Wednesday, August 1, 2007

JEFF OOI POPULAR, DAP TUMPANG TUI

Membaca tulisan Jeff Ooi, kolumnis beberapa media termasuk news portal, MalaysiaKini, milik Steven Gan dan majalah Malaysian Business terbitan Berita Publishing Sdn Bhd, anda akan mengetahui bahawa penulis ini berani untuk menegur sesiapa saja terutama bidang yang beliau gemari iaitu teknologi maklumat atau k-ekonomi. Tulisannya yang tajam adakalanya "menyakitkan" hati sesetengah orang membuat Jeff Ooi terpaksa "dibuang" daripada menjadi kolumnis sebuah akhbar milik NSTP.

Pemberhentian itu tidak mematahkan semangatnya kerana beliau mempunyai medium utama sendiri iaitu media siber menerusi laman webnya, Screenshots. Menerusi laman webnya, Jeff Ooi meneruskan minat untuk menegur semua pihak terutama agensi kerajaan yang tidak deliver menyebabkan pembaca laman webnya bertambah dari semasa ke semasa. Malah Jeff Ooi digelar oleh MalaysiaKini sebagai bapa bloggers negara ini. Jika Ahirudin Attan atau Rocky mencatatkan hits ke sejutanya pada tahun ini, Jeff Ooi sudah melakukannya beberapa tahun sebelumnya. Itulah Jeff Ooi.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, artikel yang dipaparkan oleh Jeff Ooi ada kencenderungan untuk mengkritik keras kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Bekas ahli Gerakan ini mempersoalkan dasar-dasar yang dikemukakan oleh Paklah selain menegur menantu, Khairy Jamaluddin dan rakan baik mereka termasuk Datuk Kalimullah Hassan yang menguasai ECM Libra. Isu yang banyak diketengahkan olehnya ialah pengagihan kekayaan, k-ekonomi, good governance dan penyatuan kaum. Jeff Ooi juga turut menegur kepemimpinan NSTP yang menyebabkan bermulanya kes saman terhadapnya. Kes itu masih diteruskan.

Semalam, Jeff Ooi mengumumkan bahawa beliau menyertai DAP dalam satu majlis ringkas di Petaling Jaya, yang dihadiri oleh pemimpin utama parti itu. Bagi Jeff Ooi kemasukannya dalam parti itu untuk meneruskan agendanya menegur kerajaan berhubung dasar-dasar yang dianggap tidak menguntungkan rakyat. Beliau kini sudah bersedia untuk "mengotorkan tangannya" seperti yang dinyatakan oleh Kit Siang. Sudah tentu kemasukan Jeff Ooi, seorang blogger popular akan membantu DAP dalam strategi menghadapi Pilihanraya Umum 12 yang sibuk diperkatakan kebelakangan ini. Walaupun, pemimpin-pemimpin DAP mempunyai laman webnya sendiri, mereka sudah pasti akan meraih keuntungan daripada populariti Jeff Ooi, yang dianggap "transformer baru" untuk menyebarkan ideologi mereka.

Namun, Jeff sebagai seorang blogger yang matang, tidak mahu dituduh mengambil kesempatan terhadap populariti Screenshots dan bertindak membuka satu lagi laman web iaitu Jeff4Malaysia. Tindakan itu mungkin akan menguntungkan kedua-dua pihak, Jeff dan DAP kerana kini mereka mempunyai satu lagi laman web yang boleh digunakan untuk "menghentam" kerajaan terutama Paklah dan Datuk Seri Najib Tun Razak. Saya yakin Screenshots yang selama ini "membelasah" kerajaan akan meneruskan artikel pedasnya walaupun Jeff Ooi mengelak diri dituduh menggunakan populariti laman web itu.

DAP juga sedar bahawa Jeff Ooi adalah Naib Presiden Penaja All Blogs Malaysia yang akan menjadi payung kepada bloggers di negara ini. Kesempatan ini sudah tentu menguntungkan parti itu untuk mengembleng tenaga bloggers di negara ini dalam memperjuangkan ideologi DAP pada PRU12. Keadaan ini diburukkan lagi dengan tindakan pemimpin kerajaan memberi pelbagai gelaran kepada bloggers yang menimbulkan perasaan "sakit hati" di kalangan bloggers popular. Selain itu, networking Jeff Ooi di seluruh dunia juga akan dimanfaatkan untuk membolehkan DAP dilihat sebagai pejuang kebebasan rakyat atau pejuang hak asasi manusia di Malaysia.

Persoalannya mengapakah Jeff Ooi "berhijrah" daripada parti kerajaan kepada pembangkang? Adakah dengan perletakan jawatan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik sebagai Presiden Gerakan tahun ini menyebabkan Jeff Ooi tidak lagi mempunyai semangat menyertai parti itu? Adakah Jeff Ooi tidak yakin dengan kepemimpinan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon di peringkat Pusat, yang dikatakan lemah oleh sesetengah pemimpin politik di Pulau Pinang? Adakah Jeff Ooi yakin DAP adalah parti yang akan terus memperjuangkan nasib masyarakat Cina, bukan MCA atau Gerakan? Adakah Jeff Ooi merasakan beliau akan diberikan kawasan Parlimen pada PRU12 dan ditawarkan jawatan penting dalam DAP?

Ketika ditanya semalam mengapa beliau keluar Gerakan, Jeff Ooi menegaskan beliau tidak percaya dengan janji-janji Perdana Menteri sekarang. Apa sekalipun jawapannya, Jeff Ooi perlu sedar bahawa beliau akan terpaksa menghadapi ramai pemimpin DAP yang sentiasa menunggu giliran untuk menggantikan Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng. Ini termasuk pemimpin pelapis yang ada antaranya berkelulusan Oxford untuk mengambilalih pucuk pimpinan DAP setelah Kit Siang dan Guan Eng diberhentikan oleh ahli DAP. Ahli-ahli DAP mempunyai kuasa untuk menaik atau menurunkan pemimpin mereka. Selamat berjuang.

4 comments:

Anonymous said...

i do hope with the admission of more learned politicians into the parliament will bring about good and decent debate for the better of the 'rakyat' of Malaysia. be it opposition or BN.

it is quite depressing how bad and unbecoming even uncivilised our parliament have degenerated into. while it is another issue how DAP is going to keep these new and upcoming blood to toe the line, regardless, i do hope they will contribute to the betterment our parliamentary debate... if they win.

ahm said...

jeff ooi masuk dap itu berita biasa. tapi bila ada individu yang bersumpah ikut ke mana jeff ooi pergi adalah suatu yang membimbangkan. dan yang lebih membimbangkan individu tersebut ada pula pengikutnya yang juga akan membabibuta mengikut...blog memang power

Anonymous said...

At least he took his stand and ready to get his hand dirty. Joining opposition as LKS said is the start of the problem, there is no benefits whatsoever, other than love for the country. With the current leakages and lack of leadership in the country, between Jeff and Jasin One Eye MP, I take Jeff anytime. Remember, we need quality people in the Parliament, not the clowns who curse, swear and said humiliating words in Parliament.

ahm said...

as voter personally i dont fancy with mp who can merely talk, loud debater. my choice is mp who can do their work and serve to the rakyat. parliament is one issue, but most important is can this mps' implement what they have been shouting about in the dewan.

at present most of the loud talkers in the dewan are all empty talkers regardless of which team they belong to. they talk out of emotion and self-frustration and worst that self-satisfations, none really fight for rakyat.
hope jeff ooi may not fall into that category... bet you, looking at his profile chances are slim for him to even get close to lee lam thye performance. here comes another mp of the same species... if he wins

seems to agree with pasquale.