Monday, May 19, 2008

JURUTERA TNB JADI TIMBALAN MENTERI


(Datuk Bad menemuramah Datuk Idris Harun. Gambar oleh Agenda Daily)

Oleh Badrul Hisham Abdul Aziz

Beliau dihimpit kemiskinan dan kesengsaraan sejak dilahirkan. Dalam usia enam tahun, bapa tersayangnya kembali menyahut panggilan Ilahi dan setahun kemudian ibunya mendirikan rumahtangga untuk kali kedua. Beliau dan adik-beradik mengharapkan cahaya lebih terang untuk menghadapi masa depan yang lebih cerah daripada perkahwinan itu.

Namun, bapa tiri yang diharap menjadi payung berteduh mengguris perasaannya dan adik-beradiknya hingga ke hari ini. Anak-anak yang masih kecil ini dihalau dari rumah mereka di Asahan, Melaka. Dan, ibu tercinta terkapai-kapai tidak berupaya berbuat apa-apa kerana beliau sendiri sering dipukul dan rumahtangganya dirundung pelbagai masalah sepanjang masa.

“Malah, ibu sendiri mengesyorkan kami melarikan diri kerana tidak tertahan melihat penderitaan yang kami lalui,” kata Datuk Idris Harun, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, pemegang ijazah Kejuruteraan Elektrikal dari University of Texas at el-Paso, Amerika Syarikat.

Katanya, setiap kali pulang dari sekolah, mereka tidak mendapat makan tengahari, sebaliknya setelah berjalan kaki dua kilometer dari sekolah, tugas menanti ialah mengangkat air dan memasaknya Idris, tidak kesal dengan apa yang dilalui itu dan sentiasa menerima dan melihat sudut-sudut yang positif.

“Jika tidak dihalau kira-kira 35 tahun lalu, mungkin hari ini saya hanyalah seorang penoreh getah atau pekerja kampung seperti bapa atau bapa tiri saya,’’ katanya tegas sambil dahinya kelihatan berkerut mengenangkan masa-masa silamnya yang tidak bertuah seperti anak-anak kecil lain.

Idris berkata, beliau dan dua orang lagi saudara kandungnya masih dan tetap bertuah kerana abang sulungnya daripada ibu yang berlainan menerima mereka dengan baik, mendidik sehingga berjaya dan bertindak sebagai ibu dan bapa walaupun siabang itu hanyalah seorang guru biasa dan mempunyai lima orang anak sendiri untuk dibesarkan.

“Kami sangat terhutang budi pada abang ini. Anak sendiri ada lima orang, kami pula datang menumpang, tetapi dia menerima dengan baik. Dengan abang inilah saya menumpang kasih sehingga saya mendirikan rumahtangga pada tahun 1993,” kata jurutera yang pernah berkhidmat dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ini.

Pelbagai pengalaman pahit dan asam garam yang dilalui itu kini ditukarkan dan diterjemahkan sebagai iltizam untuk beliau memberikan khidmat terbaik sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang melihat kementerian itu sebagai ‘kilang’ untuk mengeluarkan calon-calon gunatenaga terlatih dan bermutu bagi memenuhi keperluan negara.

Idris yang menjadi penolong jurutera TNB di Kajang pada tahun 1989 turut bepeluang mencari ilmu di Kenshu Centre, Jepun dari 1992-93 sebelum ditukarkan ke Jasin, Melaka pada tahun 1996.



Idris berpendapat kementeriannya mempunyai peranan dan tanggungjawab yang amat besar dalam penyediaan gunatenaga – bukan sekadar menghasilkan para siswazah dalam pelbagai jurusan, tetapi tidak bersesuaian dengan keperluan semasa pasaran kerja.

Beliau melihat ‘miss-matching’ iaitu siswazah tidak terjumpa peluang pekerjaan mengikut kelulusan mereka, harus dihapuskan dan langkah itu hanya boleh dilakukan dengan dua cara.

Pertama, beliau yakin masalah itu pasti dapat diatasi apabila siswazah tidak memilih pekerjaan dan kedua, universiti hanya mengeluarkan produk mengikut keperluan pasaran.

Bagi beliau, para siswazah juga sepatutnya sudah bersedia untuk menerima jawatan yang lebih rendah daripada kelulusan masing-masing, tetapi menjanjikan pulangan atau gaji yang lebih besar.

Beliau mengambil contoh, tatkala beliau menjadi jurutera dahulu dengan pendapatan RM1,500 sebulan, rakannya yang bekerja sebagai ‘chargeman’ membawa pulang pendapatan tiga kali ganda daripada gajinya.

“Semasa di Amerika, seorang rakan yang memiliki ijazah kedoktoran (Ph.D) bekerja sebagai juruteknik sahaja, tetapi pengetahun dan pegalamannya memungkinkan beliau mendapat gaji yang lumayan,’’ katanya memberi semangat kepada anak-anak muda supaya sentiasa bersedia mencari pekerjaan yang lumayan – bukan jawatan yang glamour.

Bagi pihak universiti pula, jurutera yang pernah menjadi Yang diPertua Majlis Daerah (kemudianya Perbandaran) Alor Gajah ini dari tahun 2000 hingga 2004 menegaskan Kementerian Pengajian Tinggi akan bergerak ke arah menyediakan produk yang diperlukan pada masa depan berdasarkan kepada unjuran semasa.

Idris yang juga Ahli Parlimen Tangga Baru, Melaka, menegaskan Kementerian Pengajian Tinggi adalah ‘service provider’ untuk menghasilkan siswazah ‘boleh kerja’ pada tahap tinggi kerana Negara kita sedang menuju ke arah melahirkan 60% generasi berpelajaran tinggi.

Ditanya bilakah masalah ‘miss-matching’ dan tidak memilih jawatan tinggi dapat diatasi, Idris yang juga pemimpin belia ini mengunjurkan satu generasi pendidikan diperlukan. Satu generasi itu dimaksudkan sebagai 15 hingga 20 tahun iaitu satu pusingan pendidikan terendah hingga yang tertinggi melepasi menara gading.

Buat masa kini, menurutnya baru mencapai ke tahap 15% hingga 20% dan langkah-langkah positif akan diteruskan ke arah itu.

“Menghayati pencapaian 20% ini akan mendorong pencapaian baki 80%,’’ katanya penuh yakin dan menekankan supaya para remaja mendekati rakan-rakan yang bermotivasi tinggi serta ghairah untuk melalui perubahan untuk bergerak lebih maju mencapai kejayaan.

Idris yakin, kejayaan tidak akan tercapai dalam masa satu malam, sebaliknya mesti disaluti dengan kesedaran dan keinsafan dan memulakan dengan langkah sendiri tanpa menunggu orang lain memulakannya.

Untuk itu, katanya kementeriannya akan terus memantau perkembangan calon-calon siswazah dan juga siswazah di pelbagai peringkat supaya mereka sentiasa terarah dan menepati keperluan.

Untuk itu, katanya, pihaknya akan membaiki beberapa kelompong yang ada seperti mewujudkan Jabatan Pengajian Tinggi di peringkat Negeri seperti mana Kementerian Pelajaran mempunyai pejabat masing-masing.

“Buat masa ini, semua negeri dah ada universiti, tetapi jabatan di peringkat negeri belum ada,’’ ujarnya. Jabatang itu akan menjadi penghubung antara negeri dengan kementerian dan lebih fokus menjalankan kerja-kerja pentadbiran.

Jabatan itu akan juga menjadi ‘jambatan’ menerima produk dari sekolah menengah untuk ke IPT.

Beliau yang juga Pengerusi Belia Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Pengerusi Kira-kira World Assembly of Youth (WAY) turut memandang tinggi terhadap usaha mewujudkan frasarana pembelajaran sepanjang hayat iaitu memberi peluang kedua untuk semua pihak mendapatkan ilmu sepanjang masa.

Katanya, memberi peluang kedua ini boleh menjadi kenyataan apabila pengalaman bekerja ditukarkan sebagai syarat kelulusan akademik untuk memohon ke universiti. Kaedah ii telah lama diamalkan di Barat dan Malaysia sedang bergerak ke arah itu kerana dengan cara ini, negara dapat melahirkan gunatenaga mahir yang diperlukan oleh pelbagai industri.

Untuk mencapai matlamat itu, beliau yakin, semua pihak khususnya kementerian berkaitan hendaklah bekerjasama dengan kementeriannya supaya pengaliran siswazah dapat ditentukan lebih awal berdasarkan keperluan masa depan.

Timbalan Menteri ini melihat KPT mempunyai ruang yang khusus dan fokus apabila ia dipisahkan daripada Kementerian Pelajaran yang sebelum ini mempunyai ruang litup yang sangat luas.

“Kini KPT lebih fokus untuk mengangkat martabat institusi pengajian tinggi dengan mengeluarkan produk yang lebih bermutu iaitu siswazah yang boleh berdikari dan memacu perubahan dengan lebih laju. Ini harus dijadikan amalan dan akhirnya dijadikan budaya.

Apabila ini terjadi, barulah berlaku kehebatan yang berterusan,’’ ujarnya.

Sebelum ini sangat luas cakupan Kementerian Pelajaran, tetapi kini kita boleh lahirkan produk yang sejak hari pertama di menara gading hingga keluar, matalamatnya tidak berubah dan memenuhi kehendak pasaran,’’ katanya.

Pemimpin anak desa yang pernah bersekolah di Sekolah Menengah Sains Melaka sehingga ke tingkatan lima sebelum ke Amerika Syarikat itu turut meminta anak-anak muda sentiasa memandang tinggi terhadap sekolah tempat mereka pernah belajar dengan cara kembali sebagai alumni.

“Kita hendaklah sentiasa tahu membalas jasa dan jika tidak mampu membalasnya, memadailah dengan mengenang, tetapi jangan sampai lupa jasa,’’ kata anak yang sentiasa menyanjung tinggi emak dan abang sulung yang membesarkannya.

Ditanya apakah peristiwa yang amat memilukan hatinya, Ketua Pemuda UMNO Tangga Batu tidak terkilan dengan apa yang dilaluinya, sebaliknya amat sedih apabila pulang dari Amerika Syarikat, rumah ibunya masih bergelap tanpa bekalan eletrik sedangkan beliau adalah jurutera elektrikal TNB.

“Saya amat sedih dan malu dengan ejekan kawan-kawan, tetapi bapa tiri terus dengan sikap ‘tak kisah’nya. Malah, kesemua anaknyapun dihantar ke sekolah Cina……”

Namun, Idris yang berbadan kecil tetapi berjiwa besar dan bersuara lantang ini tetap menghormati ibu dan bapa tiritnya itu dan menyambung bekalan elektrik demi adik-adiknya yang 10 orang dan ibu yang tercinta.

“Balik dari Amerika, saya terus cari emak. Alhamdullillah, emak sempat melihat kejayaan anaknya ini. Begitu juga abang yang telah meninggal dunia tetapi sempat melihat saya sebagai jurutera,’’ ujarnya dengan matanya berkelip-kelip menahan kesedihan dan kebanggaan yang dilalui tanpa abang tersayang.

“Syukurlah ibu masih ada…..kata Idris, anak ketiga daripada empat orang adik-beradik sebapa manakala ibunya yang berkahwin lain mempunyai 10 orang lagi anak.

Ditanya mengenai nasib dua orang lagi saudara yang turut menaiki bas membawa diri semasa kecil dahulu, Idris memberitahu kakaknya adalah seorang jururawat terlatih manakala adiknya pula kini, seorang Jurutera Kimia.

Ditanya (dengan diberi pilihan untuk menjawab atau sebaliknya) sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah meletakkan beliau di tempat yang wajar, anak muda yang sangat ‘friendly’ tetapi kelihatan serius ini memberitahu bahawa:

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi peluang kepada orang muda. Saya akan bercakap mewakili semua pihak. Saya boleh berkhidmat di mana-mana sahaja. Apa juga tanggungjawab diberi, saya akan laksanakan.” - 15/5/2008 / aGENDA DAILY.

5 comments:

su-kj said...

A.kum Datuk,

1. Bagus Datuk, sebagai anak Melaka Datuk perlu memperkenalkan orang Melaka kepada semua masyarakat di negara ini.

2. Takan Datuk Idris sendiri nak perkenalkan dirinya sendiri kepada orang lain.

3. Itulah penting peranan kita bloggers pada hari ini. Disampin kita mengkritik itu dan ini, masa yang sama juga kita cuba melakukan sesuatu yang berfaedah untuk semua.

ibrahim yahaya said...

Sdr Su-Kj,

Cerita Datuk Idris amat menarik untuk dijadikan inspirasi anak muda sekarang. Ia memaparkan kesusahan anak Melayu untuk maju dan terus berbakti kepada negara. Ia memaparkan mereka yang dipilih menjadi Timbalan Menteri bukanlah hanya daripada golongan senang yang tidak pernah melalui kesempitan hidup atau masalah keluarga.

Semoga Datuk Idris dapat memperbaiki kehidupan dan martabat bangsa Melayu.

ramzani idris said...

Tahniah Yb Idris. Beliau memang dikenali dengan seorang yang tidak sombong dan jujur. Seorang yang sangat kuat bekerja serta mmempunyai perwatakan yang baik serta taat kepada agama. UMNO memerlukan pemimpin muda seperti beliau. Moga YB berjuang dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh bagi agama & bangsa kita.

awangsulungmerahmenyala said...

salam sejahtera,
berjuanglah di atas landasan semoga tak tergelincir dari landasan kalau gamak tergelincir pun cepat2 naik balik atas landasan jgn mcm sesetengah politikus bila dah tergelincir dari landasan dia pi buat pula landasan baru yg lagi lebar sbb badan pun dah bertambah lebar ada juga nak menyempitkan landasan sbb takmau org lain menumpang landasan.tapi itulah nama pun landasan,bila mat pet cabut besi landasan jual kat keling botol habis tergelincir badan kalau masih ada tuah cuma luka-luka ringan jer kalau maut atau ajal dah sampai alamat berkuburlah yg tinggal hanya batu nisan.

LEKLOOK said...

Datuk Deris pertama kali saya bersua muka waktu tengah malam dalam gelap bersama Datuk Ibrahim Yahaya ketika kempen Pilihan Raya Kecil di Ijok.

Beliau teragak-agak untuk menyertai taklimat Perhubungan UMNO Melaka di Rumah Melaka.

Orang kanan Datuk Ali Rustam ini seterusnya saya temui di Perhimpunan Agung UMNO. Lantas saya meminta wartawan TV yang saya bawa untuk mewawancaranya.

Dan sebelum rombakan kabinet selepas PRU 12 saya sudah yakin beliau akan dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Tahniah, semua rakan-rakan juga akan dapat berteduh....