Friday, August 31, 2007

MAIN BOLA DAN BUAT KAWAN

Esok, warga RTM akan beraksi di padang bola Angkasapuri. Kejohanan antara unit dalam Bahagian Berita dan Ehwal Semasa (BES) RTM dimulakan ketika saya menjadi perunding media RTM selama dua tahun bermula 2005. Ia diadakan sempena tarikh keramat kemerdekaan - 31 Ogos.

Pada 2006, saya tidak dapat hadir kerana berada di UMMC selepas pembedahan tulang belakang pada 11 Ogos. Saya berkampung di UMMC sehingga pertengahan September. Esok, saya akan hadir untuk bersama-sama dengan warga RTM dalam kejohanan bolasepak yang bertujuan mengeratkan persahabatan dan mengukuhkan ikatan.

Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin, yang merasmikan kejohanan pertama pada 2005 (ketika itu Timbalan Menteri lagi) memuji usaha penganjuran itu kerana ia dapat merapatkan hubungan antara wargakerja bilik berita yang sentiasa sibuk menjalankan tugas mereka. Beliau turun padang untuk menyampaikan hadiah.

Kejohanan ini juga membolehkan warga RTM membawa keluarga mereka untuk bersantai dan menikmati "gelagat" menarik di padang bola. Ada yang bulat tetapi masih mahu beraksi. Bayangkan apabila sibulat jatuh. Terima kasih diucapkan kepada tenaga penggerak kejohanan iaitu Sdr Jalil Mat Dom, Hafizal, Ismadi dan rakan-rakan lain. Jasa baik saudara akan dirahmati Allah SWT. Tahun ini, diadakan 1 September kerana 31 Ogos jatuh pada hari ini, hari Jumaat. Bukan tidak boleh buat hari ini tetapi ada kesulitan sikit dari segi penyusunan jadual perlawanan.

Selamat bermain bola dan merapatkan hubungan antara kawan daripada pelbagai kaum. Terima kasih kepada penaja, penyumbang dan pihak yang sudi memberi kerjasama.

WARGA ASING DAN TAMAN PUCHONG

Jika anda bertandang ke Tesco, Puchong, terutama hujung minggu atau hari cuti, jangan terkejut melihat ramai orang di taman kecil di sebelah pasaraya besar itu. Taman itu, walaupun sekangkang kera tetapi ia seperti Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur di mana orang ramai datang untuk bersantai dan bersembang-sembang. Yang berbeza ialah taman yang menyediakan tempat duduk, dikunjungi oleh warga asing seperti Bangladesh, Indonesia dan negara Afrika, yang menggunakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan sebagai tempat pertemuan mereka.

Tidak hairanlah ada pelanggan yang baru keluar daripada Tesco dengan beg plastik, terus duduk di atas tanah untuk menikmati makanan yang baru dibeli daripada pasar raya besar itu. Taman ini mungkin "hadiah" kerajaan negeri kepada mereka yang telah menyumbangkan tenaga dan kepakaran dalam pelbagai industri di Selangor.

Selamat menjamu selera, bersembang dan bersantai tetamu negeri.

SELAMATKAN MALAYSIA SELAMANYA

Dua insiden - pergaduhan dan kejadian memukul tetamu, yang berlaku tatkala negara bersiap sedia untuk menyambut kemerdekaan 50 tahun, amat memalukan. Ia menggambarkan seolah-olah ada rakyat kita di mana fikiran mereka masih belum merdeka. Masih dibelenggu pemikiran sempit yang memualkan. Memilih pergaduhan sebagai jalan keluar dan memukul orang untuk menunjukkan kekuatan mereka adalah tindakan orang tidak bertamadun.

Dalam berita Malaysiakini, dilaporkan berlakunya pergaduhan di mesyuarat agung Maika Holdings semalam yang menyebabkan ada yang tercedera. Apakah budaya bergaduh di mesyuarat rasmi masih wujud ketika kita hendak menyambut kemerdekaan yang ke 50? Apakah pergaduhan satu-satu jalan penyelesaian terhadap sebarang pertikaian dan permasalahan? Bangunlah dari tidur wahai rakyat Malaysia. Janganlah bergaduh lagi dan selesaikan sebarang isu dengan cara yang bersopan dan terhormat. Jadilah rakyat yang merdeka dan bermaruah.

Laporan Malaysiakini yang memetik maklumat daripada sumber melaporkan bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam dikasari oleh sekumpulan lelaki di mesyuarat agung Maika Holdings. Ia berlaku ketika Subramaniam mahu bercakap di mesyuarat itu. Mesyuarat itu yang bermula jam 10 pagi, terganggu disebabkan oleh beberapa insiden. Subramaniam dikatakan dikasari tetapi bekas timbalan menteri itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Sumber itu menambah, Subramaniam diserbu oleh sekumpulan lelaki yang sedang marah. Bagaimanapun, penyokong Subramaniam segera datang melindunginya daripada serangan itu.

Dalam pada itu, kejadian polis memukul jurulatih karate Indonesia pula bukan saja memeranjatkan tetapi juga memalukan negara. Apa sekalipun alasan menyebabkan kejadian itu, adalah tidak masuk akal jika ia diselesaikan dengan memukul orang lain. Tambahan pula ia dilakukan oleh pihak yang memahami undang-undang dan bertanggungjawab untuk menguatkuasakannya. Bangunlah dari tidur wahai rakyat Malaysia yang bersifat "gedebe" atau "samseng". Janganlah memukul orang lagi dan selesaikan sebarang isu dengan pendekatan berhemah dan terbaik.

Menurut Bernama, dalam kejadian di Negeri Sembilan, Jumaat lalu, pengadil karate Indonesia, Donald Peter Luther Kolopita mendakwa diserang oleh empat anggota polis Malaysia. Ini menyebabkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, memohon maaf berhubung pengalaman buruk yang menimpa jurulatih itu. Pemohonan maaf itu terkandung dalam suratnya kepada Kolopita yang diserahkan oleh Duta Malaysia ke Indonesia, Datuk Zainal Abidin Mohamed Zain. TS Musa menulis surat itu untuk meyuarakan kekesalan yang amat sangat berikutan insiden malang yang berlaku semasa Kolopita berada di Malaysia untuk mengadili Kejohanan Karate Asia.

Rakyat Malaysia harus memerdekakan minda mereka selari dengan teriakan merdeka, merdeka, merdeka oleh Perdana Menteri pertama, YAM Tunku Abdul Rahman setiap kali kita menyambut tarikh keramat 31 Ogos. Rakyat Malaysia harus menghayati erti kemerdekaan dalam membentuk jatidiri yang lebih mulia dan bersopan santun terhadap keluarga, anak-anak, saudara-mara, sahabat-handai, rakan taulan, apatah lagi tetamu kita.

Ketika saya menulis artikel ini, bulan mengambang di Putra Heights, Subang Jaya walaupun jam menunjukkan hampir 7 pagi. Kegelapan minda sesetengah daripada kita diharapkan akan diterangi selagi ada bulan dan matahari. Cahaya yang akan memerdekakan minda kita. Selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke 50 tahun. Selamatkan Malaysia daripada malapetaka dan kemusnahan selagi ada bulan dan matahari.

Thursday, August 30, 2007

SHEIH DITEMURAMAH OLEH MCMC

Sheih, penulis blog yang pandai membuat poster menarik, hari ini "ditemuramah" oleh MCMC. Menurut Ahirudin Attan aka Rocky (the one and only), Sheih ditemuramah selama 90 minit oleh Ketua Bahagian Penguatkuasa MCMC, Sdr Mazlan Othman.

Ikutilah tulisan [ Rocky ] dalam blognya Rocky's Bru.

JALUR GEMILANG, BENDERA KERAMAT

Saya yakin, jika pelancong asing kini berada di Kuala Lumpur, mereka akan merasakan ada sesuatu perayaan istimewa sedang diraikan oleh rakyat Malaysia. Ini kerana setiap bangunan, kecil maupun besar serta di taman-taman perumahan, Jalur Gemilang (JG) berkibar megah. JG juga dikibarkan di kenderaan termasuk lori pengangkut barang dan lori tangki. Inilah sikap murni dan mulia rakyat Malaysia mencintai negara.

Saya juga terharu dengan menonton gelagat Ahli Parlimen termasuk pembangkang di TV3 yang berhujjah untuk menunjukkan mereka lebih patriotik dengan sentiasa mengibarkan JG, bendera kebanggaan negara termasuk di kenderaan kerana menghormati negara tanah tumpah mereka. Inilah contoh pemimpin rakyat yang cemerlang.

Dalam pada itu, ada juga individu yang tidak mengibarkan JG kerana faktor yang mereka sendiri tahu. Di bawah ini diperturunkan faktor-faktor yang menyebabkan individu berkenaan tidak mengibarkan JG, bendera keramat negara.

1. Bukan rakyat Malaysia.
2. Tiada semangat untuk mengibarkan JG.
3. Sakit hati dengan kerajaan.
4. Anggap kibar JG seperti simbol baik yang akan menguntungkan kerajaan. (seperti diluahkan oleh kolumnis news portal, Malaysiakini)
5. Tiada duit beli JG.
6. Tiada duit beli tiang bendera.
7. Tiada duit beli kawat atau tali pengikat.
8. Tidak tahu mana kedai mana hendak beli JG.
9. Terlupa.
10. Tidak endah dan tidak peduli.
11. JG yang dibeli dulu dicuri orang.
12. JG yang dibeli dulu kotor dan malu untuk mengibarkannya.
13. JG yang dibeli dulu terkoyak dan tidak manis mengibarkannya.
14. Malu dituduh sebagai penyokong kerajaan kerana jiran-jiran penyokong kuat pembangkang. (tidak boleh disebut parti)
15. Satu-satunya JG diambil oleh anak untuk dipasang di keretanya.
16. JG dicuri oleh jiran.
17. Merasakan tiada faedah untuk mengibarkan JG.
18. Tidak sedar bulan ini, bulan Ogos.
19. Tidak sedar 31 Ogos adalah tarikh kemerdekaan.
20. Bercuti ke luar negara kerana sakit.
21. Tidak dapat projek membekalkan JG di pejabat.
22. Ada JG tetapi yang kecil dan tidak sesuai untuk dikibarkan.
23. Tidak siuman.
24. Terlantar di wad hospital. Tidak sempat mengibarkannya.
25. Sedang berkayuh basikal di seluruh dunia.
26. Belajar di luar negara.
27. Sedang sibuk buat lagu untuk disiarkan dalam Youtube.
28. Simpan dalam stor tetapi tidak tahu hendak mencarinya.
29. Hendak jimat belanja. (bagi syarikat-syarikat besar)
30. Sudah menempah JG tetapi kontraktor silap membuatnya.
31. Ada JG tetapi tidak mengikut ciri-ciri yang ditetapkan.
32. Tidak suka orang memaksa mengibarkan JG.

Jika anda mempunyai pandangan lain mengenai faktor yang menyebabkan orang tidak mengibarkan bendera. Silakan.

MALAYSIA JUARA PESTABOLA MERDEKA

SYABAS MALAYSIA

Malaysia Juarai Pestabola Merdeka Selepas Menanti 14 Tahun

SHAH ALAM, 29 Ogos (Bernama) -- Penantian 14 tahun Malaysia untuk menjuarai Pestabola Merdeka berakhir setelah berjaya menumpaskan juara bertahan, Myanmar 3-1 dalam perlawanan akhir kejohanan bola sepak edisi ke-39 itu yang berlangsung di Stadium Shah Alam, di sini malam ini.

Kali terakhir Malaysia menjulang Piala Merdeka ialah pada 1993 dalam pasukan yang diterajui Dollah Salleh dan Azman Adnan dengan menundukkan Korea Selatan 3-1.

Kemenangan ini juga mengembalikan kepercayaan dan keyakinan 50,000 penyokong bola sepak tanah air yang membanjiri stadium bagi sama-sama meraikan kejayaan skuad kebangsaan di bawah bimbingan B.Sathianathan.

Malaysia membuka jaringan pada minit ke-12 menerusi tolakan kemas di dalam kotak penalti yang dilakukan Mohd Zaquan Adha yang menerima hantaran cantik Mohd Safee Sali dari sebelah kiri dan berjaya menggelecek penjaga gol Myanmar, Aung Aung Oo.

Tersentak dengan gol tuan rumah, Myanmar bangkit mengatur serangan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-18 menerusi rembatan kencang Aung Myo Thant namun sepakannya meliar melewati palang gol.

Tiga minit selepas babak kedua bermula, Yan Paing sekali lagi berada pada kedudukan yang strategik untuk melepaskan rembatan yang berjaya ditepis penjaga gawang untuk memberikan sepakan sudut kepada pasukan pelawat.

Kekalutan di hadapan pintu gol Myanmar akhirnya menyebabkan pemain pertahanan pasukan pelawat, Moe Win melakukan kesilapan menjaringkan gol sendiri untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan 2-0, pada minit ke-56.

Empat minit kemudian, Mohd Safee membuktikan serangannya menyengat apabila meledakkan gawang lawan selepas menerima umpanan cantik dari tengah dan bergerak solo sebelum menewaskan benteng penjaga gol lawan.

Myanmar yang masih belum berputus asa, mempamerkan corak permainan yang agak agresif dan cuba mengasak beberapa pemain utama. Pengadil dari Thailand, Chaiya Alee Mahapab tidak teragak-agak menghadiahkan kad kuning serta mengeluarkan amaran lisan.

Pemain gantian Myanmar, Tun Tun Win, cuba merapatkan jurang apabila memperoleh gol pada minit ke-73 selepas berjaya melepasi pertahanan Malaysia sebelum menewaskan ketangkasan Syed Adni.

Pada minit ke-87, Myanmar terpaksa bermain dengan sepuluh pemain apabila Kyaw Khing Win dikenakan kad merah dan diarahkan keluar padang kerana mengasari Mohd Zaquan Adha.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan hadiah.


(Renungan Rimau (RR): Pemain Malaysia perlu menjaga sikap mereka. Tidak payahlah "menghalau" pemain lawan keluar setelah diberikan kad merah. Biarlah dia orang "blah" secara hormat. Steadylah brother, jangan kerana sakit hati buat perangai macam budak-budak. Arwah Mokhtar Dahari dulu pun tak buat macam tu)

Wednesday, August 29, 2007

MESEJ DALAM BOTOL...ALAM SIBER

MESEJ DARIPADA FUDZAIL UNTUK PENCARI KERJA.

Adalah dijemput kepada semua yang berminat untuk bersama www.malaysian- uae.com di bengkel 'Peluang-peluang Pekerjaan di UAE' sempena Karnival Kerjaya Kuala Lumpur anjuran JTKKL, Kementerian Sumber Manusia
Tarikh : 2 September 2007
Masa : 11.00 pagi – 12.00 tengahari
Tempat : Dewan Besar, UTM Kampus City, Cawangan Kuala Lumpur

KELUARKAN RAMBUT DALAM TEPUNG

Saya tidak pernah menggemari negara ini dikerumuni oleh pekerja luar, pendatang lebih had tempoh maupun pendatang tanpa izin (PTI). Namun, inilah yang berlaku sekarang kerana rakyat kita semakin malas dan memilih kerja mudah dan tidak membebankan. Mahu jaga standard, malas bekerja di tengah panas dan bimbang kulit terbakar.

Tidak hairanlah lebih dua juta "orang luar" berada di negara ini mengikut perangkaan pihak berkuasa dan tiga suku daripadanya dikatakan tidak mempunyai dokumen sah atau dalam ertikata lain PTI. Pelarian politik dan PTI dari Selatan Filipina, ramai di Sabah manakala di Semenanjung pula dikerumuni oleh PTI dari Indonesia, Bangladesh dan China. Di Sabah, kewujudan fizikal mereka jelas di kampung-kampung air di Pulau Gaya dan pulau sekitarnya serta bilangan yang ramai di Kota Kinabalu. Di Semenanjung pula ialah kehadiran mereka di pusat pembinaan, pusat-pusat hiburan dan rekreasi serta di ladang kelapa sawit.

Sepertimana rakyat Malaysia terutama dari Johor dan Melaka pada 1960an mengerumuni Singapura, begitu jugalah orang luar semakin tertarik dengan negara ini. Ibrarat semut menggilai gula. Punca ke Malaysia kerana bayaran gaji yang lebih tinggi daripada negara asal dan banyak pekerjaan yang menanti mereka. Dulu, ramai rakyat Malaysia bekerja di Singapura sebagai pemandu peribadi, pemandu teksi atau bekerja ditempat membaiki kapal. Rakyat negara luar pula bekerja di sini sebagai pekerja pembinaan, tukang gunting atau buruh di ladang. Ramai juga yang menjadi pembantu rumah atau bekerja di restoran. Ada yang mengambil kesempatan dengan menjadi GRO, pelacur dan penjual pelbagai jenis barang. Mereka datang dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Kemboja, Vietnam, India, Nepal, China dan dari negara-negara Afrika..

Dalam mengejar wang dan ganjaran tidak hairanlah ramai yang berlumba-lumba untuk datang ke negara ini dengan apa cara sekalipun. Dalam proses itu, ada antara mereka ditipu, ditindas malah dilayan seperti binatang. Mereka ditipu oleh ejen pencari kerja, ditindas dan dilayan buruk oleh majikan. Ada yang dihimpunkan dalam sebuah rumah kecil. Berasak-asak hampir satu dozen. Itulah hakikatnya untuk mencari secupak rezeki di negara orang. Untung sabut timbul, batu pula akan tenggelam. Kelemasan.

Jika rakyat negara ini merasakan bahawa mereka hidup susah, bayangkan apa yang dilalui oleh PTI, kehidupan mereka susah dan sentiasa ketakutan diburu oleh pihak berkuasa. Artikel Malaysiakini pada 24 Ogos lalu memaparkan penderitaan PTI di mana dikatakan ada ibu dengan anak kecil berkhemah di hutan tanpa makanan yang cukup untuk hidup. Anak kecil pula keseorangan di negara asing dan tanpa dokumen sah, mereka tidak boleh bekerja dan bersekolah. Inilah yang berlaku ketika ini, di bawah hidung kita.

Artikel itu memaparkan kegigihan seorang rakyat Malaysia, Aris Mohamad Oziar, 37 tahun, yang berusaha membantu PTI dengan menyiarkan masalah yang mereka hadapi di negara ini. Aris membuka satu laman web fiftyrefugees untuk menyiarkan penderitaan PTI kebanyakannya dari Myanmar di negara ini. Beliau mahu rakyat negara ini memahami dan membantu pelarian ini dengan cara yang sebaik mungkin kerana mereka amat memerlukan bantuan untuk terus hidup sebagai manusia biasa. Negara asal ditinggalkan demi sesuap rezeki.

Dalam pada kita tidak suka mereka masuk ke negara ini secara haram, apatah lagi melakukan jenayah, kita juga tidak boleh melayan mereka yang benar-benar ke sini untuk mencari rezeki seperti haiwan. Membenci dan menganaktirikan mereka. Bagi saya, yang melihat sendiri Pusat Tahanan Menggatal di Sabah, minggu lalu, amat insaf dan dapat merasakan penderitaan yang dialami oleh PTI, berkongsi tempat berteduh dengan pelbagai jenis orang, berkongsi bau, berkongsi tempat tidur dan bertukar-tukar cerita.

Betapa gigih dan beraninya orang luar ini untuk datang ke negara ini sama ada secara sah atau haram. Mereka sanggup menghadapi risiko tinggi terutama bagi golongan yang tidak mempunyai dokumen sah. Jika ditangkap mereka akan dihadapkan ke mahkamah. Jika bersalah, mereka akan dipenjara serta dirotan. Tidak hairanlah ada yang tidak serik dan terus datang ke negara ini. Tidak hairanlah anggota tubuh mereka dipenuhi parut akibat dirotan. Namun mereka tabah dan reda dengan kejadian itu.

Tindakan mereka yang masuk ke negara ini secara haram memanglah tidak betul tetapi menyaksikan kesusahan mereka termasuk dirotan setiap kali masuk ke negara ini menyebabkan saya menginsafi dan bersyukur tinggal di Malaysia, negara yang aman, stabil ekonomi dan politiknya. Hanya rajin dan malas saja yang membezakan tahap pencapaian individu di Malaysia. Semua pihak ada peluang, langsung atau tidak langsung. Bagi PTI, mereka sanggup menggadaikan nyawa untuk datang ke Malaysia demi diri sendiri dan keluarga. Mencari peluang memperbaiki diri.

Dalam usaha kerajaan menyelesaikan masalah PTI yang berlarutan sejak sekian lama, masalah utama yang timbul ialah kekurangan pusat tahanan. Ini diakui oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. Operasi besar-besaran untuk menangkap pendatang asing tanpa izin di negeri ini tidak dapat dilakukan kerana kekurangan pusat tahanan sementara kerana ketiga-tiga pusat di Menggatal, Kota Kinabalu; Tawau dan Sandakan, telah penuh sesak dan hanya mampu menampung kira-kira 2,000 orang pendatang. Mereka berhimpit-himpit dan berkongsi kemudahan yang tidak seberapa.

Bagaimanapun, bagi DS Musa, operasi untuk menangkap PTI akan dijalankan secara berterusan untuk memastikan warga asing yang tidak mempunyai dokumen yang sah dihantar pulang ke negara asal masing-masing. Ini juga bertujuan menghindarkan kegiatan jenayah yang dilakukan oleh PTI jika mereka tidak mempunyai pekerjaan dan tempat tinggal. Untuk itu, Kerajaan Sabah memohon kepada Kerajaan Pusat untuk membina dua buah lagi pusat tahanan sementara bagi menampung tangkapan demi tangkapan.

Perbualan saya dengan beberapa pihak di Sabah memaparkan satu lagi masalah di mana pihak Kedutaan Filipina mengambil masa panjang memproses dokumen perjalanan bagi membolehkan rakyatnya yang ditahan dihantar pulang ke negara mereka. Ia mengambil masa untuk memproses dokumen perjalanan rakyat Filipina yang ditahan kerana Filipina tidak mempunyai Konsulat di Sabah, tidak seperti Indonesia yang memberi bantuan kepada kerajaan negeri dalam penghantaran pulang rakyatnya menerusi Konsulatnya di Sabah. Isu penubuhan Konsulat Filipina itu ada kaitannya dengan tuntutan Manila.

Kesimpulannya, usaha membasmikan pembanjiran orang luar dan kemasukan PTI ini amat rumit sekali sama ada di Sabah atau Semenanjung. Usaha bersepadu perlu ada untuk menyelesaikan masalah ini secara sistematik dan berhemah. Ia mungkin membabitkan pendekatan kerohanian dan mental yang tinggi. Pendekatan kasar dan tidak berperikemanusiaan tidak akan mencapai sebarang matlamat memandang orang luar ini terus datang ke Malaysia dalam pelbagai bentuk. Bagi mereka, matlamat ke sini untuk mencari sesuap rezeki dan meningkatkan tahap kehidupan.

Membiarkan lebih ramai PTI di negara ini akan mengundang pelbagai masalah seperti jenayah, penyakit dan keruntuhan moral. Ini jelas dengan pelbagai kejadian di negara ini. Pembanterasan perlu dibuat terutama mereka yang melakukan jenayah dan kesalahan moral. Dalam pada itu, melakukan operasi besar-besaran pula akan membawa kepada masalah ketiadaan tempat tahanan sementara. Ia secara langsung memerlukan perbelanjaan yang besar. Umpamanya di Sabah, kerajaan terpaksa membelanjakan lebih RM4.50 untuk makanan setiap hari bagi seorang PTI dan belum lagi membabitkan kos pengurusan dan kemudahan asas.

Namun, yang lebih penting rakyat negara ini mengamalkan sikap berbudi bahasa dan bertoleransi terhadap "orang luar" dan tidak menganggap mereka seperti hamba atau orang suruhan. Yang lebih teruk ialah menyifatkan mereka seperti haiwan atau binatang. Layanan yang baik ketika mereka susah atau memerlukan membuat orang luar akan sentiasa mengingati kemuliaan dan kemurnian hati kita. Bantulah diri anda, bantulah kerajaan dan bersedia membantu orang luar di negara ini. Jengok-jengoklah pusat tahanan sementara untuk merasai "penderitaan" mereka. Seterusnya menghulurkan bantuan diperlukan seperti buku, kain telekong, sejadah atau bahan bacaan. Bukan untuk melayan mereka seperti raja tetapi layanlah orang luar seperti manusia biasa.

Tuesday, August 28, 2007

BAHAGIA MENUNAIKAN KEWAJIPAN

Petang ini, saya mendapat kad daripada Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo. Bukan kad menyambut Ramadhan atau kad Aidilfitri tetapi kad yang didepannya tertulis "Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-50".

Di dalamnya terpampang barisan kata-kata yang menarik iaitu "Tidak ada sesuatu yang lebih mahal daripada kemerdekaan dan tidak ada kebahagiaan yang lebih besar daripada menunaikan kewajipan."

Terima kasih Dato' Seri.

(Sekadar renungan: Ada pandangan dari Johor yang menyatakan: "UMNO dilahirkan di Istana dan bukan di Kelab. Ingin tahu apakah tujuan Dato' Seri timbulkan sejarah kelahiran UMNO yang dikatakan bermula di Selangor.)

Monday, August 27, 2007

SABAH DI BAWAH BAYU (2)


(Gerbang utama ke Pulau Manukan. Gambar oleh IY)


(Bom Perang Dunia Kedua yang dipamerkan di Pulau Manukan. Gambar oleh IY)

Jika anda bertandang Sabah, jangan lupa untuk melawat Taman Tunku Abdul Rahman. Taman laut itu mengandungi lima pulau yang berhampiran iaitu Pulau Gaya, Pulau Sapi, Pulau Manukan, Pulau Mamutik dan Pulau Sulug. Ia hanya 10 hingga 20 minit perjalanan bot laju daripada bandar Kota Kinabalu. Kelima-lima pulau Taman Laut itu mempunyai air cetek yang jernih di mana anda boleh melihat pelbagai jenis ikan berenang-renang, taman batu karang yang menarik dan pantai pasir putih yang indah.

Sunday, August 26, 2007

TIADA LAGI RESTORAN MELAYU DI KLCC

Saya menelefon Juhaidi Yean Abdullah dari Melaka minggu lalu untuk memberitahunya bahawa saya mungkin tidak dapat hadir jemputannya di KLCC kerana masih berada di negeri kelahiran Hang Tuah. Beliau faham dengan permasalahan itu.

Kami pun terus bersembang mengenai nasib restorannya di KLCC, Menara Kembar Petronas akibat "penangan" kadar sewa yang tinggi. Kenaikannya amat memeritkan. Daripada RM30,000 sebulan menjadi hampir RM50,000 sebulan. Tidak ramai usahawan Melayu yang mampu membayar sewa yang tinggi itu. Persoalannya apakah KLCC tidak memikirkan masakan Melayu sebagai lambang Melayu dalam kompleks beli-belahnya. Saya sedih dan hiba mengenangkan nasib orang Melayu di bumi sendiri. Rakan wartawan, Datuk Rejal Arbee mempunyai pandangan mengenai nasib yang menimpa rakan kami, Juhaidi yang pernah berkhidmat di NST.

Ikuti pengamatan Datuk Rejal Arbee mengenai Kelantan Delights yang disiarkan oleh MYKMU.net baru-baru ini.

"Malam tadi adalah malam terakhir restoran Kelantan Delights – satu-satunya sahaja restoran masakan Melayu yang beroperasi di Suria KLCC – menghidang makanan di situ. Mulai esok (23hb Ogos) berakhirlah riwayatnya setelah beroperasi selama 10 tahun memperkenalkan masakan Melayu, khususnya makanan Kelantan seperti nasi kerabu dan nasi dagang kepada pelancung dalam dan luar negeri di situ.

Penutupannya juga menandakan sudah tidak ada lagi restoran yang menyajikan masakan Melayu di situ. Apakah salah kalau disimpulkan bahawa pengurusan Suria KLCC tidak mahu wujud kedai yang menyediakan masakan Melayu kepada orang ramai yang berkunjung ke Menara berkembar Petronas? Ini hanya Pengerusi Eksekutif Suria KLCC dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, seorang warga Australia bernama Brian Andrew yang boleh memberi jawapan.

Kalau ditanya tentulah mereka mengatakan bahawa tuan punyai Kelantan Delights, Sdr Juhaidi Yean Abdullah dan isteri tidak mahu membayar sewa yang dikenakan, iaitu RM44,000 sebulan, naik daripada RM30,000 sebelum ini.

Juhaidi berkata masalahnya bukanlah kadar sewa yang dikenakan, tetapi sikap pengurusan yang agak bongkak seolah-olah memberikan katadua kepadanya tanpa mahu berunding. Apakah kenaikan kadar sewa yang begitu melonjak berpatutan – naik hampir 50 peratus dalam tempoh setahun?

Pengurusan Suria KLCC juga tidak telus kerana merahsiakan kadar sewa yang dikenakan kepada premis lain yang bersebelahan. Misalnya Chakri Palace (masakan Thai), Spice of India atau Madame Kwan dan Shan Village (masakan Cina). Apakah kadar sewa yang dikenakan kepada mereka itu sama dengan yang dikenakan kepada Kelantan Delights?

Mereka menjadikan kadar sewa yang dikenakan seperti satu rahsia negara yang amat besar sekali.

Kini premis itu yang telah dipopularkan juga oleh Kelantan Delights akan diberikan kepada sebuah restoran Korea. Dengan ini perbagai masakan negeri asing boleh dinikmati di Suria KLCC tetapi jangan harapkan mendapat masakan Melayu di situ. Apakah gambaran yang hendak diberikan pengurusan Suria KLCC? Salahkah kalau disimpulkan bahawa mereka berpandangan bahawa masakan Melayu tidak layak disajikan kepada pengunjung Menara Kembar Petronas?

Apakah salah kalau diandaikan pengurusan Suria KLCC tidak langsung prihatin dengan keadaan tempatan? Dengan tamatnya riwayat Kelantan Delights di situ, makanan Melayu sudah tidak terdapat lagi di Menara Kembar Petronas. Apakah tidak aneh masakan bangsa-bangsa lain boleh dinikmati di situ tetapi masakan tempatan tidak ada?

Apakah makanan Melayu tidak setaraf makanan bangsa-bangsa lain hingga tidak lagi diberi tempat di situ? Salahkah kalau disimpulkan bahawa pengurusan Suria KLCC tidak mahu orang yang mengunjungi Menara Kembar Petronas menikmati masakan Melayu?

Maka tidak menghairankan pengacara TV Aziz Desa yang turut hadir dalam jamuan terakhir di situ malam tadi antara lain memberi rangkap pantun ini:

Buai laju-laju
Sampai KLCC
Apa nasib Melayu
Merempat di negeri sendiri
.

Antara mereka yang hadir adalah beberapa orang rakan wartawan dan personaliti TV seperti Ras Adiba. Kelantan Delights juga meraikan seramai 40 orang warga tua dari Rumah Seri Kenangan Ceras.

Apakah yang boleh disimpulkan dari perkembangan terakhir ini yang dihadapi pekedai-pekedai Melayu di situ? Nampaknya satu demi satu kedai Melayu terpaksa ditutup.

Maka dengan itu kini tiggal hanya 10 buah kedai yang diusahakan Melayu daripada 325 buah kedai. Apakah ini tidak menimbulkan keresahan di kalangan orang Melayu? Apakah pihak berkuasa tidak langsung prihatin dengan perkembangan ini dan sikap pengurusan Suria KLCC?

Khabarnya keadaan di Alamanda Putrajaya yang juga diuruskan Suria KLCC tidak banyak berbeza dengan apa yang sedang berlaku di Menara Kembar Petronas. Tidak menghairankan kerana Ketua Pegawai Eksekutif Alamanda adalah isteri kepada Brian Andrew iaitu Lisa Words. Apakah tidak aneh isteri boleh dilantik sebagai boss anak syarikat di mana suaminya menjadi ketua?

Perkembangan ini sebenarnya memberi implikasi besar terhadap kedudukan perniagaan Melayu di kompleks beli-belah yang bertaraf antarabangsa. Orang Melayu sendiri tidak mengharapkan pembelaan dari komplek yang dikuasai bukan Melayu seperti Mega Mall atau One Utama. Tetapi kompleks beli-belah yang dikuasai sebuah Syarikat Kaitan Kerajaan (GLC) tentunya perlu ada sedikit pertimbangan untuk menggalakan peniaga Melayu.

Apa yang berlaku kepada Kelantan Delights juga menunjukan sikap kurang prihatin oleh kerajaan dan institusi yang kononnya diwujudkan untuk memelihara dan membantu peniaga Melayu. Jadi dimanakah usaha mahu menggalak orang Melayu berniaga? Melayu yang benar-benar berkebolehan bukannya yang Ali Baba di mana rakan kongsi Melayu hanyalah sebagai ‘sleeping partner’ saja.

Apa khabar Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi? Apa khabar MARA? Tidak adakah satu pun Jabatan atau Agensi Kerajaan prihatin terhadap apa yang sedang melanda peniaga Melayu di Suria KLCC?

Khabarnya, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ada menemui Pengurusan Suria KLCC. Tetapi tidak pula diketahui apa hasilnya. Yang diketahui Kelantan Delights sudah tutup kedai di sana. Nampaknya tidak ada kesudahan.

Malah perjumpaan antara Ketua Setiausaha Kementerian dengan pengurusan Suria KLCC yang tidak membawa kepada pembelaan peniaga Melayu akan memberikan hasil yang lebih buruk kerana tidak apa pun yang berlaku. Pengurusan Suria KLCC tentunya akan bersikap lebih bongkak dan sombong seolah-olah mereka kebal dan boleh melakukan apa saja tanpa siapa pun boleh menegur.

Malam tadi saya juga terpegun melihat empat pasangan orang putih yang hendak memasuki restoran. Salah seorang pekerja Kelantan Delights yang berada di pintu memberitahu bahawa restoran tidak dibuka untuk pelanggan malam itu. Tetapi Sdr Juhaidi yang kebetulan berada berhampiran sedarkan apa yang berlaku dan terus mencelah dan mempelawa mereka masuk menikmati hidangan secara gratis.

Salah seorang daripada mereka memberitahu bahawa mereka datang dari Russia dan mahu menikmati Nasi Kerabu sambil menunjukkan buku pelancongan dalam bahasa Russia dengan nama Kelantan Delights ditandakan. Juhaidi terus gugup bahawa restorannya dimasukkan dalam buku pelancongan Russia. Beliau memberitahu mereka bahawa Nasi Kerabu tidak disajikan malam itu tetapi telah memberikan mereka hidangan nasi dagang serta hidangan lain.

Seorang daripada pelancong Russia itu yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang pegawai Kerajaan Tempatan Moscow telah mempelawa Juhaidi membuka Kelantan Delights di ibu negara Russia itu. Nampaknya orang asing lebih menyokong Kelantan Delights daripada Suria KLCC.

Juhaidi memberitahu saya bahawa restorannya itu sememangnya mendapat tempat dalam beberapa buku pelancongan asing selain dari dalam bahasa Inggeris juga buku pelancongan dalam bahasa Jepun dan Arab.

Untuk mengakhirkan cerita malam tadi bukanlah bermakna Kelantan Delights akan terus terkubur; hanya di Menara Kembar Petronas. Dua bulan lagi ia akan muncul semula kali ini di Sentral, tepatnya di Sooka Sentral bersebelahan pusat pengangkutan Sentral dan Hilton Kuala Lumpur.

Juhaidi memberitahu bahawa Pengurusan MRCB yang lebih prihatin kepada peniaga Melayu telah mempelawanya membuka kedainya di bangunan yang baru selesai di bina itu. Nampaknya ‘Suria KLCC’s loss is a gain for MRCB’s Sooka Sentral’. Kita berharap Kelantan Delights akan lebih maju dan berjaya di Sooka Sentral."


Nota: Tolooooonglah pemimpin Melayu. Tolonglah bantu usahawan gigih ini. Tidak kesihankah kamu dengan rayuannya dari semasa ke semasa? Kamu tidak ada kuasa ke? Tidak sedihkah kamu apabila mengetahui tiada lagi restoran Melayu di KLCC?

SYILING BOCOR, SURAT RASMI BOCOR

Dulu heboh perkataan bocor oleh dua Ahli Parlimen yang terpaksa memohon maaf kepada golongan wanita. Kemudian diikuti banyak syiling bocor di beberapa bangunan kerajaan dan heboh diperkatakan oleh pembangkang. Kini muncul pula surat rasmi yang dibocorkan. Surat rasmi bocor.

Kemunculan surat rasmi yang ditulis oleh setiausaha sulit kanan menteri dalam blog memaparkan dua persoalan besar iaitu bagaimana surat itu boleh terbongkar dan kebijaksanaan penulis blog menghidu pemberian kontrak oleh kementerian. Maklumat itu sepatutnya sulit tetapi kini heboh dan dibaca satu dunia. Mereka yang tidak tahu kini mengetahuinya dan tidak boleh disorokkan lagi. Tidak semestinya ia tidak baik, cuma ia dihebohkan.

Terbaru dua blog, Bigdog dan Kamaludin' Blog, menyiarkan surat rasmi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengenai pemberian kontrak kerajaan kepada sebuah syarikat Bumiputera. Bigdog menghasilkan tulisan itu dalam blognya dan Kamaluddin menyiarkan artikel yang sama dalam blognya.

Bagi Bigdog sambutan 50 kemerdekaan tidak mempunyai erti kepada KPUK kerana dicemari budaya kronisme. Dalam penulisannya, beliau mendakwa baru-baru ini, satu arahan dikeluarkan oleh Pejabat Menteri KPUK bertarikh 15 Mei 2007 diberikan keseluruhan kontrak penghiasan dan pengindahan semua bangunan bangunan utama bagi kesemua agensi dibawah kementerian kepada sebuah syarikat sahaja, iaitu Amar Sinar Sdn. Bhd.

Dalam artikel itu, Bigdog menerangkan menurut carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia, syarikat Amar Sinar Sdn. Bhd. (No. pendaftaran SSM: 208891-V) ini beralamat di: 40M Kompleks Selayang, Baru 8 ½ Jalan Ipoh-Rawang, 68100 Batu Caves, Selangor. Pengarah pengarahnya ialah Dato’ Seri Dr. Yuhyi Azizan, 46 dan Shazlina Hussain, 43. Syarikat ini didaftarkan sebagai pembekal barangan dan komponen elektrikal. Saham dibenarkan ialah 5 juta saham dan 4.8 juta diterbitkan dan dibayar penuh. Pemegang pemegang sahamnya ialah Dato’ Seri Yuhyi Azizan 3 840 000 saham dan Shazlina Hussain 960 000 saham.

Bagi Bigdog, adalah tidak wajar semua peluang perniagaan bagi seluruh kementerian seperti KPUK sebegini dikurnia kepada satu syarikat sahaja. Ini kerana KPUK diwujudkan untuk membangunkan usahawan, terutama Bumiputera dan memperbanyakkan usahawan dengan mengagih-agihkan kontrak yang wujud untuk seberapa banyak pembekal berbeza sepatutnya sebahagian dari program ‘pembangunan usahawan’ dan membesarkan komuniti usahawan di kalangan Bumiputera.

Bigdog mendakwa amat malang apabila seorang Menteri UMNO yang dipertanggungjawabkan membangunkan usahawan, terutama golongan Bumiputera menggunakan kuasa dan pengaruh di kementerian untuk menguatkan kedudukan peribadi dan bukan membangunkan orang Melayu yang beliau wakili. Sesungguhnya amalan kronisme ini amat tidak bersesuaian dan bercanggah, malah sebenarnya mencemari semangat Sambutan 50 Kemerdekaan.

Persoalannya bagaimana surat rasmi ini boleh diperolehi untuk dijadikan bahan bukti dalam penulisan Bigdog. Kementerian perlu menyelidik dan seterusnya boleh menjawab persoalan itu. Namun, yang lebih penting ialah kini penulis blog bukan saja membuat artikel mengenai sesuatu arahan Menteri Kabinet tetapi menyertakan dokumen untuk menyokong dakwaan mereka. Yang ditimbulkan oleh penulis blog itu ialah mengapa satu syarikat sahaja. Surat yang dikeluarkan itu membuktikan ada arahan yang dikemukakan oleh kementerian dan KPUK perlu menjawab rasionalnya untuk menghapuskan prasangka yang ditimbulkan.

Menterinya boleh menjelaskan pemberian kontrak itu untuk membolehkan rakyat negara ini terutamanya syarikat-syarikat lain yang berminat mengetahui rasional pemberian itu. Jika ia dibuat dengan niat yang baik dan tidak timbul isu kronisme, maka penjelasan Menteri boleh menangkis dakwaan yang diketengahkan oleh penulis blog. Ia secara langsung membersihkan nama kerajaan. Namun, jika ia benar dan wujud, maka ini memaparkan penulis blog berjaya melaksanakan tugas mereka sebagai pemantau kegiatan kementerian dan agensi kerajaan.

Saturday, August 25, 2007

BLOG BUKA RUANG MENJAWAB TUDUHAN

Saya terbaca posting Lokman Hamidi mengenai abangnya, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, yang ditulis oleh wartawan AgendaDaily, Hanafiah Man. Tulisan Hanafiah itu menjawab tulisan awal oleh Amin Yatim yang dipetik oleh news portal, MalaysiaToday, dikendalikan oleh RPK.

Dalam artikelnya, Politik Wartawan AgendaDaily, Amin cuba mempertikaikan beberapa fakta dalam laporan Hanafiah mengenai pertemuan antara mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pemilik web, penulis dan pengendali blog serta penyokong TDM termasuk Tengku Mahalel dan Datuk Ibrahim Ali. Bagaimanapun, Hanafiah menafikan perkara itu dengan menulis satu artikel dalam AgendaDaily, yang bertajuk Tolong jangan bikin malu Raja Petra.

Perbalahan ini mengingatkan saya ketika bertugas di Berita Harian di mana seorang Pengarang Kanan A menggunakan kolumnya untuk menghentam seorang Pengarang Kanan B. Seterusnya, Pengarang Kanan B pula menggunakan kolumnya untuk menjawab dan menghentam semula Pengarang Kanan A. Akhirnya semuanya terbongkar dan wartawan NSTP pun mengetahuilah segala yang rahsia yang tersimpan selama ini.

Melihat dari sudut positif pula, pemilikan blog ini, seperti juga pemilikan kolum di akhbar media perdana, memberi ruang kepada sesiapa saja untuk membuat tuduhan dan menjawab tuduhan. Namun jangan sampai boleh dibawa sehingga ke mahkamah. Hanya mereka yang tidak mempunyai blog mungkin "rugi" sedikit kerana tidak boleh menjawab tuduhan atau dakwaan yang dilemparkan kepadanya. Bagaimana TS Muhamad Muhd Taib nak buka blog ke?

Baca tulisan [ Hanafiah Man ] sepenuhnya menjawab tuduhan Amin yang dilemparkan terhadapnya.

PRU12: KAWASAN KUDIS AKAN SEMBUH?

Berita politik semasa MalaysiaKini semalam memaparkan bahawa Pemuda Umno Pulau Pinang bersedia menawan semula kerusi Parlimen Permatang Pauh dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihanraya Umum Ke12 (PRU12) yang dijangka diadakan akhir tahun ini atau awal tahun depan. Keyakinan itu untuk menawan kawasan kudis ini disuarakan oleh Setiausahanya, Ramlan Ishak.

Kawasan kudis? Panggilan kudis itu dilaporkan dibuat oleh Ketua Wanita Umno Pulau Pinang, Datin Jahara Hamid, Rabu lalu. Beliau mengumpamakan Permatang Pauh sebagai sebuah`kawasan berkudis' sehingga berjaya dimenangi PKR sejak dua penggal lalu. Ia menjadi kawasan berkudis sejak peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh ketika itu. Kesannya, kata Jahara, masih ada sehingga hari ini dan kudisnya belum sembuh sepenuhnya walaupun peristiwa itu berlaku hampir 10 tahun lalu.

Namun, Ramlan mempunyai pandangan berbeza. Sambil mendakwa kedudukan PKR yang lemah, beliau berkata, pihaknya juga memberi tumpuan khas, termasuk memantau dan menangani isu yang ditimbulkan pembangkang. "Pengaruh parti itu di Permatang Pauh sudah menuju angka sifar dan boleh berkubur bila-bila masa sahaja ekoran pengikutnya keluar beramai-ramai. "Apa yang PKR Permatang Pauh ada lagi sekarang? Ahli tidak ada, jentera pilihanraya pun tidak ada. Apa yang mereka boleh buat? "Rakan mereka iaitu PAS tidak mempunyai isu yang boleh digunakan dalam pilihanraya umum akan datang," katanya kepada Malaysiakini.

Parlimen Permatang Pauh sejak dua penggal lalu diwakili oleh Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, yang juga Presiden PKR. Permatang Pauh sebelum itu pernah menjadi kubu kuat Umno semasa DSAI menjadi ahli Parlimen kawasan itu dari 1982 hingga 1995. Bagaimanapun, pemecatan beliau pada 2 September 1998 menyebabkan Umno Permatang Pauh berpecah dua iaitu mereka yang menyokong Umno dan satu lagi keluar parti dan menyokong PKR. Dalam pilihanraya umum 1999, Wan Azizah mengalahkan Datuk Ibrahim Saad, (orang kuat FAM yang menerima kritikan teruk kerana kekalahan pasukan bolasepak negara) manakala pada pilihanraya lalu, beliau mengalahkan Datuk Pirdaus Ismail, bekas imam Masjid Negara dan juga Exco Pemuda UMNO.

Bagi saya, Permatang Pauh adalah antara beberapa kawasan Parlimen yang sudah pasti menjadi tumpuan UMNO dan BN pada PRU12 akan datang. Kawasan Parlimen ini yang dimenangi oleh pembangkang perlu dikembalikan demi untuk memaparkan bahawa UMNO dan BN mampu mengambil semula Kawasan Parlimen (KAPAR)atau Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) itu. Bukan kerana maruah tetapi memastikan rakyat di kawasan itu terus menikmati nikmat pembangunan seperti di kawasan lain yang diwakili oleh calon BN. Tiada rakyat yang perlu tertinggal daripada pembangunan.

Malah kerajaan juga terus-menerus membawa pembangunan di kawasan yang dimenangi oleh calon pembangkang dan bebas untuk menunjukkan bahawa pembangunan itu perlu untuk rakyat walaupun mereka mengundi pembangkang. Penerusan pembangunan itu untuk memaparkan bahawa kerajaan tidak pernah menganaktirikan rakyat untuk menikmati pembangunan. Bagaimanapun, ia juga sebagai petunjuk atau signal kepada rakyat bahawa BN boleh membawa lebih banyak faedah lain di samping kemudahan asas seperti jalan raya atau pembinaan jambatan.

Umpamanya, di Kuala Penyu, Sabah yang dimenangi oleh bekas orang kuat UMNO, John Ghani, di mana diperhebatkan lagi pembinaan pelbagai kemudahan asas terutama jalan raya sehinggakan ada pihak yang mengatakan pembangunan tetap diterima walaupun diwakili ADUN bebas. Apa yang mereka tidak tahu ialah BN memperhebatkan penyaluran pembangunan ini untuk menutup kelemahan wakilnya sebelum ini yang tidak menjalankan tugas dengan baik dan membantu kerajaan. Kesilapan wakil ini menyebabkan kerajaan terpaksa memikul beban sehinggakan rakyat mahu menolak parti kerajaan.

Kesimpulannya, apa yang banyak diperkatakan oleh pemimpin UMNO ialah untuk menguburkan PKR dan mengurangkan kawasan PAS. Walaupun, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yakin PAS akan menawan 40 kerusi Parlimen tetapi kenyataan pemimpin UMNO yang memperkecil-kecilkan impian itu menunjukkan ada banyak usaha dijalankan BN untuk menawan kawasan kalah pada PRU lalu. Masa yang menentukannya. Berkuburnya Permatang Pauh, ibarat berkuburnya PKR.

Selain Permatang Pauh, KAPAR dan KADUN yang akan diberi tumpuan oleh parti kerajaan sudah tentu di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Ini kerana banyak kawasan di ketiga-tiga negeri ini dikuasai oleh pembangkang termasuk yang dimenangi dengan majoriti kecil. Di Pulau Pinang dan Perak ada juga KAPAR dan KADUN yang akan diberi lebih tumpuan untuk memastikan kawasan itu kembali semula ke tangan BN.

SABAH DIBAWAH BAYU (1)


(Tinggalan perkampungan orang laut beragama Islam di pulau berdekatan Kota Kinabalu. Rumah mereka pernah dibakar ketika mereka sibuk keluar mencari rezeki. Anak-anak yang bersekolah pada waktu pagi menangis teresak-esak kerana tiada rumah lagi setelah pulang daripada sekolah. Ketika kebakaran dilakukan, ramai pemimpin UMNO dan Islam sedang mengerjakan ibadah di Mekah. Pasukan Penyelamat dan Bomba yang diarahkan untuk melakukan "pembersihan" itu enggan berbuat demikian. Namun, tugas pembersihan itu dilakukan oleh pasukan yang mendapat arahan daripada ketua yang rapat dengan orang nombor satu Sabah ketika itu, TS Chong.)


(Pasukan Maritim Malaysia yang sentiasa menjaga perairan negara. Mereka ditugaskan untuk memastikan tiada kemasukan pelarian dan pendatang tanpa izin selain membanteras penyeludupan barangan atau manusia.)

Friday, August 24, 2007

PENULIS BLOG PANDAI CARI MAKAN?

Tatkala mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (TDM), meminta penulis blog bangun membongkarkan berita-berita mengenai kesalahan kerajaan sekarang, ada juga yang tidak mahu berbuat demikian sebaliknya menggunakan blog untuk menyuarakan rasa hati mereka terhadap TDM. Ini saya amati dalam penulisan Basir Ahmad dalam sebuah news portal dikenali MalaysiaAktif. Tidak tahu siapakah pengendalinya tetapi ia dikatakan semakin menonjol terutama bahan-bahan yang mempunyai perspektif berbeza daripada news portal seperti Malaysiakini, KLPOS, AgendaDaily atau MalaysiaToday.

Cara penulisan Basir ini seolah-olah memperlihatkan bahawa beliau seorang yang amat mengenali TDM ataupun pengikut TDM tetapi mungkin tidak mahu mendengar lagi saranannya. Malah, Basir cuba untuk membawa "cerita-cerita" lama atau sesetengah orang mengatakan basi untuk mengungkit apa yang dilakukan oleh TDM ketika pemerintahannya. Basir kemungkinan seorang pegawai kerajaan, ahli akademik, pemerhati politik, ahli UMNO atau seorang wartawan.

Jika seorang wartawan sudah pasti beliau mengundang kritikan pedas dan "perlondehan terbuka" wataknya nanti oleh bloggers yang masih menyayangi dan menghormati TDM seperti yang dialami oleh Rosli Ismail, Badrulhisham Aziz dan Hanafiah Man menerusi satu artikel dalam blog proMahathir. Dalam artikel yang melabelkan mereka sebagai penulis AgendaDaily, ketiga-tiga mereka diberikan pelbagai gelaran termasuk penulis upahan, penulis yang tidak memahami ucapan TDM dan penulis yang mahu memalukan TDM.

Pengamatan saya mendapati news portal seperti Malaysiakini, yang diusahakan oleh Steven Gan dan MalaysiaToday oleh RPK serta KLPOS oleh Helmi Hanafi banyak memberi ruang kepada TDM untuk menyuarakan pandangan dan nasihat terhadap kerajaan sekarang. AgendaDaily pula ada tetapi tidak banyak. Malah, news portal ini menjadi sasaran sedikit masa lalu kerana mengeluarkan surat pembaca yang menghentam TDM. Apapun, segala yang ditulis oleh penulis blog memberikan perspektif baru kepada isu yang dikemukakan terutama yang tidak terdapat dalam media arus perdana. Anda bijak memahaminya.

Diperturunkan tulisan Basir Ahmad dalam MalaysiaAktif.

"SAYA mengakui bahawa seperti kebanyakan rakyat Malaysia, saya menyanjung Tun Dr. Mahathir Mohamad. Semua orang tahu bahawa banyak jasa Tun kepada Malaysia sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri. Bagaimanapun, perasaan yang bersifat pro beliau tidak tidak datang secara mendadak. Kebanyakan orang lain juga begitu. Dan perasaan itu meluntur sekarang.

Ketika Tun baru menjadi Perdana Menteri dulu, saya terkejut membaca komennya sebagai reaksi kepada cadangan umum supaya tempat solat disediakan dalam kereta api. Kata Tun, macam mana mahu sediakan tempat solat dalam kereta api kerana ia tidak bergerak lurus sepanjang masa. Maknanya kita tidak menghadap ke kiblat sepanjang masa ketika bersolat dalam kereta api.

Saya yang sangat muda ketika itu dan jahil pula dalam bidang agama, turut terkejut. Kita semua tahu bahawa hukum-hakam dalam agama Islam tidaklah sesempit itu. Jika tiada air untuk berwuduk pun kita boleh bertayamum dengan tanah atau pasir.

Dalam kapal terbang pun kita boleh menunaikan solat sekalipun arah kiblat berubah-ubah. Apakah Tun juga sangat jahil ketika itu atau beliau hanya mengadakan alasan untuk tidak membenarkan KTM membazirkan ruang dengan menyediakan bilik solat?
Sebenarnya, di sebalik anggapan kita bahawa beliau adalah seorang yang pintar, Tun tidak sunyi daripada melakukan kesalahan. Beliau juga manusia biasa seperti kita.

Sebagaimana orang lain, hati Tun juga boleh dihasut oleh Iblis dan syaitan yang kerja mereka adalah untuk menyesatkan manusia dan mencetuskan kacau-bilau di kalangan mereka. Tun juga boleh dipengaruhi oleh orang lain yang mahu memperalatkannya untuk kepentingan mereka. Contohnya betapa beliau pernah menuduh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memiliki rumah mewah di Australia.

Tuduhan tersebut dibuat tanpa usul periksa di khalayak umum sedangkan perkara tersebut hanya didengarnya daripada orang lain. Penyampai cerita tersebut barangkali adalah orang-orang yang berkerumun di sekelilingnya selepas beliau bersara daripada jawatan Perdana Menteri.Tentulah pembawa cerita itu adalah mereka yang tidak suka kepada Pak Lah atas sebab-sebab tertentu, termasuk yang bersifat peribadi. Ada yang tidak mendapat tempat dalam parti, ada yang berasa tidak diberikan layanan oleh Pak Lah dan ada yang memang berjiwa suka menentang kerajaan.

Akhirnya Tun menyedari tuduhan itu tidak betul. Syukurlah beliau memohon maaf secara terbuka terhadap kesilapannya itu, yang mengikut al-Quran bukanlah satu kesilapan kecil. Memfitnah adalah dosa besar.

Baru-baru ini (15 Ogos 2007), Tun mengadakan satu pertemuan dengan kira-kira 100 orang penulis blog. Antara lain Tun berkata, penulis-penulis blog adalah harapan terakhir bagi menyuarakan pandangan tentang segala masalah di Malaysia sekarang.

“UMNO sudah lumpuh. Tidak boleh buat apa-apa. Yang boleh diharap hanyalah penulis-penulis blog,” katanya. Dalam pertemuan itu juga beliau mengakui melakukan kesilapan kerana memusuhi Malaysiakini.com. sewaktu menjadi Perdana Menteri dulu. “Saya kena akui bahawa saya sangat tersinggung dengan mereka (Malaysiakini) kerana saya dapati apa yang saya tulis terhadap mereka adalah sama sekali tidak betul,” jelasnya.

Sekarang Tun Mahathir bukan sahaja mengiktiraf Malaysiakini, malah menggunakan sepenuhnya laman berita itu sebagai saluran suaranya. Agak menarik, Tun Mahathir dalam menjelaskan sejarah hubungannya dengan Malaysiakini sangat bersifat apologetik (rasa bersalah).“Saya jumpa Malaysiakini.com dan menjelaskan kenapa saya melakukan perkara-perkara itu. Saya tidak tahu sama ada mereka percaya atau tidak. Saya mungkin telah melakukan dosa. Saya tidak fikir ada orang dalam dewan ini (tempat pertemuan di Yayasan Perdana, Putrajaya) yang tidak pernah melakukan dosa,” katanya.

Begitu cepat seseorang mengubah pendirian terhadap sesuatu. Malaysiakini memang sifatnya propembangkang. Sebab itu Tun bermusuh dengan Malaysiakini ketika itu.

Apa yang berlaku adalah berpunca daripada perbezaan pandangan. Sesuatu itu mungkin betul kepada satu pihak, tetapi tidak betul kepada orang lain. Kini Tun Mahathir tidak lagi berada di tempat yang menjadi sasaran pembangkang, maka mudahlah segala-galanya dianggap betul. Seperti Tun Mahathir dulu, sekarang adalah giliran Pak Lah menjadi sasaran pembangkang. Orang membangkang bukan sahaja kerana berbeza fahaman politik, tapi juga disebabkan berbeza pendapat terhadap sesuatu perkara.

Pendapat berbeza bukan kerana sesuatu perkara yang dikritik itu tidak betul, tetapi lebih disebabkan ia tidak dibuat mengikut cara dan selera pengkritik. Dan tidak semestinya pengkritik yang betul. Secara mudah begitulah analogi pengalaman Tun Mahathir. Apa yang dibuatnya dulu tentulah pada pendapatnya betul, tapi tidak kepada Malaysiakini dan penulis-penulis blog. Sebab itulah Tun Mahathir pernah dilabel Mahazalim, Mahafiraun dan sebagainya. Dulu Raja Petra Kamarudin (RPK) menghentam Mahathir, tapi sekarang mereka `sependapat.’

Tun Mahathir memberikan pengiktirafan yang tinggi kepada penulis blog kerana sekarang beliau kurang mendapat tempat dalam media tradisional yang suatu masa dulu memuatkan apa sahaja yang beliau buat dan cakap. Biasalah hukum media di Malaysia adalah begitu. Media tradisional sentiasa memberikan tempat kepada mereka yang berkuasa. Jika sekarang Pak Lah yang berkuasa, maka Pak Lah yang diberikan tempat dan keutamaan.

Jika Tun Mahathir berpendapat ia tidak betul, mengapa semasa beliau berkuasa dulu perkara tersebut tidak dibetulkan? Sekarang Tun Mahathir dalam perahu yang sama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Suatu masa dulu Anwar juga sangat berkuasa terhadap media. Ketua pengarang dan pengurus berita TV telah dilantik oleh beliau supaya sentiasa menyiarkan berita mengikut agendanya.

Sekarang Anwar juga memuji penulis blog dan mempunyai penulis-penulisnya sendiri. Ini adalah lumrah media di Malaysia. Suatu masa nanti, Pak Lah juga tidak akan mendapat tempat di media tradisional apabila beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri. Mereka akan hanya mendapat tempat jika bercakap mengenai perkara-perkara yang tidak menghentam kerajaan dan pimpinan semasa. Kalau menghentam tentulah tidak dilayan.

Maka janganlah Tun Mahathir bersikap dan bercakap seolah-olah beliau tidak faham dasar ini. Suatu masa dulu Utusan Malaysia juga sangat bebas, tapi apabila Syarikat Utusan Melayu diambil alih oleh UMNO pada zaman Tunku Abdul Rahman, konsep kebebasan berubah. Kebebasan sekarang diiringi dengan tanggung jawab. Sudah tentulah tanggung jawab itu kepada pihak yang menguasai syarikat dan kerajaan. Adalah aneh jika Tun Mahathir yang bijak tidak memahami perkara ini daripada dulu. Samalah pengertiannya dengan Tun Mahathir bermusuh dengan Malaysiakini dan Malaysia Today suatu masa dulu, tapi sekarang saling memuji dan bersandaran.

Jadi janganlah menganggap semua blog adalah betul. Ini satu perkara yang subjektif.
Berhati-hatilah Tun dalam segala percakapan dan tindakan. Jangan lekas terpengaruh atau makan hasut cakap orang yang memuji dan memuja kita. Tun pun tahu bahawa keadaan boleh berubah, macam pandangan Tun terhadap Malaysiakini dan Malaysia Today. Tidak munasabah segala-galanya boleh berubah dalam sekelip mata. Hari ini tidak betul, tiba-tiba esok terus betul.

Dan tidak semuanya yang ditulis oleh blog itu betul. Ada yang betul dan ada yang tidak betul. Apatah lagi blog tidak dikawal oleh pemilik seperti pengarang-pengarang media tradisional yang terpaksa akur kepada pemilik atau tauke mereka. Malah blog lebih berbahaya kerana pengendalinya tidak mempunyai tauke. Mereka menulis apa yang mereka rasa betul sedangkan tiada manusia yang betul dalam semua perkara dan sepanjang masa. Jika Tun sendiri terkenal sebagai orang yang bijak dan bertanggung jawab boleh tersilap dan melakukan dosa (meminjam kata-kata Tun sendiri), apalah sangat mereka ini.

Seperkara lagi, berhati-hatilah supaya tidak mudah dipengaruhi oleh mereka yang mengerumuni Tun sekarang. Suatu masa dulu Tun bermusuhan dengan Anwar. Tentulah Tun boleh memahami siapa yang mengerumuni Anwar ketika itu.

Yang mengerumuni Tun Mahathir sekarang juga mungkin jenis-jenis orang yang sama. Siasat dulu siapa mereka supaya Tun tidak mudah terlajak kata dan prasangka. Sebilangan mereka yang mengerumuni Tun sekarang mungkin sangat membenci Tun suatu masa dulu atas sebab-sebab yang Tun sendiri tidak boleh terima. Sekarang mereka cuba menarik Tun supaya bersama mereka. Betul sangatkah mereka itu?

Jangan lupa bahawa Almarhum Tunku dulu pun pernah berada dalam bot yang sama dengan Tun sekarang. Adakah betul atau salah sikap Tunku terhadap Tun pada masa itu? Pandangan antara manusia tidak sama, dan keadaan serta masa juga mempengaruhi pendapat terhadap sesuatu perkara.

Ketika Tun mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Hussein Onn dulu pun banyak perkara yang Tun ubah dalam sekelip mata. Ini adalah amalan biasa dalam mana-mana pentadbiran, sama ada di peringkat syarikat, jabatan kerajaan dan kerajaan.
Jadi apa salahnya Pak Lah membuat sesuatu yang baru atau mengubah yang lama. Ini adalah amalan biasa. Jika tidak betul, rakyat akan membuat keputusan dalam pilihan raya akan datang. Yang jelas tidak betul ialah kenyataan Tun bahawa UMNO sekarang tidak boleh buat apa-apa dan harapan yang ada hanyalah kepada penulis.

Bagi penulis ini adalah satu kenyataan yang bersifat meludah ke langit jatuh ke muka sendiri. Tun adalah orang yang paling lama memimpin UMNO. Lebih lama daripada Tunku, Allahyarham Tun Abdul Razak, Tun Hussein dan Pak Lah. Dalam tempoh beberapa tahun sahaja, Tun katakan UMNO tidak boleh diharap lagi. Rupa-rupanya Tun gagal membina UMNO yang boleh diharap dalam tempoh yang begitu lama. Lalu Tun perlekeh UMNO begitu teruk.Yang Tun harapkan sekarang ialah blog. Nampaknya blog sudah menjadi satu institusi yang sangat penting dalam negara ini, jika mengikut kata Tun.

Kalau begitu marilah semua orang menjadi penulis blog dan membina negara Malaysia dengan blog. Sepatutnya kita semua sudah jadi penulis blog pada zaman Tun Mahathir dulu. Yang tulis blog ketika itu hanyalah Anwar dan geng Reformasinya. Tidak ramai dan itulah zaman permulaan blog. Anwar mengasas blog untuk hentam Mahathir dan Mahathir suburkan blog untuk bantai Pak Lah. Dua kali lima sama juga lima kali dua."

ABE jumpa ABB


(Malaysia dan Jepun. Gambar oleh IY)

PUTRAJAYA, 24 Ogos (Bernama)- Sempena ulang tahun ke-50 terjalinnya hubungan diplomatik, Malaysia dan Jepun hari ini menandatangani satu kenyataan bersama bagi menyatakan keazaman masing-masing untuk mengukuhkannya lagi bagi sama-sama menghadapi isu serantau dan antarabangsa.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan rakan sejawatannya dari Jepun, Shinzo Abe, menandatangani kenyataan itu di Pejabat Perdana Menteri di sini pada hari kedua lawatan rasmi tiga hari pemimpin Jepun itu ke Malaysia.

Dalam kenyataan itu, Abdullah dan Abe menyatakan keazaman untuk meningkatkan kerjasama dalam pembangunan modal insan dan meluaskan hubungan ekonomi yang menjadi asas kepada hubungan Malaysia-Jepun.

Mereka juga melahirkan hasrat untuk terus bekerjasama dalam lima bidang -- politik dan keselamatan, ekonomi, pembangunan modal insan, alam sekitar dan tenaga, serta arena antarabangsa -- berdasarkan cogan kata "Persahabatan Berkekalan dan Perkongsian Bermakna".

Sebelum itu, Abe diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana sebelum beliau dan Abdullah mengetuai delegasi masing-masing dalam satu mesyuarat.

Dalam kenyataan itu, Abe juga mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara ini 31 Ogos ini selain melahirkan rasa kagumnya dengan pencapaian Malaysia.

Abdullah pula menyatakan penghargaannya kepada Jepun kerana telah memberikan kerjasama ekonomi kepada Malaysia selama ini.

Kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa lawatan itu telah menyuntik satu semangat baru dalam hubungan Malaysia-Jepun.

Abe turut mengundang Abdullah untuk melawat Jepun, dan menurut kenyataan itu, Abdullah menerima jemputan itu dan akan membuat lawatan itu pada satu masa yang sesuai.

Sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun, pelbagai acara yang berkaitan diadakan di kedua-dua negara.

JANGAN MARAH TAPI MESTI PANDAI JAWAB


(Menara Kembar Petronas. Sumber gambar : Going Places)

Satu hari di Malaysia...
(Bahasa digunakan ialah Bahasa Inggeris tetapi diterjemahkan)

Pemandu teksi : Encik nak pergi Mandarin Hotel, KL ya. Ok.. sila masuk.
Pelancong : Airport ini (KLIA), berapa tahun kerajaan anda bina?
Pemandu teksi : Lebih tiga tahun.
Pelancong : Di negara saya, bangunan macam ni, dibina dalam tiga bulan saja. (Pelancong menunjukkan ego dan lagaknya. Pemandu teksi berdiam diri. Teksi terus berlalu dan melalui jalan berdekatan KL Tower)
Pelancong : Menara apa ni?
Pemandu teksi : Oo yang ni Encik..KL Tower.
Pelancong : Berapa lama dibina menara ini?
Pemandu teksi : Lama juga...saya rasa lebih dua tahun...
Pelancong : Di negara saya, menara macam ni dibina dalam dua bulan saja.
Pemandu teksi : (Rasa meluat tetapi tak boleh berlagak dan marah-marah. Nanti Menteri Pelancongan marah kerana tidak menghormati pelancong. Terpaksa diam saja.)

(Setiba di Menara Berkembar Petronas)
Pelancong : Waa...tinggi bangunan ini. Berapa lama kerajaan kamu bina?
Pemandu teksi : (Buat-buat hairan) Tak tahu lah encik, semalam...semalam tidak ada bangunan ini..tapi hari ini dah ada pulak.
Pelancong : (Tunduk malu....)

Thursday, August 23, 2007

JANGAN LAYAN MACAM ANJING

Sejak empat tahun lalu saya tidak mempunyai pembantu rumah. Sebelum ini, saya mendapatkan perkhidmatan saudara serumpun dari Indonesia. Tiga orang kesemuanya. Semuanya wanita dan mengaku janda.

Yang pertama hanya tiga bulan, itupun dipinjamkan oleh rakan baik saya, Allahyarham Dino (semoga Allah SWT menempatkan rohnya bersama orang-orang beriman). Yang pertama ini boleh tahanlah. Cuma perangainya yang tidak cantik iaitu membasuh punggung anak saya menggunakan kaki. Apabila ditanya oleh arwah emak mentua saya, beliau menjawab itulah cara orang Indonesia membasuh punggung anak selepas membuang air besar. Perangainya tidak secantik rupanya.

Kedua ialah wanita dari Pulau Jawa. Tidak pandai memasak dan buat kerja rumah. Saya hanya memintanya menjaga ketiga-tiga anak saya. Sikapnya seperti pahat. Apa yang disuruh barulah dibuat. Malah, sembahyang subuhpun saya yang mengejutnya. Tambahlah pahala saya sepanjang lebih tiga tahun bersama saya. Tetapi gemar membantu dan menunjuk-nunjuk bahawa dia rajin. Bawa balik gaji lebih tiga tahun ke Jawa.

Ketiga ialah seorang makcik. Yang peliknya umur yang diberitahu oleh ejen adalah lingkungan 35 tahun tetapi yang datang berusia 50 tahun. Tidak mengapa. Hanya untuk menjaga anak saya. Namun, beliau insan yang pandai memasak. Kalau ayam masak rempah, memang masakan keistimewaannya. Tambahlah nasi dua kali. Beliau dipertanggungjawab membesarkan saiz badan saya. Memohon untuk pulang menemui anaknya tetapi hilang begitu saja. Telefon daripada Indonesia bahawa bekas suaminya mahu rujuk semula. Rujuklah dan tinggallah selama-lamanya di Indonesia. Saya halalkan wang yang diberi untuk membeli telekong anak-anak saya.

Sejak itu, RH tidak mahu pembantu rumah. Beliau mahu melakukan segala-galanya. Tetapi adakalanya terkeluar juga perkataan, "ingat saya ini pembantu rumah ke?" Untuk mengeraskan hati RH, saya menjawab, "lebih kurang". Sejam berhenti bercakap dengan saya sebagai tanda protes dengan kenyataan itu. Namun, hatinya baik. Insan istimewa.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah ketiga-tiga pembantu rumah itu dilayan dengan baik. Bukan sebagai hamba atau orang suruhan. Sering meminta mereka berhati-hati ketika berkawan dan keluar rumah. Adakalanya saya pula terasa macam orang gaji. Terpaksa mengejut pembantu rumah untuk sembahyang Subuh. Layanan baik itu timbul daripada pendidikan yang diberikan oleh ibu bapa. Ramah mesra diberikan kepada pembantu rumah kerana saya berpendirian mereka adalah insan seperti kita yang perlu dihormati dan dikasihi. Yang ada maruah diri.

Oleh itu, apabila saya membaca mengenai tindakan sesetengah pihak mendera pembantu rumah, hati saya terbakar dan timbul perasaan meluat terhadap mereka yang tidak bermoral itu. Apakah ibu bapa mereka tidak pernah mendidik untuk menghormati manusia? Apakah ibu bapa mereka tidak pernah mengajar untuk menghormati insan lain termasuk binatang? Oleh itu, tindakan sesetengah golongan yang melayan pembantu rumah seperti binatang adalah manusia yang hanya berkepala dan berbadankan manusia tetapi hatinya kotor dan busuk yang teramat sangat. Insaf dan bertaubatlah. Saya bukanlah orang yang tersangat baik tetapi setidak-tidaknya saya lebih baik daripada anda yang mendera pembantu rumah.

Laporan Malaysiakini hari ini yang menyatakan Kerajaan Indonesia memberi tekanan kepada Malaysia untuk mengambil tindakan segera terhadap majikan yang jahat dan berhati busuk berikutan kematian seorang pembantu rumah, amat menyedihkan. Tindakan majikan itu memalukan negara dan rakyat negara ini.

Apa alasan sekalipun terhadap kejadian kematian Kunasir yang berusia 24 tahun, ia tidak sepatutnya berlaku apatah lagi jika disengajakan. Kejadian itu bukan saja memalukan Malaysia tetapi memalukan bangsa negara ini yang dikenali sebagai golongan yang berbudi bahasa dan bersopan santun. Tindakan mendera pembantu rumah itu adalah perbuatan orang yang tidak bermaruah dan mereka ini perlu dikenakan tindakan tegas agar menjadi sempadan kepada orang lain.

Insaflah bahawa sesiapa saja yang menjadi pembantu rumah, tidak kira dari Indonesia atau negara lain sekalipun, layanilah mereka seperti saudara kita. Janganlah fikir yang bukan-bukan. Janganlah fikir mereka ini jahat hendak mencuri barang anda. Hanya berhati-hatilah dan jangan lalai. Ikan kalau dibiarkan tidak bertudung, akan disambar oleh kucing. Janganlah bongak dengan wang gaji yang diberikan sehingga melakukan sesuka hati terhadap pembantu rumah.

Pagi-pagi lagi sudah menyuruh membasuh kereta, kemudian pergi ke pasar, memasak, membasuh baju, membasuh kereta kedua, membasuh kasut sekolah, memotong rumput dan pokok bunga, menyiram pokok, mencuci lantai, memberi makan anjing, membasuh kandang anjing, memberi makan kepada kucing, mengangkat barang-barang yang berat, mencuci najis orang yang perlu dibantu dan 1001 macam kerja.

Ingatlah jika kita menganiaya orang, tuhan akan tetap membalasnya. Masa yang akan menentukan. Jika tidak kepada kita, mungkin ia akan terkena batang hidung anak atau cucu kita sendiri. Tidak percaya, buatlah.

Wednesday, August 22, 2007

KANANG ANAK LANGKAU - PAHLAWAN NEGARA


(IY bersama Pahlawan Negara)

Agustine, Evelyn, Merylin, Puline, Judith dan Langge, saya amat berbangga dapat bertemu dengan ayah saudara-saudari, Kanang anak Langkau di Perhimpunan Perdana Veteran Merdeka di Melaka pada 17 Ogos lalu.

Saya yakin anda semua juga berbangga mempunyai seorang bapa yang dihormati kerana darah kepahlawanannya terbilang dalam mempertahankan bumi bertuah ini. Ibu anda, Helen Latai Ini, pasti beruntung memiliki suami yang keberaniannya amat luar biasa. Tidak hairanlah kerajaan memberikan dua anugerah kepahlawanan tertinggi negara iaitu PGB dan SP kepadanya. Mengikut Kanang beliau adalah satu-satunya pahlawan negara yang mendapat dua anugerah itu yang diberikan kepada anggota pasukan keselamatan yang terbilang.

Kanang dianugerahkan Panglima Gagah Berani (PGB) pada 1980 dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) pada 1981 kerana jasanya mempertahankan negara sehingga ke titisan darah terakhir ketika berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia selama 25 tahun.

Bermula sebagai Iban tracker pada 1961, Kanang yang dilahirkan pada 1945, melalui pelbagai pengalaman dalam Sarawak Renjer (1963), Satu Renjer (1965), Lapan Renjer (1973) dan berhenti pada Jun 1985 sebagai Pegawai Waran 1 (PW1). Anak kelahiran Simanggang, Sarawak ini juga pernah ditempatkan di Satu Infantri di Changi, Singapura; Jungle Warfare School di Ulu Tiram, Johor; First Royal Queen Guard Regiment di Melaka, First Royal New Zealand dan pasukan Komando di Sungai Udang, Melaka.

Namun pengalaman yang tidak dilupakan ialah bertugas di Perak di Pos Legam dan Pos Yom menentang komunis. Menurutnya, enam komunis berjaya ditumpaskan dalam gerakan yang kemas dan teratur di Perak. Dalam kejadian di Kinta beliau hampir-hampir terkorban akibat serangan daripada komunis. Beliau yang ditembak tiga kali tetap berdiri gagah membantu rakan yang cedera parah. Parut di sebelah kiri perut akan menjadi tanda ingatan dan kenangan dengan pembabitannya menghapus komunis di negara ini.

Setelah bersara, Kanang dijemput untuk memberi ceramah di pelbagai tempat terutamanya sekolah, institusi pengajian tinggi dan institusi latihan belia mengenai usaha pejuang negara memerdekakan negara ini daripada ancaman komunis.

Baginya, generasi sekarang amat beruntung kerana dapat menikmati kemerdekaan daripada usaha gigih pejuang veteran yang berjuang bermati-matian bagi memastikan negara ini terus merdeka daripada anasir dalam dan luar negara. Menurutnya, generasi sekarang seharusnya bersyukur dengan kestabilan politik dan ekonomi yang membolehkan mereka hidup dalam keadaan aman dan damai. Yang menghairankan, katanya, ada anak muda yang malas belajar walaupun pelbagai kemudahan disediakan oleh kerajaan.

Kanang yang kini menetap di Sri Aman, Sarawak mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang memberi kedua-dua anugerah itu ketika Paklah menjadi Menteri Pertahanan. Menurutnya, rakyat negara ini harus memberi sokongan padu kepada kepemimpinan Perdana Menteri dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, untuk membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju dan cemerlang.

BUATLAH LAGU YANG SEDAP DIDENGAR

Sempat posting di KLIA. Tertarik dengan tulisan rakan saya, Zainuri Misfar, wartawan hiburan BH mengenai dakwaannya bahawa radio kita kini menjadi "bakul sampah" lagu Indonesia. Benarkah begitu atau pun lagu tempatan sudah tidak bermutu lagi? Sebagai peminat seni, biasanya kita memilih lagu yang sedap didengar. Tidak hairanlah DJ kita memutarkan lagu-lagu Indonesia. Oleh itu, penggubah lagu tempatan perlulah mencari formula untuk menggalakkan rakyat negara ini meminati lagu tempatan. Dulupun, kita suka lagu dari Indonesia dengan pelbagai kumpulan seperti Dllyod.

Ikuti pandangan Zainuri Misfar dalam tulisannya hari ini.

TERDAPAT pelbagai reaksi daripada pembaca apabila ruangan ini minggu lalu bertajuk ‘HotFM lubuk lagu Indonesia’. Majoritinya bersetuju stesen radio swasta memberi terlalu banyak kelebihan kepada penyanyi Indonesia. Seorang penghantar emel dikenali sebagai Pak Kordy mengatakan tagline HotFM wajar saja ditukar daripada ‘lebih hangat daripada biasa’ kepada ‘lebih Indonesia dari Malaysia’.

Bagaimanapun, sekali lagi ingin dijelaskan, kita bukan menentang lagu Indonesia, tetapi mahu kuantiti atau kekerapan penyiaran lagunya dikurangkan. Itu saja. Bukan saja HotFM tetapi juga stesen radio lain seperti EraFM dan SuriaFM. Bahkan, kalau ikutkan EraFM lebih awal membuka pintu kebanjiran lagu dari Indonesia sehingga mewujudkan carta khusus dikenali sebagai Ngetop Di Era.

SuriaFM pula ada carta ‘Baik Banget’. TV3 juga sering menyiarkan klip video penyanyi Indonesia, terutama dalam program Malaysia Hari Ini (MHI). Program Muzik Muzik turut memberi ruang kepada penyanyi Indonesia setiap kali mereka datang mempromosikan album mereka di Kuala Lumpur.

Bagi kita, sekalipun HotFM menjadi sasaran, secara simboliknya ia turut membabitkan pihak berkaitan. HotFM, Era, SuriaFM atau stesen radio lain di negara, patut melayari laman web beberapa media Indonesia betapa megah dan berlagaknya apabila lagu-lagu penyanyi mereka mendapat tempat yang seluas-luasnya di stesen radio di Malaysia.

Dalam pada itu, seorang lagi penghantar emel yang menamakan dirinya Razli berkata kesilapan pemuzik tempatan yang tidak menghasilkan karya lebih segar menyebabkan radio memilih menyiarkan lagu Indonesia . Razli mencadangkan supaya penyanyi Malaysia membeli lagu daripada komposer Indonesia. Katanya, berpegang kepada pepatah Inggeris ‘if you can't beat them, join them".

Penyanyi Malaysia sudah melakukan macam-macam. Ramai penyanyi kita yang sudah beli dan nyanyikan lagu ciptaan Melly Goeslaw, A Riyanto, Erwin Gutawa dan ramai lagi, tetapi tidak sampai ke mana pun. Kita masih ingatkan lagi apabila Search hendak masuk pasaran Indonesia, mereka disyaratkan mesti berduet dengan penyanyi Indonesia, seperti Inka Christie.

Beberapa lagu yang sudah elok di Malaysia, di tukar tajuk dan diubah suai seni katanya atas alasan memudahkan pendengar Indonesia memahaminya. Sampai bila kita kena mengalah dan berpegang kepada pepatah Inggeris itu? Lima tahun, 10 tahun atau 15 tahun lagi?

Sekarang hampir semua radio di Malaysia siarkan lagu Indonesia tanpa syarat dan peraturan. Ada lagu bercampur aduk dengan bahasa Inggeris, masih boleh disiarkan. Kalau lagu itu dinyanyikan penyanyi Malaysia, memang sudah lama kena ‘gam’.

Bagaimanapun, bagi lagu dari Indonesia, sepatah perkataan pun seni katanya tidak ditukar sedangkan ada antara perkataan itu kita sendiri pun tidak faham, atau perkataan yang mereka gunakan mempunyai makna berbeza dengan bahasa kita.

Pada masa sama, mereka memperkecilkan, menghina dan memperlekehkan muzik dan penyanyi Malaysia. Mereka mengatakan radio Malaysia suka siarkan lagu Indonesia sebab penyanyi atau muzik Malaysia tidak ada kelas berbanding penyanyi mereka.

Dalam media indonesia-online.com, rakyat Indonesia meminta penyanyi Indonesia supaya terus ‘menyerang’ radio Malaysia untuk menguasai pasaran muzik negara ini. Satu artikel yang disiarkan secara online dalam akhbar Kompas dengan nada mengejek mengatakan industri muzik Malaysia ketinggalan dibandingkan dengan Indonesia. Lagu Indonesia lebih progresif, bagus dan fresh, sementara lagu Malaysia kebanyakan lembik dan kurang variasi dan kurang eksperimental.

Kita rasa penulis artikel ini seorang yang sangat dangkal pengetahuannya mengenai industri muzik Malaysia. Artikel itu juga mengaitkan kemasukan kereta Proton ke Indonesia. Katanya, kalau Indonesia boleh menerima kemasukan Proton, mengapa pula orang Malaysia tidak boleh menerima lagu mereka. Persoalan yang sudah terkeluar daripada isu sebenar.

Hakikatnya, lagu Ungu, Samsons dan Radja lembik juga. Ia sekadar seronok didengar pada awalnya saja, tetapi lama-lama jadi muak dan mual. Dalam konteks industri muzik Malaysia, corak muzik mereka sudah dimainkan kumpulan muzik Malaysia pada 10 atau 20 tahun lalu. Lagu itu dikategorikan sebagai lagu ‘rock kapak’ iaitu berentak mendayu-dayu atau rock ballad. Menerusi media Indonesia.online, beberapa penulisnya dalam nada menyindir radio Malaysia dengan mengatakan ‘mungkin artis Malaysia mesti pake (gunakan) bahasa Indonesia’, selain menganggap ‘Malaysia yang lucu’.

Seorang penulis blog Indonesia mahu lagu Indonesia merajai (menguasai) radio Malaysia. “Mula-mula 40:60, 40 peratus lagu Indonesia, 60 peratus Malaysia, selepas itu 50:50 dan ayuh kita kuasai radio Malaysia jadi 60:40 (40 peratus lagu Malaysia, 60 lagu Indonesia).

Berdasarkan ulasan media Indonesia itu, wajarkah radio Malaysia buat tidak kisah saja? Mungkin alasan Pengurus Besar Rangkaian Radio Prima Berhad, Seelan Paul bahawa HotFM kerap menyiarkan lagu Indonesia kerana permintaan tinggi daripada pendengar. Alasan sama juga mungkin diberikan Pengurus Rancangan Radio Era, Rostam Said dan Ketua Pegawai Operasi SuriaFM, Engku Emran Zainal Abidin.

Bagaimanapun, Seelan Paul, Rostam dan Engku Emran seharusnya menjadi ‘gate keeper’. Walaupun lagu Indonesia memang mendapat permintaan tinggi daripada pendengar, anda harus mengimbangi permintaan itu secara berpada-pada. Nilai betul-betul kualiti lagu mereka supaya stesen radio anda tidak menjadi ‘bakul sampah’ lagu Indonesia. Lagipun, dalam dunia ini, tidak mungkin apa yang diminta boleh dipenuhi 100 peratus. Anda mampu mengubahnya!

Sibuk sedikit bertemu Rakan-rakan

Mulai hari ini, sibuk bertemu rakan-rakan sehingga hujung minggu. Urusan tugasan. Hujan dalam perjalanan ke KLIA. Semoga segala urusan berjalan lancar. Akan cuba membuat posting jika ada masa terluang. Malaysia negaraku Gemilang.

KERAJAAN PERLU GUNA MALAYSIAKINI

Dua bulan lalu, blog DuniaBudin ibarat rumah baru tanpa penghuni. Sekali-sekala pemiliknya akan datang dan membersihkan rumah itu. Seterusnya, beberapa kawan datang menjengok untuk melihat rumah itu dan pemiliknya, Syalala terpaksa mengemaskan rumah itu. Malah rakan-rakan membantunya mencantikkan rumah berkenaan dengan menanam pokok bunga, meletakkan nama jalan atau membuat kotak pos di depan rumah. Dalam ertikala lain, rumah Syalala semakin hari semakin cantik dan berseri.

Dulu pengunjung DuniaBudin adalah antara 10 hingga 20 orang saja dalam sehari. Yang memberi komen pula berputar-putar antara Abang Putra, saya dan pengunjung yang singgah dari semasa ke semasa. Ia memberi pendorong kuat untuk Syalala untuk terus menulis. Kelebihannya ialah isu membabitkan pergolakan dunia dan pengalamannya sebagai wakil biro Utusan Malaysia di Jakarta pada masa lalu.

Semalam, blog DuniaBudin dikunjungi lebih 890 pelayar sehingga jam 1 pagi. Syalala terkejut dengan perkembangan ini tetapi beliau akur bahawa tajuk yang dibawanya Melayu Vs Cina adalah tajuk kontempari yang banyak diperkatakan kebelakangan ini. Daripada isu penyanyi rap Cina hinggalah permintaan Presiden MCA agar GLC membantu usahawan Cina.

Sebagai seorang yang separuh Melayu dan separuh Cina, Syalala layak menyuarakan kebimbangannya. Malah beliau menegur news portal Malaysiakini yang menyediakan ruang kepada bangsa Melayu dan Cina "bertelagah" di alam siber dengan membuat pelbagai tuduhan. Baginya, Malaysiakini yang dikendalikan oleh Steven Gan perlu berhati-hati berbuat demikian demi untuk sebuah negara bernama Malaysia.

Dalam tulisannya, Syalala menyebut, "Orang Melayu dengan orang China sekarang macam nak bergaduh. Itu amalan kurang baik. Tambahan pula apabila kita membaca blog malaysiakini. Blog itu macam menyediakan medan peperangan dua bangsa utama di Malaysia itu."

Syalala juga mengingatkan rakyat negara ini bahawa mereka adalah daripada satu bangsa iaitu bangsa Malaysia. Katanya, "Saya jadi hairan kenapa kita jadi macam tu. Orang China dan orang Melayu mesti sedar kita satu bangsa, iaitu bangsa Malaysia. Isu bangsa Malaysia ni telah diperjuangkan begitu lama oleh para pemimpin kita. Melihat keadaan di malaysiakini kita bagaikan terlupa siapa diri kita."

Sebenarnya, sekali pandang kelihatan Malaysiakini cenderung untuk mengutarakan isu-isu yang berkaitan dengan kerajaan. Namun penjelasan Steven Gan dalam satu forum membabitkan blogger di Universiti Teknologi Mara (UiTM) membolehkan kita memahami mengapa news portal itu dilihat hanya mengetengahkan isu negatif membabitkan kerajaan. Bahan beritanya banyak mengutarakan pandangan pembangkang. Alasan Steven Gan ialah beliau berusaha untuk "menjalinkan hubungan baik" dengan kerajaan tetapi kebanyakan pemimpinnya bertindak seolah-olah news portal itu mahu membelasah kerajaan sepanjang masa. Malah, adakalanya, menurut Steven, wartawan Malaysiakini tidak dibenarkan masuk untuk membuat liputan majlis yang dianjurkan oleh agensi kerajaan.

Apapun, sudah sampai masanya kerajaan memikirkan untuk menggunakan Malaysiakini sepenuhnya dalam memberi jawapan kepada setiap persoalan atau tuduhan pembangkang. Mereka boleh terus menerus menghantar jawapan yang benar untuk membolehkan Malaysiakini memberi ruang kepada jawapan kerajaan. Berani kerana benar.

Selain menggunakan "cybertroppers", panggilan oleh pelbagai penulis blog, kerajaan bolehlah menggunakan news portal seperti Malaysiakini untuk menangkis segala tuduhan atau dakwaan oleh pihak pembangkang atau sesiapa saja pun yang kritikal terhadap kerajaan. Cubalah dulu, barulah tahu keputusannya.

Tuesday, August 21, 2007

MASIH MENCARI DAN MENCARI....

Kawan saya yang mengusahakan pasar mini di Cheras, Kuala Lumpur mengeluh kerana pendapatannya kini berkurangan. Tahun ini, jualannya separuh daripada tahun sebelumnya. Bayangkan kalau tiga tahun lalu boleh mendapat antara RM 2,000 hingga RM3,000 sehari tetapi kini tinggal separuh iaitu antara RM1,300 hingga RM1,500. Itu baru jualan, belum lagi keuntungan. Beliau mendapat 10 peratus daripada keuntungan sehari atau kira-kira RM130 hingga RM150 sehari. Setelah ditolak kos lain, keuntungannya semakin mengecil.

Jika pada 2004, beliau meraih banyak keuntungan daripada jualan suratkhabar dan majalah, kini semakin berkurangan. Hampir separuh. Kalau dulu boleh menjual Utusan Malaysia sebanyak 50 naskhah sehari, kini hanya tinggal 25 naskhah. Kalau hari hujan semakin parah dan menderita. Begitu juga Mingguan Malaysia. Dulu boleh menjualnya sebanyak 120 naskhah, kini hanya 60 saja. Aliran yang sama juga bagi suratkhabar arus perdana lain. Majalah pun begitu. Jualan menurun sehingga 60 peratus. Buku pula hanya sedikit saja yang laku.

Begitu juga stationery atau alat-alat tulis. Berkurangan hampir 70 peratus. Apa tidaknya, ada lima pasaraya besar yang muncul di Cheras. Sebut saja namanya, semua ada. Tempatan dan luar negara. Yang menyedihkan ialah apabila terpaksa membayar bank sebanyak RM1,500 hingga RM1,800 sehari. Apabila keadaan teruk dulu, beliau terpaksa memajak rumahnya kepada bank. Inilah yang kena tanggung. Yang laku sekarang hanyalah kad prabayar telefon, rokok dan cokelat. Amat menyedihkan.

Sebagai membuktikan orang Melayu juga boleh berniaga runcit, beliau menggunakan wang simpanannya untuk membuka pasar mini. Namun, ada nada kekesalan dalam dirinya dengan membabitkan diri dalam bidang itu. Tiada ruang untuk membesar lagi apatah saingan pasaraya besar. Mungkin ini yang dirasai oleh peniaga pasar mini lain termasuk peniaga Cina dan India. Itu sebabnya mereka yang kecil ini meminta pelbagai bantuan kerajaan. Terpaksalah mencari parti-parti politik untuk membantu.

Rakan saya masih tercari-cari apakah langkah terbaik untuk memperbaiki dirinya. Dengan bilangan pembeli buku, majalah dan suratkhabar semakin menguncup menggambarkan bahawa mereka kita tidak cukup wang untuk membeli bahan bacaan itu. Atau mungkin dengan harga rokok yang semakin meningkat menyebabkan mereka sanggup "mengorbankan" pembelian suratkhabar dan majalah.

Keadaan ini pernah disuarakan oleh seorang kawan yang menjadi pegawai pemasaran di syarikat akhbar. Jualan akhbarnya makin berkurangan sejak harga rokok meningkat. Apakah jualan itu akan terus merundum jika kerajaan terus menaikkan harga rokok? Dalam satu hal, memanglah baik untuk menghalang masyarakat menghisap rokok tetapi ia juga menjejaskan penjualan suratkhabar atau mungkin majalah. Atau kini makin ramai membaca media baru termasuk news portal seperti MalaysiaToday, Malaysiakini, AgendaDaily dan KLPos. Siapa yang nak jawab? Ada pandangan?

BLOG MUNCUL SELEPAS PENULIS DISEKAT?

Kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang mengatakan kemunculan blogger atau penulis blog disebabkan laporan berita yang benar cuba disekat mungkin ada kaitan dengan kemunculan blog yang digemarinya, The Scribe , dikendalikan oleh Datuk A Kadir Jasin.

Hanya yang berbeza sedikit ialah AKJ memulakan blog kerana semua artikelnya yang dihantar ke syarikat akhbar tidak disiarkan dalam media arus perdana seperti NST, Berita Harian atau Utusan Malaysia. Alasan yang diberikan oleh pengarang media arus perdana ialah adakalanya tulisan AKJ agak kritikal termasuk terhadap kerajaan. Sesetengah pihak menyifatkan tindakan itu memaparkan pengarang lebih gemar mengambil langkah berwaspada dan berhati-hati agar kritikan pedas itu tidak menyinggung mana-mana pihak terutama pemimpin kerajaan. Ini secara tidak langsung memanjangkan "nyawa" pengarang.

Dalam laporan berita Malaysiakini semalam, Datuk Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, perkara itu berlaku mungkin disebabkan oleh orang yang berkuasa cuba meminda demokrasi sebenar kepada yang mereka inginkan. "Blogger dan pengamal media alternatif ditakuti kerana mereka membongkar kepalsuan yang dipaparkan oleh media lain." Menurutnya, beliau sering mengikuti tulisan AKJ dan Raja Petra Kamaruddin yang mengendalikan blog MalaysiaToday.

Untuk pengetahuan Datuk Nik Abdul Aziz, blog di negara ini muncul kerana beberapa faktor atau sebab tertentu. Saya pernah membahagi-bahagikan blog di negara ini kepada sembilan kategori termasuklah blog news portal, penulis blog politik dan penulis blog online diary. Perkara itu tercatat dalam artikel yang pernah ditulis dalam [ DuniaTiger ] pada 31 Julai lalu. Ada yang menulis mengenai pengalaman peribadi untuk dikongsi bersama dan bukan semua blog dibuat untuk membongkar rasuah atau kepalsuan dalam media arus perdana.

Bagaimanapun, blog kini sudah dianggap media alternatif kepada media arus perdana. Tidak hairanlah pelbagai pihak termasuk kerajaan dan pembangkang terutama yang belum pernah "mengambil pusing" mengenai kehadiran blog sudah mula berjinak-jinak dengannya. Malah pelbagai publisiti percuma seperti tindakan mengheret blogger ke mahkamah dan pelbagai panggilan terhadap penulis blog menyemarakkan lagi dunia penulisan media baru di Malaysia. Oleh itu, bagaimana sekarang? Go blog atau goblok?

Monday, August 20, 2007

DOA AGAR TDM SEGERA SEMBUH

Saya berdoa agar mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 5.30 petang semalam, untuk pemeriksaan rutin kardium yang komprehensif, sentiasa dilindungi oleh Allah SWT. Tun pernah menjalani pembedahan pintasan arteri koronari pada 1989 dan sejak itu beliau melakukan pemeriksaan rutin berkala. Saya berdoa Tun sembuh segera untuk menjalankan kegiatan harian. Terus berbakti kepada negara.

Sebenarnya, pesakit jantung perlu sentiasa berwaspada. Mereka tidak boleh sensitif dan membuat sesuatu yang menyebabkan degupan jantung bergerak pantas. Dalam ertikata lain dengarlah nasihat doktor pakar mengenai apa yang kita tidak boleh lakukan. Dalam hal Tun, doktor pakar pernah menasihatkan beliau tidak membaca suratkhabar atau bahan bacaan lain termasuk media baru atau blog. Apakah erti semua itu? Ini bermakna ada bahan-bahan dalam suratkhabar atau media baru yang mungkin menyebabkan degupan jantung Tun semakin pantas dan boleh menimbulkan masalah.

Seorang teman yang pernah mengalami masalah sakit jantung memberitahu saya bahawa pesakit jantung perlu menjaga diri mereka dengan baik. Ada yang tidak boleh menonton wrestling, perlawanan bolasepak atau badminton. Ada juga yang tidak boleh mendengar khabar buruk atau cerita pergaduhan suami isteri atau masalah anak menantu.

Rakan saya pernah dikejarkan ke hospital kerana dituduh menjadi punca keretakan sebuah rumah tangga. Isteri kawannya menelefon beliau dan "membelasah" dengan hebatnya sehinggakan beliau sesak nafas dan terpaksa dikejarkan ke hospital untuk pembedahan. Rakan katil wadnya juga memberitahu bahawa beliau pula dikejarkan ke hospital kerana menonton wrestling di kaca televisyen.

Berwaspada dan jagalah kesihatan. Jangan biarkan perkara yang tidak penting merosakkan kehidupan anda. Jangan biarkan sel otak anda mati kerana terlalu memikirkan perkara yang remeh temeh atau tidak penting.

SIAPA SEBENARNYA ANWAR IBRAHIM?

Dalam politik semua boleh jadi. Lawan menjadi kawan, kawan baik menjadi seteru.

Tidak hairanlah, Datuk S Nalakaruppan akan membuat road show ke seluruh negara dalam masa terdekat untuk mendedahkan siapakah sebenarnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seorang pemimpin pemuda PKR bahagian memberitahu DT bahawa Datuk Nalla bertindak demikian kerana sudah sampai masanya untuk rakyat tahu perkara sebenar. Hampir sembilan tahun, Datuk Nalla menyimpan rahsia Anwar Ibrahim.

Pendedahannya membabitkan isu moral.

PERHIMPUNAN PERDANA VETERAN MERDEKA





Gambar-gambar Perhimpunan Perdana Veteran Merdeka di Melaka.

Sunday, August 19, 2007

MELAYU DAPAT PROJEK, CINA DAPAT UNTUNG

Membaca permintaan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting, dalam berita MalaysiaKini agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memberi kontrak kepada usahawan Cina kerana mereka turut membantu kaum lain, membuat saya tersenyum. Hanya tersenyum bukannya ketawa.

Tersenyum kerana kenyataan itu menggambarkan seolah-olah usahawan Cina tidak pernah mendapat peluang daripada GLC. Untuk pengetahuan semua, selama ini jika syarikat Melayu yang mendapat kontrak daripada GLC, mereka akan "menghulurkan" kontrak itu kepada usahawan Cina. Ini kerana ada syarikat Melayu itu hanya berminat untuk membuat keuntungan segera saja ataupun hanya mahu menjadi broker. Percayalah yang banyak mendapat untung ialah usahawan Cina. Ia berlaku sejak dari dulu lagi.

Tidak payahlah buat permintaan seperti itu. Ia semacam menggambarkan bahawa GLC tidak membantu langsung usahawan Cina. Ada, cuma tidak dipaparkan saja. Percaya dan yakinlah, memang ada.

Dalam ucapan di majlis perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MCA di Kuala Lumpur, hari ini, DS Ong meminta kerajaan memberi kontrak secara tender terbuka supaya orang Cina berpeluang memperolehinya. "Tidak kiralah mana-mana kaum, kerana yang perlu dibantu, kita kena bantu. Orang kata orang Cina kaya, tetapi ramai lagi yang perlu dibantu."

Bagi saya, usahawan Cina tidak memerlukan bantuan kerana mereka adalah golongan yang pandai dan bijak mencari peluang. Bijaksana dan bijaksini. Yakinlah, mereka mampu menghidu keuntungan. Mereka tahu dimana ada projek yang baik. Percaya dan yakinlah. Merekalah sebenarnya yang menjalankan projek-projek yang diberikan oleh GLC kepada syarikat Melayu. Merekalah yang menjadi tauke kepada syarikat Melayu.

Saya mengetahui bahawa sebuah syarikat pengiklanan menghantar pegawai Melayunya untuk mendapat kontrak besar daripada GLC yang kebetulan ketua GLC itu adalah kawan baiknya. Pegawai Melayu itu memainkan peranan penting dan kontrak besar itu diperolehi oleh syarikat pengiklanan berkenaan. Adakalanya nama syarikat itu Melayu tetapi ia dikuasai sepenuhnya oleh usahawan Cina. Percaya dan yakinlah bahawa ini yang berlaku selama ini di Malaysia.

SELAMAT MENERIMA MENANTU


(Datuk Amin dan timbalannya, Datuk Abu Talib)

Berbual dengan Ketua Pengarah JASA, Datuk Mohamed Amin Salih, anda akan merasai budi bahasa seorang insan berlatarbelakangkan pendidikan agama. Pertuturannya teratur dan penuh sopan ketika berbual melambangkan keperibadian insan beradab. Sukar membayangkan keadaan Datuk Amin ketika marah. Pasti juga lembut dan bersopan. Malah dalam kepenatan seharian pun, malam tadi beliau masih berminat untuk mendengar dan berbincang dengan kami dalam semua perkara yang diutarakan.

Ini yang berlaku malam tadi ketika saya dan beberapa rakan bertandang ke rumah Datuk Amin di Keramat yang akan menerima menantu hari ini. Saya singgah untuk melihat persiapan terakhir untuk mengadakan kenduri kahwin anak keduanya. Datuk Amin yang sudah tidur dikejutkan oleh isterinya. Minta maaf banyak-banyak Datuk kerana bersusah payah untuk bangun dan berbual dengan kami. Saya berdoa Datuk diberikan kekuatan dan kecergasan untuk menerima tetamu hari ini. Sekali lagi saya minta maaf.

Ketika saya sampai di rumahnya, sekumpulan manusia sibuk memasak lauk umbut kelapa dan daging kambing. Ditanya mengapa memasak dan tidak mengambil katering, Datuk Amin memberitahu saya, masakan itu sebagai tambahan dan ia adalah hidangan istimewa bagi tetamu kenduri kahwin anaknya. Beliau menempah katering dan lauk umbut kelapa dan daging itu menjadi makanan pilihan tetamu ketika perkahwinan anak sulungnya sebelum ini.

Ditanya mengapa terus mengadakan majlis perkahwinan di rumah dan tidak di hotel atau di luar, Datuk Amin menjelaskan bahawa keluarganya ramai dan sudah tentulah mempunyai ramai anak saudara dan cucu yang masih kecil. Mengadakan kenduri kahwin di rumah membolehkan anak saudara dan cucu yang ramai bermain-main dan berlari-lari di sekeliling rumah. Ini mungkin terhad di hotel tetapi lebih meriah di rumah dengan sorakan dan kegembiraan kanak-kanak.

Bagi saya, mengadakan kenduri kahwin di rumah lebih makna dengan suasana yang tidak formal membolehkan tetamu terutama rakan-rakan bertandang pada bila-bila masa mengikut kesesuaian mereka.

Namun, kini ramai yang memilih untuk mengadakannya di hotel atau di dewan besar seperti Dewan Felda untuk memudahkan mereka melangsungkan kenduri kahwin. Ia juga untuk mengelakkan pelbagai masalah lain termasuk tempat meletakkan kereta untuk tetamu atau ketika hujan. Apapun, saya mengucapkan selamat menerima menantu kepada Datuk Amin. Saya berdoa semuanya selamat.

VETERAN MERDEKA : JASAMU TERBILANG (2)


(JASAMU AMAT DIHARGAI. NEGARA BERDIRI MEGAH DAN DISEGANI)

Saturday, August 18, 2007

HORMATILAH ORANG LAIN, JIKA KITA MAHU....

Ketika ramai pihak mahu supaya isu mengenai pelajar Cina, Weewee, yang menghina NEGARAKU ditamatkan, kolumnis Malaysiakini, Lee Ban Chen membuat tuduhan baru terhadap tindakan mengkritik Weewee. Dalam kolumnya pada 16 Ogos lalu, Ban Chen amat terperanjat begitu ramai pemimpin Umno yang dikatakannya berlumba-lumba memberi kecaman dan tekanan terhadap Weewee, ada yang mendesaknya supaya dia meminta maaf secara terbuka, ditahan di bawah ISA, ada yang mahu pasportnya ditarikbalik, malah ada yang sebut tentang keganasan dan peristiwa 13 Mei.

Beliau mendakwa kecaman itu ada kaitan untuk menakut-nakutkan bloger dengan menyatakan, "Rasanya mereka nekad benar hendak mengorbankan Meng Chee dalam perang siber yang dilancarkan Umno/BN baru-baru ini untuk menindas dan menakut-nakutkan blogger-blogger bebas yang berani menentang mereka."

Ban Chen mahu Weewee diberi peluang untuk memberi jawapan dan mempertahankan dirinya berkaitan klip video lagu Negarakuku ciptaannya yang dilayari oleh lebih setengah juta pengguna siber di lamanweb YouTube dan menimbulkan kontroversi.

Bagi saya, kecaman pemimpin UMNO atau kerajaan tidak ada kaitan dengan blog atau penulis blog tetapi berhubung perkara pokok iaitu menghina lagu kebangsaan dan juga bersikap "kurang ajar" terhadap agama Islam. Bekas orang kuat DAP, Tan Sri Lee Lam Thye juga menganggap perbuatan itu biadap dan tidak wajar. Jika Weewee menggunakan lagu lain, sudah tentu ia tidak menjadi isu besar seperti sekarang. Pemilihan NEGARAKU itu memaparkan bahawa Weewee berniat untuk menarik perhatian orang ramai terutama penyokong atau bakal penyokong yang terdiri daripada mereka yang menentang apa saja dasar kerajaan yang menguntungkan bangsa Melayu seperti DAP, parti yang suka membesar-besarkan isu membabitkan kaum Cina.

Saya yakin ada orang Islam akan berkecil hati dengan tindakan Weewee mempersendakan azan tetapi saya tidak tergamak membalas balik terhadapnya dan penyokong setia beliau. Ini seperti kita bergaduh dengan orang gila. Jika kita bergaduh dengan orang gila bermakna kita juga seorang yang tidak siuman. Oleh itu, segera cabut lari dan selamatkan diri dan dalam pada itu buatlah kecaman sedikit kepadanya. Jika tidak membuat kecaman, berlalulah kita. Atau jika kita memaki orang lain kerana mereka memaki kita, maka kita juga samalah perangai dengan mereka, terutama jika kita menggunakan kata-kata kesat seperti mereka. Namun, jika ini membabitkan maruah diri atau bangsa, berilah amaran kepada mereka supaya tidak berbuat demikian pada masa akan datang.

Hormatilah orang lain, jika kita mahu orang lain menghormati kita.