Friday, June 13, 2008

PERJELASKAN KEPADA RAKYAT

Oleh IBRAHIM YAHAYA
(Artikel dalam Utusan Malaysia)


APAKAH peranan serta tanggungjawab media dan agensi penerangan ketika negara menghadapi kemelut kenaikan harga minyak ini? Sudah tentu mereka perlu bekerja lebih keras dalam membuat penjelasan kepada rakyat. Mereka perlu menjelaskan apakah sebenar yang berlaku sekarang sehingga kerajaan terpaksa menaikkan harga minyak dan menstrukturkan semula subsidi seperti yang diumumkan pada 4 Jun lalu.

Perkara pertama yang perlu dijelaskan ialah dasar kerajaan tidak berubah dari segi pemberian subsidi cuma jumlahnya saja yang berkurangan. Kerajaan juga prihatin dengan masalah rakyat yang menyaksikan tiada penghapusan sebaliknya memberikan rebat yang akan dinikmati terus oleh golongan yang memerlukan.

Pemberian subsidi minyak dan keperluan lain termasuk pertanian dan kesihatan kini hampir mencecah RM56 bilion. Ia angka yang besar dan bertambah dari semasa ke semasa berikutan kenaikan harga minyak dunia yang kini mencecah AS$138 setong. Kenaikan empat kali ganda sejak setahun lalu menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan penstrukturan semula subsidi bagi mengelakkan negara menghadapi masalah kewangan pada masa akan datang.

Untuk itu, petugas media dan agensi penerangan sendiri harus yakin dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang bagi memudahkan mereka membuat penjelasan. Ini penting kerana jika mereka sendiri tidak yakin apa yang dilakukan kerajaan, bagaimana mereka boleh menerangkan dengan sejelas-jelasnya. Mereka perlu banyak membaca dan mendengar penjelasan kerajaan terutama Perdana Menteri dan Timbalannya mengenai objektif tindakan menaikkan harga petrol dan diesel serta memperkenalkan mekanisme struktur subsidi baru.

Mereka juga perlu mencari maklumat lain untuk memperkuatkan hujah terutama mengenai kedudukan harga minyak di negara pengeluar minyak di seluruh dunia. Ini termasuk di Asia Barat dan Amerika Latin.

Perkara kedua yang perlu dijelaskan ialah asas kepada tindakan kerajaan menaikkan harga minyak dan menstrukturkan semula subsidi. Ia bermatlamat untuk memastikan wang negara sentiasa ada untuk kegunaan masa akan datang. Dalam erti kata lain negara perlu mempunyai simpanan kewangan kukuh untuk menghadapi kemelut ekonomi yang akan datang. Pusingan kemelut ekonomi ini datang dalam lingkungan sepuluh tahun dan tanpa persediaan dari segi simpanan kewangan, ia akan mendatangkan masalah besar.

Kemelut ekonomi kali ini dalam bentuk kenaikan harga minyak dunia benar-benar menguji kekukuhan kewangan negara. Jika kerajaan menggunakan segala wang hanya untuk menampung subsidi minyak yang bertambah, sudah tentu kantung kewangan akan berkurangan malah habis untuk terus bergerak.

Oleh itu, perlu difikirkan mekanisme yang terbaik untuk mengelakkan kantung wang habis tetapi meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Langkah menaikkan harga minyak adalah untuk mengelakkan kos penyaluran subsidi terlalu tinggi manakala mekanisme subsidi baru yang diumumkan adalah langkah untuk menjayakan rancangan ini. Ia perlu dilihat sebagai "langkah terpaksa" dan bukan untuk suka-suka untuk menyusahkan rakyat. Keputusan itu sudah tentu tidak popular tetapi dilaksanakan juga demi kepentingan rakyat dan negara. Bagi sesetengah pihak, kemelut ekonomi ini turut memberi peluang kepada kerajaan untuk menilai semula struktur pemberian subsidi sekarang.

Media dan agensi penerangan boleh menggunakan ajaran dan kisah-kisah yang memaparkan kepentingan berjimat cermat dalam setiap ajaran agama. Dalam Islam, mereka boleh menggunakan kisah Nabi Yusof AS yang menterjemahkan mimpi Raja Mesir berkaitan tujuh lembu gemuk dan tujuh lembu kurus. Nabi Yusof AS mengaitkan mimpi itu mengenai keperluan negara untuk berjimat cermat ketika zaman mewah bagi menghadapi zaman meleset yang digambarkan oleh tujuh lembu kurus. Dengan ada usaha berjimat cermat ini, maka sesebuah negara mampu menghadapi kemelut ekonomi dan kewangan dalam keadaan yang lebih teratur dan menyakinkan.

Selama ini, subsidi minyak memberikan keuntungan kepada semua pihak bukan golongan tertentu saja. Malah ia turut dinikmati oleh rakyat asing di sempadan. Rakyat Malaysia yang mempunyai banyak kenderaan pasti menikmati kelebihan subsidi ini. Mereka yang mempunyai kenderaan mewah turut menikmati harga minyak yang murah kerana kos pembelian minyak mereka tidak begitu tinggi.

Bagaimanapun, bagi mereka yang memiliki sebuah motosikal atau kereta, walaupun mereka menikmati subsidi itu tetapi "nisbah keuntungan itu" mungkin tidak sama dengan individu yang mempunyai banyak kenderaan dan kereta mewah. Secara bandingan, kenaikan harga minyak ini sepatutnya lebih dirasai oleh golongan berpendapatan tinggi yang pasti "tidak terasa sangat" kerana mereka mempunyai wang untuk membeli bahan bakar itu berbanding golongan miskin.

Pengenalan mekanisme subsidi baru ini memperlihatkan usaha memberi subsidi diberikan terus kepada golongan yang benar-benar memerlukannya menerusi pemberian rebat RM625 untuk pemilik kenderaan di bawah 2000 cc dan RM150 bagi motosikal untuk setahun. Mereka boleh mendapatkan rebat itu apabila mendaftar semula geran kereta di pejabat pos di seluruh negara mulai 14 Jun.

Perkara ketiga yang perlu dibuat ialah jawapan kepada segala tuduhan dan tohmahan oleh pihak tertentu terhadap apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang. Media dan agensi penerangan perlu mencari maklumat yang disebarkan dan berusaha untuk menangkisnya dengan menyiarkan maklumat untuk menjelaskan keadaan sebenar. Tuduhan ini, jika tidak dijawab akan dianggap benar oleh rakyat dan ini boleh mengelirukan mereka. Jika rakyat terkeliru ditambah pula terpaksa menanggung beban kenaikan harga minyak itu, sudah tentu mereka akan "naik angin" dengan kenaikan harga minyak itu.

Jika rakyat di peringkat bawahan mengadakan demonstrasi akibat kegagalan media dan agensi penerangan memainkan peranan mereka, ia satu isyarat bahawa sesuatu yang lebih buruk akan berlaku kepada negara ini terutama dari segi ketenteraman awam.

Antara perkara yang perlu dijelaskan termasuklah dari segi keuntungan Petronas dan jumlah pemberian subsidi syarikat petroleum negara itu kepada kerajaan. Selain itu, kos perbelanjaan Petronas dalam mencari gali di laut berbanding kos yang lebih kecil oleh negara pengeluar yang mendapatkan minyak mereka di darat.

Media dan agensi penerangan perlu juga mencari maklumat untuk menjelaskan laporan yang mengatakan kenaikan harga minyak negara lebih tinggi daripada negara-negara lain termasuk negara jiran seperti Singapura. Laporan yang ditonjolkan oleh media pembangkang dan penulis blog mengenai perkara itu akan menyakinkan rakyat jika tiada jawapan dan usaha untuk menangkisnya. Kini, terpulanglah kepada media dan agensi penerangan untuk menjelaskan sebaliknya. Sudah tentu mereka boleh mendapatkan hujah-hujah untuk menangkis laporan seumpama itu.

19 comments:

mat_terab said...

TAK PERLULAH KERAJAAN PAK LAH MENBAZIRKAN AIR LIUR UNTUK BERI PENJELASAN KEPADA RAKYAT....
RAKYAT YANG SUSAH TIDAK PERLUKAN PENJELASAN...
APAKAH DENGAN PENJELASAN DAPAT PENGISI PERUT ANAK ISTERI RAKYAT YANG HIDUP SUSAH DAN BERTAMBAH MELARAT LANTARAN KENAIKAN HARGA BARANG EKORAN KESAN KENAIKAN HARGA MINYAK...
APA YANG RAKYAT PERLUKAN IALAH PENYELESAIAN, BUKAN PENJELASAN.....

mn said...

A.kum Datuk,

1. Saya adalah antara orang yang sanggup hadapi cabaran esok?

2. Jam 8.10pagi keluar rumah. Jam 8.15 sampai Pej Pos. Terus ambil kedudukan.

3. Datang awal...balik awal. Selesai masalah.

Anonymous said...

kita sepatutnya lebih mendedahkan diri kita kepada bahan bacaan seperti ini untuk memahami situasi sebenar. bukan hanya mendengar dan membaca luahan rasa tidak puas hati dan juga bahan2 yang datangnya dari pihak2 yang ingin menjatuhkan kerajaan dan mengejar kuasa. sudah pasti isu2 seperti ini akan dieksploitasi oleh pihak2 berkenaan. ramai juga yang bersikap ignorant, tidak mahu mengambil tahu dan menganggap apa yang mereka dengar dan baca dari sumber2 yang tidak diketahui asal usulnya sudah mencukupi bagi mereka untuk menilai keadaan sebenar. dengan sikap yang kurang membaca mungkin akan menyempitkan minda untuk menilai dengan lebih baik. banyak dapat dilihat diblog, kebanyakkannya hanya bersifat menghentam, meluahkan perasaan tidak puas hati dalam masa yang sama mengheret orang lain untuk bersikap lebih berfikiran sempit. tiada siapa yang menyokong kenaikan harga barangan serta minyak, tetapi sekurang2nya cuba cari dari pelbagai sumber(bukan dari sumber2 yang berunsur hasutan sahaja) supaya sama2 kita akan lebih memahami dan tidak berhujah menggunakan akal yang sudah diasak dengan perkara yang sempit penilaiannya. maafkan saya jika menyinggung sesiapa

Anonymous said...

Sdra Dunia Tiger, yang kau tulis kat surat khabar suruh mereka buat penjelasan tu apa pasal. Bukankah kau juga, sebagai rakyat berperanan menjelaskan kepada rakyat. Masalahnya, kerajaan nampaka kelam kabut. Kejap berjimat cermat, kejapa bagi duit pada kerajaan negeri bilion-bilion ringgit untuk projek negeri. Ini apa cerita?. KLalau tak ada duit, buat macam tak ada duitlah. Janganlah umum peruntukan baru. Umum projek tapi duitnya takde, buat apa. Kalau nak buat penjelasana tapi bagi orang keliru lagi, baik tak payah.

* ainul AB * said...

Assalamualaikum Tok Rimau,

Saya bersetuju dgn Tok yg Kerajaan perlu beri penjelasan. Cuma saya berpendapat, penjelasan oleh Kerajaan hanya akan menyemarakkan lagi api kemarahan rakyat. Rakyat sudah dapat meneka apa yg bakal diperjelaskan.

(1) Kenaikan di Malaysia adalah berdasarkan kenaikan harga pasaran dunia.
(2) Kerajaan sudah tidak mampu menanggung subsidi.
(3) Kerajaan tiada pilihan lain.
(4) Rakyat harus berdikari.
(5) Rakyat perlu ubah cara hidup.
(6) Potongan elaun keraian - pengorbanan menteri harus dipuji.
(7) Kerajaan sudah terlalu banyak memberi subsidi kepada rakyat dalam bidang a, b, c, d, e & lain2.

Tetapi penjelasan tentang keuntungan Petronas dan jumlah pemberian subsidi Petronas kepada Kerajaan pasti akan jadi 'goreng pisang panas'.

Selain daripada itu, saya sarankan supaya Kerajaan perjelaskan segala cerita yang dibangkitkan oleh bekas pemimpin no.1 negara, TDM. Adakah ia sekadar tohmahan atau realiti yg tak mampu terbalas pukulan servisnya?

Berani kerana benar, takut kerana salah. Penjelasan itu lebih ditunggu2.

Wassalam.

Anonymous said...

penting untuk kita tahu dari banyak sumber..takdalah kita bercakap sewenang2nya...

ibrahim yahaya said...

Sdr Mat Terab,

Persoalannya kerajaan sudah melaksanakannya. Oleh itu, media dan agensi penerangan kerajaan perlu membuat penjelasan. Jika hendak mengharapkan media pembangkang, sudah tentulah "until the cow come home" untuk berbuat demikian. Mereka pun tahu.

Kalau dulu, apa yang saya ingat ialah kerajaan akan berusaha merasionalkan sesuatu tindakan yang akan dibuat. Apabila rakyat faham, barulah sesuatu tindakan itu dibuat dan kesannya tidak seberapa teruk. Ini kerana rakyat sedar dan memahaminya.

Jika kita buat tergesa-gesa, tidak kemas dan kelam-kabut tentulah ada pihak yang akan naik angin dan sentiasa berangin. Ditambah pula ada kumpulan yang tidak kena mengena dengan kenaikan itu mengambil peluang melakukan "perang saraf". Perang saraf ini ialah mengeksploitasikan emosi manusia. Jika ada pihak yang menyogokkan label - kerajaan kejam, kerajaan zalim, kerajaan yahudi, kerajaan tidak berhati perut- kepada rakyat kerana menaikkan harga minyak tanpa menyatakan sebabnya, maka rakyat akan percaya dan memberontak. Kita pun tahu apa yang akan dilakukan oleh orang marah atau mengamok. Percayalah yang rugi kita juga.

Anonymous said...

Salam,
Saya setuju dengan pendirian saudara. Masalahnya rakyat Malaysia ni lebih cenderung untuk mengikut emosi dalam mengkritik kerajaan.

Kita sebagai rakyat memang berhak menyuarakan masalah yang kita hadapi berikutan keputusan dalam kerajaan. Tetapi lebih ramai memilih untuk terus marah daripada mendapatkan sumber tambahan bagi memahami sejauh mana kebenaran tindakan kerajaan dalam menghadapi krisis.

Apa bila ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuat perbandingan cetek iaitu harga minyak kita dengan harga di negara lain yang juga pengeluar minyak. Bagi saya, perbandingan bukanlah boleh dibuat begitu mudah memandangkan jumlah rakyat, keadaan ekonomi, jenis minyak, jumlah import dan sebagainya mempengaruhi polisi harga minyak mereka.

Saya geleng kepala apabila melihat harga minyak Malaysia dibanding dengan Venezuela yang cuma RM0.16 sen seliter. Mereka ghairah melihat angka murah tersebut tetapi mereka tidak tahu hakikat negara itu sedang mengalami masalah rizab luar yang kritikal dan sedang berhutang berbillion-billion dengan Bank Dunia dan IMF hanya kerana ingin memastikan harga barangan didalam negara terus murah. Pada hakikatnya negara ini telah bankrap.

Saya juga setuju berkenaan sikap media yang kurang memberi pendedahan mengenai isu minyak ini. Sepatutnya mereka mengeluarkan isu khas (lagi bagus jika ia diedar secara percuma )yang membincangkan kenapa kita perlu mengurangkan subsidi minyak dan perbandingan secara detail dan illustratif dengan negara-negara yang minyaknya murah dengan bantuan pakar-pakar ekonomi Malaysia serta bagaimana seluruh dunia manusia sedang menghadapi krisis yang sama.

Ini bagi membuka mata mereka yang lebih gemar marah membuta tuli.

ibrahim yahaya said...

Sdr Su-kj,

Tahniah Sdr kerana bersedia lebih awal.

Tolong tengok-tengokkan "orang gila" yang suka potong que. Semua dia orang nak potong, di pejabat pos, di kantin, di bank atau di jalan raya. Orang macam ini kena tegur walaupun badan dia besar atau perempuan cantik sebab perangai macam ini sesuai saja kat dalam hutan. Berkawan dengan harimau dan singa.

Apabila seseorang tegur, yang lain kena support supaya "orang gila" tu malu sikit dan berundur. Jika yang menegur itu dibelasah, orang lain perlu selamatkan orang berani itu demi kepentingan "ikut que".

Adakala orang ramai tidak kisah terutama jika perempuan cantik yang memotong que. Ada yang buat selamba je sebab dapat bau wangi.

ibrahim yahaya said...

Sdr KL,

Saya menghargai media dan agensi penerangan yang bekerja keras membuat penjelasan yang baik kepada rakyat mengenai tindakan kerajaan menaikkan harga minyak dan menstruktur semula subsidi.

Pengumuman sudah dibuat dan perlu dijelaskan kepada rakyat. Setidak-tidaknya penjelasan itu membantu mereka memahami dan tidak sentiasa berangin.

Adakalanya kita akan menjadi marah jika penyampainya menceritakan sesuatu yang tidak betul dan terkena pula batang hidung kita. Mereka kata kerajaan kejam dan kebetulan pula kenaikan minyak itu memeritkan hidup kita sekarang. Ketika itu, duit sudah tinggal dua ringgit. Mestilah kita marah dan termakan dengan label seumpama itu. Saya boleh memahami bahawa ada yang mengamok dan marah-marah kerana ia membabitkan faktor perut. Tetapi kita juga perlu memahami apa sebenarnya berlaku.

ibrahim yahaya said...

Sdr Anon,

Saya menulis dalam MSM kerana mahu media dan agensi kerajaan bekerja keras menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku bagi pemahaman rakyat. Mereka sudah tentu mempunyai fakta dan maklumat yang membolehkan rakyat memahaminya.
Yang sudah buat okla tu.

Umpamanya isu yang Sdr timbulkan mengenai tarikh kenaikan. Media perlu menjelaskan mengapa hari ini Datuk Shahrir berkata minyak akan naik Ogos tetapi keesokan harinya kenaikan itu diumumkan. Saya ketika itu berada di Kota Bahru, Kelantan juga kelam kabut dengan pengumuman kenaikan itu. Bayangkan berapa ratus ringgit kena keluar dari KB ke KL. Sebagai rakyat biasa, saya juga terjejas. Jika isu itu boleh dijelaskan dengan baik, maka rakyat boleh memahaminya. Jika tidak, tentulah rakyat kata "apa ni, nak tipu kita ke?".

Seperti juga projek yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini. Mengapa ditangguhkan atau dibatalkan? Penjelasan itu perlu dilakukan setiap masa kerana adakalanya orang akan terlepas dengan jawapan yang diberikan oleh PM atau TPM.

ibrahim yahaya said...

Sdr Ainul Ab,

Ejen kenit memberitahu saya bahawa penjelasan mengenai keuntungan Petronas dan pemberian kepada kerajaan akan diumumkan tidak lama lagi menerusi RTM.

Tunggulah siarannya. Saya diberitahu orang kuat Petronas sendiri akan ditemuramah oleh pengarang kanan media di negara ini.

ibrahim yahaya said...

Sdr Megat Ron,

Jika kita tidak tahu apa yang kita cakap, kita mungkin dikategorikan dalam kumpulan "orang tidak siuman". Jika kita suka membuat tuduhan dan tohmahan, kita akan dikategorikan dalam kumpulan "orang yang suka buat fitnah". Kini, ramai yang orang tidak tahu membuat pelbagai tuduhan dan tohmahan.

ibrahim yahaya said...

Sdr Zotero,

Salam kembali.

Saya yakin jika ramai yang boleh memahami seperti Sdr, maka masalah "naik angin" dan marah-marah akan berkurangan.

Maklumat-maklumat seperti keadaan harga minyak di Venezeula, hutang dan masalah rizab luarnya yang kritikal kerana subsidi, jika dipaparkan membolehkan rakyat memahaminya.

Rakyat juga perlu tahu perbezaan kos meneroka minyak di laut dan di darat. Tentu besar bezanya. Ada juga tulisan dalam blog yang mahu tahu berapa kerajaan belanja untuk FI sejak mula dilaksanakan. Banyak lagi yang perlu dijelaskan seperti banyaknya persoalan yang dikemukakan oleh rakyat.

Unknown said...

Mendengar penjelasan adalah baik. Manakala penjelasan yang baik dan bukan menggunakan kaedah pembohongan adalah penting.
Buat kami yang di perantauan, memang muak dengar penjelasan pemimpin BN yang ramai tidak memahami apa yang dijelaskan. Bila ditanya, cepat melatah. Kadang majlis penjelasan tidak dibenarkan buat pertanyaan. Macam kami ini BODOH dan boleh menerima apa sahaja tanpa berfikir.
Malah jarang sekali pemimpin negara yang datang berkunjung mahu menemui kami secara berdepan.
Seperti http://1426.blogspot.com/2008/06/anwar-khalid-husam-thrilled-dubai-crowd.html
yang sama-sama makan nasi bungkus dan sanggup dikritik dan dihentam.

Walauapapun, dato' ada point untuk kerajaan...propaganda secara melulu memang sudah membosankan!

iwanz said...

ali kononnya ada 700,000 buah rambutan sehari. kalau ali jual kat pasar memang aku untung banyak.

kalau ali jual murah kat anak bini,pun masih untung jugak.

ini tidak, sebab ali tamak,dan tak peduli nasib anak bini.dia tetap nak jual kat pasar.

moralnya, kera dihutan disusukan, anak mati kelaparan.

tak begitu cik berahim yang budiman.

ibrahim yahaya said...

Sdr Fudzail,

Mesti buat penjelasan bukan pembohongan.

Jika kita membuat penjelasan, lambat-laun rakyat akan memahaminya walaupun mereka "berangin" ketika ini.

Jika kita berbohong, lambat-laun rakyat akan mengetahuinya. Ketika itu, tiada maaf bagimulah. Tentu mereka akan melepaskan geram terutama ketika PRU13. Jadi buatlah penjelasan dengan sebaik-baiknya.

ibrahim yahaya said...

Sdr Iwanz,

Kalau anak kelaparan, sedangkan kera di hutan disusukan, itu tidak patut berlaku. Saya pun tidak akan menyokong tindakan seumpama itu.

Anonymous said...

media mainstream lain bukan macam melaka hari ini bang. wartawan mereka ikut saja buntut YB ke mana mereka pergi dan tulis apa jua mereka cakap, betapa retorik sekalipun.
persoalannya, kerja media ke nak perjelaskan isu kerajaan? media adalah gatekeepers, wattchdog dan bukannya jabatan penerangan.ini satu konflik tanggungjawab.

ps: patutla MHI tak pernah laku....