Thursday, May 22, 2008

RAKYAT PERLU TERIMA APA JUA KEPUTUSAN

Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek, berkata RTM1 akan menyiarkan secara langsung penghakiman oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai pertikaian hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura mulai jam 4 petang esok.

Siaran langsung dari The Hague, Belanda itu, katanya, akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia, khususnya anak Johor, mengikuti prosiding kes berkenaan daripada kaca mata Malaysia. Dalam ertikata lain, rakyat akan menonton penghakiman itu serta mendapat maklumat daripada siaran televisyen tempatan bukannya siaran negara lain.

Beliau berharap semua pihak termasuk media baru membantu menerangkan maklumat ini kepada rakyat Malaysia agar mereka menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan tidak membuat tuduhan tertentu. Beliau yang pernah menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Luar menjelaskan Pasukan Malaysia telah memberikan hujjah yang terbaik di ICJ. Dato' Ahmad Shabery berkata demikian dalam pertemuan dengan beberapa orang bloggers di pejabatnya di Angkasapuri, malam tadi.


Mengikut laporan Bernama semalam, di majlis taklimat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, Dato' Shabery berkata ramai orang Johor mengadakan doa selamat dan sembahyang hajat agar keputusan kes itu memihak kepada Malaysia kerana kes berkenaan amat dekat di hati mereka.

Bagaimanapun, kata beliau, kedua-dua negara telah berjanji akan akur terhadap keputusan ICJ berhubung pertikaian itu dan pihak yang menang, tidak akan mengadakan sebarang sambutan kemenangan.

"Yang penting di sini ialah mencapai penyelesaian bagi konflik yang telah berlarutan sejak sekian lama," kata Shabery, sambil menambah bahawa rakyat Malaysia akan menerima apa saja yang diputuskan oleh mahkamah atau sistem antarabangsa.

Isu Pulau Batu Puteh melibatkan pertikaian tentang hak asal Malaysia terhadap pulau berkenaan apabila ia dituntut Singapura mulai 1980. Pulau terbabit terletak 7.7 batu nautika (nm) dari tanah besar Malaysia dan 25.5 nm melalui laut dari Singapura.

Malaysia adalah pemilik asal Pulau Batu Puteh sejak sekian lama dan pulau itu menjadi sebahagian daripada wilayah Johor.

Malaysia berhujah bahawa kehadiran Singapura di pulau berkenaan adalah semata-mata melalui penglibatannya dalam membina dan menyenggara sebuah rumah api di situ - itupun setelah mendapat restu dan keizinan pemegang kedaulatan pulau berkenaan iaitu Johor - dan oleh itu, ia tidak menyebabkan Malaysia hilang kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh.

Tan Sri Abdul Kadir Mohamad, Penasihat Hal Ehwal Luar Negara kepada Perdana Menteri, yang turut hadir pada majlis taklimat itu, berkata Malaysia ingin mempamerkan kepada dunia bahawa ia sebuah negara yang patuh kepada undang-undang dan akan menerima sebarang keputusan ICJ sebagai suatu keputusan muktamad.

Katanya bagi Malaysia, kes Pulau Batu Puteh lebih merupakan "isu rakyat", tetapi bagi Singapura, ia lebih merupakan "isu kerajaan".

Beliau berkata sekiranya Malaysia menang kes itu, status quo sedia ada akan dikekalkan dan Singapura akan dibenarkan menggunakan rumah api berkenaan, tetapi perlu merobohkan pepasangan ketenteraannya.

Kata beliau, sekiranya mahkamah berkenaan mendapati Pulau Batu Puteh adalah kepunyaan Malaysia, maka nelayan negara ini akan dibenarkan menangkap ikan berhampiran pulau itu. Kini, pulau berkenaan dikawal sepanjang masa oleh tiga kapal Tentera Laut Singapura.

Jika Malaysia kalah dalam kes ini, maka sempadannya perlu ditanda semula, kata beliau.

Beliau bagaimanapun berkata andai kata negara itu menang dalam kes berkenaan, Singapura perlu merujuk kepada Indonesia kerana Indonesia mengiktiraf kedaulatan Malaysia terhadap Pulau Batu Puteh berdasarkan perjanjian pelantar laut yang ditandatangi kedua-dua negara pada 1969.

Kadir berkata pasukan perundangan Malaysia telah melakukan "segala yang terdaya oleh mereka berhubung kes itu".

Persiapan kumpulan ini disokong oleh penyelidikan selama 30 tahun di 11 negara dan 40 lokasi, kata beliau.

Singapura pertama kali menuntut Pulau Batu Puteh melalui satu Nota Diplomatik yang membantah tindakan Malaysia mempamerkan pulau itu sebagai pulau miliknya dalam "Peta Malaysia 1979".

Tuntutan republik itu terhadap Terumbu Karang Tengah (Middle Rocks) dan Terumbu Karang Selatin (South Ledge) hanya mula dibuat pada mesyuarat dua hala pertama yang diadakan bagi membincangkan tuntutan Singapura terhadap PBP pada Februari 1993.

Pada September 1994, Malaysia dan Singapura bersetuju mencari penyelesaian terhadap pertikaian berhubung isu Pulau Batu Puteh dengan merujuknya kepada ICJ.

Pada Februari 2003, kedua-dua negara menandatangani Perjanjian Khas yang menyatakan persetujuan mereka untuk merujuk pertikaian itu kepada mahkamah berkenaan.

Bagi memenuhi syarat yang dipersetujui dalam perjanjian itu, Malaysia dan Singapura mengemukakan Memorial dan Memorial Balas masing-masing pada 25 Mac 2004 dan 25 Jan 2005. Jawapan kedua-dua pihak dikemukakan kepada ICJ pada November 2005.

9 comments:

mn said...

A.kum Datuk,

Mukadimah:

Saya kembali menulis dengan blog baru demi permintaan ramai.

http://sukj.blogspot.com
-----------------------------------

1. Batu putih = White stone

2. White Lion?

3. White stone should belong to white lion?

AyamLaga said...

Salam

Bg saya kalau kita kalah juga makna nya ALLAH SWT nak tujukan kita sesuatu hikmah... Mungkin hikmah pemimpin kita yg selalu dok main golf kat negara singa putih tu.... WalLAH.....

ibrahim yahaya said...

Sdr Su-KJ,

Bagi saya, sudah tentu rakyat Singapura tidak menghiraukan apa saja keputusan yang diberikan sama menang atau kalah. Ini kerana pemerintah di sana terutama LKY sudah "menyediakan pemikiran" rakyat mereka mengenai akibat atau kesan merujukkan isu Pulau Batu Puteh ke ICJ.

Di Malaysia, jika menang sudah tentulah satu kegembiraan namun jika keputusan di sebaliknya, kita pasti boleh melihat reaksi kekecewaan yang amat sangat. Sudah pasti jari akan menuding kepada kerajaan. Pasti ada yang menuduh kerajaan lemah sedangkan kita diberitahu bahawa Pasukan Malaysia sudah mengemukakan hujjah yang terbaik. Tunggu sajalah dan terima apa jua keputusan dengan lapang dada.

ibrahim yahaya said...

Sdr Ayamlaga,

Apa yang berlaku ada hikmahnya. Cuma orang saja yang tidak nampak apa yang tersirat. Bukalah mata lebih besar sikit atau bukalah minda lebih luas supaya boleh berfikiras waras bukan emosi.

abe MIE 'TERJAH' said...

salam...

ayamlaga... tak ada logo lain ke nak kasi..jangan pula letak bendera kelate (kelantan) dengan ayam laga. Kan tu salah disisi hukum agama-ayam laga dan tidak berperikemanusiaan.

Ko jangan pula samakan orang kelantan macam ayam...ambil lah tiger ke atau haiwan yang berani...

ayamlaga bukannya gedeber (samseng) sangat. Lawan biawak pun kalah...

epain said...

bila sy berbicara dgn rakan pasal batu putih ni...ada yg tanya..ada apa dekat pulau tu?...batu adelah...

tapi yg sy faham disini ialah kedaulatan dan perairan yg sgt penting buat kedua-dua negara...

sy doakan ia akan menjadi milik Malaysia sebagaimana sepatutnya...

tp kalau tidak, sy harap rakyat khususnya di johor tidak cepat melatah...

satu hilang, sepuluh kita akan dpt...

epainworld.blogspot.com

Bung Karno said...

Sdr Ibrahim,

Kalau gagal, ia satu gambaran bagaimana sikap terlalu
bermurah hati, tidak mahir (legality) dan kurang wawasan tuan
yang punya tanah lebih 150 tahun dulu. Ini satu lagi legasi yang
mengaibkan.

Kalau menang, sudah tentu tuan yang punya kuasa di Putrajaya
akan memujuk hati duka nestapa di seberang dengan menawarkan
gula-gula sebagai ganti.

Sedangkan air, udara, pasir dan wilayah (Iskandar) boleh di urus
inikan pula pulau berbatu. Demi ikatan setia antara keluarga pulau
batu mudah diganti.

Semoga hari jumaat membawa berkat Negaraku.

ibrahim yahaya said...

Sdr Epain,

Pulau itu tempat nelayan di Johor berteduh daripada ribut taufan atau melepaskan penat lelah. Mereka juga gemar ke situ kerana boleh mendapat tangkapan ikan yang lumayan.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa Singapura menghalau mereka daripada menangkap ikan di situ. Bayangkan, kegiatan penangkapan yang dilakukan sejak nenek moyang dulu dihalang dan kita boleh merasakan betapa sedihnya hati mereka. Bersabarlah.

ibrahim yahaya said...

Sdr Bung Karno,

Jika kita menang, janganlah terlalu gembira (jubilant) atau bermegah-megah sangat sehingga menyinggung perasaan orang lain. '

Kita boleh lihat kesan hubungan kita dengan Indonesia selepas Malaysia menjadi pemilik Pulau Sipadan. Malaysia perlu menjaga hati jiran, begitu juga sebaliknya.