Sunday, May 4, 2008

BERSATU DAN LUPAKAN SENGKETA

Saya tertarik dengan berita di news portal, Malaysiakini, yang menyebut Presiden Abim, Sdr Yusri Mohamad, berkata orang Melayu tidak boleh bergantung kepada parti politik untuk memperjuang dan melindungi kepentingan mereka di negara ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang Melayu agar kembali kepada asas-asas utama permuafakatan seperti keikhlasan, pegangan terhadap adat istiadat orang Melayu dan tidak lupa asas-asas ajaran agama Islam itu sendiri.

Sdr Yusri membuat gesaan itu ketika membahaskan kertas kerja yang dibentangkan di kongres permuafakatan Melayu yang berlangsung di Johor Bahru. Kongres itu bertemakan 'Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa'.

Abim sendiri, katanya, sebagai badan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam, akan memugarkan kembali idealisme perjuangan mereka dalam memperjuangkan bahasa Melayu, agama dan tidak mengutamakan kepentingan kelompok dan individu. Katanya, ini adalah penting dalam usaha untuk memperkasa, memperkukuhkan dan ia menjadi teras permuafakatan orang Melayu.

Bagi saya, sejak dulu lagi, UMNO telah memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam secara tersurat serta tersirat. Ini dipaparkan dalam dasar dan program yang disusun oleh parti itu sama ada dalam program kepartian di seluruh negara atau dasar kerajaan yang ditunjanginya.

Malah dasar dan program yang dilaksanakan oleh UMNO selari dengan fardu kifayah yang dituntut oleh agama termasuklah menyediakan rumah untuk penduduk berpendapatan rendah serta menyediakan infrastruktur seperti lebuhraya dan sekolah untuk rakyat.

Pelaksanaan program fardu kifayah ini sejajar dengan ajaran dalam Al-Quran yang meminta umat Islam melaksanakan dasar yang sentiasa mempertingkatkan pembangunan rohani dan fizikal mereka.

Pembinaan banyak rumah murah di seluruh negara membolehkan rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah yang sekali gus boleh menyediakan tahap kehidupan yang lebih sempurna. Ini akan menyediakan ketenangan kepada mereka berbanding terpaksa merempat atau tinggal di rumah yang sudah robek dan hampir runtuh.

Dalam pada itu, ahli UMNO juga perlu memilih pemimpin yang mempunyai latarbelakang agama yang baik di samping mempunyai roh Melayu yang kuat. Ini penting bagi memastikan nasib mereka diperjuangkan sehingga ada bulan dan bintang.

Pemimpin Melayu yang tidak kuat rohnya akan terjebak dalam "sindrom boneka" di mana orang luar yang menentukan dasar dan program mereka sehingga ada antaranya dibuat untuk kepentingan kumpulan luar itu.

Ketika itu, bangsa Melayu akan menyesal kerana bangsa mereka diperalatkan oleh individu tertentu yang mahu mencapai cita-citanya.

Perkukuhkan UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa Melayu. Formulanya ialah semua pemimpin Melayu perlu bersatu dan elakkan percakaran antara mereka. Dalam ertikata lain, lupakan seketika sengketa mereka tetapi duduk semeja untuk membincangkan kepentingan bangsa Melayu pada masa akan datang. Jika mereka berdegil dan keras hati, Melayu akan tinggal pada nama saja.

8 comments:

Unknown said...

Salam Dato'
Sebenarnya orang Melayu tidak boleh bergantung kepada parti politik bernama UMNO (baru) untuk memperjuang dan melindungi kepentingan mereka di negara ini.

UMNO (baru) lahir dari perjuangan berbeda dan pemimpin yang ada mungkin lebih erjuang demi survival diri dari survival bangsa, terutama yang mempunyai banyak fail hitam untuk di musnahkan. Kalau sudah tidak diterima rakyatm berundur sahaja dari terus menjadi liabiliti.

Jangan sempitkan ruang perjuangan dengan seolah-olah hanya UMNO (Baru) sahaja yang boleh menyelamatkan Melayu walhal setelah 50 tahun berkuasa, pi mai pi mai tang tu juga resolusi kongres permuafakatan Melayu.

Melayu boleh bersatu untuk perut seperti kata Hishamudin Rais, saya pula kata, Melayu tidak perlu bersatu kalau setakat untuk menghabis beras....

http://1426.blogspot.com/2008/05/apa-yang-terkininya-mengenai-resolusi.html

Anonymous said...

Sdra Ibrahim,
Kalau sdra masih memegang notion bahawa UMNO lah yang telah membela bangsa Melayu (jangan sebut Islam lagi), saya kira anda telah tersasar jauh. Di dalam pengamatan saya yang telah menimbulkan satu kebencian yang teramat sangat terhadap UMNO, anda susurlah keterhakisan hak-hak Melayu sejak 50 tahun Malaya telah merdeka. Selain itu marwah bangsa juga telah lama tergadai oleh tamak-haloba pemimpin-pemimpin UMNO yang rata-rata korup tanpa sempadan lagi. Benarlah apa yang telah dikatakan oleh Sdra Ruhanie Ahmad tentang budaya busuk yang dianuti oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Tiba masanya untuk mengkuburkan UMNO tanpa nesan.
- Muhammad Nasser

ibrahim yahaya said...

Sdr Fudzail,

Salam kembali.

Saya amat bersetuju dengan pandangan Sdr bahawa pemimpin yang mementingkan kelangsungan hidup (survival) diri sendiri dan mempunyai fail hitam perlu ditolak jauh-jauh kerana mereka inilah yang boleh menghancurkan bangsa Melayu.

Melayu perlu bersatu untuk kepentingan bangsa bukan kerana faktor lain termasuk survival politik individu.

ibrahim yahaya said...

Sdr M Naseer,

Sdr perlu membantu memulihkan UMNO jika Sdr ahli parti kerana pada PRU12, bangsa Melayu masih menyokong UMNO.

BN hilang lima negeri dan WP kerana parti komponen lain kecundang dan tersungkur "dimainkan" oleh pengundi Melayu, Cina dan India. Mereka mempunyai alasan tersendiri menolak parti komponen berkenaan.

Anonymous said...

Sdra Ibrahim,
Bila membicarakan tentang Melayu, orang Semenanjung selalu lupa tentang orang melayu dan bumiputera di Sarawak dan Sabah. Kami seolah-olah tidak wujud bagi mereka atau kami adalah orang melayu di negara lain. Sedangkan minyak dan gas kami, Petronas korek dan dengan hasil minyak yang banyak digunakan wang itu untuk memajukan Semenanjung dan membantu orang Melayu di sana dan dengan undi kami, UMNO kekal memerintah negara ini. Harap-harap perbincangan tentang melayu di kalangan orang Melayu Semananjung, renung-renungkanlah nasib kami di sini. Di Sarawak melayu/bumiputera masih jauh ketinggalan, sehinggakan infrastruktur dan kemudahan asaspun masih belum ada bagi kampung dan rumah panjang. Jangan nak cerita pasal melayu dalam eknomomi, usahawan, SME yang kecilpun kami masih jauh ketinggalan. Bandar seperti Sibu dan Miri boleh hitung dengan jari melayu berniaga. Tempat melayu berniaga pun tidak ada. Mara tidak langsung Mara di sini. Aktiviti Kementerian Pembangunan Usahawan jangan sebutlah, nama saja kami dengar, orang dan aktivitinya tidak ada. Banyak lagi nak sentuh. Nanti saya boleh tulis lebih banyak dengan statistiknya sekali. Tapi sebagai permulaan, saya harap orang melayu di Tanah Melayu berilah sedikit perhatian kepada Malayu/bumiputera di Sarawak/Sabah. Panggillah kami dalam perbincangan kamu supaya dapat kami cerita-cerita kemunduran Melayu yang sekian lama kami pedam disanubari kami.

iklas
Rosli Dohby,

ibrahim yahaya said...

Sdr RD,

Saya berharap pihak kerajaan membaca tulisan Sdr ini dan bertindak segera demi kepentingan masyarakat di sana. Jika sudah ada usaha tetapi tidak mencukupi, tindakan segera perlu dilakukan bagi memastikan rakyat dapat menikmati kemakmuran negara.

Saya amat menyanjungi kata-kata pemimpin tertinggi Sarawak yang menjawab permintaan pemimpin Sarawak lain bahawa inilah masa yang paling sesuai untuk mengemukakan pelbagai tuntutan kepada Kerajaan Pusat berikutan kemerosotan sokongan terhadap BN dan Sarawak banyak membantu memperkuatkan BN. Katanya lebih kurang begini, "Ketika kawan kita lemah, kita jangan menekan mereka dengan pelbagai tuntutan sebaliknya terus memberi sokongan padu". Inilah semangat seorang pejuang dan pemimpin.

farzain said...

Pada pendapat saya orang melayu sendirilah yang menentukan jika hak mereka terbela atau tidak. Dalam bahasa inggeris "We are the key of our own destiny". Walaupun UMNO boleh sedikit sebanyak membantu kaum melayu, tetapi jika sikap2 orang melayu itu sendiri y(yang stereotaip dan menjadi punca melayu sering dituduh "malas, lembap, tidak produktif, dll") kita orang melayu sendirilah yang perlu mengubahnya dari dalam diri kita masing2. Kita sendiri perlu membuktikan kepada diri kita sendiri yang kita mampu melakukannya tanpa pertolongan sesiapa. Kita sendiri lah yang menentukan nasib masing-masing, jadi jangan hanya berharap untuk mendapat pertolongan dan bantuan dari kerajaan atau dari UMNO.

Saya harap UMNO juga dapat cuba "revamp" imej mereka supaya lebih sesuai diterima pemikiran orang muda kini yang lebih terbuka dan mampu melakukan perubahan. Perlu dilakukan sesuatu untuk membuat perubahan untuk kepentingan mereka juga di masa depan.

Yang pentingnya, umno perlulah bersatu dan kita orang melayu juga apa salahnya memberi sokongan kepada mereka kerana jika mereka benar membantu kita, apa salahnya? Kita perlu mengelakkan dari berpecah belah antara sendiri dan bersatu dengan satu misi yang sama.

Hanya pendapat saya.

rahsia said...

Apasal orang Melayu ni? Lemah sangat ke?