Saturday, August 18, 2007

HORMATILAH ORANG LAIN, JIKA KITA MAHU....

Ketika ramai pihak mahu supaya isu mengenai pelajar Cina, Weewee, yang menghina NEGARAKU ditamatkan, kolumnis Malaysiakini, Lee Ban Chen membuat tuduhan baru terhadap tindakan mengkritik Weewee. Dalam kolumnya pada 16 Ogos lalu, Ban Chen amat terperanjat begitu ramai pemimpin Umno yang dikatakannya berlumba-lumba memberi kecaman dan tekanan terhadap Weewee, ada yang mendesaknya supaya dia meminta maaf secara terbuka, ditahan di bawah ISA, ada yang mahu pasportnya ditarikbalik, malah ada yang sebut tentang keganasan dan peristiwa 13 Mei.

Beliau mendakwa kecaman itu ada kaitan untuk menakut-nakutkan bloger dengan menyatakan, "Rasanya mereka nekad benar hendak mengorbankan Meng Chee dalam perang siber yang dilancarkan Umno/BN baru-baru ini untuk menindas dan menakut-nakutkan blogger-blogger bebas yang berani menentang mereka."

Ban Chen mahu Weewee diberi peluang untuk memberi jawapan dan mempertahankan dirinya berkaitan klip video lagu Negarakuku ciptaannya yang dilayari oleh lebih setengah juta pengguna siber di lamanweb YouTube dan menimbulkan kontroversi.

Bagi saya, kecaman pemimpin UMNO atau kerajaan tidak ada kaitan dengan blog atau penulis blog tetapi berhubung perkara pokok iaitu menghina lagu kebangsaan dan juga bersikap "kurang ajar" terhadap agama Islam. Bekas orang kuat DAP, Tan Sri Lee Lam Thye juga menganggap perbuatan itu biadap dan tidak wajar. Jika Weewee menggunakan lagu lain, sudah tentu ia tidak menjadi isu besar seperti sekarang. Pemilihan NEGARAKU itu memaparkan bahawa Weewee berniat untuk menarik perhatian orang ramai terutama penyokong atau bakal penyokong yang terdiri daripada mereka yang menentang apa saja dasar kerajaan yang menguntungkan bangsa Melayu seperti DAP, parti yang suka membesar-besarkan isu membabitkan kaum Cina.

Saya yakin ada orang Islam akan berkecil hati dengan tindakan Weewee mempersendakan azan tetapi saya tidak tergamak membalas balik terhadapnya dan penyokong setia beliau. Ini seperti kita bergaduh dengan orang gila. Jika kita bergaduh dengan orang gila bermakna kita juga seorang yang tidak siuman. Oleh itu, segera cabut lari dan selamatkan diri dan dalam pada itu buatlah kecaman sedikit kepadanya. Jika tidak membuat kecaman, berlalulah kita. Atau jika kita memaki orang lain kerana mereka memaki kita, maka kita juga samalah perangai dengan mereka, terutama jika kita menggunakan kata-kata kesat seperti mereka. Namun, jika ini membabitkan maruah diri atau bangsa, berilah amaran kepada mereka supaya tidak berbuat demikian pada masa akan datang.

Hormatilah orang lain, jika kita mahu orang lain menghormati kita.

1 comment:

Anonymous said...

Wonder what the reactions will be if the same rap song is sung again except with another song (not Negaraku) as the background...