kena dengan kenyataan itu.