Lima tahun mungkin lama bagi sesetengah pihak tetapi bagi parti politik tempoh itu amat singkat jika mengambil kira keperluan untuk berhadapan dengan rakyat terutama pengundi.
Setelah menghadapi Pilihanraya Umum Keduabelas (PRU12) pada Mac 2008, parti politik akan terpaksa menghadapi rakyat pada 2012 atau 2013 bergantung kepada ilham Perdana Menteri dalam membubarkan Parlimen. Ketika itu, segala rekod dan episod kecemerlangan serta kelemahan akan dibentangkan untuk tatapan rakyat membuat pemilihan siapakah yang layak menjadi pemerintah untuk lima tahun lagi. Jika cemerlang, bolehlah bersenang lenang. Jika temberang parti politik pasti berpeluh di medan perang.
Walaupun pelbagai faktor diutarakan yang sebagai punca utama kepada senario keputusan PRU12, namun kita tidak boleh lari daripada memperkatakan mengenai asas kepada keputusan satu atau dua minit pengundi ketika PRU iaitu keperluan harian mereka. Dalam ertikata lain, siapa yang mereka pilih banyak bergantung kepada bagaimanakah parti pilihan itu dapat mengubah nasib untuk lima tahun akan datang. Dengan perkembangan terbaru dalam dunia sekarang termasuk kenaikan harga barang dari semasa ke semasa, sudah tentu “faktor perut” akan diutamakan ketika mengundi. Faktor perut inilah yang sebenarnya menentukan warna keputusan PRU12. Faktor lain hanyalah sebagai tambahan saja. Jika lemah pentadbiran menyebabkan faktor perut terjejas teruk, maka rakyat akan menolak parti yang menjadi kerajaan. Ini sudah terbukti.
Kajian sebuah universiti tempatan sebelum PRU12 memaparkan rakyat lebih mementingkan kepada keperluan harian mereka seperti kenaikan harga barang dan jumlah pendapatan yang diperolehi berbanding kos perbelanjaan. Ini bermakna jika mereka terpaksa menderita walaupun pelbagai janji diberikan untuk meringankan beban itu tidak kunjung tiba, pilihan terbaik ialah memilih parti yang berjanji membantu mereka untuk lima tahun akan datang. Janji tinggi melangit tetap disukai setidak-tidaknya dapat meringankan sedikit beban di kepala. Ketika pemikiran kusut , segala pegangan termasuk kesetiaan diketepikan dulu demi kepentingan perut dan kelangsungan hidup.
Oleh itu, tidak hairanlah dalam PRU12, setelah tindakan kerajaan menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen, maka Barisan Nasional (BN) terlepas lima buah negeri dan kekalahan besar di Wilayah Persekutuan. Apakah kenaikan harga minyak 78 sen seminggu lalu akan menyaksikan satu satu lagi tsunami politik pada PRU13? Hakikat ini perlu disedari oleh pemimpin BN jika mereka mahu terus berkuasa dan memenangi hati rakyat.
Ramai pihak yang menyatakan pengaruh internet dan media baru banyak memberi kesan kepada pola pengundian pengundi di kawasan bandar-bandar besar di seluruh negara. Hakikat ini tidak boleh dinafikan kerana ia saling berkait dengan faktor perut dan kelangsungan hidup.
Golongan yang tinggal di kawasan bandar inilah yang bukan saja banyak mendapat maklumat daripada internet dan media baru tetapi yang lebih penting lagi ialah mereka yang banyak menanggung beban dengan kenaikan harga minyak dan harga barang. Kebanyakan mereka memiliki sebuah rumah yang tiada tanah untuk bercucuk tanam. Ramai juga yang masih menyewa di flet atau pangsapuri kos rendah. Keperitan ini ditambah pula dengan pelbagai maklumat yang dilontarkan dalam media baru termasuk blog, membentuk pemikiran mereka bahawa sesuatu yang tidak kena dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang. Sama ada perkara itu betul atau sebaliknya tidak penting. Yang penting mereka telah merasakan kesengsaraan dan dihidangkan dengan alasan dalam media baru mengenai punca kesengsaraan mereka.
Antara yang dibaca dan ditelan oleh penduduk bandar ialah laporan yang disebarkan kononnya amalan rasuah semakin bersemarak terutama di kalangan keluarga pemimpin, nepotisme dan kronisme selain daripada kelemahan ketara kepemimpinan negara sekarang. Kebenaran lontaran pandangan dan kenyataan itu kini menjadi perkara kedua, tetapi yang utama mereka percaya dan yakin ia berlaku.
Apakah kemelut harga minyak dunia sekarang akan terus membebankan kerajaan? Apakah tindakan menaikkan minyak ini akan terus menghilangkan keyakinan rakyat kepada kerajaan? Apakah rakyat akan melepaskan geram mereka sekali lagi pada PRU13? Semua jawapan itu bergantung apa yang dilakukan oleh kerajaan selepas ini dalam memastikan faktor perut dan kelangsungan hidup tidak membebankan rakyat peringkat bawah yang sentiasa mengira wang yang ada setiap masa untuk memastikan mulut ahli keluarga mampu disuapkan dengan rezeki halal.
Bagi saya, kenaikan gaji kakitangan awam oleh kerajaan sebenarnya tidak memberi sebarang makna jika harga barang tidak dikawal dan tidak mampu dikawal. Hakikatnya dalam pemerintahan kerajaan sebelum ini, faktor perut amat dijaga termasuk memastikan harga barang sentiasa berpatutan dan selari dengan pendapatan. Tanpa kenaikan gaji sekalipun, rakyat boleh hidup selesa jika terus menikmati harga minyak dan harga barang yang rendah.
Dalam pada itu, pengumuman langkah berjimat cermat kerajaan Isnin lalu perlu disambut baik oleh semua pihak kerana semangat yang ditunjukkan oleh Menteri Kabinet untuk bersama-sama dengan rakyat. Walaupun kecil, ia adalah simbol perjuangan bersama dalam menghadapi kemelut ekonomi dunia. Dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu meneliti semua cadangan yang mampu meringankan beban rakyat. Antaranya ialah mengurangkan kadar bayaran tol, menghapuskan cukai jalan, menghapuskan cukai perkhidmatan dan cukai kerajaan di restoran. Buatlah yang terbaik.
Wednesday, June 11, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
Assalamualaikum Tok Rimau,
Tidak dinafikan faktor perut mempengaruhi keputusan. Manusia akan jadi teramat marah ketika lapar. Manusia mungkin juga menjadi tamak ketika lapar... tapi selalunya orang kenyang akan jadi lebih tamak.
Di samping faktor itu, saya lebih melihat kepada faktor masa depan.
(1)Bagaimana negara akan dicorak? Cantik ke, hodoh ke atau abstrak?
(2) Mampukah pemimpin parti itu mentadbir? Ada leadership ke?
(3) Ketinggian ilmu pemimpin tersebut, ilmu dunia & akhirat.
(4) Tahap keprihatinan pemimpin kepada rakyat.
(5) Sejarah pengurusan yg lalu.
Saya percaya rakyat Malaysia (khususnya org bandar) tak terpedaya dgn janji/manifesto2 yg diwar-warkan. Manusia boleh berjanji itu & ini. Berbalik kepada faktor di atas, nilailah sendiri sama ada ianya adalah janji yg tulus ikhlas atau hanya janji kosong semata untuk meraih undi.
Secara umumnya, rakyat Malaysia sedang berapi-api disebabkan kenaikan harga minyak & jika pilihanraya diadakan dalam tempoh terdekat, pasti tsunami yg tersangat dasyat akan berlaku.
Tetapi jika hendak diramal dalam tempoh 5 tahun akan datang... sukar. Banyak benda boleh berlaku dalam masa 5 tahun.
Mungkin ada peralihan kuasa...
Mungkin Kerajaan lebih kasihkan rakyat...
Mungkin pembangkang lebih berjiwa rakyat...
Mungkin Kerajaan & pembangkang berdamai & bersatu hati...
Segalanya mungkin...
Wallahualam...Wassalam.
salam dato
diharapkan kerajaan dapat menlaksanakan pengurangkan kadar bayaran tol, penghapuskan cukai jalan, penghapuskan cukai perkhidmatan dan cukai kerajaan di restoran.....ini sikit sebanyak dapat mengurangkan kos rakyat....
nak buat macamana kalau dah terpaksa berjimat ....kita memang wajib berjimat walaupun tidak disarankan oleh kerajaan...tetapi nak jimat mcmana ye kalau da banyak kali berjimat......semakin berjimat semakin tinggi kos sara hidup...
mcmana dato jimatkan kos....
Sdr Ainul AB,
Banyak cakap-cakap politik mengenai peralihan kuasa ini. Ada yang berkata dalam masa terdekat dan ada pula yang mendengar ia mungkin berlaku pada 2010.
Dalam retreat UMNO baru-baru ini, saya difahamkan ada pihak yang cuba mengutarakan perkara ini. Tetapi ada juga yang lebih gemar membiarkan ia diselesaikan antara pemimpin nombor satu dan dua.
Apapun, sejak dulu lagi dalam tradisi UMNO peralihannya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah besar. Oleh itu, kita berdoalah agar sebarang peralihan kuasa itu berjalan dengan lancar sama ada minggu depan, bulan depan atau pun tahun depan.
Cakap-cakap politik mengenai penyertaan PAS dalam BN ini semakin kuat terutama pihak yang mahu melihat parti Melayu berasaskan Melayu dan Islam terus kuat memperjuangkan bangsa dan agama. Mereka mahu bangsa Melayu dan agama Islam berada pada tahap yang tinggi dan bukan mudah dihina atau dikotak-katikkan demi kepentingan anasir luar.
Sdr Joe,
Saya cuba menjimatkan kos menerusi penggunaan tenaga elektrik, air, tidak memandu laju jika tidak perlu, pembelian pakaian sendiri dan pemilihan tempat makan.
Post a Comment