Thursday, August 23, 2007

JANGAN LAYAN MACAM ANJING

Sejak empat tahun lalu saya tidak mempunyai pembantu rumah. Sebelum ini, saya mendapatkan perkhidmatan saudara serumpun dari Indonesia. Tiga orang kesemuanya. Semuanya wanita dan mengaku janda.

Yang pertama hanya tiga bulan, itupun dipinjamkan oleh rakan baik saya, Allahyarham Dino (semoga Allah SWT menempatkan rohnya bersama orang-orang beriman). Yang pertama ini boleh tahanlah. Cuma perangainya yang tidak cantik iaitu membasuh punggung anak saya menggunakan kaki. Apabila ditanya oleh arwah emak mentua saya, beliau menjawab itulah cara orang Indonesia membasuh punggung anak selepas membuang air besar. Perangainya tidak secantik rupanya.

Kedua ialah wanita dari Pulau Jawa. Tidak pandai memasak dan buat kerja rumah. Saya hanya memintanya menjaga ketiga-tiga anak saya. Sikapnya seperti pahat. Apa yang disuruh barulah dibuat. Malah, sembahyang subuhpun saya yang mengejutnya. Tambahlah pahala saya sepanjang lebih tiga tahun bersama saya. Tetapi gemar membantu dan menunjuk-nunjuk bahawa dia rajin. Bawa balik gaji lebih tiga tahun ke Jawa.

Ketiga ialah seorang makcik. Yang peliknya umur yang diberitahu oleh ejen adalah lingkungan 35 tahun tetapi yang datang berusia 50 tahun. Tidak mengapa. Hanya untuk menjaga anak saya. Namun, beliau insan yang pandai memasak. Kalau ayam masak rempah, memang masakan keistimewaannya. Tambahlah nasi dua kali. Beliau dipertanggungjawab membesarkan saiz badan saya. Memohon untuk pulang menemui anaknya tetapi hilang begitu saja. Telefon daripada Indonesia bahawa bekas suaminya mahu rujuk semula. Rujuklah dan tinggallah selama-lamanya di Indonesia. Saya halalkan wang yang diberi untuk membeli telekong anak-anak saya.

Sejak itu, RH tidak mahu pembantu rumah. Beliau mahu melakukan segala-galanya. Tetapi adakalanya terkeluar juga perkataan, "ingat saya ini pembantu rumah ke?" Untuk mengeraskan hati RH, saya menjawab, "lebih kurang". Sejam berhenti bercakap dengan saya sebagai tanda protes dengan kenyataan itu. Namun, hatinya baik. Insan istimewa.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah ketiga-tiga pembantu rumah itu dilayan dengan baik. Bukan sebagai hamba atau orang suruhan. Sering meminta mereka berhati-hati ketika berkawan dan keluar rumah. Adakalanya saya pula terasa macam orang gaji. Terpaksa mengejut pembantu rumah untuk sembahyang Subuh. Layanan baik itu timbul daripada pendidikan yang diberikan oleh ibu bapa. Ramah mesra diberikan kepada pembantu rumah kerana saya berpendirian mereka adalah insan seperti kita yang perlu dihormati dan dikasihi. Yang ada maruah diri.

Oleh itu, apabila saya membaca mengenai tindakan sesetengah pihak mendera pembantu rumah, hati saya terbakar dan timbul perasaan meluat terhadap mereka yang tidak bermoral itu. Apakah ibu bapa mereka tidak pernah mendidik untuk menghormati manusia? Apakah ibu bapa mereka tidak pernah mengajar untuk menghormati insan lain termasuk binatang? Oleh itu, tindakan sesetengah golongan yang melayan pembantu rumah seperti binatang adalah manusia yang hanya berkepala dan berbadankan manusia tetapi hatinya kotor dan busuk yang teramat sangat. Insaf dan bertaubatlah. Saya bukanlah orang yang tersangat baik tetapi setidak-tidaknya saya lebih baik daripada anda yang mendera pembantu rumah.

Laporan Malaysiakini hari ini yang menyatakan Kerajaan Indonesia memberi tekanan kepada Malaysia untuk mengambil tindakan segera terhadap majikan yang jahat dan berhati busuk berikutan kematian seorang pembantu rumah, amat menyedihkan. Tindakan majikan itu memalukan negara dan rakyat negara ini.

Apa alasan sekalipun terhadap kejadian kematian Kunasir yang berusia 24 tahun, ia tidak sepatutnya berlaku apatah lagi jika disengajakan. Kejadian itu bukan saja memalukan Malaysia tetapi memalukan bangsa negara ini yang dikenali sebagai golongan yang berbudi bahasa dan bersopan santun. Tindakan mendera pembantu rumah itu adalah perbuatan orang yang tidak bermaruah dan mereka ini perlu dikenakan tindakan tegas agar menjadi sempadan kepada orang lain.

Insaflah bahawa sesiapa saja yang menjadi pembantu rumah, tidak kira dari Indonesia atau negara lain sekalipun, layanilah mereka seperti saudara kita. Janganlah fikir yang bukan-bukan. Janganlah fikir mereka ini jahat hendak mencuri barang anda. Hanya berhati-hatilah dan jangan lalai. Ikan kalau dibiarkan tidak bertudung, akan disambar oleh kucing. Janganlah bongak dengan wang gaji yang diberikan sehingga melakukan sesuka hati terhadap pembantu rumah.

Pagi-pagi lagi sudah menyuruh membasuh kereta, kemudian pergi ke pasar, memasak, membasuh baju, membasuh kereta kedua, membasuh kasut sekolah, memotong rumput dan pokok bunga, menyiram pokok, mencuci lantai, memberi makan anjing, membasuh kandang anjing, memberi makan kepada kucing, mengangkat barang-barang yang berat, mencuci najis orang yang perlu dibantu dan 1001 macam kerja.

Ingatlah jika kita menganiaya orang, tuhan akan tetap membalasnya. Masa yang akan menentukan. Jika tidak kepada kita, mungkin ia akan terkena batang hidung anak atau cucu kita sendiri. Tidak percaya, buatlah.

1 comment:

Anonymous said...

There are sick people in this world. How they treat their servants reflect the degree of sickness inside them. This is a world of madness.
Jimmy