Thursday, June 12, 2008

MENCARI BERKAT DALAM BERNIAGA

Saya tertarik membaca berita dalam Utusan Malaysia mengenai seorang PENIAGA yang menjual apa saja makanan di gerainya pada harga RM2. Bagi sesetengah pihak, mungkin merasakan beliau boleh menjual murah kerana bahan-bahan masakannya boleh dibeli daripada nelayan atau pasar tani berdekatan.

Isunya di sini ialah bagaimana peniaga itu boleh menjual pada harga yang murah dalam keadaan rakyat sibuk memperkatakan kenaikan harga minyak dan harga barang.

Adakah peniaga itu tidak terjejas dengan kenaikan harga minyak atau harga barang? Ataupun, beliau mempunyai faktor lain seperti keberkatan yang mendorong hati beliau terus menjual makanan pada harga RM2 termasuk minuman. Jika berkat yang dicari, sudah tentu berkat yang diperolehi. Jika keuntungan dikejar, sudah tentu keuntunganlah yang akan diperolehi berlipat ganda.

Saya berpendirian bahawa kedai makan yang menjual harga yang melampau dan tidak berpatutan dengan keenakan makanan yang dijual, akan dikunjungi hanya sekali saja. Jika kedai makan itu menjual pada harga yang tinggi sedikit berbanding tempat lain tetapi makanan dan perkhidmatan yang disediakan terbaik, maka selalulah saya mengunjunginya. Ini yang berlaku selama ini. Untunglah kedai yang baik.

Pemilik kedai makan perlu memastikan makanan, kedai makan dan pekerjanya mesti bersih sepanjang masa. Tidak guna buka kedai makan jika makanan dihurungi oleh lalat atau segala macam benda hidup. Tidak gunanya membuka restoran jika pekerjanya kelihatan kotor, tidak bersikat dan seperti orang baru bangun tidur.

Perkhidmatan mestilah terbaik dan janganlah biarlah pelanggan membuat kesilapan yang amat menyakitkan hati. Lain yang diminta, lain pula yang dapat. Apatah lagi ketika itu tengah kebuluran. Jika nasi lemak yang diminta, apa yang datang ialah nasi kerabu, maka ini menimbulkan rasa sakit hati kepada pelanggan.

Pekerja mesti mendengar apa yang diminta oleh pelanggan dengan baik dan jelas. Mereka perlu memahami apa yang diminta oleh pelanggan. Jika pelanggan mahu roti bakar tiada kaya, hanya mentega saja, itulah yang sepatutnya diberikan. Bukanlah kata,"oh.saya silap", "oh..saya terlupa" kerana jika berlaku sedemikian inilah dikatakan perkhidmatan yang menyakitkan hati.

Satu lagi, jika ingin mengambil pelaris bagi kedai makan, pemiliknya pilihlah pelaris yang baik dan manasabah. Janganlah pula menggunakan pelaris membabitkan "jin yang menjilat pinggan" atau "jin yang memuntahkan apa saja dalam periuk lauk". Pilihlah pelaris yang baik-baik jika ingin berbuat demikian. Bagi saya, tanpa pelaris jika makanan itu sedap, pelanggan akan datang sepanjang masa. Cuma mereka bolehlah berdoa kepada ALLAH SWT agar tiada pihak yang "membuat sesuatu" sehingga pelanggan tidak berselera atau nampak terlalu banyak "lipas" di kedai makan mereka.

(Nota: Berita PENIAGA budiman itu disiarkan oleh Warta Negeri RTM jam 5.10 petang tadi)

2 comments:

man_helang said...

dan mengapa kerajaan asyik sibuk nak menaikkan harga...tdk bolehkah mencontohi peniaga tersebut?? biarlah untungnya sedikit, tetapi berkat selamat dunia akhirat...

ibrahim yahaya said...

Sdr Man Helang,

Jika kita melihat raut wajah peniaga itu di televisyen baru-baru ini, beliau dan isteri sentiasa tersenyum puas dengan apa yang dilakukan selama ini. Itulah yang dikatakan berkat sedekah amal jariah. Pelanggan pula kelihatan riang ria menikmati makanan pada harga murah. Kita berdoa lebih ramailah peniaga seumpama ini di Malaysia.