Sunday, November 18, 2007

TIDAK BOLEH TENGKING DI KHALAYAK RAMAI?

Hari ini, Mingguan Malaysia menyiarkan temuramah dengan Datuk Dr Zainal Borhan mengenai hadiah penyapu yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Bagi Dr Zainal tindakan itu hina walaupun niatnya baik. Tidak mengapalah dengan pandangan itu, kerana Menteri Besar Selangor pun sudah bersetuju untuk menukarkan kepada hadiah yang lain.

Namun, dalam temuramah itu, Dr Zainal juga menyebut mengenai budaya menengking orang bawah di khalayak ramai. Itupun tidak manis dan bertentangan dengan budaya Melayu.

Pandangan itu mengingatkan saya kepada seorang teman yang bergelar jutawan 15 tahun lalu. Kini, wangnya berpuluh atau beratus juta. Beliau gemar memberi arahan dan adakalanya meninggikan suara kepada kakitangannya di khalayak ramai. Saya yang bekerja dengannya satu ketika pernah menegur sikap beliau menengking di khalayak ramai dan jawapan beliau ialah "ini adalah cara saya". Maka saya pun meletakkan jawatan untuk menyelamatkan hubungan kami sejak 20 tahun. Adakalanya lebih baik jadi kawan daripada bekerja dengannya tetapi bermasam muka dan tiada keserasian.

Kini saya terfikir kemungkinan pendekatan yang dibuat oleh rakan saya itu menyebabkan beliau berjaya dan mampu bersaing dengan bangsa lain. Perniagaannya kini bukan saja di Malaysia tetapi juga di persada antarabangsa. Beliau pernah mengalahkan syarikat Amerika Syarikat dalam persaingan mendapat projek di Timur Tengah. Lebih menghairankan pengarah urusannya yang pertama dan sering menerima "tengkingan" masih lagi bekerja dengannya. Sudah lali gamaknya. Mungkin, sikap pelik itu membuat teman saya itu berjaya. Mungkin itulah caranya untuk melatih orang Melayu. Nampak seperti kasar atau kurang ajar tetapi berkesan untuk berjaya.

No comments: