Monday, June 30, 2008

TIDAK PAYAH UJI KEJANTANAN MELAYU

TOLONG BERHENTIKANLAH. Bagi saya, mereka yang menganggap akhbar UTUSAN racist adalah kumpulan manusia yang berperibadi rendah. Akhlak mereka boleh dipersoalkan dan niat jahat itu perlu dibongkarkan.

Mereka ini sebenarnya ingin menutup kelemahan dengan menuduh orang lain lemah. Mereka menuduh orang lain racist tetapi sebenarnya merekalah yang racist. Inilah konsep DAP sejak dari dulu lagi. Kalau tidak, takkan lah mereka meniupkan sentimen, "memilih BN ialah memperkuatkan Melayu" pada PRU12 lalu.

Malangnya ada pemimpin PKR dan PAS yang berbangsa Melayu dan beragama Islam mengikut telunjuk pemimpin DAP. Mereka ibarat lembu dicucuk hidung dan ditarik ke mana arah yang disukai. Namun, masih ada pemimpin PAS yang berfikiran rasional dan ada semangat Melayu seperti Azizan Razak dan Datuk Mustafa Ali.

Jika anda memahami apa yang ditulis oleh akhbar Cina dan Tamil, anda akan menepuk dahi kerana kehairanan bagaimana artikel yang melampau dan adanya mempersoalkan hak orang Melayu dibiarkan terus didodoikan untuk menaikkan semangat kaum tertentu. Dalam diam, mereka bergerak seiringan.

Mereka sebenarnya lebih racist daripada akhbar Melayu yang sentiasa menjaga "tatatertib" dan mematuhi peraturan negara kerana beranggapan akhbar itu dibaca oleh semua kaum. Mungkin ketertiban itu ada hikmahnya bagi memastikan bangsa Melayu tidak "naik angin" dan membuat sesuatu yang tidak sepatutnya.

Namun, bangkai gajah tidak boleh ditutup selama-lamanya.

Ada individu dan persatuan tertentu seperti Majlis Peguam kini secara terang-terang mahu membangkitkan kemarahan bangsa Melayu.

Sebenarnya, mereka ingin menguji "kejantanan" Melayu kerana memikirkan pemerintah sekarang mengamalkan dasar terbuka, berlembut sentiasa dan pendekatan tolak undur.

Sunday, June 29, 2008

JAGALAH LUBANG KUBUR MASING-MASING.

INSAFLAH. Seorang teman menelefon saya sebentar tadi bertanyakan mengapa saya sehingga jam 4.30 petang ini tidak menulis mengenai "berita hangat" laporan polis seorang pembantu terhadap DS Anwar Ibrahim (DSAI) dan penjelasan penasihat PKR itu serta penyokong-penyokongnya.

Saya menjawab ia tidak perlu kerana ramai yang sudah menulisnya. Bagi saya, itu lubang kubur masing-masing. Bagi saya, jika kita mahu menjadi pemimpin, segala perlakuan kita perlu dijaga dengan baik.

Pemimpin perlu bersih dan kelihatan bersih sepanjang masa.

Allah SWT akan memberikan balasan berat jika pemimpin melakukan perkara yang dilarang terutama dosa besar. Ini termasuk memalukan pemimpin dan keluarga mereka jika mereka tidak bertaubat. Banyak peristiwa sudah berlaku dalam pemimpin UMNO yang perlu dijadikan teladan dan sempadan untuk direnungi bersama. Insaflah.

Bagi posting ini, saya mahu mereka yang tidak memahami sejarah itu janganlah membuat dakwaan dan pemahaman sendiri mengenai kontrak sosial dan Ketuanan Melayu.

Blogawan, BigDog dalam BLOGNYA menulis mengenai golongan yang berani membuat pelbagai andaian terhadap kedua-dua perkara itu.

Yang sedihnya, ada antaranya insan yang bernama Melayu yang berkhidmat di Singapura yang menggunakan analogi kurang sihat. Dalam kesedihan saya tidak rasa kehairanan.

Saturday, June 28, 2008

ALLEYCATS MASIH MEMPERSONAKAN



TERIMA KASIH DAUN KELADI

DEE
, NIK DAN WAN

SUNGGUH MENGHIBURKAN.

Yang utama, ikatan persahabatan kita berkekalan.

daripada DIY dan DRH

Friday, June 27, 2008

JANGAN TUNGGU LAMA-LAMA...

Kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak, semalam bahawa beliau belum BERCADANG bertanding jawatan Presiden UMNO, pasti menarik perhatian ramai. Saya pun berminat hendak tahu.

Sudah pasti ramai pihak yang akan menunggu bilakah DS Najib akan bercadang untuk bertanding Presiden. Mungkin selepas jadi Presiden kot, barulah bercadang untuk bertanding bagi mempertahankan jawatan Presiden. Ketika itu, berapa ramai pula yang akan berminat pula? Tak tahulah...

Setakat ini, bekas Menteri Kewangan, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, menyatakan hasratnya bertanding jawatan Presiden pada Disember ini.

Apakah Kuli akan mendapat kuota 30 peratus iaitu 58 bahagian untuk melayakkannya bertanding jawatan itu? Berdoa sajalah.

Thursday, June 26, 2008

MENGAPA PERLU FORUM KONTRAK SOSIAL?

APA NI? Sabtu ini, Majlis Peguam akan menganjurkan satu forum mengenai isu kontrak sosial dan Ketuanan Melayu.

Forum di Auditorium Majlis Peguam diadakan ekoran kononnya wujud perbezaan pendapat di kalangan pemimpin dan orang awam mengenai isu itu. Perbezaan pendapat macam mana? Pemimpin dan rakyat yang mana satu? Orang Melayu ke yang tidak sependapat?

Antara panel forum itu ialah Pensyarah Sains Politik UKM, Dr Mavis Puthucheary; Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Dr Kua Kia Soong dan peguam, Tommy Thomas.

Bagi saya, apa yang ingin dilakukan oleh Majlis Peguam itu adalah hak mereka dan selama ini pun mereka selalunya tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan. Mungkin bantahan itu sekadar mengikut kepentingan individu tertentu terutama Presidennya.

Namun, apa pulak Majlis Peguam hendak bincang isu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan sedangkan banyak kerja lain yang boleh dibuatnya seperti membincangkan nasib peguam. Apakah mereka ingin mencadangkan Perlembagaan diubah untuk memenuhi selera pihak tertentu? Hendak mencari nahas ke?

Saya juga berharap ada pemimpin Melayu yang bijak bistari dan berani untuk menjadi ahli panel bagi menerangkan dari perspektif sejarah dan mempertahankan kedua-dua perkara itu. Datuk Dr Malik Munip boleh ke?

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, Ketuanan Melayu dimilik oleh Raja-Raja Melayu. Ketuanan itu ialah kedaulatan bukannya konsep tuan dan hamba yang disalahertikan oleh pemimpin kanan MCA, Datuk Ong Tee Keat. Konsep tuan dan hamba tu diamalkan oleh Maharaja Cina doulu-doulu.

Tak tahulah apa nak jadi dengan negara ini.

Bebas, terbuka, bebas...lama-lama semuanya terlondeh. Semua berbogel. Semua orang boleh nampak. Itu kot yang dikehendaki. Yang tidak payah tu, tidak payahlah dibuat. Apa ni?

Wednesday, June 25, 2008

KEPENATAN GANGGU KERJA HAKIKI?

Oleh Ibrahim Yahaya
(Sinar Harian: 25/6/08)


Apa yang anda akan lakukan jika perbelanjaan melebihi pendapatan bulanan? Ini membabitkan mereka yang makan gaji. Pertama, adakah anda akan berniaga kecil-kecilan dengan membuka kedai makan? Bergiat secara aktif dalam perniagaan jualan langsung atau menjual insurans dan saham amanah? Atau ketiga, anda berhenti makan gaji dan berniaga sepenuh masa.

Jawapan kepada soalan itu sudah tentu bergantung kepada kemahuan dan kesungguhan. Hendak seribu daya, tidak mahu seribu daleh. Ia juga tertakluk kepada kemahiran dan kebolehan untuk berjaya serta mengharungi cabaran. Makan gaji tiada cabaran tetapi pendapatannya tetap dan kecil. Berniaga pula banyak cabaran tetapi jika bekerja keras pasti mendapat pendapatan lumayan.

Seorang yang cekap memasak akan berusaha untuk membuka kedai makan untuk menjual makanan yang digemari ramai seperti nasi campur, nasi ayam atau makanan barat. Makanan yang dijual bukan saja mesti sedap tetapi tidak terlalu mahal bagi membolehkan setiap lapisan rakyat menikmatinya. Pengusaha perlu memastikan kedai makan mereka bersih, cantik dan teratur sepanjang masa. Tiada lalat atau sampah.

Bagi orang yang pandai bercakap dan mampu menyakinkan orang, bolehlah bergiat cergas dalam perniagaan jualan langsung. Peluang membabitkan diri dalam perniagaan jualan langsung kini melambak di pasaran terutama produk kecantikan. Apa yang perlu ialah kesungguhan dan “muka selamba” apabila menghadapi pelanggan. Anda juga boleh membabitkan diri dalam perniagaan insurans atau unit amanah.

Seorang teman mendapat lebih RM120,000 sebulan dengan menjual insurans. Sebenarnya ada ejen insurans yang mendapat RM1.8 juta sebulan menjual insurans bersepadu yang membabitkan 800,000 kakitangan kerajaan. Carilah dan belajarlah daripada individu berkenaan. Ada juga yang menjual unit amanah saham yang boleh mencecah RM150,000 atau lebih daripada itu. Tidak hairanlah dalam usia muda mereka memandu kereta mewah termasuk Ferrari.

Hakikatnya apa yang dibuat mesti mendatangkan hasil atau menambahkan pendapatan. Jika tidak lumayan sekalipun ia mungkin cukup menampung kekurangan pendapatan dan lebihan perbelanjaan berikutan perkembangan terbaru dalam kenaikan harga minyak dunia. Jika tidak berusaha, manakan boleh dapat sagunya.

Oleh itu, kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan perlu diambil oleh golongan yang mengalami “defisit” ini agar dapat segera memulihkan kedudukan ekonomi mereka. Ia mungkin berbentuk langkah jangka pendek atau jangka pertengahan untuk mengatasi kemelut ekonomi peribadi. Jika sudah stabil dan tersusun, usaha itu boleh dijadikan langkah jangka panjang bagi memastikan keperluan hidup sentiasa terjamin.

Ahad lalu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan mengeluarkan permit perniagaan kecil untuk golongan berpendapatan rendah sebagai satu lagi langkah proaktif meringankan beban mereka akibat kenaikan harga minyak dan barangan.

Permit-permit berkenaan diberi untuk tempoh jangka pendek dan jangka panjang mengikut keperluan pemohon.

Kakitangan awam yang terbeban dengan peningkatan kos sara hidup kesan kenaikan harga bahan api itu juga boleh memohon permit berkenaan untuk menjalankan kerja sambilan. Permit berkenaan melibatkan perniagaan dan penjaja kecil seperti di pasar tani, pasar malam dan kawasan perumahan yang mempunyai ruang untuk kegiatan itu.

Bagaimanapun, kakitangan kerajaan berpendapatan rendah yang berminat perlu meminta keizinan ketua jabatan supaya tidak mengganggu tugas dan tanggungjawab di pejabat. Sekiranya langkah ini tidak menyebabkan mereka mengabai tugas dan tanggungjawab, mereka boleh memohon. Ia bergantung kepada permohonan dan pertimbangan ketua jabatan masing-masing.

Pengumuman itu dibuat selepas majlis taklimat khas mengenai penstrukturan semula subsidi kepada anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) di Auditorium Perdana, Angkasapuri.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memutuskan untuk membantu pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dalam menghadapi beban kenaikan bahan api itu.
Langkah itu, dipersetujui tetapi perlu diteliti oleh Kementerian Kewangan kerana ia membabitkan isu cukai. Bagaimanapun, ia akan dilaksanakan secepat mungkin.

‘‘Walaupun pada peringkat awal Kementerian Kewangan mencadangkan perkara ini diumumkan dalam pembentangan bajet Ogos ini, saya fikir jika ia dilaksanakan dua bulan lebih awal ia boleh membantu golongan ini,’’ ujarnya.

Kedua-dua langkah proaktif kerajaan itu perlu disambut baik oleh semua pihak terutama ketua jabatan kepada pekerja bawahan dan agensi yang terbabit dalam membantu pengusaha IKS di seluruh negara. Niat murni dan kelonggaran kerajaan itu tidak akan bermakna tanpa sokongan mereka bagi menjayakannya.

Dalam pada itu, golongan berpendapatan rendah yang dibenarkan berniaga perlu memastikan usaha mereka itu tidak menjejaskan kerja hakiki di pejabat kerajaan. Dalam ertikata lain, mereka tidaklah “memberi lebih tumpuan” kepada kerja sampingan ini sehingga tidak terdaya dan bermaya menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan.

Umpamanya, jika mereka mengambil keputusan untuk berniaga di pasar malam atau tani di hari bekerja, mereka perlu memastikan tidak menjalankan perniagaan sehingga memenatkan badan. Apabila badan letih sudah tentulah timbul perasaan malas untuk pergi bekerja atau tidak memberikan sepenuh tumpuan kepada tugas dan tanggungjawab. Ketika itu, semua pihak akan rugi termasuk rakyat dan kerajaan.

Oleh itu, mereka perlu merancang kegiatan perniagaan itu terutama dari segi keperluan masa dan tenaganya agar ia tidak mendatangkan beban kepada mereka.

Jika berniaga selama dua jam boleh menambahkan pendapatan, maka mereka hanya perlu berniaga selama tempoh itu saja. Ini kerana jika mengambil masa yang panjang, mereka pasti letih kerana terbabit dalam kegiatan mempersiapkan barang-barang untuk dijual, melayan pelanggan dan seterusnya mengemaskan semula barang-barang itu.

Peniaga juga perlu memastikan wang, masa dan tenaga yang dicurahkan itu “berbaloi” dan memberikan pendapatan yang baik agar tidak seperti berniaga buluh kasap, sentiasa rugi dan untung pun selalunya lesap. Hilang di tangan orang tengah atau lintah darat.

Saya pernah dinasihatkan agar tidak berniaga dalam bidang yang kita kurang mahir atau terlalu baru yang tiada rangkaian boleh membantunya. Akibatnya, kita bukan saja rugi tetapi akan berhutang dengan orang lain. Namun, ada juga kawan yang kini bergelar jutawan kerana bergiat dalam bidang baru yang dikuasainya sejak 25 tahun lalu.

Tuesday, June 24, 2008

NASIHAT HALUS BLOGAWAN JEFF OOI

INGATAN BERGUNA. Pagi ini, Ahli Parlimen dan blogawan (cadangan istilah baru untuk blogger dalam bahasa Melayu) , Jeff Ooi, memberitahu ahli Dewan Rakyat bahawa murid-murid sekolah daripada dua sekolah berada di dewan mulia untuk menyaksikan perjalanan Dewan Rakyat.

Beliau berbuat demikian sebelum bangun untuk bertanyakan soalan lisan kepada Menteri. Ingatan itu disiarkan secara langsung oleh RTM.

Bagi saya, itulah ingatan halus daripada seorang blogawan dan Ahli Parlimen (APAR) kepada rakan sejawat agar berperangai baik dan tidak menjerit-jerit seperti beruk di hutan. Ia perlu diingatkan selalu agar APAR dihormati dan dipandang mulia.

Daripada pengamatan saya di Parlimen, masih ada APAR yang berperangai seperti beruk dan tidak mengikut peraturan dewan dengan menjerit-jerit tidak tentu arah.

Jangan marah, ini kisah benar.

Berhujjahlah secara profesional.

Monday, June 23, 2008

USAHA HADAPI KEMELESETAN EKONOMI

Posting Terbaru: 129 sokong, 78 menentang.

Usul kenaikan harga minyak yang dibentangkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad diluluskan dengan 129 menyokong manakala 78 undi menentang tepat jam 7.10 malam.

Pengundian yang pada mulanya dicadangkan secara suara yang menyokong melebihi suara yang tidak menyokong telah mencetuskan suasana hangat.

Setelah mempertimbangkan bantahan yang dikemukakan, Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjalankan pengundi secara belah bahagian dengan undi setiap Ahli Parlimen diambil.

Posting Asal

Hari ini, DATUK SHAHRIR SAMAD , kata jika kita tidak membuat penstrukturan semula subsidi minyak, kita akan menghadapi defisit yang teruk jika kemelesetan ekonomi berterusan.

Jika ekonomi dan kewangan negara teruk, macam-macam boleh jadi. Antaranya diperas ugut.

Ketika Malaysia mengadapi krisis matawang pada 1997/98, sebuah negara jiran bersedia meminjamkan RM5 bilion kepada kita. Baiknya hati.

Tunggu dulu.

Ada syaratnya.

Mereka menetapkan syarat agar Malaysia memberikan air secara percuma selama-lamanya. Baik ke tu?

JANGAN JADI SUKUN LEMAU

JANGAN MERACAU. Pernahkah anda makan sukun goreng? Jika pernah, pasti sedap jika dimakan dengan kopi o. Bunyi macam program TV9 kelolaan Wan Sabariah yang menampilkan pengacara Aziz Desa, "Nasi Lemak dan Kopi O". Apakata stesen lain guna, "Sukun dan Kopi O". Bunyi tak komersial pulak.

Sukun ni perlu disimpan di dalam bekas kedap udara agar ia tidak menjadi lemau atau "masuk angin" dan tidak sedap dimakan.

Apapun hari ini, saya bukan hendak menceritakan soal sukun goreng tetapi TS Koh Tsu Koon yang dikatakan semakin kurang sihat kebelakangan ini.

Apabila kita tidak sihat, maka kita mulalah meracau dan menyalahkan orang lain.

Nasihat saya kepada TSU KOON ini ialah janganlah salahkan orang jika kita sendiri tidak betul. Carilah kesalahan kita. Mungkin ada, cuma kita tidak nampak saja. Jangan cari publisiti murah.

Sunday, June 22, 2008

ALONG PEMINJAM DUNIA?

ALONG DUNIA. Hari ini, saya diberitahu oleh kawan mengenai wujudnya "along antarabangsa" yang memberi pinjaman seperti along di negara ini.

Seperti along di Malaysia, along antarabangsa ini juga kejam dan zalim.

Along antarabangsa itu ialah IMF atau Tabung Kewangan Antarabangsa.

Antara kekejaman mereka ialah jika mengambil pinjaman daripada mereka, negara peminjam perlu mengikut kehendak mereka termasuklah terpaksa menjual syarikat negara yang tenat kepada syarikat gergasi dunia.

Mereka juga tidak membenarkan pemberian subsidi atau sebarang keistimewaan diberikan seperti membantu golongan miskin.

Patutlah TDM tidak mahu Malaysia pinjam daripada IMF.

Tetapi ada orang yang mahu membuat pinjaman ketika itu. Siapa nak jawab?

Saturday, June 21, 2008

LU BANGSA APA?

Semalam, saya berjumpa seorang teman lama. Dalam perbualan kami, beliau menceritakan peristiwa "tiga perasaan" dalam tempoh dua minit. Pertama marah, kedua berbangga, ketiga marah semula.

Menurut teman itu, dalam perbualannya dengan rakan Cina (RC) beliau diberikan "penangan" ini.

RC : Kawan, minta maaf ya. Minta maaf. Saya cakap ni, minta maaf ya.
Teman : Cakap lah.
RC : Melayu bodo.
Teman : Apa? Jangan cakap macam tu, tidak baik la.
RC : Melayu bodo. Bukan lu, bangsa lu.
Teman : Apasal?
RC : Melayu ada mutiara, tapi mahu buang, mahu pecahkan. Semua mahu campak.
Teman : Mutiara apa?
RC : Lu tahu tak, mahu dapat mutiara bagus, bukan satu tahun, banyak tahun lo.
Teman : Memanglah begitu.
RC : Tapi lu orang kasi buang. campak dalam longkang. Orang Cina, dapat mutiara bagut, dia simpan baik-baik. Ini macamlah kena buat.
Teman : Cakap terus teranglah.
RC : Lu ada PM bagus punya, lu mahu buang dia. Dia bangunkan ini negara banyak lama lebih 20 tahun.
Teman : Belum pun 10 tahun.
RC : Itu PM kasi Melayu punya nama naik. Lu orang campak dia dalam longkang. Semua mahu hina dia. Sekalang dia kuluar UMNO. Lu Melayu tak pandai jaga macam orang Cina. Simpanlah itu mutiara baik-baik. Apa ni...Melayu kutuk Melayu. Melayu buang mutiara bagus.
Teman : Itu bekas PM, bukan PM lagi. Dia sudah berhentilah.
RC : Saya tatap rasa dia PM. Sambung pun takpa. Tapi.. lu Melayu memang bodo la.
Teman: Bukan sayalah
RC : Habis.. lu bangsa apa?
Teman : ??????????

(Renungan Rimau : Itulah perasaan kawan saya. Mula-mula marah kerana RC kata orang Melayu bodoh. Kedua berbangga kerana RC kata TDM mutiara yang naikkan nama Melayu. Ketiga marah semula kerana orang Melayu tidak menjaga mutiara mereka)

Thursday, June 19, 2008

BUATLAH SESUATU SEBELUM TERLAMBAT....

DASAR JANGKAPANJANG. Untuk sekian kali, tolonglah membuat dasar jangkapanjang yang baik untuk rakyat. Jika sudah ada, ikut dan perbaiki dari semasa ke semasa. Jangan tukar-tukar sehingga rakyat terpaksa tukar. Ini penting agar kita tidak membuat tindakan secara "ad-hoc" yang adakalanya menyakitkan hati rakyat.

Saya amat bersetuju dengan seorang profesor yang menjadi ahi panel dalam program bualbicara RTM malam tadi yang meminta kerajaan mengadakan dasar jangkapanjang berhubung minyak agar kita tidak menggelabah apabila menghadapi kenaikan harga minyak dunia. Beliau juga mahu satu dasar jangkapanjang mengenai pengangkutan awam yang turut dipersetujui oleh seorang lagi ahli panel iaitu sahabat saya, Datuk Mohd Salleh Majid.

Jika negara jiran boleh mengadakan perkhidmatan pengangkutan yang baik, tidak ada sebab kita tidak boleh melaksanakannya. Apabila negara terdesak, diumumkan satu tindakan jangka pendek tetapi tidak praktikal dan melucukan. Lepas itu, rakyat dibiarkan menghadapi masalah mereka sendiri. Dulu janji banyak baslah, lorong khaslah dan sistem sokongan yang mantap. Tiada kesungguhan, tiadalah perancangan. Sedarlah.

Wednesday, June 18, 2008

SiAPPA YANG KELUAR BN?

Posting Terbaru. 2.45 petang.

UNDI TIDAK PERCAYA. Parti Maju Sabah (SAPP) akan mengusulkan undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat, yang akan bersidang Isnin ini.

Perkembangan ini menafikan laporan yang menyatakan parti yang dipimpin oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee, akan keluar BN hari ini. Bagaimanapun, ia dikatakan satu usaha untuk memaparkan rasa tidak puas hati parti di Sabah terhadap kepemimpinan tertinggi sekarang sebelum mereka membuat "kejutan" lain dalam masa yang terdekat.

SAPP yang mempunyai dua Ahli Parlimen dan empat ADUN, sebelum ini dikatakan mahu keluar BN dan menjadi "kumpulan bebas" sebelum memikirkan penyertaan mereka dalam gabungan lain. Ini memudahkan usaha mereka untuk menyertai mana-mana parti yang boleh memenuhi tuntutan mereka termasuk isu pendatang tanpa izin.

Posting Asal - 12.17 tengahari.

KELUAR BN? Adakah Parti Progresif Sabah (SAPP) akan meninggalkan BN? Walaupun media melaporkan perkara itu tidak benar tetapi hari ini ejen kenit memberitahu saya bahawa ia mungkin berlaku. SAPP akan membuat sidang media pada jam 2 petang ini di Kota Kinabalu berhubung perkara itu.

Sama-samalah kita tunggu.

KERUSI SANGLANG KOSONG

KOSONG. KANGAR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum Mac lalu, dikosongkan selepas mahkamah menerima permohonan petisyen yang dikemukakan bekas calon pilihan raya Pas bagi kerusi berkenaan. Keputusan itu bermakna pilihan raya kecil perlu diadakan untuk memilih wakil rakyat baru kawasan DUN berkenaan.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani ketika membuat keputusan itu bagaimanapun menolak permohonan bekas calon Pas yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin supaya mengisytiharkan beliau sebagai pemenang kerusi kawasan berkenaan.

Zainal Adzam berkata, mahkamah tiada hak untuk mengisytiharkan Hashim sebagai pemenang kerusi DUN itu kerana Seksyen 35(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memberi bidang kuasa kepada mahkamah untuk berbuat demikian sudah dimansuhkan pada 2003. Mahkamah bagaimanapun meyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menentukan bila pilihan raya kecil akan diadakan.

Sebelum ini, ADUN Sanglang, Abdullah Hassan, dari BN memohon supaya mahkamah memerintahkan pilihan raya semula bagi menyelesaikan pertikaian itu manakala Hashim pula mahu beliau diisytiharkan menang.

Hashim diwakili peguam Mohamad Ariff Yusof mengemukakan petisyen pilihan raya mencabar keputusan pilihan raya DUN berkenaan yang diadakan pada 8 Mac lalu dengan asas berlaku kesilapan dalam proses pengiraan undi. Hashim tewas kepada Abdullah dengan perbezaan 149 undi.

Abdullah diwakili peguam K Jegathesan. (BH ONLINE)

(Renungan Rimau : Sudah siap sedia ke? Adakah pengundi Sanglang memilih calon atau mengundi Parti? Eloklah tempah segera Hotel Putra Palace, Kangar bagi mereka yang "amat perlu" menginap di hotel. Melainkan mereka hendak tinggal bersama orang kampung di Sanglang. Dapatlah merasai Laksa Perlis orang kampung. Musim mangga sala dah penghujung.)

'SAYA TIDAK KISAH", ANDA BAGAIMANA?

SIAPA YANG RUGI? TS Khalid Ibrahim sedia kosongkan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bersuara di Dewan Rakyat. Itu berita muka depan SINAR HARIAN.

"Saya tidak ada halangan sekiranya memang kawasan itu yang dipilih oleh Anwar, saya sedia kosongkan untuk membolehkan pilihan raya kecil. Dia boleh pilih mana-mana kawasan yang dikira paling sesuai dan dapat menjamin kemenangannya, SAYA TIDAK KISAH," kata TS Khalid.

ANDA, pengundi Bandar Tun Razak, bagaimana?

Tuesday, June 17, 2008

BANYAK SABAR DAN TERUSKAN KERJA

BANYAK BERSABAR. Ketika dalam media, saya biasa bertemu Presiden Petronas, Tan Sri Hassan Merican. Anak-anak buahnya menjemput saya untuk berbuka puasa di Menara Berkembar Petronas atau menghantar jemputan untuk menyaksikan F1 di Sepang.

Sejak tiada dalam media ini, tiada lagi jemputan dan tiada peluang bertemu TS Hassan. Saya memahaminya.

Malam tadi, saya menonton program Bersemuka Dengan Media RTM1 dengan tetamunya, TS Hassan yang sudah pasti dijemput khas untuk menjawab pelbagai tuduhan, persoalan dan cadangan daripada rakyat jelata kepada Petronas selepas kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak pada 4 Jun lalu.

Beliau menjawabnya dengan baik soalan daripada dua wartawan yang dijemput, Sdr Azam Aris dan Sdr Mikail Raj Abdullah serta hos, Datuk Johan Jaafar. Yang menontonnya mungkin sedikit sebanyak dapat memahami apa yang diterangkan dan bagi mereka yang terlepas, mungkin boleh mengikuti ulang siaran oleh RTM.

Ini bukan pertama kali Petronas ditegur, dipukul atau dibelasah. Nama syarikat petroliam negara ini sering ditimbulkan jika ada krisis kenaikan harga minyak atau apa sajalah yang berkaitan sehingga logo yang seakan sebuah parti politik pernah diminta ditukarkan.

Malah dalam Perhimpunan Agung UMNO satu masa dulu, ada perwakilan yang meminta TS Hassan ditukarkan kepada orang lain. Bagaimanapun, kerajaan tetap mengekalkannya.

Di akhir pogram itu malam tadi, TS Hassan ketika diminta oleh hos untuk memberi nasihat kepada rakyat negara ini, meminta orang ramai tidak memukul lagi Petronas.

Ini kerana, daripada pandangan menerusi email dan ketika bersemuka yang disampaikan oleh kakitangan Petronas, mereka terkilan kerana sering "dipukul" oleh orang ramai walaupun bekerja keras untuk mendapatkan hasil kepada negara.

Ada antara kakitangan itu sanggup meninggalkan anak isteri semata-mata bekerja di pelantar minyak di tengah laut bagi memastikan Petronas terus berjaya mengeluarkan emas hitam di negara ini dan di luar negara.

Kepada kakitangan Petronas, tidak perlu merasa terkilan dengan kenyataan yang mungkin menyinggung perasaan mereka. Yang penting teruskan kerja seperti juga kakitangan kerajaan atau GLC lain yang sering dipukul atau dibelasah.

BLOGGER AS DIDAKWA DI SINGAPURA

DIDAKWA. Seorang blogger Amerika Syarikat, GOPALAN NAIR , yang sebelum ini rakyat Singapura, didakwa atas tuduhan menghina seorang hakim menerusi laman blognya dengan menyatakan hakim itu "melacurkan dirinya".

Dalam laman blog itu, warganegara Amerika Syarikat yang berusia 58 tahun itu, dikatakan mengkritik perbicaraan kes makhamah ketika Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan bapanya, Lee Kuan Yew, memberi keterangan berhubung kes memfitnah yang mereka kemukakan terhadap sebuah parti lawan.

Nair, yang pernah menjadi peguam di Singapura, didakwa menghina Hakim Belinda Ang Saw Ean dengan berkata hakim itu, "melacurkan dirinya sepanjang perbicaraan itu berlangsung", dengan menjadi pekerja kepada LKY dan anaknya dengan melaksanakan arahan mereka, kata dokumen mahkamah.


(Renungan Rimau: Perlu jadi pengajaran kepada saya. Kalau kena masuk mahkamah, dahlah kurang duit, pasti teraba-raba. Ingatlah. Tetapi berani kerana benar. Mungkin ada orang kaya yang boleh bantu ketika kita dalam kesusahan. Sediakan peguam. Ada ke?).

Monday, June 16, 2008

TIADA KETERBUKAAN DALAM MEDIA?

PUTARAN ALAM. Bagi Tun Dr Mahathir Mohamad, KETERBUKAAN MEDIA sekarang hanyalah sekadar satu kenyataan yang sering diputar-putarkan oleh doktor putar yang dipilih oleh Perdana Menteri sekarang.

Beliau mempersoalkan bagaimana Kerterbukaan Media ini, yang seharusnya memberi kelebihan kepada Perdana Menteri, tidak diterima oleh rakyat yang menolak kepemimpinan sekarang pada PRU lalu. Ini terbukti dengan kehilangan lima negeri dan WP pada PRU12. Beliau menegaskan media sekarang sebenarnya "tidak terbuka" sebaliknya banyak memberi ruang kepada Paklah.

THE BIG DAY PADA 16 SEPTEMBER NI?

JADI KE TAK? Sebut Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar), mungkin tidak ramai yang mengenalinya. Tetapi inilah pemimpin muda yang dikatakan sedang menaiki tangga kepemimpinan PKR.

Beliau ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor dan ADUN Seri Setia. Menganggotai PKR sejak tahun 2005, beliau kini Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia dan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Kelana Jaya.

Ejen kenit memberitahu saya, Nik Nazmi dalam pertemuan dengan rakan-rakan rapatnya baru-baru ini meminta mereka bersiap sedia untuk meraikan "THE BIG DAY" bagi PKR di mana parti itu akan menubuhkan kerajaan baru. Antara rakan rapatnya sekarang adalah anak muda yang bekerja di Khazanah Nasional (KN).

Mungkin orang kuat KN, Tan Sri Azman Mokhtar (Amokh), mengetahui perkembangan ini. Yang mana satu? The Big Day ke, atau anak buahnya orang kuat PKR?

JANGAN BIARKAN ANAK MATI KELAPARAN

TOLONG MELAYU. Seorang profesor komunikasi Universiti Sains Malaysia hari ini meminta GLC tidak mengetepikan SYARIKAT PENGIKLANAN BUMIPUTERA .

Baginya, GLC mempunyai peranan membantu syarikat Bumiputera. Beliau meminta kerajaan menerusi agensi berwajib membuat audit pendapatan iklan dan segera menubuh Majlis Iklan Negara dan menggubal Dasar Pengiklanan Negara semoga ketempangan dan dilema agensi iklan Melayu ditangani dengan saksama lagi profesional.

"Tiada apa yang boleh membantu kita selain pribumi - sebuah persatuan agensi iklan Bumiputera diperkasakan. GLC mesti mengutamakan syarikat Bumiputera dalam kerja promosi dan kempen bersepadu mereka tanpa ragu.

Kita tidak mahu, hasil bumi negara diraih dan diperah oleh syarikat asing yang pasti tidak dapat membantu modal insan Bumiputera sekali gus memperkasakan jati diri anak bangsa. Kita tidak mahu dinafikan hak kerana jihad ekonomi dikesampingkan dan jihad lain diutamakan.

Jika Indonesia mewajibkan pembikinan tempatan dalam hal ehwal iklan dan pemasaran, kenapa kita masih dibelenggu fobia dan penjajahan minda yang amat terpesong. Kita tidak mahu, `kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan'. Maka, baliklah ke pangkal jalan dan Majlis Iklan Negara segera ditubuhkan."


(Renungan Rimau : Kisah ini mengingatkan saya kepada keluarga yang mempunyai anak nakal yang suka menyakat dan menyakitkan hati adik-beradik lain. Apabila bapa tidak memerhatinya, anak nakal ini akan mengacau dan menganggu ketenteraman anak yang lain. Anak ini perlu diajar dengan budaya yang baik. Jika perlu menggunakan rotan, segerakan agar bapa tidak menyesal satu hari nanti. Pertumbuhan minda anak lain pun perlu dijaga agar mereka tidak lemah longlai atau menjadi pendendam. Itulah sikap bapa yang baik. Melainkan bapa mahu menjahanamkan masa depan anak-anak mereka).

Sunday, June 15, 2008

SEMUA MENTERI PERLU BERSUARA

Selain PM dan TPM, saya melihat beberapa Menteri saja yang banyak bercakap mengenai tindakan kerajaan menaikkan harga minyak ini terutamanya TS Nor Yakcop, Datuk Shahrir Samad dan Dato' Ahmad Shabery Chik. Mungkin yang lain ada, tetapi kurang disiarkan dalam media cetak atau media elektronik.

Menteri yang "bersuara" ini gigih untuk menerangkan apa yang kerajaan lakukan sekarang termasuk mengambil pelbagai kisah, cerita dulu-dulu, kepentingan perlaksanaan dasar itu dan maklumat baru untuk pengetahuan rakyat. Kegigihan mereka mungkin kerana isu kenaikan berkenaan ada kaitan dengan kementerian mereka atau sememangnya fungsi kementerian Menteri itu untuk memberi penerangan.

TS Nor banyak memberi penerangan mengenai kedudukan kewangan negara dan kos pemberian subsidi minyak itu.

Sebagai MPDN&HEP, Datuk Shahrir tentulah kena membuat banyak penerangan dan penjelasan. Ini sudah dilakukannya dengan baik termasuk beberapa kali menjadi tetamu program bualbicara televisyen. Beliau juga pernah "berdebat" dengan Ketua Pemuda PAS, Sdr Mohd Sallehuddin Ayob, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian. Kini, segala maklumatnya pasti berada di hujung jari. Datuk Shahrir juga dibelasah dengan kenyataannya bahawa harga minyak akan dinaikkan pada Ogos depan. Tetapi kata beliau, itu pandangannya dan bukan pandangan Kabinet Malaysia. Yang lain kini sudah jadi sejarah.

Begitu juga, Dato' Ahmad Shabery yang banyak muncul di RTM dan BTV yang bolehlah diibaratkan semua maklumat berada dalam otaknya. Beliau juga banyak ditemuramah oleh media cetak seperti The Star. Tidak hairanlah apa soalan yang dikemukakan boleh dijawab dengan baik dan teratur. Kisah-kisah yang dibawanya juga relevan dengan perkembangan sekarang termasuk putaran kemelut ekonomi iaitu 10 tahun sekali dan kedudukan negara sebagai pengeluar minyak yang kecil. Penjelasannya memudahkan rakyat negara ini yang kini "berangin" memahami keadaan sebenar sekarang.

Namun, dari pemerhatian saya, apabila seseorang Menteri itu "bersuara", apa yang terkeluar daripada mulut mereka perlulah bernas dan baik seperti yang diutarakan oleh Menteri-Menteri yang disebutkan sebelum ini. Ini penting agar mereka dapat memberikan penjelasan yang baik dan tidak mengelirukan rakyat.

Yang paling parah ialah apabila maklumat yang disampaikan salah dan pasti memalukan kerajaan. Mesti buat betul-betul. Menteri mesti bijak bistari.

Saturday, June 14, 2008

ORANG MONCINO JADI BLOGGER

Oghang Moncino sudah jadi BLOGGER .

Pasti "cilin" berbangga dengan oghang Moncino.

A Famosa tu logo sokolah se.

Apapun, selamat menulis.

RAMAI YANG TERSENYUM PUAS HATI

Seorang lelaki tersenyum lebar selepas keluar dari pejabat pos. Apakan tidaknya kerana beliau gembira mendapat RM1,250(RM625 X 2) hasil tuntutan rebat dua buah keretanya hari ini.

Seorang lelaki marah-marah dan menjerit kerana sistem komputer tidak berfungsi selama 15 minit dan tersenyum selepas urusan mendapatkan rebat itu selesai. Mungkin beliau menyesal menjerit-jerit tidak tentu arah kepada kakitangan pejabat pos dan orang ramai. Tidak eloklah buat begitu.

Seorang pelanggan pos pula marah-marah kerana terpaksa menunggu lama kerana nombor gilirannya itu sama dengan nombor mereka yang membuat tuntutan rebat. Beliau bukan mahu menuntut rebat tetapi mahu memperbaharui cukai jalan. Apa? Buat hari ini? Memanglah mencari nahas kerana berebut-rebut dengan orang tuntut rebat. Pilihlah hari lain.

Inilah antara peristiwa yang diceritakan oleh teman-teman yang turut membuat tuntutan rebat hari ini.

Saya menonton Buletin Utama TV3 jam 8 malam yang menyiarkan dua kategori berita mengenai tuntutan rebat hari ini - yang lancar dan yang bermasalah. Ia turut memaparkan pejabat pos diserbu orang ramai sejak dari pagi lagi.

Pertama ialah kelancaran urusan tuntutan rebat itu terutama di pejabat pos di Selangor dan Wilayah Persekutuan. Menteri bertanggungjawab, Datuk Shaziman Mansor, turun padang untuk menyaksikan perjalanan agensi di bawah seliannya.

Kedua ialah masalah yang dihadapi oleh orang ramai mengenai urusan hari ini kerana mereka tidak faham dengan apa yang sepatutnya dilakukan. Antaranya mereka marah tidak dapat menuntut rebat itu kerana sistem komputer tidak membenarkan. Mereka marah-marah terutama selepas terpaksa beratur dua jam.

Apa yang mereka tidak faham ialah sistem yang digunakan oleh Pos Malaysia adalah sistem terus daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Jika kita sangkut kat JPJ, maka kita tidak boleh membuat tuntutan rebat. Itu saja.

Ada juga yang mencadangkan lebih banyak kerusi disediakan dan ada juga yang mencadangkan barisan untuk orang tua dan orang mengandung. Macam-macam yang diminta dan eloklah Pos Malaysia fikir-fikirkan, jika mampu untuk membuatnya.

Apapun, bagi yang tersenyum hari ini, gunakanlah wang rebat itu dengan cermat. Jangan boros kerana tuntutan rebat ini sekali setahun saja. Hendak menunggu tahun depan, agak lama juga.

Tetapi sekarang orang tidak kata dua atau tiga tahun tetapi menggunakan dua kali raya atau tiga kali raya. Rasa macam cepat je jika disebutkan menyambut raya. Apakan tidaknya, September ini, umat Islam mula berpuasa dan Oktober dah pun raya. Simpanlah duit tu untuk raya. Terpulanglah.

Friday, June 13, 2008

STEADYLAH. TAKYAH BEREBUT-REBUT.

Saya boleh bayangkan bagaimana keadaan di PEJABAT POS esok dengan orang ramai berpusu-pusu untuk mendapatkan rebat mereka.

Bagi saya, tidak payahlah berebut-rebut jika kedudukan kewangan kita masih stabil kerana jika semua menyerbu pejabat pos, sudah pasti wujudnya kesesakan.

Tidak lari gunung dikejar melainkan jika kita tiada gunung atau bukit untuk dikejar. Jika ada lima kenderaan, perlu mengisi borang setiap kenderaan berasingan. Kalau satu, tunjuk mykad atau kad pengenalan dan isi satu borang saja. Mudahkan.

Semua pejabat akan beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Sabtu kecuali di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

PERJELASKAN KEPADA RAKYAT

Oleh IBRAHIM YAHAYA
(Artikel dalam Utusan Malaysia)


APAKAH peranan serta tanggungjawab media dan agensi penerangan ketika negara menghadapi kemelut kenaikan harga minyak ini? Sudah tentu mereka perlu bekerja lebih keras dalam membuat penjelasan kepada rakyat. Mereka perlu menjelaskan apakah sebenar yang berlaku sekarang sehingga kerajaan terpaksa menaikkan harga minyak dan menstrukturkan semula subsidi seperti yang diumumkan pada 4 Jun lalu.

Perkara pertama yang perlu dijelaskan ialah dasar kerajaan tidak berubah dari segi pemberian subsidi cuma jumlahnya saja yang berkurangan. Kerajaan juga prihatin dengan masalah rakyat yang menyaksikan tiada penghapusan sebaliknya memberikan rebat yang akan dinikmati terus oleh golongan yang memerlukan.

Pemberian subsidi minyak dan keperluan lain termasuk pertanian dan kesihatan kini hampir mencecah RM56 bilion. Ia angka yang besar dan bertambah dari semasa ke semasa berikutan kenaikan harga minyak dunia yang kini mencecah AS$138 setong. Kenaikan empat kali ganda sejak setahun lalu menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan penstrukturan semula subsidi bagi mengelakkan negara menghadapi masalah kewangan pada masa akan datang.

Untuk itu, petugas media dan agensi penerangan sendiri harus yakin dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang bagi memudahkan mereka membuat penjelasan. Ini penting kerana jika mereka sendiri tidak yakin apa yang dilakukan kerajaan, bagaimana mereka boleh menerangkan dengan sejelas-jelasnya. Mereka perlu banyak membaca dan mendengar penjelasan kerajaan terutama Perdana Menteri dan Timbalannya mengenai objektif tindakan menaikkan harga petrol dan diesel serta memperkenalkan mekanisme struktur subsidi baru.

Mereka juga perlu mencari maklumat lain untuk memperkuatkan hujah terutama mengenai kedudukan harga minyak di negara pengeluar minyak di seluruh dunia. Ini termasuk di Asia Barat dan Amerika Latin.

Perkara kedua yang perlu dijelaskan ialah asas kepada tindakan kerajaan menaikkan harga minyak dan menstrukturkan semula subsidi. Ia bermatlamat untuk memastikan wang negara sentiasa ada untuk kegunaan masa akan datang. Dalam erti kata lain negara perlu mempunyai simpanan kewangan kukuh untuk menghadapi kemelut ekonomi yang akan datang. Pusingan kemelut ekonomi ini datang dalam lingkungan sepuluh tahun dan tanpa persediaan dari segi simpanan kewangan, ia akan mendatangkan masalah besar.

Kemelut ekonomi kali ini dalam bentuk kenaikan harga minyak dunia benar-benar menguji kekukuhan kewangan negara. Jika kerajaan menggunakan segala wang hanya untuk menampung subsidi minyak yang bertambah, sudah tentu kantung kewangan akan berkurangan malah habis untuk terus bergerak.

Oleh itu, perlu difikirkan mekanisme yang terbaik untuk mengelakkan kantung wang habis tetapi meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Langkah menaikkan harga minyak adalah untuk mengelakkan kos penyaluran subsidi terlalu tinggi manakala mekanisme subsidi baru yang diumumkan adalah langkah untuk menjayakan rancangan ini. Ia perlu dilihat sebagai "langkah terpaksa" dan bukan untuk suka-suka untuk menyusahkan rakyat. Keputusan itu sudah tentu tidak popular tetapi dilaksanakan juga demi kepentingan rakyat dan negara. Bagi sesetengah pihak, kemelut ekonomi ini turut memberi peluang kepada kerajaan untuk menilai semula struktur pemberian subsidi sekarang.

Media dan agensi penerangan boleh menggunakan ajaran dan kisah-kisah yang memaparkan kepentingan berjimat cermat dalam setiap ajaran agama. Dalam Islam, mereka boleh menggunakan kisah Nabi Yusof AS yang menterjemahkan mimpi Raja Mesir berkaitan tujuh lembu gemuk dan tujuh lembu kurus. Nabi Yusof AS mengaitkan mimpi itu mengenai keperluan negara untuk berjimat cermat ketika zaman mewah bagi menghadapi zaman meleset yang digambarkan oleh tujuh lembu kurus. Dengan ada usaha berjimat cermat ini, maka sesebuah negara mampu menghadapi kemelut ekonomi dan kewangan dalam keadaan yang lebih teratur dan menyakinkan.

Selama ini, subsidi minyak memberikan keuntungan kepada semua pihak bukan golongan tertentu saja. Malah ia turut dinikmati oleh rakyat asing di sempadan. Rakyat Malaysia yang mempunyai banyak kenderaan pasti menikmati kelebihan subsidi ini. Mereka yang mempunyai kenderaan mewah turut menikmati harga minyak yang murah kerana kos pembelian minyak mereka tidak begitu tinggi.

Bagaimanapun, bagi mereka yang memiliki sebuah motosikal atau kereta, walaupun mereka menikmati subsidi itu tetapi "nisbah keuntungan itu" mungkin tidak sama dengan individu yang mempunyai banyak kenderaan dan kereta mewah. Secara bandingan, kenaikan harga minyak ini sepatutnya lebih dirasai oleh golongan berpendapatan tinggi yang pasti "tidak terasa sangat" kerana mereka mempunyai wang untuk membeli bahan bakar itu berbanding golongan miskin.

Pengenalan mekanisme subsidi baru ini memperlihatkan usaha memberi subsidi diberikan terus kepada golongan yang benar-benar memerlukannya menerusi pemberian rebat RM625 untuk pemilik kenderaan di bawah 2000 cc dan RM150 bagi motosikal untuk setahun. Mereka boleh mendapatkan rebat itu apabila mendaftar semula geran kereta di pejabat pos di seluruh negara mulai 14 Jun.

Perkara ketiga yang perlu dibuat ialah jawapan kepada segala tuduhan dan tohmahan oleh pihak tertentu terhadap apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang. Media dan agensi penerangan perlu mencari maklumat yang disebarkan dan berusaha untuk menangkisnya dengan menyiarkan maklumat untuk menjelaskan keadaan sebenar. Tuduhan ini, jika tidak dijawab akan dianggap benar oleh rakyat dan ini boleh mengelirukan mereka. Jika rakyat terkeliru ditambah pula terpaksa menanggung beban kenaikan harga minyak itu, sudah tentu mereka akan "naik angin" dengan kenaikan harga minyak itu.

Jika rakyat di peringkat bawahan mengadakan demonstrasi akibat kegagalan media dan agensi penerangan memainkan peranan mereka, ia satu isyarat bahawa sesuatu yang lebih buruk akan berlaku kepada negara ini terutama dari segi ketenteraman awam.

Antara perkara yang perlu dijelaskan termasuklah dari segi keuntungan Petronas dan jumlah pemberian subsidi syarikat petroleum negara itu kepada kerajaan. Selain itu, kos perbelanjaan Petronas dalam mencari gali di laut berbanding kos yang lebih kecil oleh negara pengeluar yang mendapatkan minyak mereka di darat.

Media dan agensi penerangan perlu juga mencari maklumat untuk menjelaskan laporan yang mengatakan kenaikan harga minyak negara lebih tinggi daripada negara-negara lain termasuk negara jiran seperti Singapura. Laporan yang ditonjolkan oleh media pembangkang dan penulis blog mengenai perkara itu akan menyakinkan rakyat jika tiada jawapan dan usaha untuk menangkisnya. Kini, terpulanglah kepada media dan agensi penerangan untuk menjelaskan sebaliknya. Sudah tentu mereka boleh mendapatkan hujah-hujah untuk menangkis laporan seumpama itu.

DS SHAHIDAN SEORANG BLOGGER




Datuk Seri Shahidan Kassim kini seorang blogger.

Beliau menggelarkan dirinya HARIMAU UMNO .

Maklumat daripada blog Sdr Zainal Kassim .

Selamat menulis.

Thursday, June 12, 2008

SIAPA ADA RM150 JUTA?

HIBA. Saya membaca berita mengenai MAYBANK yang akan menjadi bank super, dengan perasaan bangga dan hiba.

Bangga kerana Maybank, yang rakyat negara ini selalu menggunakan perkhidmatannya akan menjadi Bank Super seperti Stanchart. Bagaimanapun, saya hiba kerana nasib yang melanda seorang sahabat di mana permohonan pinjamannya berjumlah RM150 juta ditolak baru-baru ini. Banyak sangat ke? Lembaga Pengarah Maybank menolak permohonan usahawan Melayu yang menyediakan perkhidmatan kepada penerokaan minyak di dasar laut.

Adakah penolakan itu kerana beliau masih baru dalam bidang ini? Atau dalam iklan seorang insan dalam televisyen sebelum ini yang berkata, "tak percaya ka?".

Kesedihan itu berdasarkan walaupun pasukan yang meneliti permohonannya itu telah memberikan sokongan penuh kepada permohonan pinjaman berkenaan tetapi lembaga pengarahnya menolaknya dengan alasan mereka sendiri. Saya menghormati apa alasannya tetapi saya sedih.

Mendengar keluhan sahabat itu, teringat seorang teman pernah memberitahu saya apa yang didengar perbualan antara TDM dan Pengerusi Maybank dalam satu majlis. Ketika itu, Pengerusi berkenaan menjelaskan bahawa Maybank hanya memberikan pinjaman kepada syarikat yang mempunyai track record cemerlang dan sumber kewangan kukuh.

TDM menjawab lebih kurang begini, "jika itu yang diamalkan oleh Maybank, tidak ramailah usahawan Melayu akan berjaya memperkembangkan perniagaan mereka di peringkat antarabangsa walaupun peluang terbentang di depan mata".

Kawan saya ditawarkan untuk membeli syarikat yang bergiat secara langsung dalam menyediakan perkhidmatan kepada syarikat penerokaan minyak di dasar laut. Walaupun ramai pihak di seluruh dunia berminat membelinya tetapi pemilik syarikat berkenaan mahu menjual kepada kawan saya. Inilah nasib bangsa Melayu untuk mendapat pinjaman.

Siapa yang boleh tolong? Tan Sri Mohd Nor Yusof? Ampun Tuanku, Sultan Brunei?

MENCARI BERKAT DALAM BERNIAGA

Saya tertarik membaca berita dalam Utusan Malaysia mengenai seorang PENIAGA yang menjual apa saja makanan di gerainya pada harga RM2. Bagi sesetengah pihak, mungkin merasakan beliau boleh menjual murah kerana bahan-bahan masakannya boleh dibeli daripada nelayan atau pasar tani berdekatan.

Isunya di sini ialah bagaimana peniaga itu boleh menjual pada harga yang murah dalam keadaan rakyat sibuk memperkatakan kenaikan harga minyak dan harga barang.

Adakah peniaga itu tidak terjejas dengan kenaikan harga minyak atau harga barang? Ataupun, beliau mempunyai faktor lain seperti keberkatan yang mendorong hati beliau terus menjual makanan pada harga RM2 termasuk minuman. Jika berkat yang dicari, sudah tentu berkat yang diperolehi. Jika keuntungan dikejar, sudah tentu keuntunganlah yang akan diperolehi berlipat ganda.

Saya berpendirian bahawa kedai makan yang menjual harga yang melampau dan tidak berpatutan dengan keenakan makanan yang dijual, akan dikunjungi hanya sekali saja. Jika kedai makan itu menjual pada harga yang tinggi sedikit berbanding tempat lain tetapi makanan dan perkhidmatan yang disediakan terbaik, maka selalulah saya mengunjunginya. Ini yang berlaku selama ini. Untunglah kedai yang baik.

Pemilik kedai makan perlu memastikan makanan, kedai makan dan pekerjanya mesti bersih sepanjang masa. Tidak guna buka kedai makan jika makanan dihurungi oleh lalat atau segala macam benda hidup. Tidak gunanya membuka restoran jika pekerjanya kelihatan kotor, tidak bersikat dan seperti orang baru bangun tidur.

Perkhidmatan mestilah terbaik dan janganlah biarlah pelanggan membuat kesilapan yang amat menyakitkan hati. Lain yang diminta, lain pula yang dapat. Apatah lagi ketika itu tengah kebuluran. Jika nasi lemak yang diminta, apa yang datang ialah nasi kerabu, maka ini menimbulkan rasa sakit hati kepada pelanggan.

Pekerja mesti mendengar apa yang diminta oleh pelanggan dengan baik dan jelas. Mereka perlu memahami apa yang diminta oleh pelanggan. Jika pelanggan mahu roti bakar tiada kaya, hanya mentega saja, itulah yang sepatutnya diberikan. Bukanlah kata,"oh.saya silap", "oh..saya terlupa" kerana jika berlaku sedemikian inilah dikatakan perkhidmatan yang menyakitkan hati.

Satu lagi, jika ingin mengambil pelaris bagi kedai makan, pemiliknya pilihlah pelaris yang baik dan manasabah. Janganlah pula menggunakan pelaris membabitkan "jin yang menjilat pinggan" atau "jin yang memuntahkan apa saja dalam periuk lauk". Pilihlah pelaris yang baik-baik jika ingin berbuat demikian. Bagi saya, tanpa pelaris jika makanan itu sedap, pelanggan akan datang sepanjang masa. Cuma mereka bolehlah berdoa kepada ALLAH SWT agar tiada pihak yang "membuat sesuatu" sehingga pelanggan tidak berselera atau nampak terlalu banyak "lipas" di kedai makan mereka.

(Nota: Berita PENIAGA budiman itu disiarkan oleh Warta Negeri RTM jam 5.10 petang tadi)

Wednesday, June 11, 2008

PERTUKARAN DALAM INDUSTRI MEDIA?

Berita Harian akan bersaiz tabloid macam Harian Metro? Betul ke? Sebelum ini, BH bersaiz broadsheet. Sebut betul-betul.

Rocky dalam blognya menyatakan Berita Harian akan dijual dalam bentuk tabloid pada minggu pertama Julai.

Apa alasannya? Saiz kecil mungkin mudah dipegang ketika membaca kot. Itupun kalau dibaca.

Dalam pada itu, ejen kenit memberitahu saya satu perubahan besar akan berlaku dalam industri media di negara ini.

Pertama, ia membabitkan Kumpulan NSTP. Ini dinyatakan oleh pemimpin tertinggi dalam satu pertemuan dengan Pengerusi Perhubungan UMNO baru-baru ini. Ada gesaan untuk berbuat demikian.

Kedua, Kumpulan Utusan juga akan berlaku pertukaran peringkat atasan dalam masa terdekat atau akhir tahun ini.

Siapakah yang akan terbabit?

LIMA TAHUN BUKANNYA LAMA

Lima tahun mungkin lama bagi sesetengah pihak tetapi bagi parti politik tempoh itu amat singkat jika mengambil kira keperluan untuk berhadapan dengan rakyat terutama pengundi.

Setelah menghadapi Pilihanraya Umum Keduabelas (PRU12) pada Mac 2008, parti politik akan terpaksa menghadapi rakyat pada 2012 atau 2013 bergantung kepada ilham Perdana Menteri dalam membubarkan Parlimen. Ketika itu, segala rekod dan episod kecemerlangan serta kelemahan akan dibentangkan untuk tatapan rakyat membuat pemilihan siapakah yang layak menjadi pemerintah untuk lima tahun lagi. Jika cemerlang, bolehlah bersenang lenang. Jika temberang parti politik pasti berpeluh di medan perang.

Walaupun pelbagai faktor diutarakan yang sebagai punca utama kepada senario keputusan PRU12, namun kita tidak boleh lari daripada memperkatakan mengenai asas kepada keputusan satu atau dua minit pengundi ketika PRU iaitu keperluan harian mereka. Dalam ertikata lain, siapa yang mereka pilih banyak bergantung kepada bagaimanakah parti pilihan itu dapat mengubah nasib untuk lima tahun akan datang. Dengan perkembangan terbaru dalam dunia sekarang termasuk kenaikan harga barang dari semasa ke semasa, sudah tentu “faktor perut” akan diutamakan ketika mengundi. Faktor perut inilah yang sebenarnya menentukan warna keputusan PRU12. Faktor lain hanyalah sebagai tambahan saja. Jika lemah pentadbiran menyebabkan faktor perut terjejas teruk, maka rakyat akan menolak parti yang menjadi kerajaan. Ini sudah terbukti.

Kajian sebuah universiti tempatan sebelum PRU12 memaparkan rakyat lebih mementingkan kepada keperluan harian mereka seperti kenaikan harga barang dan jumlah pendapatan yang diperolehi berbanding kos perbelanjaan. Ini bermakna jika mereka terpaksa menderita walaupun pelbagai janji diberikan untuk meringankan beban itu tidak kunjung tiba, pilihan terbaik ialah memilih parti yang berjanji membantu mereka untuk lima tahun akan datang. Janji tinggi melangit tetap disukai setidak-tidaknya dapat meringankan sedikit beban di kepala. Ketika pemikiran kusut , segala pegangan termasuk kesetiaan diketepikan dulu demi kepentingan perut dan kelangsungan hidup.

Oleh itu, tidak hairanlah dalam PRU12, setelah tindakan kerajaan menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen, maka Barisan Nasional (BN) terlepas lima buah negeri dan kekalahan besar di Wilayah Persekutuan. Apakah kenaikan harga minyak 78 sen seminggu lalu akan menyaksikan satu satu lagi tsunami politik pada PRU13? Hakikat ini perlu disedari oleh pemimpin BN jika mereka mahu terus berkuasa dan memenangi hati rakyat.

Ramai pihak yang menyatakan pengaruh internet dan media baru banyak memberi kesan kepada pola pengundian pengundi di kawasan bandar-bandar besar di seluruh negara. Hakikat ini tidak boleh dinafikan kerana ia saling berkait dengan faktor perut dan kelangsungan hidup.

Golongan yang tinggal di kawasan bandar inilah yang bukan saja banyak mendapat maklumat daripada internet dan media baru tetapi yang lebih penting lagi ialah mereka yang banyak menanggung beban dengan kenaikan harga minyak dan harga barang. Kebanyakan mereka memiliki sebuah rumah yang tiada tanah untuk bercucuk tanam. Ramai juga yang masih menyewa di flet atau pangsapuri kos rendah. Keperitan ini ditambah pula dengan pelbagai maklumat yang dilontarkan dalam media baru termasuk blog, membentuk pemikiran mereka bahawa sesuatu yang tidak kena dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang. Sama ada perkara itu betul atau sebaliknya tidak penting. Yang penting mereka telah merasakan kesengsaraan dan dihidangkan dengan alasan dalam media baru mengenai punca kesengsaraan mereka.

Antara yang dibaca dan ditelan oleh penduduk bandar ialah laporan yang disebarkan kononnya amalan rasuah semakin bersemarak terutama di kalangan keluarga pemimpin, nepotisme dan kronisme selain daripada kelemahan ketara kepemimpinan negara sekarang. Kebenaran lontaran pandangan dan kenyataan itu kini menjadi perkara kedua, tetapi yang utama mereka percaya dan yakin ia berlaku.

Apakah kemelut harga minyak dunia sekarang akan terus membebankan kerajaan? Apakah tindakan menaikkan minyak ini akan terus menghilangkan keyakinan rakyat kepada kerajaan? Apakah rakyat akan melepaskan geram mereka sekali lagi pada PRU13? Semua jawapan itu bergantung apa yang dilakukan oleh kerajaan selepas ini dalam memastikan faktor perut dan kelangsungan hidup tidak membebankan rakyat peringkat bawah yang sentiasa mengira wang yang ada setiap masa untuk memastikan mulut ahli keluarga mampu disuapkan dengan rezeki halal.

Bagi saya, kenaikan gaji kakitangan awam oleh kerajaan sebenarnya tidak memberi sebarang makna jika harga barang tidak dikawal dan tidak mampu dikawal. Hakikatnya dalam pemerintahan kerajaan sebelum ini, faktor perut amat dijaga termasuk memastikan harga barang sentiasa berpatutan dan selari dengan pendapatan. Tanpa kenaikan gaji sekalipun, rakyat boleh hidup selesa jika terus menikmati harga minyak dan harga barang yang rendah.

Dalam pada itu, pengumuman langkah berjimat cermat kerajaan Isnin lalu perlu disambut baik oleh semua pihak kerana semangat yang ditunjukkan oleh Menteri Kabinet untuk bersama-sama dengan rakyat. Walaupun kecil, ia adalah simbol perjuangan bersama dalam menghadapi kemelut ekonomi dunia. Dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu meneliti semua cadangan yang mampu meringankan beban rakyat. Antaranya ialah mengurangkan kadar bayaran tol, menghapuskan cukai jalan, menghapuskan cukai perkhidmatan dan cukai kerajaan di restoran. Buatlah yang terbaik.

Tuesday, June 10, 2008

PANTUN UNTUK PEMUDA UMNO


(Gambar oleh Agenda Daily)

Tengahari tadi saya menghadiri Sembang Media di PWTC yang dianjurkan oleh Sekretariat Perhubungan Media Pemuda UMNO yang dipengerusikan oleh Datuk Sazmi Miah.

Sebagai orang Melaka, saya lebih suka berpantun agar nasihat atau teguran ini disampaikan cara lama kepada Pemuda UMNO. Pantun ini juga sekadar menyahut saranan Datuk Sazmi untuk memberi pandangan.

Muatan sarat papan lapis
Kapal Inderapura bersalut gangsa
Pemuda UMNO barisan pelapis
Berani bersuara demi bangsa

Lepaskan lelah di Pekan Bera
Makan sate bersulamkan nira
Pemuda UMNO perlu bersuara
Nusa bangsa terus terpelihara

Hujan lebat sesekali halilintar
Perlu berhenti menunggu surut
Pemuda UMNO jangan gentar
Nanti kelak digelar pengecut

Air surut menjelang petang
Sauh naik kapal meluncur
Pemuda UMNO mesti lantang
Panas membara tidak melecur

Berbaju Melayu siap bersampin
Nakhoda kapal kemas rapi
Pemuda UMNO hormat pemimpin
Jika lemah ditolak tepi

Kelasi muda hebat terbilang
Teguh menyokong suara sekata
Pemuda UMNO terus berjuang
Demi kepentingan Alif, Ba Ta


(DIY memberi pandangan. Gambar oleh JINGGO)

(Renungan Rimau: Saya juga mahu Pemuda UMNO menjadi halia yang pedas, pijar dan jika diratah mentah-mentah boleh menghilangkan angin di seluruh badan dan bukan sekadar menjadi kunyit untuk mewarnakan kuah dan menghilangkan hanyir bau ikan atau ayam. Pemuda UMNO perlu berani dan lantang bersuara seperti zaman doulu doulu)

Monday, June 9, 2008

ELAUN KERAIAN MENTERI DIPOTONG

Mulai 1 Julai ini, elaun keraian Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet akan dipotong sepuluh peratus.

Menteri Kabinet juga dilarang bercuti di luar negara kecuali di negara Asean. Cuti mereka juga tidak lebih daripada seminggu.

Perkara itu diumumkan oleh Paklah dalam satu sidang media petang ini.

Bagi lawatan ke luar negara oleh Menteri Kabinet, ia dihadkan kepada persidangan antarabangsa yang penting saja. Menteri dibenarkan membawa tiga pegawai manakala Timbalan Menteri pula dua orang pegawai saja.

Ini antara langkah untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan. Butir terperinci akan diumumkan seminggu lagi.

Perkara itu dilaporkan sebagai berita pertama dalam Warta Perdana RTM dan berita kelima oleh Buletin Utama TV3, sebentar tadi.

MELAKA TUAN RUMAH SUKMA 2010

Malam ini, Sukma 2008 di Terengganu akan melabuhkan tirainya. Upacara itu yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri akan diadakan di Stadium Sultan Zainal Abidin di Gong Badak, Terengganu. RTM akan menyiarkan siaran langsung majlis berkenaan.

Sejak 31 Mei lalu hingga malam ini, altet seluruh negara telah berkampung di Terengganu untuk menyertai Sukma 2008. Pelbagai peristiwa dan kenangan manis altet dari seluruh negara bertanding dan berjuang untuk mengutip kilauan pingat.

Akhirnya, tuanrumah Terengganu muncul juara dengan 61 emas, 39 perak dan 47 gangsa (147 pingat) diikuti Selangor (54 emas) dan Sarawak (52 emas).

Dua tahun lagi, Melaka akan menjadi tuan rumah. Saksikan Persembahan Selamat Datang daripada Kerajaan Negeri Melaka malam ini sempena majlis penutup Sukma 2008.

Apapun inilah pantun dari Melaka.

Kapal dagang dari seberang
Sarat muatan kayu meranti
Dari seluruh negara rakyat datang
Rakyat Melaka sedia menanti

ELOKLAH IZINKAN KEGIATAN AGAMA

Saya mengikuti perkembangan Datuk Dr Hassan Ali, yang mahu menjadi penceramah agama, motivator dan ahli perniagaan. Semua ingin dilakukan sekaligus. Mungkin semuanya menguntungkan kepada beliau. Menjadi penceramah dan motivator mempopularkan beliau. Itu sebabnya Kerajaan Selangor satu masa dulu memberi sebidang tanah untuk aktiviti kursus bina semangat. Khabarnya perniagaannya laku sehinggalah beliau membuat sesuatu yang tidak disukai oleh pemimpin tertentu negeri berkenaan.

Kini, Dr Hassan menjadi EXCO Agama di bawah kerajaan PKR di Selangor. Baru-baru ini, beliau mengumumkan tidak mahu mengizinkan kegiatan Islam Hadhari di negeri berkenaan. Maka media pun melaporkan bahawa PKR Mengharamkan Islam Hadhari di Selangor. Mendengar berita itu, Kerajaan Pulau Pinang turut sama mengharamkan Islam Hadhari di Pulau Pinang. Nasib baik tidak mengharamkan Islam.

Malam tadi, dalam Buletin Utama TV3, Menteri Dijabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa Dr Hassan tidak pernah mengharamkan Islam Hadhari di Selangor. Penjelasan EXCO berkenaan dibuat dalam mesyuarat EXCO Agama yang diadakan baru-baru ini. Dr Hassan bukan mengharamkan tetapi tidak mengizinkan aktiviti Islam Hadhari. TV3 turut menunjukkan ucapannya semula mengenai pengumuman tidak mengizinkan Islam Hadhari di Selangor.

Apa pun, pi mai pi mai tang tu jugak Pak Hassan.

Sunday, June 8, 2008

MENTERI KABINET MAHU BERKORBAN?

Seorang pembaca blog saya, Mat Terab, dalam memberi komennya mengenai kenaikan harga minyak antara lain mahu Menteri-Menteri Kabinet yang membuat dasar kenaikan harga bahan bakar itu, merasai penderitaan rakyat di bawah. Saya yakin apa yang dimaksudkan itu ialah Menteri tidak akan menjadi miskin seperti rakyat di bawah tetapi setidak-tidaknya "merasai" penderitaan mereka.

Beliau menulis, "Ayat yang kita selalu kita dengar apabila kerajaan menaikkan harga minyak ialah ia tidak menbebankan rakyat, ia masih murah berbanding dengan negara-negara lain, kerana kerajaan tidak mampu menanggung beben subsidi yang terlalu tinggi, kerana pengurangan subsidi dapat digunakan untuk mebuat pembangunan negara atau meningkatan sistem pengankutan awam....ayat-ayat ini lah yang selalu di dendangkan oleh kerajaan tapi yang nyata rakyat tetap terbeben, tambahan pula dengan kenaikan harga beras yang melambung...apabila kerajaan menaikan harga minyak tidak dapat tidak akan berlakulah kenaikan harga barangan lain seperti, gula, milo, susu, tepung, minyak masak, ayam, ikan ,sayur-sayuran dan berbagai-bagai lagi barangan lain, dan tadak dapat di elak juga akan berlaku kenaikan tambang bas sekolah, teksi dan pengankutan lain yang menggunakan petrol dan disel, apabila semua kaadaan ini berlaku yang bertambah parah adalah rakyat bawahan...sudah tentulah kaadaan ini tidak akan membebankan golongan seperti menter-menteri dan kuncu-kuncunya yang menbuat dasar ini kerana mereka tidak mengeluarkan belanja sesenpun kerana semuanya free walaupun makan di hotel 5 bintang atau pergi shooping ke luar negara semuanya free rakyat yang bayar.... namun demikian kesan ini akan juga turut di rasai oleh orang umno juga dan bukan orang umno, walaupun yang membuat dasar harga minyak adalah menteri-menteri umno....harap orang umno sedarlah...."

Saya yakin Paklah dan Menteri Kabinetnya telah mengetahui apa yang disuarakan sejak pengumuman kenaikan harga minyak yang diumumkan Rabu lalu. Menteri Kabinet yang terdiri daripada pelbagai bangsa yang menjadi pemimpin parti pelbagai bangsa pasti akan menunjukkan kesediaan mereka untuk bersama-sama rakyat dalam menghadapi kemelut ini. Jika mereka tidak "merasai keperitan itu", setidak-tidaknya menunjukkan sikap bertanggungjawab terhadap dasar yang dilaksanakan.

Saya mendapat tahu daripada ejen kenit bahawa Paklah akan mengumumkan dasar berjimat-cermat kerajaan esok yang membabitkan semua Menteri Kabinet. Apakah Paklah akan memotong elaun Menteri Kabinet? Apakah tiada lagi rombongan ke luar negara bagi Menteri Kabinet? Atau tiada lagi majlis keraian besar-besaran untuk menyambut Menteri. Sama-samalah kita tunggu apakah "pengorbanan" Menteri Kabinet.

PAKLAH TAK MAHU JADI POPULAR?

Malam tadi saya dan rakan-rakan bersembang panjang mengenai kenaikan harga minyak. Pelbagai pandangan dan cadangan diberikan termasuk daripada seorang pemimpin muda UMNO. Namun yang paling menarik ialah mengenai "tindakan berani mati" kerajaan pimpinan Paklah menaikkan harga minyak.

Perkara pertama selepas pengumuman Rabu lalu, kita dapat lihat di media baru terutama blog, media pembangkang dan media tabloid persendirian, bahawa Paklah orang yang paling banyak dicaci, disumpah, dimaki dan diberikan pelbagai gelaran kerana tindakan kerajaan menaikkan harga minyak. Alasan yang diberikan ialah Paklah sebagai Perdana Menteri bertanggungjawab dalam tindakan kerajaan menaikkan harga minyak.

Namun, ada kawan yang mempertahankan Paklah dengan mengatakan mengapa Perdana Menteri seorang saja yang dimarahi sedangkan yang membuat keputusan ialah Kabinet beliau. Seorang kawan lagi menyampuk bahawa oleh kerana Paklah ketua, maka beliaulah perlu dimarahi rakyat. Adakah ini adil? Seorang rakan lagi menegaskan takkan Paklah seorang yang membuat keputusan sedangkan semua pihak termasuk pemimpin Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak dan Iban yang menganggotai Kabinet boleh menentang dan memberi pandangan mereka. Sudah tentu mereka menyuarakan pandangan demi kepentingan negara dan rakyat.

Apa pun bagi saya, sudah tentu kenaikan harga minyak ini dibincangkan dengan panjang lebar sebelum keputusan mengenainya dibuat. Saya sendiri terkedu dengan pengumuman ini ketika berada di Kota Bahru, Kelantan. Datuk Shahir Samad pernah berkata kemungkinan harga minyak akan naik Ogos ini tetapi Kabinet pada Rabu lalu mahukan ia dinaikkan segera. Apakah alasannya, hanya Kabinet saja yang tahu. Tetapi kita boleh juga memahami mengenai tindakan itu jika meneliti jawapan yang diberikan.

Kedua ialah mengapa kerajaan tidak menghapuskan terus subsidi minyak dan terus memberi subsidi yang jumlahnya mungkin meningkat dari minggu ke minggu berikutan kenaikan harga minyak dunia yang mendadak. Semalam saja sudah mencapai AS$136 setong dan saya tidak hairan ia akan mencecah AS$200 akhir tahun ini melainkan ada sesuatu perkara yang tidak diduga. Apakah dengan meninggalkan sedikit pembayaran subsidi ini menunjukkan kerajaan masih prihatin terhadap nasib rakyat? Adakah Paklah mahu teruskan dasar kerajaan terdahulu untuk memberi subsidi walaupun ia sedikit?

Bagi pakar ekonomi, pemberian subsidi ini adalah satu dasar yang paling merugikan kerajaan walaupun ia menggembirakan rakyat. Ia tidak pernah dibuat sebegitu lama sehingga mencecah lebih 50 tahun. Tetapi itulah yang dilakukan oleh kerajaan selama ini dan kini kerajaan terpaksa menanggung kos subsidi mencecah RM56 bilion. Sudah tentu rakyat yang selama ini menikmati subsidi akan marah apabila ia dikurangkan.

Ketiga, mengapa Paklah memberikan "hadiah" lain selepas harga minyak dinaikkan? Apakah dengan pemberian hadiah itu rakyat akan merasa reda dan tidak terlalu marah sangat dengan tindakan menaikkan harga minyak? Jawapannya sudah terjawab dengan pelbagai pihak merasakan bahawa hadiah itu adalah kecil berbanding kenaikan harga minyak. Bagaimanapun, seorang kawan berkata hadiah itu kini diberikan terus kepada golongan yang memerlukan seperti juga mereka mendapat subsidi. Tetapi ada yang menyampuk bahawa jumlah itu terlalu kecil ibarat "melepaskan batuk ditangga".

Bagi kawan yang menjadi anggota UMNO, beliau mempertahankan pemberian itu kerana menurutnya dalam Program Bualbicara RTM, Datuk Shahrir ada menyebut mekanisme pemberian subsidi itu akan diperbaiki dari semasa ke semasa. Ini bermakna mekanisme ini belum kemas lagi. Perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Apakah ini bermakna jumlah hadiah atau ganjaran itu akan dinaikkan lagi? Jika benar, ia sudah tentu berita yang menggembirakan yang akan mengurangkan sedikit beban pengguna.

Keempat ialah mengapa Paklah mengumumkan kenaikan harga minyak ini jika beliau sendiri mengaku bahawa proses peralihan kuasa akan berlaku. Seorang kawan memberi pandangan bahawa Paklah tidak perlu menaikkan harga minyak sekarang dan menggunakan segala wang yang ada untuk menampung masalah ini, jika beliau ingin jadi popular. Tetapi beliau rela dimaki atau disumpah dan tidak terus jadi popular dengan membuat tindakan drastik ini. Ada kawan yang menyebut kenaikan ini tidak sejajar dengan janji BN dulu yang mengatakan harga minyak tidak akan dinaikkan. Namun, ada kawan yang menyampuk bahawa dasar itu hanya untuk satu tahun saja. Selepas itu, sudah pasti kerajaan akan menaikkannya, jika tidak kos subsidinya akan meningkat.

Kawan, seorang pemimpin muda UMNO menegaskan Paklah bukan tidak mahu popular tetapi lebih kepada sikap bertanggungjawabnya sebagai pemimpin sekarang untuk memperbetulkan keadaan. Jika kantung negara habis kerana terlalu banyak memberi subsidi, sesuatu perlu dilakukan. Dalam ertikata lain, Paklah sudah pasti mahu meninggalkan teraju kepemimpinan negara ini dalam keadaan yang baik kepada DS Najib Tun Razak. Jika beliau mahu popular, harga minyak tidak dinaikkan dan biarlah Kabinet DS Najib membuat keputusannya apabila beliau menjadi Perdana Menteri.

Friday, June 6, 2008

SEMOGA TUHAN MELINDUNGI KITA

Saya hanya boleh berdoa agar rakyat negara ini terutama bangsa Melayu akan terpelihara dan sentiasa dilindungi Tuhan berikutan kenaikan harga minyak ini. Kenaikan harga minyak ini sudah pasti akan menjadi katalis kepada peniaga untuk menaikkan harga barang sama ada secara halal atau haram. Semoga Tuhan membersihkan hati peniaga agar mereka tidak bertindak kotor menaikkan harga barang sesuka hati dan menghisap darah orang miskin seperti tindakan pelesit, polong atau langsui.

Bagi saya penduduk di kampung lebih terpelihara dengan kenaikan harga minyak ini jika mereka bercucuk tanam di sekeliling rumah. Sejak kecil, kehidupan saya bergantung penuh kepada usaha bercucuk-tanam keluarga sendiri. Kami membeli apa yang diperlukan saja dan yang lain ditanam sendiri sama ada di sawah padi atau di sekeliling rumah.

Keluarga saya tiada tanah dan kami memajak tanah untuk menanam padi. Hasil padi itu kami gunakan untuk makan atau menambah pendapatan. Pelbagai sayur ditanam di sekeliling rumah. Semua jenis tanaman lain seperti halia, kunyit, lada padi, lada merah, serai, ubi kayu dan ubi keledek ditanam di tepi rumah. Di belakang rumah juga ditanam pokok pisang dan pokok jambu air yang boleh dimakan setiap masa. Syukur kepada moyang, datuk nenek kerana menamam pokok ciku, bacang, durian, cempedak dan sentul yang membolehkan kami sekeluarga menikmatinya.

Keluarga kami juga membela ayam itik serta kerbau untuk dijadikan makanan terutama pada hari istimewa seperti kenduri kesyukuran atau kenduri kahwin. Hakikatnya, hanya beberapa barang saja yang kami perlukan termasuklah gula, tepung dan makanan laut. Minyak juga diperolehi daripada memasak santan kelapa. Selepas kehidupan bertambah baik, banyak barang-barang itu mula dibeli dan keliling rumah pun mula "lapang".

Saya yakin penduduk kampung akan dapat meringankan beban mereka dan menambah pendapatan menerusi amalan "bumi hijau" yang diperkenalkan sejak zaman Tun Razak lagi.

Perjalanan saya dari KL ke Kelantan yang melalui Pahang, Terengganu dan di sekitar Kota Bahru menyaksikan penduduk kampung masih bercucuk tanam di sekeliling rumah mereka. Ada pula yang menjual hasil mereka seperti jagung, nenas, tembikai dan keropok ditepi jalan sepanjang perjalanan. Saya yakin dengan kenaikan harga minyak ini, mereka akan terus gigih untuk bercucuk tanam dan berniaga secara kecil-kecilan untuk menambah pendapatan.

Saya juga dapat menyaksikan bagaimana pekan Kota Bahru terutama jalan berdekatan dengan stesen minyak sesak dan kelam kabut kerana masing-masing beratur untuk mengisi minyak sebelum harga minyak dinaikkan selepas jam 12 tengah malam. Keinginan untuk mendapatkan minyak pada harga yang lebih murah ini menyebabkan mereka berbuat apa saja termasuk menghalang kereta yang datang daripada arah bertentangan. Mereka buat selamba beratur ditengah jalan. Ini menyebabkan saya bertindak membantu mengurangkan "kemelut" itu sehingga kereta saya berjaya melepaskan kesesakan berkenaan. Ketika itu, saya tidak nampak pun ada anggota pasukan keselamatan menjaga lalulintas yang berserabut itu. Mungkin mereka juga sedang mengisi minyak.

Saya rasa keadaan kesesakan ini tidak akan berlaku di Kota Bahru atau di mana saja di seluruh negara jika kerajaan memberi tempoh tertentu seperti dua atau tiga hari untuk melaksanakan kenaikan harga minyak ini. Mungkin ada sebab tertentu yang saya tidak tahu tetapi daripada pemerhatian saya tindakan kali ini tidak kemas dan berserabut. Semoga Tuhan melindungi mereka daripada kemarahan rakyat.

Sekali lagi, saya hanya berdoa agar Tuhan melindungi kita semua daripada terus menerima bahana dan bencana dengan kenaikan harga minyak dunia. Saya juga meminta rakyat yang mempunyai tanah mulalah bercucuk tanam di sekeliling rumah mereka. Bagi yang tiada tanah, mereka bolehlah memulakan sistem penanaman seperti hidroponik atau apa saja sistem boleh meringankan beban. Selamat bercucuk tanam.

Wednesday, June 4, 2008

MEKANISME SKIM SUBSIDI BARU?

Hari ini (Rabu) kerajaan akan mengumumkan mekanisme skim subsidi baru petrol dan diesel untuk rakyat. Sepatutnya Jumaat lalu, tetapi kerana ramai Menteri yang tidak boleh hadir pada mesyuarat Kabinet hari itu kerana ada tugas lain seperti mengepalai rombongan pelaburan di luar negara, maka kerajaan memutuskan ia diumumkan hari ini.

Pengumuman hari ini dibuat setelah mengambilkira semua cadangan dan pandangan Menteri. Pandangan mengikut kepentingan kementerian masing-masing termasuk urusan pelaksanaan mekanisme skim subsidi baru itu. Umpamanya, jika pemberian subsidi itu berbentuk kupon, kementerian manakah yang perlu diberikan tugas mengagih-agihkan kupon dan siapa pula yang akan menerima kupon subsidi yang mungkin ditukarkan kepada wang . Jika kerajaan memilih untuk memberikan kepada kumpulan pengguna kenderaan tertentu mengikut tahap kuasa (cc) kenderaan mereka, siapa pula yang bertanggungjawab menguruskannya. Inilah mekanisme yang perlu difikirkan bagi memudahkan rakyat. Yang penting subsidi diberikan terus kepada rakyat yang memerlukannnya.

Memperkatakan mengenai subsidi ini, rakyat perlu berterima kasih kepada kerajaan kerana sikap prihatin mereka kepada golongan yang memerlukannya. Sikap prihatin ini menyebabkan rakyat terus memberi sokongan kepada kerajaan kecuali mereka yang tidak ambil pusing apa yang mereka nikmati. Persoalannya berapa ramaikah rakyat yang amat memerlukan bantuan ini menerima “hadiah atau ganjaran” daripada kerajaan itu sejak bertahun-tahun dan mencapai kos subsidi mencecah RM56 bilion tahun ini. Jika diperincikan sudah tentulah mereka yang mempunyai kenderaan sama ada motosikal, kereta, bas, lori atau bot yang menggunakan petrol atau diesel, yang gembira menikmati pemberiaan subsidi itu.

Seterusnya, banyak mana rakyat menikmatinya bergantung kepada jumlah kenderaan yang dimiliki. Umpamanya jika seseorang itu mempunyai motosikal atau skuter, maka beliau dapatlah menikmati subsidi petrol itu. Jika mereka mempunyai dua kenderaan, maka dua kalilah menikmatinya. Yang banyak mendapat faedah daripada subsidi ini tentulah kumpulan yang mempunyai banyak kenderaan seperti usahawan bidang pengangkutan atau mereka yang banyak menggunakan kenderaan seperti pelancongan.

Kumpulan usahawan dan peniaga yang banyak kenderaan seperti van, bas atau lori, sudah pasti tersenyum lebar dengan pemberian subsidi itu. Faedah ini sama juga dengan pembinaan lebuhraya dari utara ke selatan yang menguntungkan peniaga yang menghantar barangan mereka dalam jarak yang jauh atau ke pelabuhan di tengah, utara atau selatan negara. Mereka bukan saja tersenyum tetapi ketawa terbahak-bahak ke bank kerana mengaut keuntungan besar. Mereka inilah sepatutnya terus menyokong kerajaan.

Persoalannya adakah mereka memanjangkan “hadiah atau ganjaran” itu kepada pengguna seterusnya. Seperti pengusaha bas atau lori yang mengenakan bayaran berpatutan kepada pengguna. Bukan menjerit-jerit meminta naik tambang atau kadar bayaran. Jika mereka memanjangkan hadiah itu, kita amat alu-alukan tetapi jika mereka kedekut untuk meringankan beban pengguna, maka sesuatu perlu dilakukan terhadap sistem yang tidak seimbang itu. Jika mereka saja mendapat keuntungan tetapi matlamat utama untuk membantu golongan memerlukan tidak kesampaian, maka subsidi petrol dan diesel perlu dihapuskan. Mekanisme pemberiaan subsidi perlu diberikan terus kepada kumpulan sasar. Jangan terkejut jika tiada subsidi lagi dan harga petrol serta diesel dinaikkan.

Isnin lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata harga petrol dan diesel mungkin naik Ogos ini apabila Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi melakukan penstrukturan semula skim subsidi bahan bakar itu. Beliau memberi jaminan kenaikan harga petrol dan diesel itu tidak akan menjejaskan pengguna berpendapatan rendah yang akan terus menikmati skim subsidi baru.

Harga pasaran petrol semasa ialah RM4 seliter tetapi di Malaysia ia dijual pada harga subsidi RM1.92 seliter melibatkan peruntukan subsidi yang dijangka mencecah RM56 bilion (meliputi subsidi petrol, diesel dan gas) pada tahun ini. Ini berbeza dengan harga petrol dan diesel yang dijual di Thailand iaitu sekali ganda kerana ketiadaan subsidi. Harga minyak di pasaran dunia terus meningkat sehingga mencecah lebih AS$135 setong dua minggu lalu tetapi kini stabil di paras AS$128. Di Indonesia, harga petrol dan diesel dinaikkan sehingga 30 peratus manakala kerajaan India bercadang menaikkan harga bahan api itu. Apabila naik pastilah ada orang yang akan membantah.

Skim subsidi baru bahan api yang akan dikuatkuasakan Ogos ini, menurut Datuk Shahrir, bukan berdasarkan kepada jumlah penggunaan sebaliknya lebih berasaskan kepada keperluan pengguna. “Sekarang ini, tiada sekatan terhadap pemberian subsidi minyak. Walau banyak manapun kita beli diesel atau petrol, kita akan dapat subsidi. Kalau kita guna 200 liter sebulan pun kita akan dapat subsidi bagi setiap liter yang kita beli, kalau kita guna hanya 100 liter pun kita akan dapat subsidi, jadi bermakna tak ada sekatan kepada subsidi yang kita peroleh kerana ia berasaskan kepada kegunaan kita. Kerajaan mahu mewujudkan satu sistem baru yang tidak menjurus kepada masalah dan sepatutnya ia (subsidi) adalah untuk golongan yang amat memerlukan,” katanya.

Beberapa cadangan mengenai mekanisme skim subsidi baru petrol dan diesel sudah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan. “Kita akan menggunakan tempoh dua bulan ini untuk melakukan kajian terperinci bagi penstrukturan semula skim subsidi bahan api," katanya.

Oleh itu, rakyat negara ini bersedialah dengan pengumuman kerajaan hari ini mengenai pemberian skim subsidi baru untuk petrol dan diesel. Adalah diharapkan pengumuman ini akan melegakan semua pihak terutama golongan berpendapatan rendah yang menerima kesan terhadap kenaikan harga minyak selama ini. Mereka diserang daripada pelbagai sudut termasuk perlu berbelanja lebih untuk minyak motosikal dan kereta di samping perlu membeli barang keperluan pada harga yang mahal kerana sikap peniaga yang menaikkan harga. Sudah sampai masanya nasib mereka terus diperjuangkan.

Dalam pada itu, rakyat negara ini tidak kira pengguna atau peniaga perlu menyokong langkah kerajaan mengenakan sekatan penjualan petrol dan diesel di stesen-stesen minyak di sempadan negara. Bagi kerajaan ia adalah sebagai langkah sementara menangani kebocoran pemberian subsidi minyak tetapi kita mahu ia perlu diteruskan demi menjaga kepentingan rakyat di negara ini. Sudahlah golongan pendapatan rendah tidak mendapat nikmat subsidi petrol dan diesel sepenuhya kerana ia banyak menguntungkan golongan peniaga dan usahawan, luka mereka semakin pedih apabila mengetahui rakyat asing juga turut merasainya. Sekatan ini pasti akan dapat membendung penyaluran subsidi kepada mereka yang tidak berkaitan terutama rakyat asing. Mereka juga untung kerana beli diesel subsidi nelayan di tengah laut.

Mulai Isnin lalu, kerajaan menguatkuasakan larangan ke atas rakyat asing membeli bahan bakar di stesen-stesen minyak di sempadan Malaysia-Thailand manakala bagi sempadan Malaysia-Singapura pula ia akan dimulakan pada 9 Jun ini. Pelaksanaan langkah itu membabitkan semua stesen minyak dalam lingkungan 30 hingga 50 kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand membabitkan Perlis, Kedah, Utara Perak dan Kelantan.

Tuesday, June 3, 2008

MENGAPA AYAH MALAS NI?

Zaman dulu, ketika ibu bapa sedang bercakap, anak-anak tidak boleh menyampok. Pasti kena marah. Ada ibu bapa anggap ia perbuatan biadap. Ada ibu suka marah anak yang berperangai sebegini dengan berkata, "suka sangat menyampok, tak senonoh perangai".

Zaman sekarang, anak-anak boleh menyampok bila-bila saja. Menyampok ketika ibu bapa sedang bercakap. Menyampok ketika ibu bapa sedang berbual dengan tetamu. Zaman berubah, anak pun berubah. Saya tegur juga anak jika berperangai begitu. Jadi saya ini bapa zaman dulu. Setakat ini, anak diam saja. Tak tahulah satu hari nanti mungkin dia kata, "daddy ni boringlah, nak bercakap dengan mama pun tak bagi". Jadi?

Zaman ini, anak boleh cakap apa saja kepada kita. Anak KAM boleh berkata kepada beliau begini apabila berhenti berehat dan hisap rokok setelah penat mencabut rumput di laman rumah, "ayah ni malaslah. mengapa berhenti dan hisap rokok". Ketika KAM lepak kat rumah kerana hari cuti, anaknya berkata," apa ayah ni, cuti-cuti duduk kat rumah saja, pergilah KLCC". Wah, biar betul anak KAM ni. Tapi, fikir semula, ini zaman baru.

Zaman dulu, jika ibu bapa marah, mereka suka menjerit, "hoi, anak bertuah, mari sini. Mari sini anak bertuah. Bukan main degil kamu. Mari sini anak bertuah". Jadi tiga kali jadi "anak bertuah". Kata-kata daripada ibu itu doa. Maka anak yang degil itu jadilah anak bertuah apabila besar.

Zaman sekarang jika ibu marah, dahlah matanya merah kemudian ada pula-pula kata-kata yang tak sedap," kamu ni degil sungguh macam monyet, kamu ni kalau tegur sikit dah nak melenting, macam......." Ada juga ibu yang kata, "pergi mampuslah engkau". Nasib baik RH tidak berbuat begitu. Tiada lagi perkataan "anak bertuah" daripada mulut ibu atau bapa. Oleh itu, anak jadi macam monyet, lembu atau segala-galanya seperti mana yang dikatakan oleh ibu. Kata ibu itu doa.

Fikir-fikirlah sebelum kita menghamburkan pelbagai perkataan pelik dan tidak sepatutnya kepada anak-anak terutama bab suruh "pergi mati". Nanti mati, apa ke hal? Kan doa tu.

Apa pun, saya ucapkan tahniah kepada FA di Sarawak kerana mendapat anak lelaki pada jam 2.15 petang tadi. Jagalah anak baik-baik untuk terus jadi kacak macam kamu.

Monday, June 2, 2008

KECEWA DAN SEDIH

Posting Terbaru - 12.20 pm (3/6)

Pagi ini semua berjalan lancar. Komputer ok dan tanggungjawab saya pun beres. Pagi-pagi terus telefon JPN untuk bertanya sama ada komputer ok atau sebaliknya. Yang menjawab kata ok dan boleh datang sekarang. Terus ke kaunter yang bertemu dengan adik yang bercermin mata dan tunjuk nombor giliran semalam.

Beliau tunduk dan berkata "ini nombor semalam, jika nak balik lain kali kenalah tunjukkan kat pegawai supaya boleh dicop. Bila dah dicop maka nombor ini boleh digunakan. Tapi takpelah...." katanya tanpa memandang muka saya. Tidak tersenyum, tidak juga marah. Hanya berkata-kata. Beliau terus menyiapkan permohonan saya.

Saya terlihat pelekat peringatan di atas kaunter yang berbunyi macam ini, "Adakah orang menyelia anda melihat terus ke muka anda?" kemudian ada lagi, "Adakah orang yang menyelia anda tersenyum?". Saya hendak tergelak kerana orang yang menyelia saya tidak pandang terus ke muka saya dan tidak tersenyum. Mungkin dia marah saya tidak cop nombor giliran dan pagi ini terus pergi kepadanya.

Lepas tu minta mykad saya. Cap jari anak dan saya. Lepas tu minta duit RM11 untuk bayaran kerana lewat buat permohonan. Apabila dah dapat duit barulah beliau mula bercakap. "Kalau abang datang awal, tak perlu kena bayar denda ni." Beliau seterusnya tersenyum lebar. Setelah dapat duit daripada saya ke, baru senyum? Apa pun terima kasih lah adik yang pakai cermin mata ala 70an. Terima kasih JPN. Dua minggu lagi dapatlah mykad anak saya tu. Komputer offline lagi ke masa saya datang nanti?

Posting Asal - 1.16 pm (2/6)

Pagi ini, saya kecewa sikit. Ini kerana sistem komputer di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Shah Alam tidak berfungsi pagi-pagi buta. "MAAF SISTEM KOMPUTER OFFLINE". Saya datang pagi-pagi bersama anak yang ingin mengambil mykad kali pertama tetapi sehingga jam 10 lebih, komputer masih lagi offline. Saya tidak sakit hati kerana mahu jadi orang beriman. Cuma kecewa je.

Namun, saya sedih ialah golongan ibu bapa yang ramai ke JPN, mungkin datang dari seluruh Selangor untuk berurusan dengan JPN. Sudah tentu mereka akan "banyak rugi" pagi ini. Jika perlu naik bas dan datang semula petang ini atau esok, sudah tentu mereka melalui masalah yang tidak sepatutnya. Jika bawa satu keluarga, berapa banyak pula belanja hari ini. Yang pelik, takkanlah nak baiki komputer berjam-jam. Siapa nak jawab? Dulu ok, sekarang ni mengapa pula jadi begini?

Balik dululah. Sabar. Sabar. Mahu jadi orang beriman tak?

Sunday, June 1, 2008

JAGALAH NAMA BAIK SIC DI MATA DUNIA

Projek pembinaan Litar Antarabangsa Sepang (SIC)adalah projek kos tinggi yang dikritik hebat oleh pembangkang ketika Kerajaan mengumumkan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu litar sukan lumba kereta terulung di dunia.

Antara punca kritikan itu ialah kerana kosnya yang tinggi di samping kebimbangan SIC akan menjadi gajah putih selepas itu. Namun, kejayaan mengendalikan SIC dengan baik dan menganjurkan pelbagai acara sukan bermotor, sedikit sebanyak menghakis kesan kritikan itu. Keupayaan rakyat negara ini mengendalikan F1 dengan jayanya menyakinkan penganjur dunia untuk menyambung kontrak seterusnya.

Tahniah perlu diberikan kepada pengerusi dan pasukan pengurusan SIC sejak ia ditubuhkan sehingga sekarang termasuk Allahyarham Tan Sri Basir Ismail. Pengerusi terbaru ialah Dato' Mokhzani Tun Dr Mahathir, ahli perniagaan terkemuka yang mengimport kereta mewah.

Bagaimana, gesaan dua Menteri Kabinet minggu ini, agar Dato' Mokhzani yang telah keluar dari UMNO mengikut jejak langkah bapanya, TDM meletakkan jawatan kerana SIC adalah agensi kerajaan adalah satu perkara yang menyedihkan. Bagi sesetengah pihak ia tindakan yang memualkan. Mungkin ada logiknya menyuruh Dato' Mokhzani berhenti menjadi Pengerusi SIC semata-mata kerana beliau keluar UMNO mengikut jejak langkah bapanya. Tetapi adakah itu tindakan yang terbaik terutama dari segi pandangan dunia, khasnya penganjur dunia. Apakah tindakan "memberhentikannya" itu baik untuk negara?

Jika Dato' Mokhzani sudah meletakkan jawatan, apakah tindakan selepas itu? Hendak diserahkan kepada ahli UMNO juga ke?. Siapa dia dan yang mana satu? Boleh ke beliau mengekalkan prestasi baik mengendalikan SIC seperti Pengerusi yang dulu-dulu? Tidak payah tanya? Oklah, hak kamu. Tapi, hak kamu ke hak rakyat? Siapa yang nak jawab.

Namun, yang jelas kerajaan perlu sedar bahawa SIC perlu ditadbir dengan baik terutamanya mereka yang berminat atau passion dalam sukan lumba kereta itu. Pengerusi dan pasukan pengurusannya perlu profesional dan sentiasa berusaha gigih untuk memastikan SIC terus cemerlang dan bukannya bertambah malap kerana penyakit kurap atau kegatalan kulit sesetengah pemimpin politik.

Tidak payahlah mahu menukarkannya kerana kepentingan diri. Saya yakin Paklah pun tidak setuju dengan faktor itu. Mahu tukar kerana untuk membalas dendam? Hendak balas dendam kat siapa? Mahu tukar kerana mahu sesuatu? Nak buat apa dengan SIC? Banyak ke duit akan massyukk jika mengendalikan SIC? Berapa banyak boleh dapat?

Bagaimanapun, saya yakin Dato' Mokhzani akan meletakkan jawatan tidak lama lagi kerana desakan seperti itu. Jika tidak berbuat demikian sukarlah beliau untuk berfungsi sebagai Pengerusi SIC dan pasti ada yang menganggap dirinya seperti "hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong". Tak mancung ke?

Ah..malaslah hendak memikirkannya lagi. Biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya.

Kenyataan DATUK ISMAIL SABRI YAAKOB dan DATUK SERI AZALINA OTHMAN SAID .

ORANG BERBUDI, KITA BERBAHASA

Usaha Kerajaan Pusat memberi lebih perhatian kepada Sabah sejak kebelakangan ini sudah pasti menggembirakan rakyat negeri di bawah bayu itu. Yang terbaru ialah semalam sempena lawatan Paklah ke negeri itu.

Ia bermula dengan perlantikan Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai Speaker Dewan Rakyat dan semalam diikuti dengan perlantikan dua pegawai tertinggi kerajaan dari negeri itu. Mereka akan mengisi jawatan Naib Canselor dan pegawai kewangan negeri.

Usaha terbaru itu bukan sukar untuk dimengertikan memandangkan sokongan padu pengundi Sabah terhadap Kerajaan Barisan Nasional. Walaupun, usaha membawa pembangunan ke negeri itu dilaksanakan berterusan sejak dari dulu lagi tetapi faktor keluasan dan jaraknya membuatkan pembangunan itu masih diperlukan.

Semoga perubahan baru ini akan membawa sinar cahaya gemerlapan kepada rakyat Sabah. Sekalung tahniah perlu diberikan kepada Ahli Parlimen Sabah yang tidak putus-putus menyuarakan kehendak rakyat negeri itu terutama AP Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin (walaupun bising tetapi banyak isinya), AP Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghafur Salleh (serius tetapi amat bermakna) dan pendatang baru, AP Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan (baru tetapi semakin diberi perhatian). Hidup Sabah baa.

Lagi hadiah untuk orang Sabah dilaporkan oleh UTUSAN MALAYSIA .