Friday, May 9, 2008

ANJUNG SERI MEI 2008



Sertai Peraduan Padanan Warna Nippon Paint yang menawarkan hadiah lumayan bernilai RM21,000, peraduan percutian SPM Resort di Cameron Highlands dan Eagle Ranch Resort di Port Dickson. Tema ruang dapur memaparkan sembilan gaya kabinet berpulau, 10 kaedah membentuk ruang dapur pelbagai ukuran, kemasan lantai ruang dapur yang sesuai dan beraneka peralatan dapur bergaya moden.

Ikuti kisah Haziq, peserta AF4 yang mampu memiliki kondominium berharga ratusan ribu ringgit biarpun baru berusia 20 tahun; suasana tiga rumah yang dimiliki oleh tukang masak Mohamad Liah Zainal, Cikgu Asiah Hassan dan pengusaha tadika Nasibah Haron serta hias laman pondok Melayu di taman Bali.

2 comments:

Anonymous said...

Adakah datuk seorang editor/penulis/berkaitan dengan majalah anjung seri? :D

Sila maklumkan bagi insan yang tidak mengetahui ini. hehe. (ignorant kah saya? :P)

ibrahim yahaya said...

Sdr Farzain,

Saya pernah bertugas di Berita Publishing Sdn Bhd (BPSB) sebagai Pengarang Kanan. Antara tugas saya ialah menyelia/memberi input/menasihati isi kandungan majalah terbitan BP dan juga membantu pasukan pemasaran/iklan mencari iklan.

BPSB menerbitkan majalah seperti Anjung Seri, Jelita, I-Remaja, Malaysian Business, buku dan novel. Saya berhenti pada 2005 selepas empat tahun berkhidmat dengan Datuk AKJ kerana menerima tawaran kerajaan untuk menjadi Perunding Media RTM selama dua tahun.

Oleh kerana mempunyai blog, saya menawarkan diri kepada Pengurus Besar Kanan BPSB, Puan Zaini Zainuddin, untuk membantu memaparkan majalah mereka untuk membolehkan pembaca seluruh dunia mengetahui apakah kandungan terbaru majalah terbitan BP.

Oleh kerana blog ini boleh dibaca di seluruh dunia, adalah diharapkan ia boleh mengubat rindu rakyat negara ini untuk mengetahui apakah bahan yang ditulis dalam majalah tempatan. Jika mereka meminatinya, mereka boleh meminta keluarga atau rakan untuk membeli dan menghantarnya ke seluruh dunia. Itupun kalau mereka masih membaca majalah tempatan seperti Jelita yang banyak memaparkan kisah masyarakat, ada kemungkinan keluarga atau rakan taulan mereka.

Bagi penerbit majalah, mereka perlu gigih meningkatkan jualan majalah dan mencari iklan terkemuka. Kedua-duanya perlu seimbang untuk memperolehi keuntungan.

Bagi saya, masalah utama yang dihadapi oleh penerbit majalah Melayu ialah kurangnya sokongan iklan daripada pengiklan ternama. Bukan tiada, tetapi tidak banyak berbanding majalah berbahasa Inggeris. Hanya beberapa pengiklan yang bijak mengiklan produk dalam majalah berbahasa Melayu kerana mengetahui dengan mengiklan produk mereka di majalah berkenaan, keluaran mereka akan diketahui dan diminati.

Mereka yang terbabit dalam bidang iklan dan pemasaran perlu memahami budaya negara ini terutama budaya orang Melayu. Umpamanya, pengeluar syampu perlu mengiklan barangan mereka dalam majalah berbahasa Melayu kerana wanita Melayu perlu membasuh rambut mereka setiap masa. Menyucikannya sebersih-bersihnya dan sudah pasti menggunakan syampu. Mereka pasti bersyampu ketika mandi hadas kerana haid atau dot dot dot. Begitu juga lelaki Melayu, mereka pasti bersyampu selepas berhadas besar. Takkanlah mereka guna santan kelapa kot.

Oleh itu, saya tabik spring kepada pengiklan Sunsilk yang mengambil pengacara bertudung TV3,Wardina sebagai ikon dalam branding terbaru mereka kerana syarikat itu teramat bijak dan memahami budaya bangsa Melayu - suka/perlu guna syampu setiap hari. Ikon lain ialah Mariyln Monroe, Madonna dan KD.