Friday, November 16, 2007

JANGAN JOLOK SARANG TEBUAN

Saya bukan samseng dan tidak suka bergaduh. Pada zaman remaja dulu, jika ada pihak yang mencabar, saya akan menyahutnya. Kini, tidak lagi kerana umur sudah meningkat dan boleh memikirkan perkara yang baik dan bodoh. Kalau bergaduh sekadar hendak menunjukkan kekuatan tidak payahlah. Tetapi kalau maruah dicabar, mungkin boleh mendorong untuk membawa perwatakan remaja semula. Namun, bergaduh dan bertumbuk adalah kerja bodoh. Tidak payah sakitkan badan, bertenang dan banyak bersabar.

Membaca berita dalam Malaysiakini yang kononnya ahli UMNO memukul orang membuat saya tertanya-tanya mengapa perkara itu boleh berlaku. Apakah mereka bertindak demikian kerana ada provokasi? Adakah tindakan memukul itu dibuat kerana "suka-suka" saja? Yang lebih malang ia membabitkan seorang jurugambar. Apakah jurugambar itu degil lalu dipukul? Adakah jurugambar itu membuat provokasi sehinggakan pemuda gagah membelasahnya? Apakah kejadian memukul itu berpunca daripada ada pihak menjolok tebuan? Apapun, tidak payahlah bergaduh dalam negara kita ini. Banyak bersabar. Pergaduhan ini adalah budaya yang tidak sihat. Percaya dan yakinlah. Duduklah berunding dan berdamai. Kalau ada pihak berdegil, beredarlah. Takyah gaduh.


Malaysiakini melaporkan seorang jurugambar akhbar berbahasa Cina membuat laporan polis hari ini mendakwa dipukul ketika membuat liputan sidang akhbar Ahli Parlimen Cheras dari DAP, Tan Kok Wai di dewan orang ramai yang berada kawasan pejabat Umno Cheras, pagi tadi.

Koh Chun Seng, dari akhbar Guang Ming Daily membuat laporan tersebut di balai polis Cheras pada jam 11.05 pagi tadi. Dalam laporannya itu, Koh berkata pada kira-kira jam 10.40 pagi tadi, dia berada di pejabat Umno bahagian Cheras di Jalan Peel kerana menghadiri sidang akhbar Tan.

Tiba-tiba katanya, beberapa orang lelaki yang menyatakan mereka ahli Umno, datang menyoal Tan mengapa mereka berhimpun di situ. Koh mendakwa, kumpulan itu juga menggunakan bahasa yang kasar terhadap Tan dan mahu wakil rakyat DAP itu menarik balik tuduhannya bahawa Umno sebuah parti politik yang menyalahgunakan kuasa dan rasuah.

Dalam laporannya itu, Koh mendakwa, bila Tan enggan menarik balik kenyataannya itu, beberapa orang lelaki keluar dari pejabat Umno dan mengepung Tan dan penyokongnya. Menurut Koh, dia hanya menjalankan tugasnya mengambil gambar mengenai kejadian tersebut, tetapi seorang daripada mereka tiba-tiba memukul dengan kuat di bahagian telinga kanannya. Katanya, kejadian tersebut disaksikan oleh Tan serta orang-orang lain yang berada di situ.

(Renungan Rimau: Adakalanya pergaduhan kecil ini boleh mendatangkan masalah jika ada pihak yang tidak berpuashati dan memulakan semula pada masa lain. Ketika itu, sudah pasti pergaduhan yang bermula kecil akan membesar seperti api yang marak dan mampu mencetuskan kejadian tidak diingini. Hiduplah secara aman. Apapun, kita juga perlu beringat-ingat jangan suka menjolok sarang tebuan. Sudah tentu tebuan akan keluar dan menyerang sehingga muka serta badan menjadi bengkak.)

No comments: