Wednesday, August 22, 2007

BUATLAH LAGU YANG SEDAP DIDENGAR

Sempat posting di KLIA. Tertarik dengan tulisan rakan saya, Zainuri Misfar, wartawan hiburan BH mengenai dakwaannya bahawa radio kita kini menjadi "bakul sampah" lagu Indonesia. Benarkah begitu atau pun lagu tempatan sudah tidak bermutu lagi? Sebagai peminat seni, biasanya kita memilih lagu yang sedap didengar. Tidak hairanlah DJ kita memutarkan lagu-lagu Indonesia. Oleh itu, penggubah lagu tempatan perlulah mencari formula untuk menggalakkan rakyat negara ini meminati lagu tempatan. Dulupun, kita suka lagu dari Indonesia dengan pelbagai kumpulan seperti Dllyod.

Ikuti pandangan Zainuri Misfar dalam tulisannya hari ini.

TERDAPAT pelbagai reaksi daripada pembaca apabila ruangan ini minggu lalu bertajuk ‘HotFM lubuk lagu Indonesia’. Majoritinya bersetuju stesen radio swasta memberi terlalu banyak kelebihan kepada penyanyi Indonesia. Seorang penghantar emel dikenali sebagai Pak Kordy mengatakan tagline HotFM wajar saja ditukar daripada ‘lebih hangat daripada biasa’ kepada ‘lebih Indonesia dari Malaysia’.

Bagaimanapun, sekali lagi ingin dijelaskan, kita bukan menentang lagu Indonesia, tetapi mahu kuantiti atau kekerapan penyiaran lagunya dikurangkan. Itu saja. Bukan saja HotFM tetapi juga stesen radio lain seperti EraFM dan SuriaFM. Bahkan, kalau ikutkan EraFM lebih awal membuka pintu kebanjiran lagu dari Indonesia sehingga mewujudkan carta khusus dikenali sebagai Ngetop Di Era.

SuriaFM pula ada carta ‘Baik Banget’. TV3 juga sering menyiarkan klip video penyanyi Indonesia, terutama dalam program Malaysia Hari Ini (MHI). Program Muzik Muzik turut memberi ruang kepada penyanyi Indonesia setiap kali mereka datang mempromosikan album mereka di Kuala Lumpur.

Bagi kita, sekalipun HotFM menjadi sasaran, secara simboliknya ia turut membabitkan pihak berkaitan. HotFM, Era, SuriaFM atau stesen radio lain di negara, patut melayari laman web beberapa media Indonesia betapa megah dan berlagaknya apabila lagu-lagu penyanyi mereka mendapat tempat yang seluas-luasnya di stesen radio di Malaysia.

Dalam pada itu, seorang lagi penghantar emel yang menamakan dirinya Razli berkata kesilapan pemuzik tempatan yang tidak menghasilkan karya lebih segar menyebabkan radio memilih menyiarkan lagu Indonesia . Razli mencadangkan supaya penyanyi Malaysia membeli lagu daripada komposer Indonesia. Katanya, berpegang kepada pepatah Inggeris ‘if you can't beat them, join them".

Penyanyi Malaysia sudah melakukan macam-macam. Ramai penyanyi kita yang sudah beli dan nyanyikan lagu ciptaan Melly Goeslaw, A Riyanto, Erwin Gutawa dan ramai lagi, tetapi tidak sampai ke mana pun. Kita masih ingatkan lagi apabila Search hendak masuk pasaran Indonesia, mereka disyaratkan mesti berduet dengan penyanyi Indonesia, seperti Inka Christie.

Beberapa lagu yang sudah elok di Malaysia, di tukar tajuk dan diubah suai seni katanya atas alasan memudahkan pendengar Indonesia memahaminya. Sampai bila kita kena mengalah dan berpegang kepada pepatah Inggeris itu? Lima tahun, 10 tahun atau 15 tahun lagi?

Sekarang hampir semua radio di Malaysia siarkan lagu Indonesia tanpa syarat dan peraturan. Ada lagu bercampur aduk dengan bahasa Inggeris, masih boleh disiarkan. Kalau lagu itu dinyanyikan penyanyi Malaysia, memang sudah lama kena ‘gam’.

Bagaimanapun, bagi lagu dari Indonesia, sepatah perkataan pun seni katanya tidak ditukar sedangkan ada antara perkataan itu kita sendiri pun tidak faham, atau perkataan yang mereka gunakan mempunyai makna berbeza dengan bahasa kita.

Pada masa sama, mereka memperkecilkan, menghina dan memperlekehkan muzik dan penyanyi Malaysia. Mereka mengatakan radio Malaysia suka siarkan lagu Indonesia sebab penyanyi atau muzik Malaysia tidak ada kelas berbanding penyanyi mereka.

Dalam media indonesia-online.com, rakyat Indonesia meminta penyanyi Indonesia supaya terus ‘menyerang’ radio Malaysia untuk menguasai pasaran muzik negara ini. Satu artikel yang disiarkan secara online dalam akhbar Kompas dengan nada mengejek mengatakan industri muzik Malaysia ketinggalan dibandingkan dengan Indonesia. Lagu Indonesia lebih progresif, bagus dan fresh, sementara lagu Malaysia kebanyakan lembik dan kurang variasi dan kurang eksperimental.

Kita rasa penulis artikel ini seorang yang sangat dangkal pengetahuannya mengenai industri muzik Malaysia. Artikel itu juga mengaitkan kemasukan kereta Proton ke Indonesia. Katanya, kalau Indonesia boleh menerima kemasukan Proton, mengapa pula orang Malaysia tidak boleh menerima lagu mereka. Persoalan yang sudah terkeluar daripada isu sebenar.

Hakikatnya, lagu Ungu, Samsons dan Radja lembik juga. Ia sekadar seronok didengar pada awalnya saja, tetapi lama-lama jadi muak dan mual. Dalam konteks industri muzik Malaysia, corak muzik mereka sudah dimainkan kumpulan muzik Malaysia pada 10 atau 20 tahun lalu. Lagu itu dikategorikan sebagai lagu ‘rock kapak’ iaitu berentak mendayu-dayu atau rock ballad. Menerusi media Indonesia.online, beberapa penulisnya dalam nada menyindir radio Malaysia dengan mengatakan ‘mungkin artis Malaysia mesti pake (gunakan) bahasa Indonesia’, selain menganggap ‘Malaysia yang lucu’.

Seorang penulis blog Indonesia mahu lagu Indonesia merajai (menguasai) radio Malaysia. “Mula-mula 40:60, 40 peratus lagu Indonesia, 60 peratus Malaysia, selepas itu 50:50 dan ayuh kita kuasai radio Malaysia jadi 60:40 (40 peratus lagu Malaysia, 60 lagu Indonesia).

Berdasarkan ulasan media Indonesia itu, wajarkah radio Malaysia buat tidak kisah saja? Mungkin alasan Pengurus Besar Rangkaian Radio Prima Berhad, Seelan Paul bahawa HotFM kerap menyiarkan lagu Indonesia kerana permintaan tinggi daripada pendengar. Alasan sama juga mungkin diberikan Pengurus Rancangan Radio Era, Rostam Said dan Ketua Pegawai Operasi SuriaFM, Engku Emran Zainal Abidin.

Bagaimanapun, Seelan Paul, Rostam dan Engku Emran seharusnya menjadi ‘gate keeper’. Walaupun lagu Indonesia memang mendapat permintaan tinggi daripada pendengar, anda harus mengimbangi permintaan itu secara berpada-pada. Nilai betul-betul kualiti lagu mereka supaya stesen radio anda tidak menjadi ‘bakul sampah’ lagu Indonesia. Lagipun, dalam dunia ini, tidak mungkin apa yang diminta boleh dipenuhi 100 peratus. Anda mampu mengubahnya!

4 comments:

Anonymous said...

i like indonesia music. muzik indonesia lebih fresh dari muzik malaysia.

imamdy said...

Indonesia Bagus..
Elok..
Good..good...good....

Faisal (InfoFaizz.Com) said...

Musik Indonesia memang best jika di bandingkan dengan musik Malaysia, Musik Indonesia banyak variasi, banyak pilihan. Hidup musik Indonesia

Hamba Sederhana said...

Zainuri itu menulis tanpa pikir,sebetulnya musik mau laku atau tidak di pasaran itu karena konsumsi/peminat musik itu sendiri..yaitu masyarakat..
Dicekal bagaimanapun,klo musik itu indah,pasti laku..
Gua sampai sekarang msh ngefans dg UKS dkk. Di smartphone gua masih 14 lagu malaysia.. karena gua cinta musik,dan musik itu masalah selera masing2..bukan dipolitisir.. siapa minat,dia boleh layan.. klo tak minat,apakah hrs di paksa ??
Kesuksesan musik hny dari kreatifikas dan peminat itu sendiri...