Saturday, November 24, 2007

ABDULLAH HUKUM TERIMA "HUKUMAN"?


(Hanya tinggal kenangan)

Saya tidak menolak pembangunan. Saya juga tidak suka kawasan perumahan yang kotor. Apatah lagi kawasan perumahan itu di tengah-tengah bandar yang dikelilingi oleh bangunan pencakar langit. Itulah kemungkinan kerajaan ingin membangunkan Kampung Baru, Kuala Lumpur kerana kawasan itu kini dihimpit dengan bangunan tinggi termasuk Menara Berkembar Petronas yang tidak jauh daripada kampung itu. Bagaimanapun, usaha membangunkan Kampung Baru sebagai pusat penempatan moden gagal walaupun pelbagai pelan dan cadangan disediakan. Mungkin ada hikmahnya. Kampung Baru perlu kekal sebagai tempat orang Melayu.

Kini, projek pembangunan akan dijalankan di Kampung Abdullah Hukum, yang berdekatan dengan Kompleks Beli-belah Mid Valley dan Bangsar. Harapan saya ialah "pihak berkuasa" memastikan orang Melayu mempunyai pegangan sama ada dalam bentuk pemilikan rumah, rumah kedai atau lot perniagaan. Lihatlah apa yang terjadi kepada kawasan Mid Valley yang satu ketika dulu dikatakan dimiliki oleh DBKL. Hendak mencari orang Melayu berniaga di kompleks itu amat sukar. Jika ada dua tiga kerat saja. Apa hendak jadi dengan nasib bangsaku. Menteri dan Datuk Bandar, bolehlah buat sesuatu. Adakalanya duit bukan segala-galanya tetapi kepentingan bangsa perlu diperjuangkan.

Apapun ikutilah laporan di bawah ini mengenai Kampung Abdullah Hukum. Ia dipetik daripada news portal, KL POS yang diusahakan oleh Saudara Helmi.


Oleh Abdul Razak Ismail

KUALA LUMPUR: Kampong Haji Abdullah Hukum merupakan salah sebuah penempatan awal orang-orang Melayu di Kuala Lumpur telah diruntuhkan pada awal November baru-baru ini bagi memberi laluan kepada apa yang kononnya dikatakan "pembangunan".

Sumber-sumber mengatakan bahawa perkampongan Melayu 'tengah bandar' yang berusia 200 tahun yang terletak bertentangan dengan ibupejabat TNB di Jalan Bangsar tersebut, akan dibangunkan bagi pembinaan kondominium, blok-blok bangunan pejabat dan komplek membeli belah.

Ada maklumat mengatakan sebuah hub transit LRT/ monorail / tren komuter juga akan dibina di kawasan tersebut.

Kampong tersebut mengambil sempena nama Haji Abdullah Hukum, yang nama asalnya Muhammad Rukun, berasal dari Kerinchi, Sumatera, Indonesia dan datang ke Malaya pada usia 15 tahun bersama bapanya pada tahun 1800-an.

Beliau telah diberi izin oleh Raja Laut pada masa itu merupakan Raja Muda Selangor untuk membuka tanah pertanian dan kampong-kampong baru di Bukit Nanas dan sebuah kampong di Sungai Putih (kemudiannya dinamakan Kg Hj Abdullah Hukum di Jalan Bangsar) seperti yang ada sekarang.

Beliau menetap di kampong tersebut hingga menghembuskan nafas terakhir sekitar tahun 1930-an.

Pada era Allahyarham Tun Razak menjadi Perdana Menteri sekitar 1960-an, kerajaan telah mengalakkan orang-orang Melayu luarbandar untuk berhijrah dan bekerja di bandar-bandar besar terutamanya di Kuala Lumpur.

Lantaran itu ramailah rakyat luarbandar telah bermastautin ke kawasan-kawasan setinggan yang berselerak dipinggir-pinggir pusat bandar Kuala Lumpur ketika itu.

Dari masa ke semasa ekoran dari pembangunan pesat bandaraya Kuala Lumpur kawasan-kawasan setinggan tadi akhirnya terletak ditengah-tengah kawasan 'urban' perbandaran, dan inilah yang terjadi ke atas Kampong Haji Abdullah Hukum, perkampongan Melayu Pantai Dalam, Kampung Kerinci dan kampong-kampong lain dipersekitarannya.

Lebih 300 orang penduduk kampong telah dipindahkan oleh DBKL ke rumah-rumahpangsa miliknya di sekitar Kuala Lumpur.

Mengikut kata Md. Zaman Md. Tasi Ketua Angkatan Muda Wilayah Persekutuan (juga bekas Ketua AMK Bahagian Lembah Pantai) bahawa ramai penduduk merasa kecewa kerana sebelum ini mereka telah 'dijanjikan' oleh beberapa orang wakil-wakil rakyat UMNO yang silih berganti sebelum ini untuk mendapati hakmilik lot-lot tanah di kampong
tersebut.

Sebaliknya apa yang terjadi ialah mereka 'tertipu' dan perkampongan tersebut di 'rampas' dari mereka dan kemudiannya diberikan kepada towkey-towkey komplek membeli-belah, pemaju-pemaju kondomium dan hartanah.

Hari ini nama Haji Abdullah Hukum kekal dalam kenangan sebagai antara orang Melayu terawal yang terlibat dalam membangunkan Kuala Lumpur.

Penempatan orang Melayu 'dalam bandar' yang diasaskannya 200 tahun lalu sudah lenyap. Yang kekal hanyalah papan tanda ' Abdullah Hukum' di stesen LRT untuk tatapan anak cucu masa mendatang.


(Renungan Rimau : Orang Melayu yang mempunyai kuasa perlu memastikan mereka menjaga kepentingan Melayu. Jangan disebabkan mata kelabu dengan wang ringgit, segala-galanya tergadai. Ini termasuk pemimpin pembangkang di Kelantan. Banyak rungutan termasuk penanam sayur yang diambil tanah untuk dibuat pasaraya besar. Jangan kerana kesuntukan masa untuk memerintah, maka kawasan balak diluluskan tanpa memikirkan kepentingan bangsa. Jangan membangga diri sebagai pejuang agama tetapi kepentingan Melayu diketepikan. Tunggulah masanya, tuhan akan menentukan. Saya bukan wali atau manusia yang sempurna. Tetapi ketika berkhidmat sebagai pengarang dan wartawan, saya menolak sebarang pemberian waima tanah sekalipun. Itu prinsip wartawan. Sukar untuk memberikan khidmat terbaik sebagai wartawan jika kita "terhutang budi". Saya tidak mahu mengambil tanah dan menjual kepada orang lain untuk menjadi kaya dalam masa yang singkat. Saya tidak mahu kaya dengan menggadaikan kepentingan Melayu. Sedarlah semua pemimpin Melayu. Kita sedang memerhati kamu.)

No comments: