Sunday, October 12, 2008

SURAT TERBUKA UNTUK DS NAJIB

Surat terbuka pelayar DUNIATIGER kepada bakal Perdana Menteri.


Kepada,
YAB DATO' SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK
TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
PUTRAJAYA

YAB Dato Sri,

SURAT TERBUKA BERBENTUK NASIHAT, TEGURAN DAN SARANAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

1. Pertamanya saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t di atas kepercayaan dan ketulusan hati YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyerahkan kepimpinan No. 1 dalam UMNO dan juga negara kepada YAB Dato' Sri. Insya Allah dengan berkat dan rahmat Allah di atas segala jasa-jasa serta amal jariah yang telah dicurahkan oleh Allahyarham Tun Razak, arwah bapa Dato' Sri; negara Malaysia dan rakyat keseluruhannya akan berada dalam keadaan selamat, aman dan makmur seperti nama negeri asal YAB Dato' Sri iaitu Pahang Darul Makmur.

2. Sebagai seorang anak jati negeri Pahang Darul Makmur, saya amat gembira dan turut tumpang bangga kerana tak lama lagi ( kurang lebih 6 bulan dari sekarang ), negeri Pahang akan dapat melahirkan semula seorang tokoh negarawan yang akan memimpin negara sebagaimana yang pernah dilalui oleh arwah bapa YAB Dato' Sri, Tun Abdul Razak Hussein. Negeri Pahang dan juga sebahagian besar kawasan pantai Timur seperti Terengganu dan kelantan akan turut mendapat faedah setelah sekian lama jawatan Perdana Menteri (33 tahun : Sejak 1976 -2009 ) diterajui oleh pemimpin dari pantai Barat sememanjung ( Johor dan Utara ). Kalau dikira sejak kita merdeka pada tahun 1957 hingga tahun 2009 nanti ( 53 tahun ), hanya jangkamasa 6 tahun sahaja pemimpin dari kawasan Pantai Timur Semenanjung menjadi Perdana menteri ( Zaman Tun Razak dari tahun 1970-1976). Selebihnya selama 5 tahun dipimpin oleh pemimpin dari negeri Johor ( selatan Semenanjung ) dan sebahagian besarnya selama lebih 40 tahun negara kita diterajui oleh pemimpin dari kawasan Utara semenanjung.

3. Itulah sebabnya kenapa kawasan Pantai barat semenanjung lebih maju dan membangun berbanding dengan kawasan Pantai Timur ( Pahang, Terengganu dan Kelantan ). Nak dibanding pula dengan Sabah dan Sarawak, lagilah amat jauh ketinggalan berbanding dengan apa yang dikecapi serta dinikmati oleh penduduk di kawasan Pantai Barat Semenanjung.

4. Justeru, surat terbuka yang saya tujukan kepada YAB Dato' Sri ini ingin mengketengahkan beberapa nasihat, teguran dan juga saranan kepada YAB Dato' Sri yang bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-6 pada bulan Mac 2009 nanti ( Insya Allah ), antaranya :

4.1 Sebagai seorang yang bakal dipilih menjadi Presiden UMNO, YAB Dato' Sri perlu memperkasakan semula peranan UMNO di dalam kerajaan, iaitu parti mesti menguasai kerajaan dan bukannya kerajaan ataupun anak beranak serta menantu yang menguasai parti. Sejak kebelakangan ini, iaitu di bawah pentadbiran Pak Lah kita perhatikan UMNO langsung tidak mempunyai peranan di dalam menentukan dasar-dasar kerajaan. Perlembagaan Negara yang digubal sejak merdeka adalah hasil daripada prinsip-prinsip serta asas perjuangan UMNO yang kemudiannya dipersetujui oleh rakan-rakan dalam perikatan iaitu MCA dan MIC. Contohnya meletakkan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dalam perlembagaan. Ianya adalah selari dengan asas dan tujuan UMNO ditubuhkan iaitu untuk menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan beragama. Justeru, janganlah pula YAB Dato' Sri nanti menjalankan sesuatu dasar ataupun polisi kerajaan berasaskan kepada kehendak keluarga seperti desakan isteri, anak-anak dan menantu dengan meminggirkan pandangan menteri-menteri kabinet dan Majlis Tertinggi UMNO.

4.2 Firman Allah s.w.t yang bermaksud : " Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada terjerumus ke dalam neraka ". Sejak Perdana Menteri pertama hinggalah kepada Perdana Menteri sekarang ( Ke-5 ), kita perhatikan ke semua isteri-isteri Perdana menteri Malaysia dan juga termasuk anak-anak perempuan mereka tidak begitu berminat untuk memakai pakaian yang menutup aurat. Selaku Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO yang memimpin sebuah parti terbesar umat Islam di negara ini sepatutnya isteri serta anak-anaknya menonjolkan imej budaya Islam dari segi pakaian dan juga gaya hidup sebagai seorang muslim yang soleh. Bagaimana kita nak selamatkan ummah dan masyarakat di negara ini daripada keredhaan Allah serta selamat di dunia dan di akhirat kalau ahli keluarga terdekat dengan kita sendiri tidak mampu untuk kita menegur dan mendidiknya supaya berpegang teguh kepada syariat Islam. Jadi, saya menasihatkan YAB Dato' Sri supaya memerintahkan serta mentarbiah anak-anak perempuan serta isteri ( Datin Sri Rosmah Mansor ) agar melaksanakan segera daripada sekarang tentang perintah Allah untuk menutup aurat ( khasnya bertudung kepala dengan sempurna - mengikut syariat Islam ).

4.3 Saidina Umar Ibnu Khatab, Khalifah ke-2 pernah menutupkan api pelita di pejabatnya pada waktu malam ketika mana anaknya datang untuk berbincang mengenai hal keluarga. Ini kerana beliau tidak mahu menyalahgunakan duit baitulmal ( minyak yang menyalakan api pelita berkenaan ) untuk perkara-perkara peribadi. Saya menasihatkan YAB Dato' Sri agar dapat melaksanakan etika dan juga prinsip bersih yang diamalkan oleh Saidina Umar Al-Khattab ini dalam melaksanakan tugas sebagai Perdana menteri nanti. Jangan beri muka dan juga membiarkan anak beranak serta isteri kita menyalahgunakan kemudahan kerajaan serta harta negara untuk kepentingan peribadi dan juga keseronokan duniawi . Inilah satu pengorbanan dan iltizam yang perlu dihayati oleh YAb Dato' Sri selaku Perdana Menteri yang ke-6 nanti. Ini lah nanti yang membezakan YAB Dato' Sri dengan Kelima-lima bekas Perdana Menteri Malaysia yang lalu.

4.4 Selaku Presiden UMNO nanti, YAB Dato' Sri adalah disaran dan digesa agar dapat mengubah semula sistem pemilihan dalam UMNO kepada bentuk yang asal, iaitu sistem pencalonan berasaskan kuota hendaklah dihapuskan. Cukup hanya sekadar dua pencalonan sahaja sebagai syarat asas. Ataupun kita ikut sahaja sistem penamaan calon yang diamalkan oleh Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan ), yang mana sistem pencalonan untuk sesuatu jawatannya adalah amat mudah iaitu hanya mengisi Borang Pengesahan untuk menawarkan diri sebagai calon bagi sesuatu jawatan. Dengan cara ini, seseorang calon itu tidak perlu menjelajah ke seluruh negara, daerah, kampung dan rumah ke rumah bagi mendapatkan pencalonan. Gejala rasuah politik (Politik wang ) dapat dikurang serta dielakkan dan politiking dalam pemilihan UMNO dapat diharmonikan.

4.5 YAB Dato' Sri perlu mengambil tindakan tegas dan radikal ke atas mana-mana sahaja kumpulan agama atau kaum yang bertindak ekstrim dan keterlaluan di negara ini sebagaimana yang ditunjukkan oleh kumpulan pelampau hindu iaitu Hindraf sejak akhir-akhir ini. Jangan pandang agama ataupun bangsa yang terlibat. Jangan ambil kira soal mereka itu orang Melayu ataupun Islam, India ataupun HIndu, Cina ataupunBuddha, kristian dan sebagainya. Asalkan mereka ini mengancam keselamatan negara dan juga keharmonian kaum serta agama di negara ini maka kita perlu bertindak tegas terhadap mereka. Kalau kita berani bertindak tegas kepada pelampau agama dalam masyarakat Islam seperti Al-Arqam, al-Maunah, Ayah Pin, Nasrul Haq dan banyak lagi, kenapa kita takut untuk bertindak kepada pelampau agama Hindu seperti Hindraf yang tak sedarkan diri tentang bagaimana nasib mereka kalau berada di negara asal mereka di India. Rakyat nak lihat ketegasan YAB Dato' Sri di dalam menangani isu Hindraf ini. Kalau perlu, jangan tunggu sehingga dilantik sebagai Perdana menteri, bertindaklah sekarang sebelum ramai di kalangan orang-orang melayu naik angin dan bertindak sendirian.

4.6 UMNO itu cukup sinonim dengan Melayu dan Islam. Melayu tanpa Islam maka jadilah melayu itu seperti melayu di zaman tok nenek kita dulu yang beragama hindu, yang mana melayu yang beragama Hindu dahulu ( 700 tahun dahulu ) hanyalah sebagai suatu bangsa yang tidak berilmu dan bertamadun. Sebaliknya apabila bangsa melayu itu memilih Islam sebagai agama yang dianuti oleh raja, pemimpin dan masyarakatnya secara total maka umat melayu telah diangkat martabatnya menjadi bangsa yang maju pada zaman kesultanan melayu Melaka. Dengan Islam inilah maka Melaka sebagai negeri Islam pada ketika itu ( abad ke-14-15 ) telah terkenal sebagai pelabuhan perdagangan entrepot antarabangsa antara Timur dan Barat. Inilah hikmahnya apabila Melayu itu menerima Islam dan berpegang teguh kepada ajaran Islam. Justeru, kalau UMNO ingin menjadikan umat Melayu di malaysia ini menjadi lebih maju, maka YAB Dato' Sri perlu memperkasakan penghayatan Islam di kalangan ahli-ahli UMNO itu sendiri. JIka ahli-ahli UMNO masa kini dan akan datang menjadi lemah pegangannya kepada agama Islam, maka itu tandanya bahawa umat melayu akan menuju kepada kehancuran dan kemusnahan. Tegasnya, pemimpin dari kalangan UMNO yang hendak dilantik oleh YAB Dato' Sri nanti dalam kabinet kerajaan perlulah seorang yang kuat berpegang teguh kepada ajaran agama Islam. Tidak semestinya berlatar belakangkan pendidikan agama/arab ataupun seorang yang warak, tetapi cukuplah melihat kepada pemikiran, gaya hidup harian dan juga prinsip perjuangannya selari dengan syariat Islam. Begitu juga dengan semua pegawai Tinggi kerajaan yang hendak dilantik kejawatan penting di semua kementerian, hendaklah memenuhi ciri-ciri ini kerana merekalah yang akan melaksanakan agenda ummah, negara dan Islam dalam pentadbiran negara.

5. Demikianlah nasihat, teguran dan saranan saya dalam surat terbuka ini kepada YAB Dato' Sri. Diharapkan agar YAB Dato' Sri menerimanya sebagai sesuatu yang positif untuk kebaikan agama, bangsa dan negara. Jika ada yang terkasar bahasa serta menyentuh perasaan YAB Dato' Sri, maka saya memohon ampun dan maaf di atas keterlanjuran itu. Saya doakan semoga Allah s.w.t memberi taufiq dan hidayah kepada YAB Dato' Sri.

Sekian, terima kasih. Wassalam

"SELAMAT BERJUANG"



t.t
..............................................
SHAMSUDDIN MONER EL-ASKAREY

Tarikh : 10 hb Oktober 2008

( No. Tel : 013-346 4005 )

12 comments:

. said...

Teruskanlah budaya nasihat menasihati. Kalau perlu, berikan teguran. Lebih baik ditegur daripada dibuang / ditolak oleh rakyat. Saya juga ingin menyarankan agar ahli-ahli UMNO berhenti budaya mengampu dan mencium tangan. Kita memilih pemimpin untuk bekerja. Usah dewakan mana-mana pemimpin. Ya, kita sayang dan hormat pemimpin kerana mereka bekerja untuk rakyat.

JantanGiler said...

4.2 a).....kita perhatikan ke semua isteri-isteri Perdana menteri Malaysia dan juga termasuk anak-anak perempuan mereka tidak begitu berminat untuk memakai pakaian yang menutup aurat.
b)....Selaku Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO yang memimpin sebuah parti terbesar umat Islam di negara ini sepatutnya isteri serta anak-anaknya menonjolkan imej budaya Islam dari segi pakaian dan juga gaya hidup sebagai seorang muslim yang soleh.
c)... Bagaimana kita nak selamatkan ummah dan masyarakat di negara ini daripada keredhaan Allah serta selamat di dunia dan di akhirat kalau ahli keluarga terdekat dengan kita sendiri tidak mampu untuk kita menegur dan mendidiknya supaya berpegang teguh kepada syariat Islam.
d)...Jadi, saya menasihatkan YAB Dato' Sri supaya memerintahkan serta mentarbiah anak-anak perempuan serta isteri ( Datin Sri Rosmah Mansor ) agar melaksanakan segera daripada sekarang tentang perintah Allah untuk menutup aurat ( khasnya bertudung kepala dengan sempurna - mengikut syariat Islam ).

Saudara Shamsuddin,
1. Adakah dgn menyuruh anak memakai tudung Negara akan dapat redha allah ?
2. Adakah islam itu hanya mengisahkan perlaksanaan aurat ?
3. .Adakah selama ini PM yg memakmurkan Malaysia bakal mendapat murka Allah kerana bini dan anak tidak bertudung ?

Adalah amat malang apabila menjustifikasikan dan menghukum islam dgn meletakan aurat melebihi segala keutamaan. Walhal keutamaan yg amat besar buat masa kini adalah berjihad utk membangunkan kembali ekonomi yg mana jika tindakan segera tidak diambil maka masyarakat akan menjadi musnah dgn peningkatan kadar jenayah, merompak, mencuri ,pelacuran dan sebagai nya. Apakah dgn menutup aurat maka kita dapat menghindar dari segala kemungkaran,rasuah dan bermcm macm dosa ? Islam itu submission. Di antara diri kita dgn Nya. Apakah perkara yg kita suka itu menjadi kesukaan Nya dan perkara yg kita tidak suka menjadi kemurkaan Nya ? Apakah kita layak mewakili Nya dan meletakan hukum disebabkan perkara itu kita tidak suka ?

sumandak bayu said...

Sape-sape pemimpin pun perlu dan harus menerima teguran yang membawa kebaikan bersama demi agama, bangsa dan negara....

Tetapi jika wujud teguran yang boleh membinasakan diri kita sendiri baik jan ambik... Pepatah mlayu berkata ambik yang jernih buang yang keruh bro...

Diharap budaya menasihati sesama insan di negara ini dijadikan sebagai satu amalan yang baik....

Quantum Metal Consultant said...

Surat terbuka ini kedapatan juga di blogg AKJ, copy and paste di merata rata.

hasipin66 said...

Salam TokTiger,

Tahniah kepada sdr.Samsuddin,kerana sanggup memberi nasihat dengan jujur kepada Datuk S.Najib bakal Perdana Menteri keenam Malaysia.

Cuma,kita kurang setuju dengan cara sdr.Sam menyentuh kelemahan Pak Lah dan membanding tentang keadaan isteri-isteri dan anak-anak perempaun Perdana Menteri yang terdahulu.Rasanya cukuplah kalau saling mengingati tentang sunnah dan pesanan Rasullah dan ajaran Allah dalam kitab Alquran.

Kita percaya Datuk Najib lebih arif dan telah bersedia melakukan yang terbaik samaada dalam bentuk amal fardhu kifayah mahupun fardhu ain.

Anonymous said...

Apa2 ajelah Encik Sudin.. nasihat tu bagus jugak tapi semestinya mesti kena ikut pulak. Yang bab tudung tu Ibrahim Yahaya (termasuk wartawan suratkhabar sekarang) dan ramai mungkin setuju, tapi saya tidak bersetuju..

Anonymous said...

salam. nak ke isteri2 pemimpin ni tinggalkan kemewahan dan amalkan kesederhanaan? yg tak pakai tudung macam tak takutkan Allah je, yg pakai sekerat ada, tiga suku ada dll...semuanya berlagak Tuhan. ye lah, duit dah berkepuk, takkan tak boleh njoy sakan...yg pakai tudung pun cat kuku, bukan makin lawa, makin hodoh...tak sedar diri, rumah kata pergi kubur kata mari...insaflah hai kaum Hawa, takutkanlah azab seksaan api neraka.

Cheguman said...

Nasihat menasihati itu dituntut.

Anonymous said...

SALAM TOK TIGER,

TEGUR MENEGUR ADALAH SIFAT YANG MULIA DAN IANYA ADALAH SEPARUH DARIPADA IMAN.

DALAM TEGURAN ATAU NASIHAT BIARLAH DENGAN HATI YANG IKHLAS DAN PENUH KEINSAFAN.MOGA PERUBAHAN KE ARAH KEBAIKAN MENJADI NYATA.

Anonymous said...

Nasihat saya pula bersiap sedialah untuk mewujudkan UMNO Baru (baru) setelah selesai pemilihan nanti.

Akan berlaku ahli membawa kes ke mahkamah dan UMNO baru (lama) diharamkan.

Tunggu dan lihat!!!

Sharkar

Anonymous said...

Tok Rimau...
Saya sgt suka dengan nasihat yang diberikan. Kalau orang melayu ramai macam Tok Rimau maka negara kita ini tentunya akan aman dan sentosa dan melyu tidak akan hilang di dunia.
Tapi cuba Tok Rimau berkunjong kekedai-kedai kopi. Maka Tok Rimau akan berjumpa dengan orang melayu yang tidak sedar diri. Bahawa kerana negara ditadbir baik oleh orang macam Tok Rimau lah mereka boleh bersembang dikedai kopi dari pagi hingga ke malam. Dalam keadaan aman dan tenteram tanpa gangguan seperti di kebanyakkan negara islam yang lain.

rayliew said...

Cadangan yang diketengahkan oleh Saduara Sam adalah baik. Namun ianya terpulang kepada Dato Seri untuk menerap segala intipati kenyataan Sdr. Sam.

Saya juga berpendapat pembangunan sememangnya dibahagikan samarata di kesemua negeri dalam Malaysia, dan kawasan negeri yang luas memerlukan masa yang lebih lama untuk dibangunkan kerana kawasan yang luas. PM PAK LAH telah melancarkan beberapa Projek Raksaksa Koridor Pembangunan untuk meningkatkan pendapatan penduduk kawasan dan merapatkan lagi jurang golongan berpendapatan rendah dan tinggi serta melaksanakan pelbagai dasar untuk membantu mengurangkan peratusan rakyat miskin melalui BAJET 2009...