Wednesday, August 22, 2007

KANANG ANAK LANGKAU - PAHLAWAN NEGARA


(IY bersama Pahlawan Negara)

Agustine, Evelyn, Merylin, Puline, Judith dan Langge, saya amat berbangga dapat bertemu dengan ayah saudara-saudari, Kanang anak Langkau di Perhimpunan Perdana Veteran Merdeka di Melaka pada 17 Ogos lalu.

Saya yakin anda semua juga berbangga mempunyai seorang bapa yang dihormati kerana darah kepahlawanannya terbilang dalam mempertahankan bumi bertuah ini. Ibu anda, Helen Latai Ini, pasti beruntung memiliki suami yang keberaniannya amat luar biasa. Tidak hairanlah kerajaan memberikan dua anugerah kepahlawanan tertinggi negara iaitu PGB dan SP kepadanya. Mengikut Kanang beliau adalah satu-satunya pahlawan negara yang mendapat dua anugerah itu yang diberikan kepada anggota pasukan keselamatan yang terbilang.

Kanang dianugerahkan Panglima Gagah Berani (PGB) pada 1980 dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) pada 1981 kerana jasanya mempertahankan negara sehingga ke titisan darah terakhir ketika berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia selama 25 tahun.

Bermula sebagai Iban tracker pada 1961, Kanang yang dilahirkan pada 1945, melalui pelbagai pengalaman dalam Sarawak Renjer (1963), Satu Renjer (1965), Lapan Renjer (1973) dan berhenti pada Jun 1985 sebagai Pegawai Waran 1 (PW1). Anak kelahiran Simanggang, Sarawak ini juga pernah ditempatkan di Satu Infantri di Changi, Singapura; Jungle Warfare School di Ulu Tiram, Johor; First Royal Queen Guard Regiment di Melaka, First Royal New Zealand dan pasukan Komando di Sungai Udang, Melaka.

Namun pengalaman yang tidak dilupakan ialah bertugas di Perak di Pos Legam dan Pos Yom menentang komunis. Menurutnya, enam komunis berjaya ditumpaskan dalam gerakan yang kemas dan teratur di Perak. Dalam kejadian di Kinta beliau hampir-hampir terkorban akibat serangan daripada komunis. Beliau yang ditembak tiga kali tetap berdiri gagah membantu rakan yang cedera parah. Parut di sebelah kiri perut akan menjadi tanda ingatan dan kenangan dengan pembabitannya menghapus komunis di negara ini.

Setelah bersara, Kanang dijemput untuk memberi ceramah di pelbagai tempat terutamanya sekolah, institusi pengajian tinggi dan institusi latihan belia mengenai usaha pejuang negara memerdekakan negara ini daripada ancaman komunis.

Baginya, generasi sekarang amat beruntung kerana dapat menikmati kemerdekaan daripada usaha gigih pejuang veteran yang berjuang bermati-matian bagi memastikan negara ini terus merdeka daripada anasir dalam dan luar negara. Menurutnya, generasi sekarang seharusnya bersyukur dengan kestabilan politik dan ekonomi yang membolehkan mereka hidup dalam keadaan aman dan damai. Yang menghairankan, katanya, ada anak muda yang malas belajar walaupun pelbagai kemudahan disediakan oleh kerajaan.

Kanang yang kini menetap di Sri Aman, Sarawak mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang memberi kedua-dua anugerah itu ketika Paklah menjadi Menteri Pertahanan. Menurutnya, rakyat negara ini harus memberi sokongan padu kepada kepemimpinan Perdana Menteri dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, untuk membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju dan cemerlang.

3 comments:

Dom Imun said...

Bukan senang untuk anak2 muda memahami pengorbanan parajurit seperti Kanang...Dua zaman yang berbeza..jauh sekali berbeza.memang benar kata Kanang..muda mudi sekarang kebanyakannya dibuai dengan dunia sendiri yang tak berfaedah..tetapi syabas kepada mereka yang telah berjaya dalam hidup mereka.Saya sebagai individu berbangsa Iban begitu berbangga dengan semangat juang Kanang..apa yg Kanang telah dapat hari ini ialah berkat kesunnguhannya dan ini yang patut kita contohi.kita boleh berjaya jika sanggup berkorban dan bersungguh2.

wan sepit said...

"apa yg Kanang telah dapat hari ini ialah berkat kesunnguhannya dan ini yang patut kita contohi.kita boleh berjaya jika sanggup berkorban dan bersungguh2."


Apa yang kanang dapat??? saya rasa ayat tuh tak brapa betul...

saya cuma terpanggil untuk memeberi komen bila membaca komen di atas.. sesungguhnya apa yang kanang dapat bukan yang selayaknya untuk seperti seorang pahlawan.. saya rasa pahlawan seperti kanang ini adalah orang yg akan diingat bila tibanya hari kemerdekaan, selebihnya tiada.

saya maksudkan disini andainya saluran bantuan yang lebih lagi kepada beliau dan keluarganya untuk memartabatkan kehidupan yang selayaknya sebagai seorang pahlawan. kita perlu angkat pembela2 tanah air ini selayaknya dengan pengorbanan yang dicurahkan..

sedih bila mendengar seorang pahlawan yang hampir mati ini merayu dan meminta untuk meneruskan kehidupan beliau.mengapa perlu kita tunggu beliau merayu baru bantuan diberikan... 'Apa maksud kanang, saya orang miskin tuan'. bagi saya itu adalah luahan dari dalam jiwa seorang pahlawan..dan juga saya amat sedihnya betapa mudahnya seorang penyanyi yang boleh diukur sumbangannya mendapat gelaran dan dimartabatkan kehidupannya. juga betapa mudahnya pemain badminton negara kita mendapat tanah bila memenangi piala thomas..

ingat wahai anak2 bangsa, jangan sesekali biar pahlawan kita 'menangis'..

Anonymous said...

saya bersetuju dpn pendapat saudara wan sepit...pahlawan negara sepatutnya mendapat lebih manfaat daripada yang ada sekarang..sedangkan ahli sukan,artis pun senang2 dapat anugerah..bukahlah kita nak mempertikaikan golongan artis..tp saudara sekalian pun faham apa itu hiburan dan apa itu perjuangan yg melibatkan nyawa dan maruah tanahair yg tercinta ini..sementara masih bernyawa kita kena hargai yang masih hidup...